Selasa, 7 Julai 2015

Travelog : Oh! Riyadh (54) - Al Baghdadi Di Riyadh

Al Baghdadi Di Riyadh

18 April 2015, aku dan Saffura mengisi hari Sabtu kami bersama lebih kurang lapan puluh warga Riyadh menghadiri Bengkel Hafazan. Iklan mengenainya tersiar di FB Ibu-ibu Riyadh beberapa bulan yang lepas. Program ini dibawa khas dari Malaysia melalui Al Baghdadi Group Sdn Bhd di bawah anak syarikat yang bernama Nadi Al Baghdadi. Satu Malaysia mengenali Al Baghdadi yang saban minggu mempromosikan ibadah korban dan diluar negara terutamanya Kemboja melalui Radio Ikim. Al Baghdadi juga begitu sinomin dengan kaedah membaca al Quran secara ketuk-ketuk.

Aku begitu teruja melihat kegigihan warga Malaysia yang tinggal di Riyadh menjalankan pelbagai program agar sentiasa istiqamah dalam agama. Kumpulan Ibu-ibu Riyadh dan Persatuan Pelajar Malaysia Riyadh kerap kali menganjurkan program yang berbentuk mingguan dan bulanan.Ianya tidak terhad kepada program untuk orang dewasa bahkan juga untuk kanak-kanak seperti Kelas Kafa. Semoga Allah memberi ganjaran kebaikan atas usaha yang mereka lakukan. Walaupun dalam kesibukan bekerja dan belajar mereka mampu mencari ruang waktu untuk menjalankan kerja-kerja dakwah.

Luas,sesuai untuk pelbagai program

Aku menyediakan roti jala untuk dimakan bersama kari ayam dan kuih makmur. Keadaan Istirehah Al Barokah begitu selesa walaupun sudah berusia. Angin bertiup tidak berhenti-henti menjadikan suasana begitu selesa sekali apalagi berpeluang duduk dia atas rumput karpet yang menghijau. Pepohon kurma yang menghiasi sekitar kawasan seluas ¼ ekar itu begitu mendamaikan. Bahagian pucuk pokok kurma dipenuhi dengan gugusan putik buah kurma yang berwarna hijau. Terdapat dua khemah yang besar seperti biasa dilengkapi dengan kerusi bersandar sekelilingnya.
Ada kolam renang

Istirehah Al Barokah juga dilengkapi dengan kemudahan tandas dan kolam renang. Aku dan Saffura yang pertama kali berpeluang memasuki Istirehah begitu gembira sekali. Istirehah adalah kemudahan yang disediakan untuk membolehkan sesiapa sahaja melakukan aktiviti dengan bilangan peserta yang lebih ramai.  Ianya juga sesuai untuk mengadakan aktiviti hari keluarga yang melibatkan banyak keluarga. Ada juga Istirehah yang membina bangunan setingkat bagi menggantikan khemah. Namun khemah lebih bercirikan suasana Negara Arab. Istirehah amat popular di sini dan ianya boleh digunakan untuk pelbagai acara dan sangat terjaga privasinya.
Bahagian dalam khemah juga sangat luas dan selesa

Istirehah memerlukan sewaan yang agak tinggi dan kebiasaannya urusan menyewanya dikendalikan oleh para pelajar yang fasih berbahasa Arab. Kami menikmati sarapan pagi dengan hidangan yang pelbagai. Terdapat nasi lemak, pasta, mee goreng, bihun goreng, satay, murtabak, mini pizza, dunkin donats, muffin, kek pisang dan banyak lagi. Makanan tersebut dimakan beberapa kali oleh para peserta. Ketika menjamu selera kami mengambil kesempatan membayar yuran. Peserta yang mendaftar dalam kumpulan seperti aku yang berdaftar dengan Siti Zaleha dikenakan bayaran 120 rial. Bagi peserta yang mendaftar pada hari tersebut dikenakan 150 rial.
Makan dulu

Sesi bengkel bermula pada pukul 9.30 pagi dan dikendalikan oleh Ustazah ‘Ainul Mardiah Ismail yang merupakan duta bagi program ini. Ustazah dikenali ramai kerana seringkali keluar di TV3 dan TV9. Untuk kaum lelaki pula dikendalikan oleh suaminya Ustaz Asyik yang juga personality TV tersebut. Lebih mengujakan aku apabila aku  beberapa kali ditegur kerana mempunyai wajah seiras ustazah Ainul.
Ustazah Ainul

Ustazah ‘Ainul memulakan program dengan memperkenalkan dirinya dan program yang dibawanya. Jelas kelihatan kesungguhannya untuk menyampaikan ilmu walaupun sudah melakukannya di tempat lain seperti Yanbu, Madinah  dan Jeddah. Selepas Riyadh mereka akan meneruskan program yang sama di Jubail. Ustazah menekankan kebaikan membaca Al Quran sehingga menyebabkan Pusat Tahfiz seluruh Negara tidak mencukupi bagi menampung permintaan yang tinggi di kalangan ibu bapa.
Abdullah Bin Mas’ud r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda,
“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah swt maka untuknya diberi satu hasanah(kebaikan) sebagai ganjaran bagi huruf itu dan satu hasanah adalah sama dengan sepuluh pahala. Aku tidak berkata (alif,lam,mim) sebagai satu huruf tetapi (alif) adalah satu huruf,(lam) adalah satu huruf dan (mim) adalah satu huruf.” [Riwayat Tirmizi]
Ustazah Ainul juga memberi  contoh kiraan mudah untuk menambah akaun pahala. Melalui Surah Al-Fatihah yang mempunyai 141 huruf
Jika membaca satu kali surah Al Fatihah = 141 x 10 = 1410
Membaca Al Fatihah dalam solat 5x setiap hari = 1410 x 17 = 23,970
JIka kita mengajar orang lain membaca Al Quran pula, akaun pahala akan berganda dengan lebih hebat
Contoh kita mengajar 10 orang membaca Al Fatihah
Jadi 23,970 x 10 orang = 239,700
Orang yang diajar membacanya dalam solat selama 7 hari
239,700 x 7 hari = 1,677,900
Kelebihan orang yang belajar dan mengajar Al Quran memang tidak terkira ganjarannya.

Bersama kumpulan masing-masing

Mekah dan Madinah adalah tempat yang penuh keberkatan kerana di sinilah Al Quran diturunkan. Jadi sudah semestinya kita memperbanyakkan berdoa di kedua tempat ini dan hindarkan diri dari melakukan dosa dan perbuatan sia-sia. Al Quran diturunkan melalui Malaikat Jibril yang mengajar Rasulullah ﷺ secara terus. Rasululullah  akan menyampaikan kepada para sahabat dan mereka terus menghafal ayat-ayat tersebut. Ada di antara mereka yang membuat catatan di atas pelepah kurma.

Al Quran juga semestinya diingati, dihayati dan difahami supaya lebih bermakna dan menjadi amalan dalam kehidupan seharian.

Konsep Neurofisiologi menggabungkan proses melihat dan mendengar semasa proses hafazan. Ianya menggabungkan kedua-dua fungsi otak kiri dan otak kanan manusia supaya proses menghafaz menjadi lebih mudah dan kekal lama. Konsep ini amat sesuai dilaksanakan dalam bentuk kumpulan kerana memerlukan ulangan beberapa kali dengan bantuan seorang ketua. Kelebihan kaedah ini kita mampu mengetahui ciri-ciri asas sesuatu surah seperti berada di juzuk berapa, maksud surah tersebut, bilangan ayat , Surah Makiyyah atau Madaniyah juga surah yang keberapa. Kita juga mampu menyatakan ayat di dalam sesuatu surah tanpa perlu membacanya dari awal.
Peserta kanak-kanak sibuk menghafal

Kami dipisahkan dalam kumpulan seramai sepuluh orang. Menariknya golongan dewasa boleh bergabung dengan kanak-kanak. Setiap peserta dibekalkan dengan pamphlet yang mengandungi ayat  Surah Al Buruuj dan beberapa fakta berkaitan dengannya. Ustazah Ainul memimpin semua peserta yang berada dalam kumpulan masing-masing sebanyak lima kumpulan. Setiap poin dibaca 3 kali dan kami hanya disuruh mendengar dan melihat sahaja. Kemudian kami disuruh ulang sebanyak 3 kali secara beramai-ramai. Untuk mengukuhkan lagi ingatan Ustazah Ainul memanggil nama setiap kumpulan beserta nombor poin untuk dibaca. Seterusnya peserta akan menghafal poin tersebut dalam kumpulan dibantu oleh ketua kumpulan. Dalam kumpulan juga peserta dibolehkan menguji ingatan dalam bentuk pasangan. Kemudian setiap wakil dipanggil ke depan untuk diuji ingatan bagi poin tersebut.
1.       Surah Al Buruuj dalam juzuk 30
2.       Surah Al Buruuj bermaksud Gugusan Bintang
3.       Surah Al Buruuj ada 22 ayat
4.       Surah Al Buruuj surah Makiyyah
5.       Surah Al Buruuj Surah ke85
Peserta dewasa pun kena hafal juga

Proses yang sama diulang sehingga habis keseluruhan lima poin berkaitan surah Al Buruuj. Kanak-kanak begitu teruja untuk member respons dan keadaan begitu ceria sehingga tidak sempat untuk merasa mengantuk. Sesekali Ustazah Ainul terpaksa menggunakan bahasa Inggeris kerana ramai di antara kanak-kanak ini tidak fasih berbahasa Melayu. Begitu sukar mereka menuturkan perkataan gugusan. Aku turut tampil secara sukarela untuk diuji oleh Ustazah Ainul . malang sekali aku turut ditanya dengan soalan diluar skema seperti no telefon dan no kereta. Tidak terduga dengan soalan tersebut aku turut kantoi. Peserta terakhir akan terpaksa menjawab lebih banyak kerana sudah terdapat lima poin. Uztazah akan bertanya poin-poin tidak mengikut turutan seperti  4,3,2,1,5. Atau soalan juga boleh ditanya dalam bentuk member fakta dan peserta member nombor poin. Jadi proses menghafal berlaku puluhan hingga melebehi seratus kali, pastinya ia membolehkan peserta menghafal jika beliau betul-betul focus.

Menurut Ustazah Ainul ada anak muridnya yang sudah berusia 70 tahun tapi masih boleh menghafal menggunakan teknik ini. Ada kes seorang ibu berusia 50 tahun menghafal secara konsisten selama 10 tahun untuk menjadi hafizah dengan hanya menghafal satu ayat satu hari. Jadi kita perlu berazam dan berniat untuk menjadi hafizah suatu hari nanti.

Kami meneruskan dengan menghafal ayat Al-Buruuj selepas berehat sebentar. Proses yang sama dilakukan untuk menghafal ayat-ayat Al Buruuj sehingga ayat ke enam. Aku merasa bangga apabila Saffura tampil mewakili kumpulan kami (Kumpulan 4) untuk menjawab soalan dari Ustazah Ainul. Saffura Berjaya menjawab dengan cemerlang turutan ayat( 5 ayat)t yang diberi tanpa kesalahan. Ustazah Ainul turut memuji aku sebagai ibu Saffura. Sebenarnya Saffura sudahpun menghafal keseluruhan Juzuk 30. Kumpulan 4 terdiri dari dua orang ibu iaitu aku dan Pn Rahimah. Selainnya adalah anak-anak seusia Saffura. Wakil terakhir dari kumpulan kami juga menunjukkan kecemerlangan dengan membaca ayat tanpa kesalahan iaitu Maryam anak kepada Prof Dr Norsharina. Lebih membanggakan apabila Saffura mengakui tidak terasa berdebar ketika berada di depan khalayak ramai. Kebanyakan peserta mampu menghafal keenam-enam ayat permulaan surah Al Buruuj sebagai bekalan untuk dibawa pulang.

Sesi soal jawab

Kami makan tengahari dalam kumpulan masing-masing. Kami dihidangkan dengan nasi Mandy ayam dari Romainsyah. Disebabkan kumpulan kami terdiri dari ramai kanak-kanak , kami hanya mengambil sebungkus nasi dan semuanya habis licin. Nasi begitu terasa sedap mungkin makan secara beramai-ramai atau aku yang lapar. Berbeza seperti nasi yang kami biasa makan di Romainsyah Exit 5, kerana nasi ini ada warna kemerahan dan ayamnya dipotong dua dan dimasukkan dalam nasi. Salatanya juga pedas dan memenuhi citarasa Malaysia. Kami solat  Ashar berjamaah sebelum pulang ke rumah masing-masing pada pukul 3.30 petang. Kami bergambar dan bersalaman sebelum berpisah. Pertemuan kali ini turut disertai oleh lebih kurang 15 orang jururawat yang berkerja kebanyakaannya di King Faisal Hospital
Makan nasi Arab pula...sedap.

Sempat berbual dengan salah seorangnya yang menegur wajahku seiras Ustazah Ainul. Aida baru sampai 4 bulan yang lepas dan menerima gaji 10,000 rial namun dia hanya akan bekerja selama dua tahun sahaja. Maklum tidak tahan berpisah dengan suami dan dua orang anak-anaknya.

Terdapat beberapa kaedah untuk menghafal Al Quran yang pernah aku ikuti dan dengar. Di sekolahku Ustazah akan membaca beberapa kali di depan kelas untuk kami dengar. Kemudian kami pula dikehendari membaca secara beramai-ramai beberapa. Kemudian kami akan membaca dengan suara yang kuat secara sendiri untuk didengar oleh Ustazah dan diperbaiki kesilapan jika ada dari segi Makhraj huruf. Proses membaca akan diulang-ulang sehingga 4 atau 5 ayat mengikut kesesuaian. Kami diberi masa sehingga kelas berikutnya untuk menghafal  yang kebiasaanya berselang 2 atau 3 hari. Kami dinasihati untuk mendengar bacaan Syeikh yang tertentu yang mudah untuk diikuti seperti                       
Dan dilarang mengikut Syeikh yang agak laju bacaannya seperti Sudais dan sebagainya. Kelas berikutnya akan didahului dengan proses membaca ayat yang telah dipelajari sebelumnya dan ustazah akan memberi markah kepada kami. Ujian akan dijalankan untuk menguji beberapa surah yang telah dihafal secara individu di dalam bilik tertentu. Peperiksaan akhir pula akan diadili oleh dua Ustazah lain yang bukan mengajar hafazan. Memang berkesan kerana kita terpaksa melakukannya. Untuk mengukuhkan ingatan aku membaca ayat-ayat tersebut dalam solat.
Belajar dan berkenalan sesama sendiri

Kaedah yang diberikan oleh Ustazah Mesir bernama Israq agak berbeza sedikit kerana bilangan muridnya tidak ramai. Saffura disuruh mendengar bacaan dari Syeikh sebanyak 5 kali sambil melihat ayat-ayat tersebut. Saffura akan mengulanginya sebanyak 5 kali atau sampai dapat mengingatnya. Kemudian saffura akan menulis ayat-ayat tersebut di dalam sebuah buku. Yang ditulis hanya melibatkan kalimah permulaan dan kalimah terkahir dalam ayat tersebut. Mereka diwajibkan membuat ulangkaji setiap hari. Saffura akan membaca ayat-ayat tersebut sambil memegang cermin muka  dan melihat ke cermin muka tersebut. Teknik ini untuk memastikan sebutan betul dan Israq akan membetulkannya jika terdapat kesalahan.
Suka-suka.
Ada juga yang memberi petua untuk membaca sebanyak 20 kali setiap ayat dan melihat ayat-ayat tersebut supaya mata boleh merakamkan ayat-ayat tersebut dan menjadikannya tahan lama.
Menghafal Al Quran menjadi mudah jika kita berniat Ikhlas mahu menghafal Al Quran, jadi kita mesti berdoa setiap hari, “Ya Allah saya mahu hafal 30 juzuk Al Quran”. Mesti lakukan dengan paksaan  dan pasti boleh kerana Allah kata belajr al Quran itu mudah (Surah Al Qamar). Dr Mohd Shapie Md Amin mencadangkan kita membaca setiap ayat 200 kali  yang mana setiap kali baca hanya memerlukan 3 saat. Jika dihitung hanya melibatkan masa 1 minit untuk satu ayat. Lakukan setiap hari satu ayat.
In Sha Allah.





                                                                                                                          zias/riyadh/15




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...