‘Decisive Storm’
King Salman
telah memerintahkan serangan udara ke atas Yaman bagi melindungi negara
tersebut dari terus diancam puak Houthi yang berfahaman syiah. Serangan udara
dilakukan pada pukul 12.00 pagi khamis malam jumaat 27/3/2015. Arab Saudi telah menghantar 100 jet pejuang dan beberapa unit
tentera laut untuk melumpuhkan pusat operasi puak Houthi. Negara Arab Saudi
dibantu oleh beberapa negara teluk lain seperti UAE, Bahrain, Kuwait, Qatar dan
Jordan. Turut sama ialah Mesir, Sudan dan Moroko. Manakala Turki akan membantu
dari segi logistic dan Pakistan pula akan membantu jika keadaan
diperlukan.Sepuluh buah negara ini bersepakat untuk membantu Presiden yang
digulingkan iaitu Abd-Rabbu Mansour Hadi
bersama pengikut setianya di selatan Yaman.
Dalam masa dua
minggu sebelum ini Riyadh dikunjungi oleh ramai pemimpin-pemimpin Negara Islam
termasuk negara-negara yang terlibat dalam operasi tersebut. Setiap hari ada
saja pemimpin yang tiba untuk berbincang dengan King Salman. Rupa-rupanya
serangan inilah yang menjadi topik perbincangan mereka selama ini, barangkali.
Presiden Turki , Erdogan ketika menjadi Perdana Menteri dilihat tidak begitu
rapat dengan Arab Saudi kini dikatakan sedang membina hubungan yang lebih mesra
dengan King Salman. Kehadiran beliau untuk mengerjakan umrah seterusnya
berkunjung ke Riyadh mendapat liputan melebihi pemimpin lain.
Pada bulan
Oktober tahun lepas keadaan di Yaman menjadi semakin bergolak apabila puak
pemberontak Houthi Berjaya menawan beberapa tempat strategik termasuk
Universiti Imam. Keadaan menjadi semakin meruncing apabila mereka berjaya
menawan sepenuhnya Sana’ seterusnya melumpuhkan pemerintahan Presiden Hadi.
Presiden Hadi dan pengikut setianya berjaya melarikan diri ke bahagian selatan
Yaman iaitu Aden yang dijadikan Bandar pemerintahan sementara. Kebanyakan
kedutaan ditutup dan rakyat dibawa keluar dari Yaman. Keadaan menjadi semakin
parah sehingga Presiden Hadi terpaksa diselamatkan ke Riyadh seterusnya meminta
bantuan Arab Saudi membantunya menyelamatkan diri dari pengaruh Syiah yang
semakin membesar. Pastinya Negara-negara
Teluk tidak mahu Yaman jatuh ke tangan puak Syiah kerana kedudukan Yaman yang
begitu strategik dan boleh meluaskan pengaruhnya ke seluruh Negara Teluk yang
berfahaman Shuni.
Pada mulanya aku
agak kehairanan mengapa pihak tentera tidak mampu melawan kemaraan puak Houthi
ini. Pihak kerajaan pastinya memiliki pelbagai kemudahan ketenteraan tidak
mungkin boleh jatuh ke tangan puak pemberontak dengan begitu mudah. Meneliti
pelbagai tulisan di dada akhbar seperti Arab News dan Saudi Gazette yang
menjadi tatapan harian kami telah memahamkan aku tentang apa yang sedang
terjadi.
Semasa peristiwa
Arab Spring pada tahun 2011, rakyat Yaman turut terlibat untuk menjatuhkan presidennya iaitu Ali
Abdullah Salleh. Tunjuk perasaan berlaku setiap hari dan ramai menjadi korban,
akhirnya pada tahun 2012 Ali Abdullah Salleh dipaksa meletakkan jawatan. Ini
dilakukan dengan kerjasama dari pihak Negara Teluk. Beliau dimaafkan dibenarkan
tinggal di Yaman. Dikatakan kebenaran yang diberi kepadanya untuk berada di
negaranya menjadi penyebab kepada apa yang sedang berlaku sekarang ini. Beliau
membantu pihak Houthi yang pernah menjadi musuhnya sekitar 2002-2009. Beliau
turut menggunakan tentera yang setia dengannya untuk tidak bertindak ke atas
puak Houthi ketika mereka menawan Sanaa
pada bulan September 2014 . Senjata berat dan sederhana kini dikuasai oleh
pihak pemberontak, jadi tidak hairan kenapa mereka mampu menguasai Yaman dengan
begitu cepat sekali.
Beliau juga
berterusan menggunakan pengaruh partinya di Parlimen untuk melemahkan
kepimpinan Hadi. Hadi adalah naib presiden
Saleh selama 20 tahun pemerintahannya. Saleh juga bercita-cita menjadikan
anaknya, Ahmed Ali Saleh sebagai presiden. Keadaan menjadi lebih meruncing
apabila Iran, Syria dan Hizbollah turut member bantuan kepada pihak Houthi.
Operasi
ketenteraan ini akan berlangsung sehingga termusnahnya kedudukan puak
pemberontak seterusnya mengembalikan
kekuasaan kepada presiden yang dilantik. Beberapa lapangan terbang di sebelah
selatan bersempadan dengan Yaman seperti Abha telah ditutup. King Salman sebagai ketua Negara Teluk
berjanji untuk mengembalikan keamanan Yaman dan Negara Teluk yang lain sewaktu
Persidangan Negara Teluk (Gulf Cooperation Council states), GCC ke 26 yang
diadakan pada 22 /3/2015 di Sharm El-Sheikh, Mesir. Arab Saudi akan meneruskan
serangan ke atas puak pemberontak dengan sokongan GCC, seluruh rakyat Arab
Saudi dan negara sekutu baratnya yang lain seperti Amerika Syarikat, Britain,
Perancis dan sebagainya. Kami sebagai rakyat negara asing merasa takut juga
jika peperangan merebak ke Arab Saudi
yang selama ini begitu aman dan damai untuk didiami. Tunggu dan lihat apa akan
berlaku selepas ini. Allah mudahkanlah.
Ya Allah,
berilah kami barakah pada negeri Syam , ya Allah berilah kami barakah pada negeri Yaman kami. Para
sahabat bertanya :Termasuk Nejed? Rasulullah saw berdoa: Ya Allah, berilah kami
barakah pada negeri Syam , ya Allah berilah
kami barakah pada negeri Yaman . Para sahabat masih bertanya: Termasuk
Nejed?Rasulullah saw menjawab:Di sana Nejed)
terjadi gempa dan huru hara, dan
di sana muncul dua tanduk syaitan.(HR
Bukhari)
Nejed=Iraq
Pada akhirnya
umat Islam akan menjadi pasukan perang: satu pasukan di Syam, satu pasukan di
Yaman dan satu pasukan lagi di Iraq. Ibnu Hawalah bertanya: Wahai Rasulullah
saw, pilihkan untukku jika aku mengalaminya. Nabi shollallahu ‘alaihi wa
sallam: Hendaklah kalian memilih Syam, kerana ia adalah negeri pilihan Allah,
yang Allah kumpulkan di sana hamba-bamba pilihanNya, jika tidak bisa hendaklah
kalian memilih Yaman dan berilah minum (haiwan kalian) dari kolam-kolam
(lembahnya). Kerana Allah menjamin untukku negeri Syam dan penduduknya.(HR Imam
Ahmad)
Dua hadis di atas
membuktikan dunia ini semakin hampir ke penghujungnya. Apa yang berlaku ke atas
Yaman membenarkan sabda Rasullullah saw dan sesungguhnya akan pasti berlaku. Ya
Allah selamatkan kami semua dari fitnah ini.
zias/riyadh/15
Tiada ulasan:
Catat Ulasan