Kisah 5 rial
Keinginan untuk
memasuki bangunan Kingdom Tower atau dikenali juga dengan Mamlaka menjadi
kenyataan. Kami ke sana pada hari pertama cuti sempena
musim bunga selama lima hari. Sedikit sebanyak ajakan itu meredakan kekecewaan
yang kami alami sejak beberapa hari lalu.
Kingdom Tower |
“Sepatutnya kita
sedang dalam perjalanan ke Qatar kan mama,” kata Saffura sambil menutup pintu
kereta di bahagian tempat duduk kereta kami.
“Hiss…diam,
nanti Ayah terasa,” balasku sambil mencuri pandang suamiku yang sedang
memeriksa bahagian belakang kereta yang masih kemek. Begitulah kelakuan suamiku
setiap kali mahu menaiki kereta sejak hari Ahad lepas apabila kereta kami
dilanggar oleh kenderaan lain. Kejadian tersebut menyebabkan kami terpaksa
membatalkan hasrat untuk ke Qatar di saat akhir dengan berkenderaan.
Kami ke sekolah
Saffura terlebih dahulu untuk membayar yuran persekolahan bagi sesi depan yang
akan bermula pada bulan Ogos. Pembayaran yuran sekolah peringkat pertama
dikenakan apabila pelajar membuat pengesahan mahu meneruskan pengajian di
sekolah tersebut. Pembayaran kedua pula mesti dibuat sepanjang tempoh cuti pada
musim panas dan seterusnya keseluruhan yuran diselesaikan selepas persekolahan
bermula. Jumlah yuran persekolahan yang perlu dibayar adalah tinggi bagi sekolah bertaraf antara bangsa namun
kebanyakan majikan menyediakan jumlah bayaran tertentu untuk anak-anak
pekerjanya yang berstatus pekerja asing yang sah.
Disebabkan rasa
lapar yang tidak tertahan kami singgah ke Panorama Mall terlebih dahulu untuk
mengisi perut. Terdapat “Food Court” di sini yang menyediakan pelbagai makanan
berbanding di restoran luar yang agak sukar untuk mendapat tempat parkir
kereta. Aku dan Saffura menikmati spageti Bolognese yang kami pesan dari Piatto
sedang suamiku pula mencuba nasi bersama kebab kambing citarasa Parsi. Kami
menunaikan solat di surau yang terletak berdekatan dengan parkir kereta
‘baseman’.
Semasa berada di
dalam tandas aku terpandang seorang wanita pekerja pembersihan yang sedang
berehat di tepi tempat mengambil wuduk. Aku teringat kata-kata seorang
pendakwah bebas yang ada menyarankan untuk kita bersedekah kepada pekerja yang
sebegini. Gaji pekerja di tandas amat rendah dan mereka tidak pernah
meminta-minta dari kita. Aku pun jarang sekali berpeluang untuk berjumpa dengan
pekerja wanita kerana rata-rata pekerja di tandas adalah lelaki. Hanya di
tandas-tandas wanita yang terletak di dalam mall sahaja mempunyai pekerja
wanita yang kebanyakannya berasal dari Negara India. Aku mengambil wang kertas
bernilai satu rial dari dalam dompet.
“Hai nak masuk
syurga dengan nilai satu rial je ke,” hatiku berbisik. Lantas aku menukar wang
tersebut dengan wang kertas yang lebih cantik berwarna ungu terang bernilai
lima rial.
“Bismillah,”
sahut wanita tersebut sambil tersenyum menyambut wang lima rial yang aku
hulurkan.
Entah kenapa aku
terasa begitu puas dengan pemberian yang tidak seberapa itu. Terasa Iebih
ikhlas. Hanya kami berdua di dalam tandas yang begitu selesa dan cantik
binaannya. Jangan dibandingkan
tandas-tandas di mall dengan tandas-tandas
yang terdapat di sepanjang lebuh raya di Arab Saudi ini. Perbandingannya
seperti antara langit dengan bumi.
Kami begitu
kecewa apabila mendapati SkyBridge yang ingin kami naiki ditutup sementara
disebabkan kerja-kerja baik pulih. Tidak pula ditulis bila tarikh ianya akan dibuka semula. Kingdom Tower adalah bangunan kedua tertinggi di Riyadh dan
merupakan mercu tanda ibu Negara Arab Saudi . Bangunan setinggi 74 tingkat
ini mempunyai ruang pejabat, hotel dan kondominium mewah. Di miliki oleh Prince
Waleed yang tersenarai sebagai individu bangsa Arab terkaya di dunia juga merupakan cucu
kepada King Abdul Aziz, pengasas kerajaan Arab Saudi. Kami mengambil kesempatan
untuk melihat sekitar kawasan membeli belah di sebelah Kingdom Tower. Bangunan
tiga tingkat bersama dua tingkat lagi di bahagian bawahnya dipenuhi dengan
pelbagai kedai berjenama yang kebanyakannya dari negara barat. Seperti di
kebanyakan mall lain di sekitar Riyadh, bangunan ini juga turut menyediakan Food Court, kawasan permainan kanak-kanak dan pelbagai kedai lain.
Namun ada satu
keistimewaan Mall ini ialah tingkat tiga dikhaskan untuk golongan wanita sahaja
dan dikenali sebagai Ladies Kingdom. Aku dan Saffura mengambil peluang untuk
melihat apa yang ada di situ. Terdapat pengawal yang berkawal di situ untuk
memastikan kaum Adam tidak menceroboh masuk di samping papan tanda besar
tertulis “Ladies Only’. Keseluruhan tingkat tiga itu dikelilingi dengan tembok
berkaca setinggi melebihi satu meter.
Tembok berkaca tersebut mampu menghalang pandangan dari luar . Jadi kebanyakan
pengunjung di situ tidak perlu mengenakan abaya dan tudung seperti biasa, begitu juga dengan pekerja di kedai-kedai atau pejabat yang terdapat di tingkat
tersebut.
Tingkat khas untuk kaum wanita sahaja di Kingdom Tower |
Kebanyakan pekerjanya
berpakaian agak bebas seperti skirt ,blouse dan sebagainya. Kedai-kedai
kebanyakannya menjual barang keperluan wanita yang lebih spesifik seperti
pakaian dalam, alat solek, pakaian dan sebagainya tapi lebih kelihatan
eksklusif. Susun atur dalam kedai juga menampakkan kemewahan pelanggan yang
datang ke situ. Terdapat pusat membeli belah popular di situ bernama Dehenhems.
Untuk berehat sambil menikmati makanan dan minuman ringan terdapat dua kafe di situ. Tidak sampai 10 minit aku dan
Saffura sudah selesai membuat satu pusingan. Walaupun ada jualan di kedai
pakaian dalam di situ namun harga masih lagi mahal, kami hanya mampu memegang
beberapa pakaian dalam di situ. Kesimpulan dari lawatan kami di situ, adalah
lebih berbaloi membeli belah di Panorama Mall, Granada Mall atau Hayat Mall.
Kami singgah di Hayat
Mall pula selepas menunaikan solat Ashar untuk membeli beg perpustakaan sekolah
Saffura yang terletak di Mark & Spencer di Hayat Mall. Begitulah gayanya
bersekolah ala-ala British segala keperluan sekolah didatangkan khas dari negara tersebut. Sekali lagi kami
menjamu selera di Food Court di Hayat Mall apabila perut kembali minta diisi.
Kali ini Briyani menjadi pilihan suamiku dan Saffura. Aku pula yang selama ini
asyik berkongsi makanan mencuba Fish & Chips yang kelihatan begitu
menyelerakan. Aku memesan set ikan kod yang berharga 35 rial. Pekerja berbangsa Bangladesh itu berdiri di depanku menunggu
aku mengira wang untuk diserahkan kepadanya. Tidak kelihatan wang kertas besar,
kebanyakannya bernilai lima rial. Aku mengeluarkan sekeping wang kertas
bernilai sepuluh rial beserta lima keping wang kertas bernilai lima rial. Aku
malas untuk memeriksa semula wang yang aku keluarkan dan dengan rasa yakin aku
menyerahkan sejumlah wang tersebut kepada pekerja tersebut. Aku memasukkan
semula dompetku ke dalam beg galasku ambil menunggu resit bayaran.
“Puan ini wang
100 rial bukan 5 rial,” tiba-tiba pekerja tadi datang dan menyerahkan wang
berwarna ungu tetapi saiz lebih besar kepadaku.
“Ehh…oh ya,
sori,”aku agak terkejut lalu mengeluarkan semula dompetku untuk mencari wang
kertas lima rial.
“Ini lima rial,
terima kasih ...anda begitu baik hati,” itu saja yang aku mampu katakan kepada
pekerja yang baik budi itu. Aku tidak tahu apa yang perlu aku buat. Kedua orang
rakannya yang berada di sisinya hanya melihat aku tanpa berkata apa-apa.
Selepas selesai
makan dan pulang ke rumah, peristiwa di kedai Fish & Chips tadi masih dalam
ingatanku. Terasa bersalah kerana aku hanya mampu mengucapkan terima kasih
sahaja di atas keikhlasan pekerja tersebut. Ingin aku member hadiah kepadanya
namun itu bukanlah sesuatu yang baik aku rasa. Walau bagaimanapun aku bersyukur
sangat kepada Allah, mungkinkah itu balasan kebaikan yang aku buat tengahari
tadi iaitu memberi sedekah lima rial.
Pada petangnya Allah selamatkan 100 rial milikku dek kecuaianku. Sungguhlah
balasan ﷲ akan datang tidak kira cepat atau lambat. Terkadang perbuatan
baik atau buruk yang kita lakukan ﷲ terus membalasnya…..ﷲ balas secara
‘cash’, perumpaan yang selalu kita dengar. Oh ﷲ semoga aku diberi hidayah
untuk sentiasa membuat kebaikan dan meninggalkan keburukan kerana balasan ﷲ adalah pasti. Ameen.
zias/riyadh/15
Tiada ulasan:
Catat Ulasan