Singgah di Muscat
Ogos 2014
Cuti selama sebulan terasa amat pendek dan banyak perkara yang perlu diselesaikan. Maklum setelah hampir setahun rumah ditinggalkan. Sanak saudara dan rakan-rakan ada yang tidak sempat untuk bertemu. Di penghujung bulan Ogos kami kembali ke Riyadh dengan menaiki pesawat Oman Airlines. Kami mengambil kesempatan untuk bermalam selama satu malam di Muscat dan bersiar-siar di kotanya. Sepanjang perjalanan dari lapangan terbang ke hotel, kami disajikan dengan pemandangan yang mengagumkan. Sepanjang jalan dihiasi dengan landskap yang indah berupa padang rumput hijau dan pokok-pokok bunga yang kelihatan dijaga rapi. Latar belakang bandar dengan hamparan gunung ganang pejal beserta laut yang luas seolah-olah berada di Cape Town. Memang cantik dan memukau pandangan.
|
Jalan-jalan dihias pokok-pokok |
|
Taman menghijau di mana-mana |
|
Gunung menghiasi muka bumi Muscat |
|
Bangunan yang unik binaannya |
Kami menginap di Hotel Muttrah yang terletak di Old Town. Hotel budget ini terkenal di kalangan para pelancong jika dilihat melalui komen yang diberi. Setiba di ruang lobi kami dijamu dengan jus oren sementara menunggu urusan di kaunter selesai. Pertama kali dilayan sebegini rupa di hotel yang tiada bintang-bintang. Jelas kelihatan kebanyakan pekerjanya dari India, ianya lebih terserlah apabila pekerja-pekerja wanitanya memakai sari. Terasa seperti berada di India la pula. Biliknya memang luas dan sangat selesa. Petang, kami berjalan kaki menuju ke Mutrah Souq dengan berjalan kaki lebih kurang 15 - 20 minit. Kiri kanan jalan dipenuhi dengan pelbagai kedai dan kelihatan bangunan yang agak lama. Pun begitu kami amat kagum dengan kebersihan sepanjang laluan yang kami susuri. Tiada sampah langsung di jalan-jalan atau di depan kedai. Memang bersih sangat. Mutrah Souq menawarkan pelbagai barangan keperluan harian, cenderahati, kopiah Oman,kraftangan dan sebagainya.
|
Minta izin dengan pihak hotel hendak merasa
kurma dari pokok di depan hotel |
|
Restoran di depan hotel tempat menjamu selera,
Nasi briyani yang enak di sini. |
|
Matawang Oman |
Kami melepak di tepi laut berdepan dengan Sultan Qabbos Port dan kelihatan kapal besar milik Sultan Qabbos. Haha... makan burger di restoran berhampiran pantai dengan harga RO0.50 tapi apabila ditukar menjadi RM4.00. Nilai matawang Oman besar (RO1.00=RM8.00).
|
Pintu masuk Mutrah Souq |
|
Sebahagian pemandangan di depan Mutrah Souq |
|
Kapal tradisional sekitar Sultan Al Qabbos Port |
Esoknya kami menaiki teksi untuk bersiar-siar sekitar Muscat. Di Muscat ada Big Bus tetapi harganya agak mahal. Dengan teksi kami hanya perlu membayar RO25 untuk selama 3 jam. Kami boleh memilih untuk ke mana sahaja. Semua pemandu teksi di Oman mesti warganegara Oman. Menariknya mereka begitu peramah dan boleh berbahasa Inggeris. Kami melawat muzium, Masjid Sultan Al Qabbos, Marina, sekitar istana dan kubu lama. Pantainya juga cantik dan sesuai untuk mandi manda. Tidak sangka Oman memiliki bumi yang cantik dan bersih apalagi penduduknya yang ramah.
|
Kubu lama |
|
Istana dan pusat pentadbiran |
|
Pantai yang bersih |
|
Masjid Sultan Al Qabbos |
|
Ruang solat untuk wanita terpisah terus dari ruang
solat lelaki |
|
Tempat mengambil wudhuk bagi wanita |
|
Selamat Tinggal Oman- Ada rezeki ketemu lagi |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan