Agak jarang kami menjamu selera di kedai masakan ala-ala Thailand beberapa tahun sebelum bertukar angin ke Riyadh. Tahun awal berpindah ke Kuala Lumpur, kedai masakan yang banyak terdapat di Kampung Baru menjadi tempat untuk kami makan malam. Kedai Dol Tomyam di Kajang juga turut menjadi pilihan kami saban minggu. Setelah timbul beberapa isu berkaitan dengan kedai-kedai masakan Thai, kami hanya kekal menjadi pelanggan di Restoran DJU yang terletak di kawasan perumahan kami. Di samping menyediakan hidangan Nasi Beriani Batu Pahat yang sedap, restoran milik orang Melayu ini juga turut menyediakan hidangan panas ala Thai selepas pukul 6.00 petang.
Pun begitu aku tidak pernah mencuba Som Tam, walaupun namanya terdapat di dalam menu. Semuanya bermula apabila aku melihat ada betik muda yang dijual di Lulu Hypermarket. Aku tertanya-tanya apa kegunaannya. Setelah melihat blog berkaitan resepi makanan baru aku tahu Som Tam adalah kerabu betik. Jadi semasa bercuti di Alor Setar tahun lepas, aku mencubanya di sebuah restoran yang terletak di Kuala Kedah. Aku hanya memesan Som Tam sahaja untuk dimakan tanpa nasi. Rasanya agak sedap tetapi kandungan udang kering yang agak banyak dan kacang tanah yang ditabur sebiji sebiji mematahkan selera. Sakit rasa gigi aku mengunyah kedua-duanya sehingga selesai.
Kebetulan baru-baru ini kami sekeluarga bercuti di Qatar. Semasa singgah di sebuah mini market aku ternampak sebakul betik muda yang comel dijual bersama sayuran yang lain. Aku pun membelinya sebiji untuk dibawa balik ke Riyadh.
Betik Muda dibeli di Doha |
Hampir dua minggu baru aku berpeluang membuat Som Tam yang mudah dan ringkas setelah merujuk beberapa resepi di blog. Aku menggunakan bahan-bahan yang sedia ada di dapurku sahaja, tiada udang kering, kacang panjang dan sos ikan. Yang penting ada rasa masam, manis, pedas dan rangup. Lagi pula aku tengah berpantang dengan udang kering yang tinggi kandungan kolesterolnya. Walaupun ada dijual sos ikan di Panda tetapi aku tidak begitu yakin untuk membelinya jadi aku gantikan dengan kicap cair. Rangup Som Tam yang aku sediakan dan ianya memang enak dimakan begitu sahaja. Dua kali aku buat Som Tam niih. Jom layan Som Tam dari Riyadh.
Memang betul2 muda |
Bismillahirrahmanirrahim
Resepi Som Tam
Bahan2:
1/2 biji betik muda (kecil)
3-4 biji cili padi/hijau
2-3 ulas bawang putih
1/2 biji buah tomato(didadu kecil)
1-2 sudu besar air gula Melaka
1-2 sudu besar air lemon
sedikit garam
1 sudu kecil kicap masin
Kacang tanah yang dikisar untuk ditabur
(Lagi banyak kacang tanah lagi sedap)
*Pilihan jika ada
Udang Kering ditumbuk
Kacang panjang dipotong kecil
Sos ikan.
Cara Membuatnya:
1.Hiris betik secara memanjang dan nipis-nipis.
Dihiris nipis |
2.Tumbuk/mesin bawang putih dan cili api
(jangan sampai halus).Boleh dimesin buah
tomato bersama-sama.
3.Masukkan betik yang dihiris ke dalam sebuah
mangkuk.Masukkan bahan yang dikisar, buah
tomato,air gula Melaka, air lemon, kicap dan
garam. Gaul sehingga sekata.
4.Masukkan ke dalam pinggan hidang dan tabur
dengan kacang tanah.
Som Tam yang pertama, tomato dipotong dadu |
Som Tam yang kedua, tomato dimesin bersama cili dan bawang putih. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan