Selat Inggeris
Bas mula bergerak melalui kawasan checkpoint, Pelabuhan Dover. Di sini kami turun untuk pemeriksaan kastam. Kami beratur dan menunjukkan
pasport masing-masing di sebelah England kemudian bergerak ke sebelah Perancis
pula. Kedudukannya yang tidak jauh memudahkan urusan. Semasa pasport kami disemak kami menjawab beberapa soalan mudah. Seperti berapa lama akan tinggal di Paris dan sebagainya.Perjalanan rakyat Malaysia dari England ke Perancis tidak memerlukan visa. Akhirnya
pasport kami dicop. Urusan amat mudah dan tidak memerlukan masa yang lama
maklumlah orang tidak ramai dan waktu di tengah malam pula. Kami menaiki bas semula dan bas berhenti sekali lagi. Kami diberi 30minit untuk berehat.
Kebanyakan penumpang berpusu-pusu
ke tandas yang disediakan di kawasan rehat tetapi keadaannya agak kotor. Maklumlah dah lewat malam dan tandas digunakan oleh ramai pengunjung. Ada juga
yang mengambil kesempatan merokok dan minum kopi sementara menunggu . Di ruang parkir, kelihatan banyak lori dan bas menunggu giliran untuk menaiki
feri. Bas meninggalkan Perlabuhan Dover tepat pukul 2.00 pagi untuk menaiki
Feri di bahagian letak kereta Dek 5. Kami diarahkan untuk keluar dari bas dan
menuju ke bahagian atas tempat duduk Feri setinggi 7 tingkat itu. Kami menaiki tangga untuk ke tingkat
atas bersama penumpang-penumpang lain. P & O Ferries menawarkan suasana
yang amat selesa , susunan tempat duduknya agak santai dan luas .
Atas feri bahagian parkir |
Terdapat juga kafe yang
menawarkan pelbagai minuman dan makanan ringan. Kami mencari tempat duduk di
satu sudut yang sesuai supaya kami boleh bersendirian untuk tidur dan solat
nanti. Keluarga Korea tadi turut mengambil tempat duduk berhampiran kami.
Suasana agak bising dengan sekumpulan remaja yang begitu sibuk dengan perbualan
masing-masing memecah suasana malam. Remaja dalam kumpulan yang begitu ramai
pastinya sedang mengikuti rombongan percutian musim panas, kebanyakan mereka
bertutur dalam bahasa Inggeris pastinya rombongan dari United Kingdom.
Penumpang dewasa kebanyakannya mula melelapkan mata sementara menunggu feri
sampai ke pelabuhan. Walaupun letih kami tidak boleh melelapkan mata lagi
kerana waktu solat subuh sudah hampir tiba. Feri bergerak meninggalkan
Pelabuhan Dover. Feri yang besar tidak terasa pergerakannya walaupun agak laju,
kelihatan kerdipan lampu hilang perlahan demi perlahan. Kami mengambil wuduk
menggunakan air yang tersedia di dalam botol air minuman apabila waktu subuh
tiba pada pukul 2.40 pagi. Kami menunaikan kewajipan solat ikhlas kerana Allah.
Selepas menentukan kedudukan kiblat kami solat bergilir-gilir sambil duduk di
sofa dan meja yang disediakan, suasana bising golongan
remaja tadi tidak kami hiraukan.
Suasana di atas feri |
Pertama kali menaiki Feri sebesar
dan sejauh ini (35 km) , tidak terasa pergerakannya. Tidak hairanlah begitu ramai orang
suka bercuti menaiki feri untuk bercuti. Saya pernah menaiki Feri dari Kuala
Perlis ke Pulau Langkawi, Pulau Labuan ke Kota Kinabalu dan Pulau Labuan ke
Brunei. Gelap malam kami tempuhi menuju ke pelabuhan dan suasana mulai cerah.
Feri tiba di Pelabuhan Calais pada pukul 4.00 pagi Bas bergerak perlahan keluar dari pelabuhan
menuju ke daratan. Siang mulai muncul, suasana kelihatan terang walau pun baru pukul 4.00 pagi. Bas kemudiannya bergerak lebih laju melepasi Pelabuhan Calais, Perancis dan
terus menuju ke Highway dua lorong. Bas bergerak agak laju namun tidak terasa pergerakannya. Pemandu bas merupakan lelaki berbangsa Inggeris berusia melebihi separuh abad. Dia memandu dengan cermat dan kelihatan begitu berpengalaman.
Aku berusaha untuk tidak
melelapkan mata sedangkan kebanyakan penumpang sudah dibuai mimpi termasuk
suamiku dan Saffura. Aku terus merakamkan pemandangan sepanjang perjalanan yang
bukan senang untuk dilihat. Ladang-ladang begitu luas, saujana mata memandang dan tiada batasan
keluasannya. Terdapat bahagian yang berwarna hijau menunjukkan pokok-pokok yang
ditanam sedang tumbuh membesar. Ada pula kelompok pokok-pokok berwarna
kuning keemasan menandakan pokok-pokok sedang mengeluarkan hasil untuk dituai. Aku terus memandang ke luar dari cermin bas yang besar sekali sekala memandang
kepada pemandu bas yang memandu dengan begitu berhemah. Walau pun bas bergerak
dengan laju tetapi tidak terasa goyang langsung. Kami terus melalui kawasan
ladang yang luas sekali sekala ternampak kawasan perumahan berciri Eropah
kebanyakannya sesebuah dan besar-besar belaka.
Aku mengambil gambar video apabila
melihat pemandangan yang indah dan cantik , terasa semuanya cantik. Ada masanya
kami melalui ladang kuda yang luas dan dipenuhi dengan kuda-kuda yang bersinar
dan cantik warnanya. Tidak berapa lama kemudian kami melalui kawasan ladang di
mana terdapat kipas angin raksaksa yang dibina dan dalam keadaan tersusun.
Selama ini saya hanya membaca perihal kipas raksaksa yang begitu besar melalui
media. Ianya berfungsi untuk mendapatkan sumber tenaga alternatif bagi
menggantikan kuasa elektrik. Kemudian, matahari mula terbit, cahaya mula menjadi semakin terang. Pergerakan bas
menjadi perlahan kerana kami mula memasuki kawasan Bandar. Bas terus bergerak
mengikut anak panah bertanda Gallieni, salah sebuah perhentian bas yang dilalui
oleh bas Euroline. Suasana masih pagi jadi keadaan agak lenggang. kami terus ke
bahagian menunggu stesen bas setelah turun dari bas tersebut.
Jam baru menunjukkan pukul 7.00 pagi jadi kebanyakan
kedai belum dibuka terutama kedai makan, begitu juga dengan perkhidmatan Metro
Paris. Terdapat ruang untuk menunggu yang agak selesa dan sebahagiannya telah
diduduki oleh beberapa penumpang. Mungkin mereka menunggu bas untuk ke destinasi
masing-masing. Aku dan Saffura terus ke tandas untuk melepaskan hajat dan
membersihkan diri. Bayaran €0.40
dikenakan, suasana tandas agak bersih dan seorang lelaki sedang
membersihkannya. Aku dikejutkan dengan ucapan salam oleh lelaki berbangsa Arab
tersebut, mungkin berbangsa Morocco atau Algeria. Saya sekadar tersenyum dan
menjawab dalam hati maklumlah dalam
tandas. Penjaga toilet itu amat teruja apabila melihat Saffura yang masih belum
baligh mengenakan jilbab. Sebelum keluar kami terserempak pula dengan seorang remaja
perempuan berseluar jeans dan berjilbab. Saya amat berbangga bertemu dengan
orang-orang Islam di bumi Perancis ini. Sama seperti United Kingdom penduduk
Islam kian bertambah setiap tahun walau pun pelbagai tekanan terpaksa mereka
terima . Perancis
antara negara yang banyak dihuni oleh umat Islam. Setelah berehat beberapa
ketika kami menaiki escalator dan mencari kedai untuk minum pagi. Tidak ada
banyak pilihan di kafe tersebut, kami sekadar mengisi perut dengan kopi dan
roti. Selepas makan kami meninjau mencari pusat penerangan namun tidak kelihatan.
Minum pagi |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan