Sandstorm
Petang hari Rabu
1 April 2015 selepas solat Ashar aku agak keletihan dan terus berbaring di ruang
rehat. Sempat terlelap seketika namun terkejut apabila suamiku kelihatan
meninjau sesuatu dari tingkap.
“Ambil kamera
Saffura, tengok ni ada ribut pasir,” suamiku bersuara agak lantang. Aku agak
terkejut dan melihat ke arah tingkap.
“Ehh warna oren…ya Allah.” Aku pun menghampiri tingkap dengan membawa telefon bimbitku. Aku
berlari ke ruang tetamu yang satu lagi untuk melihat suasana persekitaran dengan lebih jelas.
Hanya warna oren yang kelihatan dan menjadi semakin merah. Jarak pemandangan
menjadi teramat kabur, semua objek yang berada di seberang jalan rumahku tidak
kelihatan.
Saffura pula
sibuk membuat rakaman video menggunakan kamera digitalnya.
Aku menghantar
gambar yang diambil ke WhatsApp kumpulan Haji 1435. Rupanya rakan-rakan di
dalam kumpulan tersebut sedang berbicara berkaitan ribut pasir tersebut. Dr Rosmah turut menaik muat
rakaman video berkaitan ribut pasir yang berlaku sekitar Riyadh. AllahuAkhbar
kejadian ribut pasir tersebut berlaku agak dahsyat, kelihatan kepulan pasir
berwarna merah bergerak dengan agak laju dan begitu tinggi sekali. Ini
menyebabkan seluruh kawasan Riyadh diselubungi dengan debu berwarna merah.
Angin pula memang terlalu kuat sehingga aku tidak boleh membuka tingkap.
Kelihatan sampah sarap berterbangan di udara. Pasir halus berwarna oren mula
kelihatan masuk di dalam rumah memenuhi lantai dan perabot di dalam.
Keadaan menjadi gelap walaupun belum tiba masanya.
Tidak kelihatan
kereta melalui jalan di hadapan rumahku yang biasanya begitu sibuk sekali. Suasana begitu sunyi dan agak sejuk. Hidung
kami menjadi agak perit kerana terhidu bau yang agak tajam seperti bau minyak
atau jerebu. Keadaan ini menjadikan kami agak tidak selesa dan sukar melelapkan
mata pada malamnya.
Kami pernah
beberapa kali berhadapan dengan ribut pasir yang agak sederhana. Pertama kali
aku melihatnya ketika berada Al Khobar pada bulan Februari 2014. Ketika itu kami
berada di dalam kereta untuk menaiki Jambatan yang menghubungkan Al Khobar
dengan Negara Bahrain. Tiba-tiba kelihatan kepulan berwarna putih seperti asap
bergerak menyelubungi seluruh kawasan tepi pantai tidak jauh dari tempat kami
berada. Kali kedua ketika kami berada di atas Lebuh Raya Riyadh-Madinah.
Pusaran ribut membawa pasir dari kawasan gurun yang luas di sepanjang lebuh
raya bergerak ke atas lebuh raya. Pemandangan agak kabur buat sementara,
kenderaan menyalakan lampu dan pergerakan kereta diperlahankan. Keadaan seperti
ini adalah satu kebiasaan di lebuh raya dan terdapat papan tanda amaran yang
menunjukkan kejadian ribut pasir mungkin berlaku di kawasan tersebut. Terdapat
juga kereta yang akan meletakkan bahan khas pada badan kereta untuk mengelak
kereta dari terjejas apabila berlaku kejadian ribut pasir sewaktu di dalam
perjalanan. Jadi tidak perlu merasa hairan jika bertemu dengan kereta yang
mempunyai dua warna yang berlainan di bahagian
tertentu kereta tersebut.
Pernah juga
ribut pasir terjadi secara tiba-tiba ketika kami keluar dari kedai Mark &
Spencer di Jalan Olaya. Ketika itu waktu malam setelah selesai aku dan Saffura
membeli baju nasyid untuk dipakai pada hari persembahan sebelum cuti Musim
Bunga bermula pada tahun 2014. Angin agak kuat bertiup, segala-galanya berterbangan. Muka kami menjadi pedih akibat pasir yang berterbangan singgah di muka kami yang terdedah. Kelihatan beberapa orang di jalan raya turut
mengenakan penutup mulut dan hidung untuk mengelakkan diri dari pasir yang
berterbangan. Baru aku memahami akan pentingnya niqab ketika menghadapi waktu
genting seperti ini. Aku dan Saffura terpaksa menahan rasa pedih di muka buat
seketika sambil berlari mendapatkan kereta yang diparkir agak jauh dari kedai
tersebut.
Kebiasaannya
ribut pasir berlaku dengan kerap apabila akan berlaku perubahan musim. Sebelum
dan selepas musim sejuk merupakan jarak waktu yang kerap berlakunya ribut pasir
begitu juga dengan kejadian hujan. Aku masih ingat lagi kejadian ribut pasir
yang berlaku pada tahun lepas di Mekah yang mengundang rasa takut kepada jemaah
Malaysia. Video tersebut menjadi viral di tanah air sehingga aku perlu
menjawapnya di dalam kumpulan Whatsapp. Tiba-tiba ribut pasir melanda
sekitar Kaabah yang menyebabkan suasana menjadi gelap dan kelihatan warna merah
menyelubungi sekitarnya. Ianya menimbulkan keadaan panik bagi mereka yang
melihatnya buat kali pertama. Kami pula sudah menjadi agak biasa dengan
kejadian tersebut . Namun kejadian hari ini agak kritikal sehingga menyebabkan
kapal terbang tidak mampu mendarat kerana jarak penglihatan terjejas dengan teruk. Kapal terbang terpaksa mendarat di lapangan terbang yang jauh dari Riyadh
seperti Damman atau luar negara.
Lapangan terbang Antara bangsa King Khalid terpaksa ditutup selama tujuh
jam akibat ribut pasir yang melanda selama lapan jam itu.
Terdapat 354
kemalangan pada malam kejadian yang melibatkan lapan kecederaan. Keesokannya
seluruh sekolah dan universiti diberi cuti satu hari untuk mengelakkan diri
dari debu yang berterbangan yang boleh memudaratkan kesihatan. Kejadian ribut
pasir ini juga turut melanda beberapa Bandar lain di bahagian timur Arab Saudi
dan turut dialami oleh Qatar dan Dubai.
Melihat kejadian
ribut pasir yang berlaku aku tertanya-tanya apakah nasib penghuni yang tinggal
berselerak di padang pasir seluruh Riyadh. Mungkinkah khemah dan binatang
peliharaan mereka habis terbang dibawa ribut. Tidak kelihatan pula laporan
seperti itu di dalam sebarang berita di surat khabar atau siaran televisyen.
Mungkinkah dibantu dengan doa yang Rasulullah ﷺ yang menyuruh kita baca ketika ribut
berlaku. Doa ini dihantar oleh Sumaira melalui Whatsapp kumpulan Dhar Friends.
“Oh ﷲ I ask
You for it’s goodness,the good within it, and the good it was sent with, and I
take refuge with You from it’s evil, the evil within it, and from the evil it
was sent with”
Uzma turut
mengingatkan kami akan kejadian yang berlaku adalah permulaan musim debu atau
ribut pasir.
“Ibnu Khaldon
mentioned:The Earth in its trasition from winter to summer produces diseases
and insects(bugs/creatures) that if left to their devices would destroy the
world, so ﷲ sends the dust to destroy them. All praise is due to ﷲ, an
abundant praise. Subhan Rabbi, how(Lateef) Subtle and Gentle You are.”
Rupanya dalam
kekerasan tiupan ribut pasir yang melanda membawa rahmat yang tidak terduga
dari Pencipta ﷲ Rabbul Jalil. Sesungguhnya begitu besar kasih sayang ﷲ kepada hambaNya. Ya ﷲ kuatkanlah iman kami, izinkan kami teguh dalam
pegangan iman kami terhadapMu Ya ﷲ Ampun kami di atas kelalaian kami Ya ﷲ . Ameen.
zias/riyadh/15
Tiada ulasan:
Catat Ulasan