Isnin, 10 Ogos 2015

Travelog : Oh! Riyadh (58)- Cuti-cuti Kuantan


 Cuti-cuti Kuantan

Dalam kesibukan meraikan bulan Syawal, kami sempat berkunjung ke Kuantan. Pengalaman menetap di Kuantan selama hampir dua tahun menjadikan bandar Kuantan begitu dekat di  hati kami. Pada tahun 1995 aku berpindah dari Sekolah Menengah Vokasional Alor Gajah Melaka ke Sekolah Menengah Vokasional Kuantan, Pahang kerana mengikut suami. Masih basah di ingatan di mana aku hanya memerlukan masa sekitar lima minit sahaja untuk tiba di sekolah setiap pagi. Terima kasih yang tidak terhingga kepada rakan sekolahku Pn Maimon yang telah membuka peluang kepada kami untuk membeli rumah di Indera Mahkota. Kami bercuti sambil melihat rumah yang baru dicat semula dengan bantuan Pn Faizah, jiran yang sangat baik hati.
Sungai Kuantan -banyak perubahan di sini.
Kali ini kami tinggal di MS Garden yang begitu popular satu masa dahulu. MS Garden kini dimiliki oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang. Restoran dan ruang makan mempunyai tanda halal yang menyakinkan. Seperti biasa biliknya begitu luas dan selesa, ianya menjadi pilihan kerana begitu hampir dengan kawasan membeli belah. Kami meluangkan masa dengan bersiar-siar sekitar Bandar Kuantan, melihat dua rumah sewa yang pernah kami tinggal. Sewa di Bandar Kuantan agak mahal ketika itu sehingga mendorong kami membeli rumah di sana. Stesen Satelit Bumi di Beserah juga kami jenguk dari jauh lalu singgah di gerai durian untuk menikmati buah-buah durian yang dijual di situ. 

Bilik 107 - MS Garden
Durian kampung di Beserah, Musang King pun ada.
Bandar Kuantan terkenal dengan pelbagai restoran yang kami gemari. Malangnya Restoran Patani dan Restoran Nara Tomyam sudah ditutup. Kami ke Tanjung Lumpur yang ternyata begitu banyak perubahannya lalu makan di Restoran Ana Ikan Bakar Petai. Pertama kali makan di sana beberapa tahun lalu dan kini restoran tersebut mempunyai tiga buah kedai. Ikan Bakar Petai menjadi pilihan kami bersama tomyam dan tidak lupa pembuka selera iaitu keropok lekor dan sata. Pantai Gelora, Pantai Balok dan Pantai Batu Hitam kami kunjungi seterusnya mahu ke Sungai Ular. Kesesakan jalan raya di Gebeng yang diakibatkan oleh lori mengangkut tanah membatalkan hasrat kami. Sayang sekali Kuantan kini dicemari dengan masalah perlombongan bauksit dan kelihatan jalan raya terutama sekitar Bukit Goh dan Gebeng dipenuhi tanah berwarna merah. Lalu aku pun membeli keropok dan ikan kering yang dijual di tepi jalan sepanjang perjalanan dari Balok ke Beserah.
Pantai Balok, semakin terbiar tidak terjaga

Kedai Ana Ikan Bakar Petai - macam-macam ada
Sata buat pembuka selera.
Sempat menikmati hidangan kebab di Restoran Zam Zam
Keesokannya seharian kami membeli belah beberapa keperluan seperti pakaian di Parkson kerana ianya menawarkan harga yang murah. Lagi pula suasananya tidak begitu sesak seperti di Kuala Lumpur. Tiga hari dua malam berada di Kuantan cukup menyeronokkan. Dalam perjalanan pulang tanpa dirancang kami singgah ke kawasan peranginan Bukit Tinggi yang menyaksikan beberapa perubahan. Kami membayar harga tiket untuk masuk sebanyak RM13.00 seorang dan melihat-lihat sekitar                  dan aku mahu ke Japanase Village. Kali ketiga berkunjung ke sini baru aku berpeluang melihatnya. Terletak di puncak bukit namun aku mahu juga ke sana walaupun terpaksa menaiki 80 anak tangga.
"Tak ada lif ke?'' Aku bertanya seorang lelaki berbangsa Cina yang bertugas di situ.
"Tak ade la...exercise ma," jawabnya sambil ketawa.
Selepas menaiki tangga kami terpaksa menapak menaiki puncak bukit untuk sampai ke rumah contoh. Segala rasa penat hilang apabila menyaksikan keindahan yang terdapat di situ. Walaupun sudah dimakan usia namun keadaannya masih mengagumkan terutama hiasan taman airnya. Berbaloi dapat menghirup udara segar tanpa pencemaran. Kami ditawarkan pengalaman untuk memakai kimono dan menikmati minuman teh gaya Jepun dengan bayaran sebanyak RM20.00. Kami menolaknya kerana ianya memerlukan masa yang agak lama lalu kami hanya dibenarkan melihat rumah tersebut dari luar sahaja. Kehijauan hutan, bunyi air, ikan yang berenang, rumah Jepun yang comel dan bunga-bunga hutan yang asli serta wangi terasa mahu berada lebih lama di situ. 


Pintu masuk  Colmar Tropicale
Bangunan bersebelahan Colmar Tropicale yang
 dijadikan hotel
Tangga untuk naik ke Japanese Village
Dah sampai.
Contoh rumah Jepun di dalam hutan Malaysia
Sesuai untuk terapi minda
Cantik
Hijau dan menyegarkan mata yang memandang


                                                                                                                                                zias/kl/15

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...