Rabu, 30 Mac 2016

Dapurku D'Riyadh (150) - Kuey Teow Kung Fu



Bismillahirrahmanirrahim

Aku pernah makan hidangan ini ketika berada di Alor Setar. Ketika itu kami bermalam di Hotel Seri Malaysia Alor Setar yang terletak berhampiran dengan Stadium Darul Aman. Terasa lapar, kami singgah makan di kawasan gerai yang berada di sekitar kawasan stadium. Tidak pasti untuk makan apa di kedai tersebut, aku hanya menunding jari kepada satu hidangan yang baru diletakkan di meja yang berhampiran dengan kami. Nampak begitu sedap sekali. Tidak pula berhasrat untuk bertanya kerana kelihatan seperti kuey teow Ladna yang menjadi kegemaran aku.

Memang lah sedap rasanya sehingga sepinggan penuh berjaya aku habiskan seorang diri. Setelah sekian lama baru aku tahu akan namanya ketika aku bercerita mengenainya kepada salah seorang anak saudaraku. Baru-baru ini aku ternampak resepi langkah demi langkah untuk menyediakan resepi ini di dalam FB. Seperti biasa aku akan mengubah sedikit resepinya sesuai dengan bahan yang ada dan yang memudahkan kerja aku. Yang pasti rasanya sedap secara semulajadi.

Aku pun berminat sangat untuk mencubanya. Jadi aku mula dengan menyediakan kueyteow mentah terlebih dahulu. Aku juga menyediakan kueyteow goreng untuk diuji rasa oleh Ustazah Shikin. Ini untuk menyakinkan akubahawa homemade kuey teow yang aku hasilkan benar-benar mempunyai rasa kuey teow bukannya aku syiok sendiri.

Ustazah Shikin : Sedap Mak cik, boleh meniaga ni.
Aku                :  Macam mana ustazah ...ada rasa kueyteow tak?
Ustazah Shikin : Sama aje.

Berbunga-bunga rasa hatiku mendengar komen tersebut.

Resepi Homemade Kuey Teow
Bahan2:
3 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung gandum
3 cawan air panas
2 cawan air sejuk
1/2 sudu kecil garam.

Cara Membuatnya:
1.Campurkan tepung dan garam.Gaulkan.
2.Campurkan air panas dan air sejuk di dalam satu bekas.
3.Masukkan air ke dalam tepung dan kacau sehingga sebati.
4.Panaskan periuk pengukus dan biarkan air sehingga mendidih.
5.Sapu sedikit minyak pada tudung periuk.(Aku guna acuan kek 
   bulat yang tidak melekat). Jangan terlalu banyak minyak nanti licin pula.
6.Masukkan adunan senipis mungkin. Gunakan kuantiti yang sama supaya hasilnya
   sekata. Aku guna bekas plastik kecil untuk menyukat adunan.
7.Masukkan ke dalam  pengukus dan biarkan sehingga kelihatan gelembung udara.
   Pastikan ada gelembung udara supaya mudah menggulungnya.
8.Gulungkan kepingan kuey teow yang sudah masak( lebih kurang 1 minit). Ulang sehingga habis.
9. Potong bulat anggaran saiz yang dikehendaki.
10.Bukakan gulungan tersebut, jika susah boleh sapukan minyak pada tangan. 
   Gaul kuey teow yang terhasil dengan sedikit minyak supaya tidak melekat antara 
   satu sama lain.


Siap kuey teow mentah


Resepi Kuey Teow Kung Fu
Bahan2:
1 mangkuk kuey teow
2 biji telur
3-5 ekor udang segar
Sedikit isi ayam
2 cawan air rebusan ayam
3-4 ulas bawang putih diketuk
1-2 sudu besar tepung jagung dibancuh dengan air
2-3 batang babycorn
Sedikit hirisan karot
1-2 cendawan butang dihiris
1 tangkai daun kailan
Cili padi/cili hijau/merah
Minyak zaitun
Garam
Sedikit minyak bijan


Bahan2 yang diperlukan

Cara Membuatnya:
1.Pukul telur di dalam sebuah bekas bersama sedikit garam.
2.Masukkan telur tersebut ke dalam sebuah bekas yang mengandungi
   kuey teow. Gaul rata.
3.Panaskan kuali bersama sedikit minyak zaitun. Masukkan kuey teow
   bersama telur dan masak seperti membuat telur dadar.


4.Setelah kekuningan, angkat dan masukkan ke dalam pinggan.


5.Tambahkan minyak ke dalam kuali, masukkan bawang putih
   dan kacau sekejap. Apabila sudah naik bau masukkan udang
   dan karot dan kacau.
6.Masukkan air rebusan ayam dan biarkan mendidih. Masukkan
   isi ayam serta sayuran lain dan perisakan dengan garam dan
   minyak bijan.


7.Masukkan bancuhan tepung jagung dan kacau sehingga agak
   pekat.


8.Tuangkan kuah di atas kuey teow tadi. Tabur dengan bawang
   goreng dan hirisan cili jika perlu.
   




Selamat berbuka puasa.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...