Waah...Doha ke Hong Kong?
Qatar merupakan sebuah semenanjung kecil yang terletak berjiran dengan Arab Saudi, Bahrain dan UAE. Qatar mempunyai populasi penduduk sebanyak 1.8 juta (2013), 278,000 orang adalah warganegara Qatar. Selebihnya ( 1.5 juta) adalah pendatang asing dari pelbagai negara yang berhijrah untuk mencari rezeki di bumi yang sedang membangun dengan begitu pesat. Doha adalah ibu negara Qatar yang merupakan tempat paling ramai diduduki, sekitar 956,460 orang penduduk.
|
Kedudukan Qatar (Peta dari Google) |
Kami tiba di Doha sekitar pukul 2.00 petang. Suamiku terus memandu mencari tempat yang sesuai untuk berhenti untuk makan tengahari. Berbeza dengan keadaan di Riyadh, pantang ada ruang lapang atau taman pasti ada yang duduk berkelah bersama keluarga atau rakan-rakan. Kami terpaksa menahan rasa lapar sepanjang perjalanan dari sempadan Salwa-Qatar sehingga ke Doha kerana gagal mencari tempat yang sesuai untuk duduk dan makan-makan. Pemandangan laut yang membiru sebaik tiba di Doha membangkitkan rasa gembira dan teruja. Terdapat pula kawasan menghijau terjaga rapi di sepanjang kawasan yang tidak berpantai itu. Tidak ramai yang berkelah di situ lalu kami mencari ruang untuk meletakkan kereta di kawasan parkir yang disediakan. Pada masa yang sama sebuah kereta juga dari Arab Saudi turut meletakkan keretanya di hadapan kereta kami. Sepasang suami isteri bersama anak-anak keluar lalu menghamparkan karpet di atas rumput hijau tersebut. Kami mengambil keputusan untuk duduk makan di dalam kereta kerana tidak pasti undang-undang di Doha. Nasi Kabsah yang aku sediakan hampir licin kami makan bersama. Kami makan beralaskan sebuah dulang besar yang sentiasa kami bawa jika bermusafir.
|
Suasana begitu nyaman dan relax |
|
Seronoknya dapat tengok laut. |
Sekian lama menjadi peminat saluran Al Jazeera sebagai sumber berita dunia. Ada masanya kita ditayangkan dengan bangunan pencakar langit di Doha. Kini semuanya di depan mata.
"Waah...Doha sudah seperti Singapura dan Hong Kong. Penuh dengan bangunan tinggi." Aku bersuara ketika melihat barisan bangunan tinggi di depan kami. Suamiku lebih berminat untuk memberi tumpuan kepada steringnya, lagi pula jalan agak sesak dengan bilangan kenderaan yang agak banyak.
"Ok juga bawa kereta di sini, pemandu lebih berdisiplin." Balas suamiku dengan perasaan lega.
|
Mencari jalan untuk ke hotel- Kelihatan bangunan pencakar langit |
Kami berpusing sekitar Corniche untuk mencari Lexington Gloria Hotel yang terletak di Al Safilia Street. Alhamdulillah tidak sukar mencari hotel yang telah kami tempah itu. Ianya yang terletak di kawasan yang penuh dengan hotel-hotel perbagai jenama. Di depan hotel kami adalah Best Western Hotel, tidak jauh dari situ pula adalah Movenpick Hotel. Terletak berdekatan dengan Museum of Islamic Art, Fanar- Qatar Islamic Cultural Center dan Souq Waqif.
|
Lexington Gloria Hotel Doha terletak di celahan hotel-hotel lain
(Pemandangan dari Museum of Islamic Art) |
|
Bilik yang selesa, QAR390 semalam tanpa sarapan pagi. |
Seharian di dalam perjalanan dari Riyadh ke Doha belum meletihkan kami. Selepas solat Maghrib kami berjalan kaki menuju ke Corniche. Kami melintas jalan menuju ke kawasan taman yang luas berhampiran dengan Museum of Islamic Art. Suasana agak sunyi dan hujan renyai-renyai turun namun hanya seketika. Angin yang bertiup dari arah laut menjadikan suasana begitu sejuk namun tidak sesejuk cuaca di Riyadh. Ada yang beriadah di kawasan yang luas dan terjaga itu.
"Kalau macam ini di Riyadh....pasti penuh dengan orang yang berkelah." Suamiku berkata kepada aku dan Saffura.
Aku sekadar berkata di dalam hati...tepi jalan raya yang kosong pun orang duduk berkelah jika di Riyadh.
|
Museum of Islamic Art |
Kami terus berjalan sehingga berhampiran dengan kawasan laut yang dibina benteng yang tinggi. Orang semakin ramai memenuhi kawasan tepi laut itu. Ada yang berdua, ada yang datang dengan keluarga dan yang datang bersama rakan-rakan. Yang beriadah juga agak ramai terutama yang berkulit putih. Kami terkejut seketika melihat wanita berpakaian agak bebas di sini, tidak ubah seperti di Kuala Lumpur. Berbeza sungguh jika dibandingkan dengan apa yang kami biasa lihat di Arab Saudi. Ada juga yang mengenakan abaya, mungkin dari GCC atau warga Qatar sendiri.
|
Suasana malam sekitar Corniche |
Terdapat ratusan perahu kayu atau lebih dikenali sebagai dhow terapung-apung di atas air. Saiz yang pelbagai, ada yang besar dan ada yang sederhana saiznya. Ada yang kelihatan begitu canggih dengan pelbagai kemudahan termasuk antena. Namun yang meriah ialah dhow yang menawarkan pakej bersiar-siar meredah lautan. Kebanyakan dhow dihias dengan lampu pelbagai warna dan aneka corak. Petugas dhow sibuk menawarkan perkhidmatan kepada sesiapa sahaja yang melalui kawasan tersebut. Kebanyakan mereka berbangsa India menawarkan tambang sekitar QAR30 untuk satu perjalanan. Terdapat juga Dhow yang kelihatan mewah dari segi binaannya dan kemudahan yang disediakan seperti peralatan BBQ, dan kerusi meja seperti restoran mewah.
|
Dhow yang dihias indah. |
Tertarik dengan bangunan yang memancarkan warna yang berselang seli seperti ungu, biru atau merah jambu, kami mendekatinya. Ianya adalah sebuah jeti untuk ke Banana Island Resort. Pelbagai kemudahan hiburan terdapat di pulau tersebut termasuk pantai persendirian, Spa, mini theatre dan sebagainya. Memerlukan masa selama 20 minit untuk sampai dengan feri mewah yang disediakan oleh pemiliknya, Anantara.
"Hai tidak ada ke nama lain selain banana."Aku kehairanan.
Terdapat kawasan yang sangat luas sekitar jeti ini. Banyak kereta yang diletakkan di dalam kawasan parkir yang disediakan. Lebih 50% kereta adalah milik warganegara dari Arab Saudi.
Kami terserempak dengan sekumpulan pekerja yang baru turun dari bot, kebanyakannya berbangsa Filipina.Pekerja hotel mungkin.
|
Air laut begitu jernih sehingga boleh nampak ikan walaupun di waktu malam. |
Kami terus berjalan di kawasan tersebut sehingga sampai di kawasan paling hujung. Di sini kita boleh melihat pemandangan yang lebih dekat bangunan-bangunan tinggi di Doha atau dikenali sebagai Doha Skyline. Ramai yang memancing di kawasan ini.
|
Doha Skyline. |
Agak jauh kami berjalan sehingga terasa letih. Sebelum pulang ke hotel kami mencari kedai untuk membeli barang keperluan seperti air minuman dan makanan ringan. Tidak sabar menanti hari esok untuk melihat apa yang ada di Doha.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan