Rabu, 30 Mac 2016

Travelog : Oh! Riyadh (96) - Rehlah Sekitar Riyadh


Rehlah Sekitar Riyadh.


Cuaca di Riyadh dalam seminggu ini agak tidak menentu. Ada masanya panas dan suhu melebihi 30 C. Tiba-tiba terasa sejuk pula terutama di waktu pagi. Beberapa hari lepas hujan turun beserta bunyi guruh dan pancaran kilat. Sesekali sandstorm pula melanda.  Aku semakin terbiasa dengan kejadian sandstorm terutama ketika di dalam perjalanan yang jauh dengan menaiki kereta. Moga Allah melindungi kami dari sebarang peristiwa yang merbahaya. Begitulah suasana apabila berlaku perubahan cuaca di bumi Timur Tengah ini. Namun selagi musim panas belum tiba, setiap masa yang ada amat berharga dan perlu digunakan sepenuhnya untuk melakukan apa juga aktiviti di luar.

Kami mengambil kesempatan pada awal cuti sekolah yang lepas untuk menikmati keindahan kawasan berhampiran dengan Riyadh sambil melihat bunga-bunga yang sedang berkembang mekar. Gambar-gambar bunga tersebut telah aku masukkan di dalam entri yang lepas. Kami keluar pada awal pagi untuk menikmati sarapan pagi di kawasan berhampiran padang pasir. Disebabkan masih awal pagi, hanya kami dan beberapa orang sahaja yang berada di kawasan tersebut. Biasanya kawasan tersebut penuh dengan kereta dan orang ramai yang berkelah di situ. Mungkin juga mereka ke tempat lain sempena musim cuti sekolah.


Tumbuhan subur di musim bunga.

Deretan kawasan ladang yang dipagari tembok tinggi kelihatan sepanjang jalan

Menuju ke Ammariyah dan sekitarnya
Terdapat kawasan piknik yang luas di sebelah kanan jalan raya

Namun kelihatan agak terbiar


Banyak pokok terbiar.

Kami mencari tempat yang sesuai untuk piknik di sebelah kiri jalan raya. Banyak khemah
untuk disewa di kawasan sekitarnya.

Tiada penyewa barangkali

Sudah jumpa tempat yang sesuai untuk piknik

Nyaman terasa dan selera juga bertambah

Dalam perjalanan pulang singgah di ladang sayur

Seekor kaldai sedang berehat

Tanaman berbunga ini ditanam di kebanyakan ladang di sini.Tidak pasti pokok apa.
Ianya menarik perhatian kami lalu singgah melihatnya dengan lebih dekat.

Cantik pulak!

Sayur-sayuran di tanam dicelah pokok-pokok kurma.


Di antara bulan Februari sehingga bulan Mac, terdapat pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh pihak pemerintah. Ianya berlangsung di seluruh Arab Saudi. Pelbagai pesta diadakan di setiap daerah. Di Riyadh juga terdapat beberapa aktiviti seperti Janadriyah Festival, Riyadh International Book Fair, Riyadh Spring Festival dan sebagainya. Kami sempat singgah di Riyadh International Convention & Exhibition Centre, Riyadh untuk meraikan Riyadh International Bookfair 2016 yang berlangsung dari 9 Mac sehingga 19 Mac. Kami pernah ke sana pada tahun 2014.

Untuk mengelakkan dari kejadian kesesakan, kami meletak kereta di kawasan perumahan yang berhampiran dengan tempat berlansungnya pesta buku tersebut. Sedang kami berjalan kaki, sebuah bas berhenti dan mempelawa kami untuk naik. Rupanya ada perkhidmatan bas disediakan untuk ke tapak pesta buku tersebut. Terdapat beberapa buah pondok menunggu dengan kemudahan kerusi dan air minuman secara percuma. Pertama kali menaiki bas awam di Riyadh, lalu aku tersalah langkah.

Pemandu:  Lak....nisa.

Aku yang sedang mengikut suamiku menaiki bas melalui pintu di bahagian depan dihalang untuk naik menggunakan laluan yang sama.

Saffura : Ikut belakang la mama. Di sini kan kena asing lelaki dengan perempuan.
Aku     : Ahhh.. betul juga.
Bas disediakan
Lelaki di depan dan perempuan di belakang. Selesa rasanya.

Lelaki dan perempuan juga  menggunakan pintu masuk yang berbeza. Pemeriksaan seperti di lapangan terbang diadakan dan setiap beg yang hendak dibawa masuk diperiksa oleh petugas di kaunter yang disediakan. Kami dihadiahkan dengan penanda buku oleh beberapa orang petugas. Petugas-petugas yang aku temui agak mesra dan menegur aku dengan ramah dalam Bahasa Inggeris. Payah betul untuk bertemu dengan situasi sebegitu sepanjang aku berada di Riyadh ini. Gambar-gambar yang diambil tidak begitu memuaskan. Ini kerana masyarakat di sini agak sensitif untuk diambil gambar mereka. 

Kaunter menjual beg beroda untuk kemudahan para pembeli.
Kawasannya memang terlalu luas. Tidak mampu untuk menghabiskannya.
Kebanyakannya buku dalam Bahasa Arab

Puas berjalan


Ada juga buku di dalam bahasa Indonesia, Filipina, Turki dan sebagainya

Suasana agak tenang kerana belum waktu tengahari

Terdapat kemudahan tempat untuk menunaikan solat juga untuk makan dan minum.

Pelbagai jenis makanan dijual


Lamb Mandy dari Najh
Laparnya..
Tidak sampai dua jam kami berada di kawasan pesta buku ini. Tidak banyak yang boleh dibeli kerana kebanyakan bukunya tidak dapat kami beli. Selepas makan tengahari kami pun beredar menaiki bas yang disediakan secara percuma.

Bilangan bas memang banyak.



                                                                                                            zias/riyadh/16

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...