Isnin, 18 Mei 2015

Dapurku D'Riyadh (10) - Roti Bun


Ketika jamuan piknik makan satay di Princess Noura University, Pn Nor menyediakan dua jenis roti iaitu bun   chicken floss dan bun manis. Lembut dan istimewa sekali rasanya sehingga aku tidak segan lagi untuk meminta resepi darinya. Lebih menggembirakan apabila aku, Pn Hamidah dan Pn Wan Salisa diberi bread improver seperti yang diperlukan dalam resepi. Aku tidak sabar untuk membuatnya,maklumlah sudah ada  mesin pembantu. Ternyata resepinya begitu tepat sekali sehingga tidak perlu menambahkan tepung ketika menguli atau membentuk roti tersebut. Tekstur doh roti begitu mudah untuk dikendalikan. Aku bertambah yakin untuk membuatnya. 

Rakan-rakan di WhatsApp Geng Haji hairan kerana aku mampu menghasilkan roti tanpa melihat sendiri proses menyediakannya. Aku agak kasihan dengan pertanyaan tersebut lantas memecahkan rahsia yang tersimpan. Sewaktu aku menjadi Penyelaras Kursus di sekolah, aku pernah menganjurkan kursus membuat roti di Kolej Komuniti Selayang. Wang peruntukan yang banyak sebahagian kecilnya aku gunakan untuk kursus  yang lain lari sedikit dari urusan berkaitan kerja di sekolah. Sesekali memberi peluang kepada guru membuat perkara yang disukai di samping mencetuskan semangat kerja berpasukan. Tidak ramai yang dapat hadir  kerana ianya diadakan pada hujung minggu.  Pn Rosnani,Pn Haslinda Nor, Pn Siti Nor,Pn Haslida,Pn Salawati adalah antara yang menjadi pesertanya. Bersama ilmu, kami juga membawa balik setimbun roti pelbagai jenis yang kami sediakan sendiri. Malangnya selepas itu aku tidak mencubanya di rumah, antara alasannya ialah tidak ada mesin untuk menguli.

Bismillahirrahmanirrahim

Bahan2:
500g tepung gandum/berprotin tinggi diayak
75 g gula kastor  (gula pasir pun ok)
2 sudu kecil bread improver
3 sudu kecil  yis kering(1 paket)
1 sudu kecil garam
1 biji telur dipukul
250 ml air/susu segar (jika tidak guna susu segar boleh ganti dgn 20 g susu tepung)
60 g mentega
2 sudu kecil susu pekat (jika suka untuk lembutkan roti)

Cara membuatnya:
 1.Tepung,gula dan garam dicampur dan digaul rata dalam  sebuah bekas.
 2.Masukkan yis dan bread improver.
 3.Masukkan telur dan air/susu segar.
 4.Uli adunan sehingga menjadi doh dan masukkan mentega.
 5.Uli lagi sehingga lembut dan elastic selama lebih kurang 15-20 minit.
 6.Tutup bekas dan biarkan selama 45 minit (naik 2 kali ganda).
 7.Tumbuk adunan untuk buang angin dan uli sekejap.
 8.Bahagikan doh seberat 40-60 g setiap ketul (ikut saiz yang dikehendaki).
    Leperkan doh , masukkan inti jika mahu dan bentukkan menjai bulat.
 9.Susun di dalam Loyang pembakar yang telah dilenser dengan mentega/minyak.
 10.Rehatkan selama 45 minit dengan menutup permukaan bekas 
     dengan plastic cling.
 11.Sapukan permukaan roti bun dengan susu segar/air.
 12.Bakar dalam oven pada suhu 170°C selama 15 minit  atau sehingga
      bun keperangan.
 13.Sapukan permukaan roti yang telah masak dengan mentega sebaik sahaja 
     dikeluarkan dari oven.
 14.Biarkan sejuk dan simpan dalam bekas kedap udara atau plastik roti.

 
Sebelum dibakar
 
Yang ada bijan berisi inti kelapa


·     Sebulan kemudian aku mendapat satu lagi resepi roti yang lebih mudah tanpa perlu menggunakan bread   improver. Boleh diuli dengan tangan sahaja . Tunggu ya!




Khamis, 14 Mei 2015

Dapurku D'Riyadh (9) - Satay dan Kuah Kacang



Setelah enam bulan berada di Arab Saudi kami berpeluang merasa satay Malaysia di sebuah restoran di Al Khobar. Tuan rumah Tn Hj Mohamad Tunggul menjamu kami makan tengahari di Malaysian Kitchen. Pada bulan April Geng Haji 1435 bercadang mengadakan piknik di King Salman Park dengan menu utamanya adalah satay. Berpiknik sambil mendengar tazkirah dari Ustaz Dr Hasan pasti menyegarkan sebelum musim sejuk berakhir.

Di Al Khobar
Kami diminta menyediakan satay secara beramai-ramai untuk mencapai sasaran 1000 cucuk bagi 20 keluarga. Resepi satay dan kuah dipaparkan di laman whatsapp Geng Haji oleh Pn Zailah. Aku juga mahu mencuba resepi yang aku rasa agak mudah itu. Belum sempat mencari lengkuas tiba-tiba rancangan terpaksa ditangguhkan kerana ribut pasir yang melanda dua hari sebelum tarikhnya. Aku teruskan juga keinginan dengan cuba menyediakan  ½ kilo satay ayam. Rupanya tidaklah sesusah manapun. Untuk membakarnya aku hanya menggunakan frying fan, hasilnya amat memuaskan.  


Bismillahirrahmanirrahim

Resepi Satay

Setelah dicucuk
Bahan2:
3 kilo daging atau ayam (isi sahaja)
dipotong ikut saiz satay
4 sudu besar jintan manis
2-4 sudu besar jintan putih
2 sudu besar ketumbar(jika suka)
(Jintan manis,jintan putih dan ketumbar
 digoreng tanpa minyak- disangai dan
 dikisar halus)
3 cawan gula pasir + gula merah (supaya
berkilat ketika bakar boleh diganti
dengan madu)
3 sudu the garam
15 batang serai
1 inci lengkuas
(serai dan lengkuas dikisar halus)
4 sudu besar kunyit
½ cawan minyak                                                                                                      


Sekejap je dah masak
Cara Membuatnya:
   1.Gaulkan semua bahan di atas
      dengan ayam/daging di dalam
      sebuah mangkuk besar.
      Perap sekurang-kurangnya
      30 minit.
   2.Lidi satay dilumur dengan minyak
      supaya tidak terbakar sewaktu
      membakar.
   3.Cucuk hirisan daging/ayam diselang
      seli dengan lemak ayam dalam 4 hirisan.
   4.Bakar di atas kuali leper yang tidak
      melekat sambil dipusing-pusingkan
      satay dan sapu minyak dengan
      menggunakan batang serai jika
      kelihatan agak kering.
      Pastikan api tidak terlalu kuat.
   5.Jangan terlalu masak kerana satay
      akan kering dan keras bila sejuk dan
      melekat pada lidi.
      

Kuah Kacang

Kuah kacang ini adalah resepi emak mentuaku yang menjadi  hidangan  wajib disediakan pada hari raya pertama. Kuah kacang  akan dimakan bersama ketupat nasi. Kalau diikut resepi asal emak mentuaku, agak leceh untuk menyediakan kacang yang menjadi bahan utama kuah. Biasanya kacang tanah digoreng  tanpa minyak, dibuang kulit semasa panas (bab paling seksa) dan ditumbuk sedikit demi sedikit menggunakan lesung tumbuk(ini juga memerlukan kesabaran tinggi). Kebiasaanya akan mengambil masa yang lama dan banyak tenaga. Apabila aku mewarisi resepi ini aku ubah supaya menjadi lebih mudah menyediakannya. Kacang tanah dibakar di dalam oven bersama dengan kulit sehingga masak ,dibiarkan sejuk dan dimesin kering.  Resepi ini menggunakan gula Melaka yang memberi rasa agak manis. Jadi kuah kacang ini akan terasa pedas dan manis. Rakan-rakan sekolahku seperti Kuza, Haslawati dan Linda memang suka kalau aku bawa nasi impit dan kuah kacang ini ke sekolah.

Bahan2:
2 cawan kacang tanah (300g)
1 senduk cili kering yang dikisar(ikut rasa pedas
masing-masing)
3 batang serai dikisar halus
3 biji bawang besar
(1 biji bawang besar dan bawang putih dikisar halus,
1 biji bawang besar dihiris halus untuk menumis,
1 biji bawang besar lagi dipotong 6 untuk dimasuk
akhir sekali)
3 ulas bawang putih
1 inci lengkuas diketuk
2 batang serai diketuk
Asam  jawa
1 ketul Gula Melaka(anggaran 1 cawan)
Garam dan minyak masak


Cara Membuatnya:
 1.Kacang tanah dibakar di dalam
    oven pada suhu 150 °C selama
Guna api perlahan
    20-30 minit (bergantung kepada suhu)
 2.Kisar kacang yang telah masak
    bersama dengan kulit .
    (akan memekatkan kuah)
 3.Panaskan kuali  dan tumis 1 biji
    bawang besar yang dihiris halus,
    goreng sehingga garing.
 4.Masukkan bawang yang dikisar dan
    goreng hingga naik bau
 5.Masukkan cili kisar  dan garam dan
    goreng sampai garing.
    (Petua : kalau terbersin maknanya sedap le)
 6.Masukkan dua mangkuk air yang
    dicampurkan dengan asam jawa (sesuai
    dengan rasa sendiri) diikuti dengan serai
    yang kisar dan lengkuas yang diketuk,
    biar mendidih.
 7.Masukkan kacang yang telah dikisar, dan
    gula Melaka yang dihiris(supaya mudah larut).
    Kacau sekali sekala. Apabila hampir pekat,
    perlahankan api dan masukkan1 biji bawang
    besar yang dibelah.
 8.Masak sehingga kelihatan minyak di atasnya.
 9.Perlu dikacau dan dirasa selalu supaya mencapai rasa
    yang diinginkan.


Macam Satay Hj Samuri kot....hihi






Dapurku D'Riyadh (8) - Pau Kentang

Al Yamamah Garden
Program piknik bersama geng jemaah haji 1435H berlangsung seperti yang dirancangkan di Al Yamamah Garden yang terletak di dalam Diplomatic Quarters.  Persekitaran serba hijau begitu menenangkan, walau kurang dari separuh yang hadir. Tidak terasa suasana di Riyadh yang terkenal dengan kawasan bergurun yang tandus.
"Cantiknya taman ini, terasa seperti berada di luar negara," cetus Pn Zaliah, isteri kepada salah seorang pegawai di kedutaan Malaysia kepada kami.  Kami terus berjalan melihat suasana taman yang dipenuhi dengan kolam air, pokok-pokok serba hijau  dan pelbagai jenis bunga-bungaan.
"Hai Kak Yah, memang kita sedang berada di luar negara pun," jawabku dan kami semua ketawa.

Pertemuan seperti ini memberi peluang untuk kami menikmati pelbagai hidangan yang enak  bertemakan tanah air. Menu utama iaitu nasi lemak, Pizza, karipap, bihun goreng,kek, nasi putih , kari ayam kampung, kurma ayam, sambal manga dengan ikan bilis, roti segar, puff, dan banyak lagi menunggu untuk dimakan.
"Wan buat pau ini guna tepung jenis apa?Sedap dan lembut sangat," soalku pada Wan Salisa isteri kepada Pensyarah kejuruteraan di Universiti  King Saud. Pau berisi kacang merah yang lembut dan sedap aku kunyah perlahan.


Sebahagian Geng Haji 1435 H
"Tepung gandum je kak,"jawab Wan Salisa bersahaja.
"Boleh bagi resepi?," pintaku tanpa rasa malu.
Selang beberapa hari selepas itu aku mendapat resepi tersebut melalui whatsapp. Aku simpan sehingga aku membeli Kenwood , mesin adunan yang sudah sekian lama aku idam-idamkan.  Qars Alwani sebuah gedung menjual pelbagai barangan dapur mengadakan jualan besar-besaran dengan potongan harga 20%-50%. Lalu dapat lah aku membeli Kenwood dengan harga 1299 rial dan harga sebelumnya adalah 2299 rial.


Bismillahirrahmanirrahim

Resepi Kentang

Bahan2:
2 biji kentang bersaiz sederhana(dipotong dadu)
2- 3 sudu besar rempah kari daging  jenama Adabi
Sedikit daun kari
1 labu bawang besar(didadu)
2 labu bawang putih(dipecahkan)
200g daging (didadu)
Air secukupnya
Minyak, garam
Daun bawang dan daun ketumbar(dipotong kecil)

Cara Membuatnya:
1.Panaskan minyak dan masukkan daun kari bersama bawang besar, digoreng
   sehingga kekuningan, masukkan bawang putih dan sedikit garam
2.Masukkan rempah kari dan dikacau sebentar lalu dimasukkan sedikit
   air,biarkan sehingga pecah minyak.
3.Masukkan daging dan kentang diikuti air dalam kuantiti yang sesuai untuk
   melembutkan ubi kentang dan daging.
4.Biarkan sehingga kering dan taburkan campuran daun bawang dan
   daun ketumbar.Tutup api.Biarkan sejuk.

Kulit Pau

Bahan2:

3 ¼ cawan tepung gandum
1 sudu besar yis
½ cawan gula (boleh dikurangkan)
1 sudu kecil baking powder
¼ cawan minyak masak
1 ¼ cawan air suam
½ sudu kecil garam

Cara Membuatnya:

1.Campurkan semua bahan kecuali air suam ke dalam mangkuk adunan
    mesin pengadun roti.
2.Masukkan sedikit demi sedikit air sambil adunan diadun selama 15 minit.
3.Keluarkan doh yang terhasil dari mangkuk ,jika lembik dan melekit
   tambah tepung supaya tidak melekat(Jangan panic,doh yang lembik
   menghasilkan pau yang lembut)
4.Uli sekejap dengan tangan sehingga boleh dibentuk doh tersebut
   biarkan sekejap(5 minit)
5.Bahagikan doh kepada beberapa doh kecil anggaran 30g hingga 50g
   (ikut saiz yang dikehendaki)
6.Bentukkan doh supaya menjadi bulat dan leperkan doh tersebut.
   Masukkan inti dan kemaskan menjadi bulat yang licin dan cantik.
   Pastikan bahagian atas lebih tebal supaya tidak kelihatan bayanga
   isinya selepas dimasak.
7.Letakkan di atas kertas cup cake yang dileperkan. Biarkan doh tersebut
   selama lebih kurang 45 minit.
8.Kukus dengan api yang agak besar dengan penutup kukus dibalut dengan
  aluminium foil /kain selama 10 minit.

Yummy

Pau inti kelapa la pulak


Dibelah dua ...lembut 


Sabtu, 9 Mei 2015

Dapurku D'Riyadh (7) - Kek Gula Hangus Bersarang Semut



Kek Gula Hangus  merupakan kepakaran Kak Cik, kakak keduaku. Aku masih ingat kek ini dihidangkan ketika aku berkunjung ke rumahnya untuk makan tengahari selepas masjlis konvokesyen ijazah pertama di Universiti Sains Malaysia. Aku tidak pasti pula sama ada kek gula hangus yang Kak Cik sediakan itu bersarang semut atau tidak. Pernah aku membeli kek gula hangus di kedai kek berdekatan rumahku dan aku mendapati keluargaku amat menggemarinya.

Di Riyadh aku mencuba beberapa kali resepi ini namun hasilnya tidak secantik yang dibeli.  Sehinggalah pada satu hari aku melihat resepi ini dari fb Ida Shahida yang member jaminan akan kehebatan resepinya sehingga mendapat share seramai 63,958. Betul. Dengan sekali cuba aku mendapat hasilnya yang amat memuaskan. Alhamdulillah.

Bismillahirrahmanirrahim

Bahan2:

Untuk Gula hangus
1 cawan gula pasir
1 cawan air panas
3 sudu besar mentega

Cara Menyediakannya
    1.Goreng gula dalam sebuah periuk sehingga bertukar menjadi cair
       dan berwarna perang.
   2.Tutup api dan masukkan air , berhati-hati kerana ia akan mengeluarkan
      bunyi seperti meletup.
   3.Masukkan mentega dan kacau sehingga semuanya larut . Jika susah larut ,
      boleh buka api semula. Biarkan sejuk.

Untuk adunan kek
4 biji telur
¾ cawan susu pekat
1 cawan tepung gandum
2 sudu kecil soda bikarbonat
1 sudu kecil esen vanilla

Cara Membuatnya:
   1.Pukul telur sehingga kembang dan pekat dengan mixer(2/3 minit)
   2.Masukkan susu pekat dan kacau lagi sehingga rata
   3.Masukkan tepung dan soda bikarbonat yang telah diayak
   4.Masukkan esen vanilla dan diakhiri dengan gula hangus
   5.Tutup dan biarkan adunan selama 3 hingga 4 jam supaya
      menjadi sarang yang cantik. Setelah 3 atau 4 jam akan kelihatan
      rongga udara di dalam adunan menandakan kek akan menjadi.
  6.Bakar di dalam oven pada suhu 160°C  selama 1 jam atau dikukus selama 1 jam.
Buat terus menjadi....syioknya
Hasil apabila dikukus ...ternyata lebih sedap
dan lembut.

Dapurku D'Riyadh (6) - Popcorn


Setiap tahun sekolahku menganjurkan Hari Keusahawanan untuk membolehkan Persatuan/Kelab/Badan Beruniform menjalankan perniagaan. Tujuannya bagi mendapatkan dana tambahan untuk menampung aktiviti ahli. Terus terang aku agak keberatan untuk terlibat kerana kami perlu menjual sesuatu yang pada kebiasaanya adalah makanan. Tambahan pula kami dikenakan bayaran untuk sewa tapak perniagaan yang berupa sebuah meja dan beberapa buah kerusi. Wang pendahuluan juga terpaksa dikeluarkan untuk memastikan kerja pembersihan selepas perniagaan selesai dilaksanakan. Saban tahun kami berniaga, kerap kali kerugian dan kalau untung pun tidak sebanyak  yang diharapkan. Pelajar memang suka berniaga tetapi cikgu yang perlu berusaha  lebih untuk memastikan segalanya berjalan lancar. Pernah kami menjual ABC, rojak, jagung dalam cawan, roti sosej dan sebagainya. Pada tahun 2013 aku agak pening untuk memilih menu. Akhirnya aku mahu menempah sahaja makanan dari luar untuk mengelakkan kerugian dan kepenatan. Namun seorang rakanku yang juga seorang bekas guru, Ustazah Nasriah mencadangkan supaya aku menjual popcorn.
"Kak jual popcorn, senang sangat kak nak buat popcorn, anak anak saya pun boleh buat," cadang ustazah sambil menerangkan kepadaku secara ringkas cara membuatnya. 
"Malas la pulak…macam susah je," balasku acuh tak acuh sahaja,terasa susah sangat.

Di Riyadh, dua orang jiranku, Dr Tahreem dari Pakistan dan Israaq dari Mesir menghidangkan popcorn berperisa masin ketika kami berkunjung ke rumah mereka. Mereka mampu menyediakan popcorn dalam masa yang singkat. Mahu bertanya malu pula, lalu aku mencari di beberapa blog  cara membuat popcorn yang manis rasanya.

Suatu hari sekolah di mana aku belajar bahasa Arab dan al Quran, Daar Adh-Dhikr School mengadakan jualan amal. Aku pun menyediakan satu balang besar popcorn karamel untuk diserahkan kepada guru kelasku. Malam itu juga aku berpeluang merasa pelbagai makanan dari  negara lain seperti Pakistan, India, Turki, Albania, Bosnia, China, Filipina, Afrika  dan sebagainya.

Bismillahirrahmanirrahim

Bahan2:

1/ 2 cawan jagung popcorn Jenama Goody
1 sudu besar minyak masak
2 sudu besar mentega
3-4 sudu besar gula putih (ikut manis yang dikehendaki)

 Cara Membuatnya:

    1. Panaskan periuk yang agak besar saiznya. Sebaiknya periuk yang
        tidak melekat seperti periuk berjenama Tefal.    
    2. Masukkan minyak dan 1 sudu besar mentega ke dalam periuk.
        Gunakan api sederhana.
    3. Masukkan jagung popcorn  dan kacau seketika.
       Tutup periuk dengan penutupnya.
    4. Biarkan sehingga kedengaran bunyi pop. 
    5. Bunyi pop akan kedengaran dengan rancaknya. Biarkan. Api dikecilkan.
    6. Jangan buka penutup sehingga lah tiada bunyi pop kedengaran lagi.
        Boleh dihidangkan.Tabur garam ketika hendak dimakan.
        Orang Arab suka makan popcorn seperti ini.
    7. Panaskan gula di dalam periuk yang sama sehingga cair dan keperangan.
    8. Masukkan mentega dan biarkan sehingga cair. Kecilkan api.
    9. Masukkan popcorn dan kacau sehingga rata
   10. Biarkan sejuk dan simpan di dalam bekas kedap udara.


Edisi kurang manis





Rabu, 6 Mei 2015

Dapurku D'Riyadh (5) - Ayam Goreng ala-ala ALBAIK



Ayam goreng ALBAIK amat popular di Jeddah, Mekah dan Madinah.  Kami tidak akan melepaskan peluang untuk membeli ayam ALBAIK jika berada di tiga tempat istimewa ini. Walaupun terpaksa menunggu agak lama mendapat giliran membelinya. Kebiasaannya kami mengubah strategi dengan aku yang akan membelinya di bahagian yang dikhaskan untuk wanita.  Terdapat sebuah restoran ALBAIK yang besar di celah-celah hotel yang bertaburan sekitar Masjid Nabawi di Madinah. Setiap kali kami melalui jalan raya yang berdekatan dengan kedai tersebut, pasti  ternampak deretan orang ramai beratur sehingga di tangga dan sekitarnya untuk menunggu giliran membeli ayam goreng yang enak itu. Terkadang sehingga masuk waktu solat pun mereka tidak berganjak dari tempat menunggu tersebut.  Pemiliknya adalah seorang warga Palestin , malangnya  pemilik tersebut belum mahu membuka cawangannya di Riyadh.

Restoran ALBAIK di laluan untuk ke Padang Arafah, Mekah
Waktu solat ditutup.



Aku teringat keenakan ayam goreng Radix yang pernah popular satu masa dahulu. Sedih rasanya kerana ia tidak bertahan lama. Satu hari aku meninjau beberapa resepi ayam goreng bersalut tepung yang terdapat di dalam blog. Akhirnya aku terjumpa satu resepi di blog Dapur Tanpa Sempadan dan mencubanya. Ternyata usahaku tidak sia-sia walau tidak standing dengan ayam ALBAIK. Yang penting habis..licin…haha. Alhamdulillah.






Bismillahirrahmanirrahim

Bahan2:
1 ekor ayam (dipotong lapan dan dibersihkan- ayam di sini agak kecil saiznya sekitar 800-900g)
1/2 sudu besar serbuk cili kering (ikut pedas yang diingini)
1/2 sudu serbuk kari ayam jenama Adabi
4 ulas bawang putih dikisar halus
½ sudu teh soda bikarbonat
Garam secukup rasa
(Gaulkan semua bahan di atas dan biarkan selama 1 hingga 2 jam)

Bahan sadur
1 cawan tepung gandum
1 cawan bread crum
Sedikit garam
Ketiga bahan di atas digaulkan di dalam sebuah bekas lain
2 biji telur dipukul di dalam bekas lain

Cara Membuatnya:

 1. Celup kan ayam dalam telur , keluarkan dan gaul di dalam tepung sampai rata
     Gaul di dalam tepung berulang kali  supaya melekat sebanyak mungkin.
 2. Panaskan minyak di dalam kuali. Minyak mesti dalam kuantiti yang banyak.
 3. Masukkan satu demi satu ayam  ke dalam kuali, sesekala dipusingkan. 
     Goreng sehingga kekuningan.
 4. Angkat dan letakkan di atas kertas serap minyak.
 5. Ulang sehingga semua ayam habis digoreng.
 6. Jika tepung berlebihan boleh menggunakan kentang yang dipotong untuk digoreng. 
 7. Kentang goreng boleh  dimakan bersama ayam untuk melengkapkan menu.


Set Ayam Goreng Al Baik

Sedap...enak dimakan begitu saja





Isnin, 4 Mei 2015

Dapurku D'Riyadh (4) - Kari Ikan Bawal


Haha…kari ikan adalah hidangan utama kami bersama nasi di utara tanah air walaupun tidak memiliki darah campuran. Kari ikan menjadi hidangan yang mesti dihidangkan  setiap hari bagi keluarga kakak keduaku yang kupanggil Kak Cik. Emak juga tidak kurang hebatnya jika menyediakan kari ikan terutama kari ikan duri. Kari ikan duri bersama telurnya yang bersinar amat aku gemari dan aku akan meratah ikan begitu sahaja. Anak saudaraku Wan Suhanis pula pandai memasak kari ikan mamak style tanpa perlu guna santan. Aku pula selalu gagal menyediakan kari ikan yang sesuai dengan tekak orang Selatan seperti suamiku. Namun menyediakan kari ayam dan kari daging, aku memang pandai. 

Pasar ikan di Riyadh
Sehinggalah aku mendapat resepi kari ikan dari Emak Saudara sebelah ayahku yang kami panggil Teh. Teh begitu rapat dengan keluarga kami berbanding dengan adik beradik arwah ayah yang lain. Teh kerap kali menziarahi keluarga kami dan tinggal beberapa hari di rumah kami . Kerap kali juga Teh datang ke rumahku apabila cuti sekolah untuk beberapa hari. Sepanjang dia bersama aku, kami akan habiskan masa dengan memasak apa sahaja makanan yang aku inginkan seperti pulut kacau (wajik), laksa beras, seri muka bakar ,kerabu dan sebagainya. Istimewanya Teh, beliau akan masak dengan bahan yang lengkap misalnya penggunaan santan yang pekat dan banyak. Sedang aku mahu mengelaknya. Sejak itu kari ikan ditunggu dan kuah yang selebihnya akan dimakan dengan roti canai  keesokannya. Aku mengabungkan pula dengan resepi emak untuk menambahkan lagi kelazatannya.

Nak suruh masak pun boleh kat sini. Seronok jadi Mak Arab.
Harga ikan di Riyadh agak mahal apatah lagi jika ikan besar seperti bawal (46.95 rial 1 kg), tenggiri dan ikan merah namun ikan  yang lebih kecil seperti kembung,sardine,tuna dan lain-lain agak murah.

Bismillahirrahmanirrahim
Bahan2:
  1 ekor ikan Black Pomfret (Bawal Hitam-dipotong 3)
  ¼ biji kelapa (diambil santan, diasingkan santan pekat dan cair)
  3-4 sudu serbuk kari ikan  Jenama Adabi
  1 biji bawang besar
  5 ulas bawang putih
  (1/2 biji bawang besar dan 3 ulas bawang putih dikisar)
  (1/2 biji bawang besar  dan 2 ulas bawang putih dihiris)
   1 sudu Asam jawa
  7 biji bendi/okra
  2 biji terung bulat,
  2 biji tomato 
  2 cili  hijau/ beberapa biji cili padi
  1 sudu kecil campuran jintan putih dan halba
   Daun kari
   Garam secukupnya dan minyak masak

  Cara Memasaknya:

                         1.Campurkan bersama bawang yang dikisar,rempah,asam jawa,
                santan pekat dan garam dalam sebuah bekas dan kacau hingga rata.
       2.Panaskan periuk dan masukkan jintan putih dan halba ,kacau
          sehingga jintan kelihatan melompat atau menghasilkan bau yang wangi.
       3.Masukkan minyak dan  biarkan panas.Masukkan daun kari diikuti dengan
          bawang yang dihiris. Kacau sehingga garing.
       4.Masukkan santan cair, kacau dan biarkan mendidih.
       5.Masukkan terung yang dibelah empat dan masak sehingga lembut. Masukkan
          ikan , bendi dan cili hidup/padi, biar hampir separuh masak
       6.Perlahankan api apabila ikan hampir masak dan masak sehingga
          kelihatan minyak dipermukaannya.
       7.Masukkan tomato dan tutup api.


Kari ikan bawal
Kat sini panggil Okra, bersaiz kecil dan mahal.




Dapurku D'Riyadh (3) - Nasi Tomato Dan Ayam Masak Kurma


Tahun 1992 aku dan beberapa orang lagi rakan ditugaskan untuk menyediakan ayam masak kurma. Ianya untuk jamuan berbuka puasa yang diadakan di rumah Dr Suriyakhatun (sekarang  Dato’) . Aku yang baru tidak sampai setahun mendirikan rumahtangga tidak mempunyai resepi untuk membuat kurma ayam tersebut. Dr Suriya membantuku dengan memberi resepi kurma yang aku gunakan sehingga kini.,dengan sedikit ubah suai. Resepi ini memberi aroma yang sangat harum kerana adanya daun pudina atau daun ketumbar. Daun ketumbar dan daun pudina memang menjadi keperluan  harian masyarakat Riyadh, dijual dengan harga 0.95 rial sahaja seikat. Satu hari aku menyediakan ayam masak kurma bersama nasi tomato untuk diberi kepada jiranku yang berbangsa Pakistan. Jiranku yang bernama Dr Tahreem Noor  ini selalu berkongsi makanan dengan kami terutama pada hari cuti. Dr Tahreem Noor merupakan rakan kerja suamiku di universiti.

Bismillahirrahmanirrahim

Resepi Kurma Ayam

Bahan2:
1 ekor ayam (800g)
4 sudu serbuk kurma  Jenama Adabi
3 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
1 inci halia
½ biji kelapa diambil santannya
Seikat daun pudina/ketumbar
3 biji cili hijau
2 biji kentang
2 biji tomato
2 biji cili merah
Penumis dan minyak masak
Garam secukupnya

Cara Memasak:
  1.  Kisar 1 biji bawang besar, cili hijau,bawang putih, halia dan daun pudina 
       bersama-sama.
 2.  Panaskan minyak dan tumis penumis . masukkan 1 biji bawang besar yang 
     hiris nipis. Goreng  sehingga garing atau keperangan.
 3.  Masukkan bahan kisar dan goreng sehingga naik bau ,masukkan rempah 
     dan kacau sebentar.
 4.  Masukkan  ½ cawan air dan garam, kacau sehingga pecah minyak 
     atau rempah garing.
 5. Masukkan ayam dan kentang dan kacau lagi sehingga sebati, 
     masukkan santan kelapa.
 6. Masak sehingga ayam dan kentang lembut kemudian perlahankan api. Masukkan 
     cili merah yang dibelah dua, 1 biji bawang besar yang dibelah empat dan tomato 
     yang dibelah empat. Biarkan sehingga kuah pecah minyak.


Aku memang selalu gagal menyediakan nasi tomato yang enak ketika di Malaysia. Maka aku jarang sekali  memasaknya jika dibandingkan dengan nasi ayam. Apatah lagi ianya mudah dimakan di rumah kenduri dan majlis jamuan. Di Riyadh, aku tidak mempunyai pilihan. Aku yakin kurma ayam memang sedap jika digandingkan dengan nasi tomato. Lalu aku membuka pelbagai blog dan antara blog yang aku minati ialah Dapur Tanpa Sempadan. Dari blog tersebut aku berjaya menghasilkan nasi tomato setelah lama  lupa akan resepinya.  Walaupun warnanya agak pucat tapi rasanya memang sedap. Aku menggunakan serai kerana ketika itu aku belum menjumpai daun pandan.

Bismillahirrahmanirrahim

Nasi Tomato

Bahan2:
2 cawan beras basmati (dibasuh dan rendam 30 minit)
1 sudu besar tomato puree (Kalau mahu warna gelap boleh tambah lagi)
2 sudu besar sos tomato
2 sudu besar minyak sapi/mentega (aku campur dengan minyak zaitun)
1 biji bawang besar dihiris nipis
2 ulas bawang putih yang dicincang
1 inci halia yang diketuk/dihiris nipis
1 cawan susu cair
2 cawan air
Penumis dan daun pandan(atau serai)
Kismis (pilihan)
Garam secukupnya

Cara Membuatnya:
  1.  Panaskan minyak sapi dan minyak zaitun, masukkan penumis 
      dan bawang besar. Goreng hingga garing
  2.  Masukkan bawang putih dan halia, goreng sebentar.
  3. Masukkan tomato puree dan tomato sos, kacau sebentar dan
      masukkan beras. Kacau seketika dalam 2-3 minit.

 4.   Masukkan air, susu,daun pandan/serai  dan garam. Setelah kering, 
       perlahankan api, tutup periuk dengan penutup dan biarkan sehingga 
       nasi masak. Boleh dimasukkan kismis jika suka setelah nasi kering sepenuhnya.

Siap untuk dihantar ke rumah jiranku
Roti Pakistan bersama lauk yang dihantar oleh  jiranku , Aku tak tahu apa namanya- makan je la








Ahad, 3 Mei 2015

Travelog : Oh! Riyadh - Cuti Bermula


Cuti Bermula

September 2013

Bercuti lebih awal memberi ruang masa untuk aku  menyelesaikan beberapa perkara penting dalam tempoh sebulan sebelum  ke Riyadh. Setiap hari aku menjadi pemandu menghantar dan mengambil Safura dari sekolahnya, Sekolah Rendah Islam ABIM (SERI ABIM) yang terletak di Sungai Ramal. Ramai yang bertanya kenapa Saffura tidak bersekolah di kawasan perumahan kami di Bandar Tun Hussein Onn. Kami mencari sekolah yang memudahkan urusan pembelajaran Saffura. Sekolah ABIM ini menyediakan sukatan pelajaran yang selari dengan sekolah biasa dan memasukkan mata pelajaran agama sebagai tambahan. Di samping belajar Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, Saffura juga mengambil mata pelajaran seperti Pendidikan Agama Islam, al Quran, Bahasa Arab dan Jawi(khat).

Sesi persekolahannya bermula pada pukul 8.00 pagi dan berakhir pada pukul 4.00 petang memudahkan urusan pengangkutan. Suamiku akan menghantar Saffura pada waktu pagi dan aku pula menjemputnya di sebelah petang. Walaupun dikenakan bayaran setiap bulan namun ianya sangat berbaloi. Contohnya bagi pelajar Tahun 5 dikenakan yuran sebanyak RM365.00 sebulan. Jumlah ini termasuk untuk minum sewaktu rehat dan makan tengahari. Saffura tidak perlu membawa bekalan setiap hari dan aku yakin makanan yang disediakan oleh pihak sekolah dikawal tahap kebersihannya. Saffura juga tidak ke sekolah agama selepas waktu persekolahan seperti kanak-kanak lain. Pun begitu Saffura berjaya khatam al Quran di sekolahnya ketika berusia lapan tahun. Walaupun kurang dari segi prasarana kerana keluasan kawasan sekolah yang amat terhad namun situasi persekitaran agak memuaskan. Sesuai dengan moto sekolah  iaitu "Pembentukan Insan Soleh", pelajar-pelajar dibentuk dengan persekitaran yang penuh dengan disiplin dan adab Islami.


Sekitar SERI ABIM Sg Ramal,Kajang
"Waa... Saffura akan berhijrah ke Riyadh ya, nanti pandai la bercakap bahasa Arab," usik Puan Norizan guru bahasa Arab juga guru kelas Saffura apabila aku memberitahunya.

" In Shaa Allah cik gu , Saffura memang suka belajar bahasa Arab," balas aku ringkas.

Kebiasaannya aku menghantar Saffura agak awal dan balik  setelah proses pengajaran dan pembelajaran dimulakan. Ini disebabkan berlakunya kesesakan di satu-satunya laluan masuk ke sekolah tersebut. Kebiasaannya pihak sekolah tidak akan mendenda murid yang lewat kerana pihak sekolah amat memahami masalah  yang dihadapi oleh keluarga murid-murid. Masa yang ada aku gunakan untuk berbual dengan guru-guru atau ibu-ibu yang turut menghantar anak-anak mereka ke sekolah tersebut. Ramai rupanya para ibu yang suatu ketika dahulu bekerja mengambil keputusan untuk berhenti demi mahu melayani anak-anak yang sedang membesar.

Kawan sekelas Saffura berpakat mengadakan jamuan perpisahan untuk Saffura sebaik sahaja tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Rendah Agama (SPRA) yang diadakan untuk pelajar Tahap 5. Pizza dan ayam goreng menjadi menu utama majlis tersebut yang diadakan di dalam kelas mereka semasa waktu usrah pada hari jumaat. Saffura pula dalam gembira untuk berhijrah, berbaur rasa sedih kerana akan meninggalkan rakan-rakan yang telah bersamanya selama hampir lima tahun.


Usrah dulu baru makan-makan
"Boleh Saffura masuk belajar lagi di sekolah ini cik gu?"Tanyaku kepada Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Puan Nor Asma semasa mengambil fail peribadi Saffura untuk dibawa ke Riyadh.
"Oh! Kami kena tengok dulu jika ada kekosongan puan, jika ada murid lain yang keluar boleh lah Saffura sambung belajar di sini," jawabnya sambil tersenyum. Begitu tinggi sekali permintaan untuk memasuki sekolah yang memulakan operasinya pada tahun 1989 itu. Aku begitu terharu melihat pengorbanan guru-guru di sekolah tersebut yang pastinya menerima gaji lebih rendah berbanding  guru-guru di sekolah kerajaan. Semuga sekolah yang banyak berjasa ini terus memberi sumbang bakti ke arah melahirkan insan yang taat kepada Allah. Kini projek membina bangunan tambahan sedang giat dilaksanakan, beruntunglah bagi mereka yang mahu mewakafkan harta. Ganjaran pahala yang akan diterima pasti mengalir selama-lamanya.


Jumpa lagi di lain masa
Kejadian pecah rumah semakin menjadi-jadi di kawasan sekitar rumahku walupun kami mengupah pengawal untuk melakukan kerja-kerja rondaan.  Satu demi satu rumah jiran-jiranku dimasuki pencuri tidak kira siang ataupun malam. Aku yang pernah mengalami kejadian seperti itu begitu takut sekali apalagi  kini aku hanya tinggal berdua sahaja. Selain berdoa aku juga kerap kali berjaga di waktu tengah malam. Aku akan tidur selepas skype dengan suamiku pada pukul 8 hingga 9 malam. (Waktu Riyadh pukul 3 hingga 4 petang) dan bangun di tengah malam. Kadang-kala aku pula menjadi jaga dengan memeriksa kehadiran pengawal yang ditugaskan melalui tingkap bilik tidurku. Su, jiranku menjadi teman untuk bercerita dan topik yang paling kerap dibincangkan adalah mengenai keselamatan kawasan rumah kami. Ini disebabkan hanya kami berdua sahaja yang tidak bekerja.


Oh! Kereta kesayanganku
Aku juga turut menjual keretaku yang baru berusia 4 tahun untuk mengelakkan bebanan hutang. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar dengan bantuan dari abangku. Aku merasa begitu bersyukur kerana dikurniakan jiran-jiran yang baik dan mengambil berat hal ehwal kami sekeluarga. Kedua-dua jiran dekatku berjanji untuk menolong melihat rumah kami sepanjang ketiadaan kami nanti. Su, turut bersetuju untuk menjaga rumah kami dan melihatnya sekali sekala dengan syarat kami tidak memberikan sebarang upah kepadanya. Aku dan Saffura menghitung hari menanti kepulangan suami untuk menjemput kami ke Riyadh.


                     Life is like A book
                    Some chapters are sad, some are happy and
                    some are exciting but if you never turn the page,
                    you will never know what the next chapter
                    has in store for you.


                                                                                                                                        zias/riyadh/15

Sabtu, 2 Mei 2015

Dapurku D'Riyadh (2) - Pajeri nenas



Ramadhan 2013 , entah kenapa aku teringin mencuba pajeri nenas yang tidak pernah aku masak. Kebetulan ada nenas yang aku bawa balik dari kampung. Kebiasaannya aku mula memasak selepas waktu asar. Rupanya memasak pajeri nenas memerlukan masa yang agak lama. Nenas perlu dimasak sehingga benar-benar lembut. Hampir waktu maghrib baru aku selesai memasak. Hasrat hati untuk memberi kepada jiran selang dua rumah dari rumahku tercapai juga. Hatiku berbunga-bunga apabila Su, jiranku memberitahu pajeri yang aku beri kepadanya begitu disukai oleh anak-anaknya.

Di Riyadh, buah nenas mudah diperolehi tapi agak mahal harganya. Buah yang begitu kaya dengan vitamin C itu turut dijual dalam bentuk potongan sedia dimakan. Kebiasaannya aku beli buah nenas yang belum dipotong. Setiap kali memotong buah nenas aku pasti teringat kenangan  sewaktu aku bekerja di kilang nenas ketika aku berusia 13 tahun. Bekerja secara suka-suka itu mampu memewahkan aku dengan wang poket sendiri. Lagi pula aku bekerja di waktu pagi sebelum pergi ke sekolah di waktu tengaharinya.  Aku memang cekap membuang kulit nenas dan matanya.

Kebiasaanya aku menyimpan kelapa di dalam bahagian sejuk beku. Selepas dikeluarkan, aku akan memasukkannya ke dalam air panas sehingga menjadi sejuk. Aku akan kisar sehalus yang mungkin untuk mengeluarkan santan sebanyaknya. Kisaran yang pertama akan menghasilkan santan yang pekat. Kelapa yang telah diperah tadi aku mesin sekali lagi dengan memasukkan sedikit bagi menghasilkan santan yang cair. Dengan cara ini aku dapat menjimatkan penggunaan kelapa segar yang agak sukar didapati di Riyadh.

Bismillahirrahmanirrahim

Bahan2:
1 biji buah nenas (Dipotong bulat dan dibelah empat)
3 sudu besar serbuk kari ikan Adabi (boleh tambah sedikit serbuk kari daging)
1/2 biji kelapa diambil santan
2 sudu besar kerisik
Kulit kayu manis dan bunga lawang(penumis)
1 biji bawang besar
3-4 ulas bawang putih
1 inci halia
(1/2 biji bawang besar ,halia dan bawang putih dikisar halus)
(1/2 biji bawang besar dihiris nipis)
Minyak dan garam

Cara memasak:
1.Panaskan minyak, masukkan penumis dan bawang yang dihiris, 
   goreng hingga garing.
2.Masukkan bahan yang dikisar diikuti  garam dan goreng hingga naik bau.
3.Masukkan serbuk rempah, goreng sehingga sebati dengan minyak dan
   masukkan sedikit air.
4.Goreng hingga pecah minyak, tambah air jika perlu,biarkan kelihatan kemerahan.
5.Masukkan kerisik dan santan, biarkan mendidih masukkan nenas, kacau biar rata.
6.Masak sehingga nenas betul-betul lembut. Tambah air jika perlu. Bila nenas
   sudah lembut  perlahankan api dan masak sehingga kelihatan berminyak 
   di atas permukaan kuah.
7.Nenas memberi rasa yang manis jadi tidak perlu ditambah gula lagi



       




Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026.

  BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah, semalam berakhir PBAKL 2026 setelah berlangsung selama 10 hari. Banyak kisah menarik yang dikongsi...