Ahad, 11 Oktober 2015

Travelog : Oh! Riyadh (66)- Rehlah - Al Ula (1)


Rehlah - Al Ula (1)


Kami bertiga bertolak dari Ha'il menuju Al Ula yang jaraknya 400 km pada pukul 2.00 petang. Jalan yang dilalui merupakan jalan  dua hala. Jalannya cantik dan selesa. Pada mulanya keadaan di kedua belah jalan dipenuhi dengan kawasan berbukit.

Jalan menuju Al Ula
Jalan dua hala yang cantik

Namun semakin lama jalan lebih banyak melalui jalan yang landai dan rata. Kawasan lapang kelihatan di mana-mana, luas terbentang. Berbeza di laluan lebuh raya biasa, tiada pagar memisahkan antara jalan dengan kawasan sekitarnya.

Jalan semakin sunyi 
Padang pasir luas disulami batu dan bukit kecil
Sepanjang laluan, pemandu diberi ingatan akan kehadiran unta melalui papan tanda bergambar.

Papan tanda amaran.

Itu dia unta,..kurang pasti unta liar atau milik orang

Terasa seperti berasa di jalan raya di New Zealand. Bezanya adalah hamparan hijau diganti dengan hamparan pasir berwarna kekuningan. Kenderaan tidak banyak dan semakin terasa kekurangannya apabila semakin jauh kami meninggalkan Ha'il. Sukar untuk bertemu dengan kawasan yang didiami manusia atau tempat untuk mengisi minyak. Menghampiri simpang yang agak besar dan luas, baru kelihatan pekan-pekan kecil sekitarnya dengan pelbagai kelengkapan serta taman.

Simpang pemisah ke destinasi pilihan
Selepas simpang ini, kenderaan yang berselisih boleh dikira bilangannya. Tanda amaran ribut pasir semakin banyak diberikan menandakan kami sedang berada di laluan ribut pasir. Aku terpandang keadaan yang amat mendebarkan di sebelah kananku. Kepulan berwarna hitam memenuhi ruang angkasa sehingga kelihatan bersatu dengan awan yang juga kehitaman warnanya. Aku yakin ianya adalah ribut pasir yang sedang bergerak di sana. Aku bersyukur kerana ia bergerak semakin jauh dari kami.

Ribut pasir

"Buka lampu...ribut pasir." Aku berkata perlahan. Sekitar laluan kami turut menjadi gelap. Pasir berwarna oren memenuhi jalan yang sedang kami lalui. Suamiku memperlahankan kereta.
"Hujan..hujan." Safurra pula bersuara.
"Sanstorms dan hujan serentak ya." Balasku sambil merakamkan keadaan di hadapanku dengan telefon bimbitku. Aku membaca ayat-ayat Al Quran yang ada dalam simpanan hafalanku.
Kami pernah mengalami ribut pasir sebelum ini namun keadaan yang sedang kami lalui agak berbeza kerana hujan renyai-renyai turut serta. Hanya kami sahaja yang berada di jalan ketika itu dan aku begitu bersyukur kerana ianya berlaku hanya untuk seketika. Aku merasa bertambah lega apabila segunung ribut pasir yang aku lihat tadi turut hilang dari pandangan. Keadaan sekitar menjadi cerah semula.

Batu -batu muncul
Kami bertemu tanda arah ke Madain Saleh di sebelah kanan. Namun kami meneruskan perjalanan ke Al Ula. Sekitar jalan penuh dengan batuan yang agak berlainan dari biasa. Bilangannya semakin banyak dan ada yang menyerupai objek tertentu.

Saiz semakin besar seperti bukit
Pelbagai rupa bentuk .

Begitu luas namun ada penternak kambing di sekitarnya

Menghampiri pusat bandar Al Ula terdapat kawasan riadah yang popular untuk dikunjungi. Di sini juga terdapat batu yang menyerupai Gajah yang dikenali sebagai Feel Stone (Elephant Rock). Namun ianya lebih sesuai untuk pemilik  kenderaan 4x4.

Kami bertemu dengan kebun-kebun kurma menghijau sebelum sampai ke simpang menuju pusat bandar. Kami mengambil simpang ke sebelah kanan kerana mahu ke Al Ula Arac Hotel (SR860 semalam). Mudah mencari hotel tersebut kerana banyak papan tanda di sekitarnya. Kawasan parkir hotel agak kosong.

Aroma sambal tumis dan ikan bilis goreng memenuhi sekitar laluan ketika kami di dalam perjalanan menuju ke bilik kami  (140). Kami ketawa dan merasa yakin ada orang senegara di situ.

Mercu tanda di hadapan bilik
Penuh dengan pokok kurma... sukanye.
Buah kurma berwarna hijau, dan kuning tetap menaik
perhatian

Bilik-bilik hotel -suasana hijau.

Sekitar hotel
Pemandangan di kawasan belakang hotel
Lobi hotel

Kawasan depan hotel

Kami ke pusat bandar terlebih dahulu untuk melihat sausana bandar sebelum malam menjelang. Keadaan bandar yang sederhana besar itu begitu bersih, tidak terasa berada di Arab Saudi. Canyon yang memenuhi kawasan sekitar dan lembah yang penuh dengan pokok-pokok kurma menambah suasana damai seperti sebuah destinasi percutian. Terasa tenang.
"Rasa macam di Cape Town." Aku memberi pendapat sambil melihat gunung-gunung tinggi yang berwarna kemerahan. Tambahan pula ada gunung yang rata permukaan atasnya. 
"Kita cari nasi terus lah, kemudian balik hotel boleh berehat." Cadang suamiku. Puas kami mencari kedai untuk membeli makanan namun kecewa. Sukar untuk melihat restoran nasi Bukhari atau makanan segera seperti yang terdapat di Riyadh. Tidak kelihatan  kedai makanan segera berjenama popular seperti McD, KFC, PizzaHut dan sebagainya. Kami singgah di mini market berhampiran Petrol Station untuk membeli beberapa keperluan, Mee segera turut jadi pilihan.

Terpaksa keluarkan periuk untuk memasak.
Periuk yang banyak berjasa melebihi 20 tahun.




                                                                                                                                 zias/riyadh/15

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...