Sabtu, 13 Februari 2016

Dapurku D'Riyadh (131) - Bakso



Bismillahirrahmanirrahim.

Minggu lepas kami berziarah ke Madinah, Alhamdulillah. Kami tiba di Madinah agak awal iaitu sekitar pukul 8.30 pagi. Sebelum ke Masjid Nabawi untuk menunaikan Solat Jumaat , kami ke Rumah Makan Indonesia yang terletak di bangunan hotel yang berhampiran dengan Hotel Anwar Movenpick Madinah untuk makan tengahari. Biasanya aku dan Saffura akan memesan Bakso untuk mengubah selera. Namun kami agak kecewa kerana Bakso hanya tersedia selepas Solat Zohor/ Jumaat.
Sebenarnya aku tidak begitu minat dengan Bakso setelah makan buat kali pertama di Jakarta pada tahun 2009. Wakil travel agent telah membawa kami ke sebuah kedai makan yang terletak di sebuah bangunan membeli belah. Kami bebas memilih menu yang ditawarkan setelah kerap kali dihidang dengan Nasi Padang yang enak itu. Aku memilih Bakso kerana ianya begitu terkenal menerusi sebuah filem Islamik dari Indonesia bertajuk "Ketika Cinta Bertasbih". Aku begitu kecewa dengan rasanya apatah lagi dengan dagingnya. Tambahan pula aku hanya diberi sos cili yang tersedia di dalam botol di atas meja untuk dimakan bersama, rasa tidak mampu untuk dihabiskan. Sejak itu aku tidak berminat dengan Bakso.
Namun semasa kami berada di Madinah untuk menyambut Hari Raya Korban tahun lepas, aku mencuba Bihun Bakso di Rumah Makan Indonesia kerana tidak banyak pilihan makanan ketika itu. Ehmm....walaupun nampak supnya agak cair tetapi sedap pula walaupun tidak ada cili hijau/padi sebagai menambah selera.
Rasa sejuk yang berterusan selepas pulang dari Madinah minggu lepas membuatkan aku mencuba resepi Bakso. Kebetulan ada sedikit daging yang tersimpan di dalam peti sejuk, cukup untuk sekali makan. Senang pula cara menyediakannya, aku ambil resepi ini di Myresepi. Aku menambah bahan penumis untuk menghasilkan aroma yang lebih menyelerakan. Aku menyediakan sambal kicap seperti untuk dimakan dengan soto. Puas rasa menghirup kuah yang agak cair itu. 

Resepi Bakso

Bahan2:
Untuk Bebola daging:
250 g daging segar.
1/2 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1 bungkus rempah bunjut jenama Adabi
1/2 biji telur
1 sudu kecil tepung jagung/ubi
Garam
Serbuk lada sulah

Cara Membuatnya:
1.Mesin daging, bawang besar dan bawang putih
   sehingga agak halus.
2.Masukkan ke dalam sebuah bekas dan campur
   telur, tepung, lada dan garam. Gaul sebati.

3.Bulatkan mengikut saiz yang dikehendaki.
   Ketepikan.



Untuk Kuah
1/2 biji bawang besar dihiris
3 ulas bawang putih*
1/2 inci halia*
1 sudu kecil lada sulah biji*
Bahan * ditumbuk
4 jenis penumis
1 batang serai dibelah 2
Sedikit minyak
Stok ayam/air secukupnya.
Garam
Cara membuatnya:
1.Panaskan minyak di dalam sebuah periuk.
   Masukkan penumis dan bawang besar,
   goreng hingga kuning.
2.Masukkan bahan yang ditumbuk dan serai.
   Kacau hingga naik bau.
3.Masukkan air, rempah bunjut Adabi dan 
   garam.
4.Setelah mendidih, masukkan bebola daging.
   Biarkan sehingga bebola daging timbul.
   Perlahankan api dan biarkan sehingga agak
   mesra.



Bihun (direndam dan direbus)
Bahan untuk ditabur
Tauge(jika ada))
Kubis(jika ada)
Daun bawang
Bawang goreng
Sambal kicap


Bakso Riyadh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...