Isnin, 3 Ogos 2015

Travelog : Oh! Riyadh(56) - Balik Kampung


Balik Kampung

Suamiku diberi cuti selama 6 minggu dengan tiket penerbangan untuk balik bercuti di Malaysia. Saat yang dinanti muncul akhirnya walaupun hati begitu berat untuk meninggalkan Riyadh di saat 10 Ramadhan terakhir. Masjid berdekatan rumah kami sudah memulakan solat Tahajud pada pukul 1.00 hingga 2.00 pagi. Ramai yang hadir untuk berjemaah bersama-sama. Pilu mendengar bacaan ayat-ayat al Quran dan doa dari Imam solat yang begitu menusuk kalbu. Kami menuju ke Lapangan Terbang King Khalid dengan dihantar oleh kenderaan universiti. Suasana di kawasan sekitar pendaftaran masuk sesak dengan orang ramai berbagai bangsa. Aku agak terkejut kerana menyaksikan begitu ramai wanita terutamanya dari Afrika menganggalkan abaya dan berpakaian seksi. 

Masjid berdekatan rumah kami.
Kami menaiki pesawat Etihad pada pukul 4.00 pagi dan singgah selama hampir tiga jam di Abu Dhabi. Keadaan di Lapangan terbang Abu Dhabi begitu sesak dengan orang ramai, bangunan baru sedang di bina di sebelahnya. Abu Dhabi mengikut langkah Dubai yang menjadi tempat persinggahan ke pelbagai destinasi lain seluruh dunia. Di ruang menunggu untuk berlepas ke Kuala Lumpur, kami bertemu dengan ramai warga Malaysia. Pelajar dan mereka yang bekerja di luar negara seperti di Eropah, negara Arab dan sebagainya mahu pulang untuk beraya. Bangsa Eropah juga agak ramai yang mahu bercuti musim panas menjadikan Kuala Lumpur sebagai tempat persingahan pertama seterusnya akan ke negara Asian yang lain seperti Indonesia, Thailand dan Filipina. Pesawat Airbus 330 milik Etihad itu begitu selesa dan luas menjadikan tidurku begitu nyenyak ketika di dalam pesawat. Lamb Mandy yang dihidangkan semasa berbuka puasa juga begitu enak.
Menikmati air minum percuma di Lapangan Terbang
King Khalid, Riyadh.

Kami tiba di Lapangan Terbang Antara bangsa Kuala Lumpur pada pukul 10.00 malam. Setelah lebih satu jam menunggu, tiga kotak dan satu beg milik kami tiada di ruang bagasi. Lebih sepuluh penumpang turut berkongsi nasib dengan kami. Akhirnya kami dinasihat untuk membuat laporan setelah petugas memberi kepastian tiada lagi beg yang datang dari pesawat kami. Setelah dua hari kami menerima beg dan kotak yang tersangkut di Abu Dhabi. Mereka menghantar barangan kami di kampung kerana kami sudahpun berada di Melaka. 

Kuala Lumpur semakin padat dengan bangunan tinggi.

Kami berada di Melaka selama tiga hari. Buah rambutan kelihatan di mana-mana. Seronok dapat makan buah rambutan yang sudah ranum. Musim durian pula sudah sampai ke penghujung namun puas juga kami makan. 
Rambutan yang masih berbaki menunggu kepulangan kami.


Ranum dan manis. Teringat buah rambutan yang dijual
di mall sekitar Riyadh kebanyakannya masih hijau.




                                                                                                                              zias/riyadh/15

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...