Khamis, 10 Mac 2016

Dapurku D'Riyadh (144) - kuih Lompang Gula Melaka


Bismillahirrahmannirrahim

Banyak pula resepi kuih muih tradisional dikongsi di laman FB, semuanya kelihatan sungguh sedap. Kuih Lompang dan Kuih Kasui adalah di antara kuih yang menarik perhatian aku. Nampak begitu mudah menyediakannya tetapi aku tidak mempunyai kapur makan yang menjadi antara bahan yang diperlukan. Lama sungguh aku tidak membeli kapur untuk dimasukkan ke dalam makanan yang aku sediakan terutama kuih muih. Ini disebabkan aku ada terbaca bahawa air kapur atau larutan kalsium hidroksida ini boleh menyebabkan penyakit batu karang jika dimakan dalam tempuh masa yang lama. 

Aku: Assalamualaikum Ina. Kak nak tanya Ina ada kapuq untuk buat kuih tak?
Roslina: Ada kak.
Aku Boleh beri sedikit?Teringat kuih lompang la pulak
Roslina:Ok.Nanti saya bagi.

Perbualan aku dengan jiranku yang baru berhijrah ke Riyadh. Tanpa rasa segan aku meminta sedikit kapur dari jiranku itu.

Kapur makan

Aku lebih bersemangat untuk membuat kuih lompang setelah aku membeli isi kelapa yang belum dimesin dari Lulu Hypermarket. Sebiji kelapa berharga SAR5 dan ianya dimasukkan ke dalam bekas plastik.


Buang kulit kelapa yang berwarna perang dan sagat. Baru sedap.

Aku merujuk resepi dari Blog Azie Kitchen tetapi aku menambah sedikit tepung ubi. Aku juga menggunakan gula Melaka sepenuhnya kerana gula merah yang ada hanya berbaki sedikit sahaja. Walaupun permukaan kuih lompang ini tidak licin tetapi rasanya memang lembut.kenyal dan sedap. Ustazah Shikin turut memberi respons yang sama apabila kuih tersebut aku hidangkan kepadanya. Puas betul  aku memakannya. Alhamdulillah.

Resepi  Kuih Lompang Gula Melaka.
Bahan2
1 cawan gula Melaka
4 cawan air
1 helai daun pandan

Masak gula Melaka bersama air dan daun pandan
sehingga gula larut sepenuhnya dan tapis.

2 cawan tepung beras
1 sudu besar tepung ubi
1/2 sudu kecil air kapur (dibancuh
dan ditapis
Sedikit kelapa parut yang digaul dengan sedikit garam

Cara Membuatnya:
1.Bancuh tepung dengan air kapur. Tuang air gula ke dalam tepung dan kacau
   sehingga semuanya larut dan sekata.
2.Tapis adunan ke dalam sebuah jug supaya senang menuangnya ke dalam acuan.
3.Didihkan air di dalam kukusan. Acuan kuih dilumur dengan sedikit minyak.
4.Tuang adunan ke dalam acuan dan kukus selama 25  minit atau sehingga masak.
   Sejukkan.
5.Letakkan kelapa parut di atasnya.

   

Kacau dengan sempurna sebelum dituang ke dalam acuan dan terus masukkan
ke dalam kukusan.

Sedia untuk dikukus


Sudah masak...berlubang di tengah.


Sedap...tidak sedar sudah berapa biji dihabiskan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...