Love Madinah
Setelah beberapa kali rancangan untuk ke Madinah terhalang dengan pelbagai agenda, akhirnya kami berpeluang berziarah lagi ke bumi hijrah Rasulullah SAW. Buat pertama kali kami memulakan perjalanan di waktu petang pada hari Khamis, minggu pertama di bulan Februari. Perjalanan di waktu malam agak meriah dengan kerdipan lampu-lampu menerangi bandar-bandar yang kami lalui. Terutama selepas melalui Bandar Al Ghat. Seperti biasa kami singgah di R&R yang terletak sebelum check point Al Ghat. Cuaca memang sejuk namun kebanyakan orang Arab jarang mengenakan jaket terutama golongan wanita. Biasanya mereka memakai kain tebal/baldu di bahagian dalam abaya untuk menahan diri dari rasa sejuk. Aku pula masih terasa sejuk walaupun memakai jaket yang agak tebal.
Taburan bintang-bintang yang berkerdipan dengan jumlah yang tidak terbilang menambah keindahan malam. Sinaran bintang-bintang inilah yang menjadi paduan perjalanan pengembara suatu ketika dahulu apabila berada di tengah lautan atau padang pasir. Tidak hairan kenapa orang Arab amat gemar berpiknik di tengah padang pasir demi untuk melihat keindahan suasana malam. Mereka berbuat demikian dengan pelbagai cara. Ada yang sekadar duduk beramai-ramai dengan keluarga atau kawan-kawan dengan beralas karpet dan bantal-bantal khas sambil makan-makan. Ada juga yang berkumpul dalam kumpulan yang lebih ramai di dalam kawasan perkhemahan khas yang kelihatan begitu banyak di sepanjang jalan menuju ke Madinah.
Biasanya kawasan perkhemahan persendirian ini terdapat dua khemah besar untuk kaum lelaki dan wanita. Terdapat kemudahan lain seperti tempat memasak, tandas, kawasan permainan dan pemanas. Pagar dibina untuk menjadikan kawasan tersebut terpisah antara satu sama lain. Khemah-khemah ini begitu popular di musim sejuk sehingga bayaran mencecah SAR2000 untuk semalaman. Kami singgah di Ar Rass untuk tidur sekitar pukul 10.00 malam. Tidur kami agak terganggu dengan cuaca yang begitu sejuk. Kami memanaskan diri dengan heater yang terdapat di dalam kereta namun angin yang bertiup setiap masa menjadikan keadaan tetap sejuk. Akhirnya kami meneruskan perjalanan semula sekitar pukul 3.30 pagi.
Perjalanan di awal pagi memang menyegarkan terutama setelah menunaikan kewajipan pada Illahi di waktu subuh. Pemandangan yang tidak akan kita temui jika kita menaiki kapal terbang untuk ke Madinah yang sejauh 800+ km itu. Saffura pula begitu asyik dengan kamera Nikon yang baru dibeli. Jadi gambar-gambar yang diambil dari kereta lebih berkualiti berbanding dengan gambar yang diambil menggunakan telefon bimbit/Ipad.
Matahari sudah bangun |
Sejuk dan segar. |
Kami tiba di Hotel Mawaddah Al Safwa yang terletak berdekatan pintu bernombor 15 Masjid Nabawi. Hotel kami berselang sebuah hotel dengan Hotel Anwar Movenpick. Tetamu Allah di Madinah kelihatan agak ramai sehingga harga hotel ternama agak mahal seperti Hotel Anwar Movenpick bernilai SAR1500 semalam. Kali ini kami tidak mengambil pakej makan pagi di hotel jadi harga memang murah iaitu SAR322 semalam untuk bilik triplet. Kami tiba agak awal sekitar pukul 8.30 pagi jadi kami hanya duduk di lobi hotel kerana tidak dibenarkan masuk ke bilik kerana tiada kekosongan. Suasana di lobi hotel agak sibuk dengan jemaah dari Turki dan Malaysia yang menginap di hotel tersebut.
Kami ke Masjid Nabawi untuk menunaikan Solat Jumaat. Orang sudah ramai memenuhi ruang solat di dalam Masjid Nabawi. Aku tidak mempunyai pilihan melainkan duduk di ruang berhampiran tong-tong air Zamzam yang juga hampir dipenuhi. Alhamdulillah buat kali pertama aku boleh memahami khutbah yang disampaikan oleh Imam yang bertugas. Kebetulan ada seorang petugas masjid memberitahu para jemaah bahawa kami boleh mendengar khutbah melalui telefon bimbit masing-masing. Ini dilakukan melalui siaran 99 bagi Bahasa Indonesia/Malaysia. Hanya aku yang memberi respon sedang jemaah lain yang berbangsa Indonesia/Malaysia terkebil-kebil mendengarnya. Aku pun tanpa rasa segan meminta earphone dari petugas tersebut untuk dipasang kepada telefon bimbitku. Namun ianya hanya berfungsi apabila khutbah bermula.
Kebetulan ada seorang warga Malaysia dari Bukit Antarabangsa di sebelahku, jadi kami berkongsi mendengarnya. Alih bahasa di dalam bahasa Indonesia dan dilakukan dengan begitu cepat. Pun begitu aku mampu memahaminya. Khutbah kali ini berkait rapat dengan kejadian letupan di masjid yang terletak di Al Ahsa. Ibubapa diminta memainkan peranan bagi menghalang ahli keluarga dari terlibat dengan kegiatan keganasan dan pengganas. Di akhir khutbah, Imam membacakan doa yang begitu terkesan di kalangan para jemaah sehingga menyebabkan ramai yang tersedu menangis bersama Imam. Doa merayu Allah memelihara Islam begitu menyentuh hati. Didoakan juga agar Allah memberi petunjuk dan bantuan kepada King Salman dan dua orang wakilnya iaitu putera mahkota dan pembantu putera mahkota dalam menjaga Agama Islam.
Hotel Mawaddah Al Safwa |
Selesa - suasana di dalam bilik |
Pemandangan dari bilik hotel |
Terdapat sebuah taman di depan hotel kami |
Begitu menghijau. Kelihatan bangunan untuk Pamerah Nama-nama Allah dan Pamerah berkaitan Rasulullah SAW berhampiran taman ini. |
Suasana sewaktu malam di sekitar Masjid Nabawi
Pintu masuk utama - begitu meriah suasana |
Madinah turut terasa sejuk di awal pagi namun suasana panas terasa sesudah subuh. Suasana begitu meriah sesudah Solat Subuh. Setiap ruang padat dengan tetamu Allah SWT dan Rasulullah SAW sehingga masa yang agak lama diperlukan untuk keluar dari kawasan Masjid Nabawi. Ditambah pula dengan kesibukan para peniaga yang mengambil kesempatan mempromosi barangan jualan mereka tanpa sebarang gangguan. Aku juga tergoda untuk membelinya apabila harga abaya yang ditawarkan di luar jangkaan.
Saudara dari Malaysia di mana-mana. |
Abaya dijual dengan harga serendah SAR15. |
Jom pilih-pilih. Cuti sempena Tahun Baru Cina menjemput saudara senegara ke Mekah dan Madinah. |
Sempat membeli coklat Madinah (SAR15 sekilo) Banyak ini hanya SAR10. Para jemaah dinasihat memebli coklat di Madinah kerana lebih murah. Di Mekah susah untuk mendapatnya. |
Jika mahu mencari barangan untuk hadiah yang lebih pelbagai terdapat sebuah kedai yang dikenali sebagai I Love Madinah di bangunan Hotel Anwar Movenpick. Terletak di sisi bangunan hotel arah ke pintu pagar Masjid Nabawi. Namun harga yang bertanda telah ditetapkan....jangan buang masa untuk tawar menawar.
Pintu masuk dari dalam bangunan hotel |
Macam-macam ada. |
Tempat minum air Zamzam dibina di sisi bangunan tandas. Tidak perlu berebut. |
Skrin besar disediakan untuk memberi maklumat kepada tetamu Masjid Nabawi. |
Banyak maklumat. |
Pintu yang menghubungkan tempat solat Imam Masjid Nabawi |
Sempat merakam gambar lebih dekat sebelum diarah beredar oleh pengawal bertugas.. |
"Ya Allah, jadilah kami mengasihi Madinah sebagaimana kami
mengasihi Makkah atau lebih lagi , dan sihatkan Madinah
(daripada wabak penyakit) dan berilah keberkatan kepada
gantang dan cupaknya serta pindahkan humma (penyakit)
di Madinah dan jadikan ia di Juhfah."
[Sahih Bukhari no. 3926, sahih Muslim no.1376]
Sekitar pukul 1.30 petang kami memulakan perjalanan pulang ke Riyadh. Dengan harapan diberi rezeki untuk ziarah ke Madinah lagi. InshaaAllah. Perjalanan pulang kami lebih lancar kerana perut sudah diisi dengan makan tengahari. Aku memasak nasi untuk dimakan bersama kari ayam yang aku bawa. Pemandangan padang pasir sentiasa menarik perhatian kami sekeluarga. Alhamdulillah selamat sampai di Riaydh pada pukul 9.00 malam.
Ladang kurma kelihatan dari lebuh raya |
Stesen keretapi Madinah-Mekah. |
Kebun-kebun sayur di sekitar wadi yang tidak jauh dari check point terakhir dari Madinah-Riyadh. |
Kelihatan takungan air di mana-mana selepas hujan. |
Unta kelihatan di sepanjang perjalanan. |
Pokok akasia terdapat di setengah kawasan di padang pasir |
'Table Mountain' Arab Saudi |
Kambing-kambing juga bebas berkeliaran. Penternakan secara semulajadi menjadikan kambing agak mahal di sini. |
zias/riyadh/16
Tiada ulasan:
Catat Ulasan