Jumaat, 10 Ogos 2018

Rasa Dapurku (281) - Kuah Durian



BismillahirRahmanirRahim





Musim durian hampir berlalu, rakyat seluruh negara dapat menikmati kelazatan pelbagai jenis dan nama durian dengan harga yang berpatutan. Memang menjadi sungguh musim durian kali ini.

Alhamdulillah ada kesempatan untuk balik ke kampung, walau sekejap namun berbaloi. Kebetulan masih ada durian segar , memang rezeki. Selebihnya adalah durian yang emak frozenkan buat kami yang jauh.

Apa pun jenama durian yang dibeli pasti tidak boleh mengalahkan sedapnya buah durian dari kebun sendiri. Rasa buah durian kampung yang sudah puluhan tahun usianya bahkan ada yang seusia dengan aku. Pastinya lebih sedap. Hasil tanaman yang diusahakan oleh emak dan ayah. Semoga Almarhum ayah dan Almarhumah emak mendapat pahala yang berterusan.Amiin.

Teringin pula untuk merasa kuah durian yang memang enak dimakan bersama pulut atau roti. Namun aku mahu mencuba selera baru dengan roti jala pula. Sebenarnya aku lebih suka makan kuah durian begitu sahaja.Sedapnya...

Resepi Kuah Durian
Bahan2:
2 cawan santan sederhana pekat
10 ulas buah durian
1 sudu besar gula (pilihan)
Sedikit garam
Sehelai daun pandan.

Cara membuatnya:
1.Masukkan semua bahan di atas dan masak sambil dikacau.
2.Masak sehingga kuah menjadi pekat. Padam api.


Siap.
Resepi Roti Jala Hijau
Bahan2:
1 1/2 cawan tepung gandum
1 biji telur ayam
1/2 cawan susu segar/santan
Air daun pandan secukupnya
Sedikit garam
Sedikit minyak masak

Cara Membuatnya;
1.Masukkan semua bahan kecuali minyak masak ke dalam
   blender. Kisar sehingga semuanya bercampur sekata.
2.Tapis adunan tepung yang dihasilkan.
3.Panaskan frying pan, masukkan sedikit minyak dan ratakan.
4.Masukkan adunan tepung ke dalam acuan dan jalakan.
   (guna api sederhana)



Rabu, 11 Julai 2018

Rasa Dapurku (280) - Almond Cluster


BismillahirRahmanirRahim



Syawal hampir berlalu namun kehangatan sambutan hari raya atau rumah terbuka masih berterusan. Seperti tahun sebelumnya, hari raya terus diraikan sehingga melangkah ke  bulan Zulkaedah. 

Kuih raya pun banyak yang sudah habis, inilah masa untuk membuat kuih raya yang baharu. Aku telah menyediakan Almond Cluster yang agak mudah disediakan dengan hanya menggunakan 2 jenis bahan. Sedap rasanya sehingga tidak terasa ianya semakin dihabiskan.

Resepi Almond Cluster
Bahan2:
500 gram badam hiris
250 gram coklat susu compound
Cawan kertas
Coklat putih untuk hiasan

Cara Membuatnya:
1.Bakar badam pada suhu 170 C sehingga keperangan atau masak.Sejukkan.



2.Cairkan coklat susu compound.
3.Gaulkan badam bersama coklat sehingga rata. Sudukan adunan dan masukkan
   ke dalam cawan kertas. Boleh hiaskan dengan bahan yang sesuai.
4.Biarkan coklat keras sepenuhnya pada pada suhu bilik.Boleh juga dimasukkan
   sebentar ke dalam peti sejuk supaya lebih cepat keras.
5.Masukkan ke dalam bekas kedap udara.


Isnin, 25 Jun 2018

Rasa Dapurku (279) - Biskut Kelapa Asli



BismillahirRahmanirRahim


Rupa kurang namun rasanya memang sedap.


Satu-satunya kuih raya yang mampu aku hasilkan pada bulan Ramadhan tahun ini. Letihnya setelah 4 kali membakarnya. Pastinya aku kagum dengan mereka yang mampu menyediakan pelbagai jenis kuih raya di bulan Ramadhan. Serik rasanya lalu aku menyambung projek membuat kuih raya selepas pulang beraya. Buat kuih raya di bulan Syawal pun ok juga.

Resepi ini diambil dari FB Koleksi Resepi. Kebanyakan komen menyatakan ianya sedap. Ada yang kata rasa macam kuih bangkit santan. 

Resepi Biskut Kelapa Asli
Bahan2:
1 1/2 cawan marjerin jenama Planta
1 cawan gula halus
1 biji telur
Secubit garam
1 1/2 cawan kelapa mesin - digoreng sehingga keperangan
1 sudu teh esen vanila
2 cawan tepung ubi
1 cawan tepung gandum

Cara Membuatnya
1.Kacau marjerin dengan gula sehingga sebati.
2.Masukkan telur dan garam dan gaul sehingga sebati.
3.Masukkan tepung gandum dan tepung ubi, uli hingga tepung tidak lekat di tangan.
4.Canaikan dan terap mengikut acuan yang disukai.Jika rajin boleh sapu kuning telur di atasnya.


5.Bakar pada suhu 170 C sehingga garing dan kekuningan.


Selasa, 19 Jun 2018

Travelog Tunisia (1) : Kuala Lumpur - Jeddah - Tunis




Alhamdulillah kembara kami di Tunisia bermula pada 9 Disember 2017 selama dua minggu. Tiket sudah kami tempah 4 bulan sebelum penerbangan. Urusan tempat tingga, kami minta seorang kenalan sahabat suami aku uruskan.

Tiba di Tunis.


Kami menaiki Saudia jadi kami transit di Jeddah. 





Ini Ros Padang Pasir.


Tangga untuk ke bahagian belakang villa



Ruang duduk santai bersama keluarga dengan hiasan mozek


Puas tengok bunga ros di laman.





zias/tunisia/18

Sabtu, 16 Jun 2018

Eid Mubarak 1439H / 2018M



Assalamualaikum Waramatullahiwabarakatuh.

Taqabalallahu minna wa minkum.

'Semoga Allah menerima dari kami dan dari kamu
semua akan segala amalan dan ibadah yang kita 
lakukan di bulan Ramadhan ini'


Tahun ini aku beraya di Melaka bersama keluarga sebelah suami. Seperti biasa amalan bergambar di pagi raya sudah menjadi trend terkini.Layan je....


Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Di bawah pohon pokok mata kucing...

Bersama Bonda 

Keluarga Tn Hj Basri
Keluarga En Badarin
Kaum Hawa 
Empat famili  
Gaya orang muda2

Gaya orang lama...

Kongsi gambar keluarga di Penang.

Tahun ini tidak balik ke Penang, salah satu sebabnya ialah ketiadaan emak di kampung. Emak bersama abang sekeluarga dan kakak beraya di Madinah tahun ini.Semoga selamat kembali bersama Umrah Mabrur. Amiin.

Rombongan umrah.
Keluarga yang menghantar ke KLIA.... terasa mahu terbang sama. Ya Allah rindunya untuk ke sana lagi.
Sudah tiba di Mekah dan baru selesai menunaikan umrah di awal pagi 17/6/2018.


Kunjungan Keluarga dari Melaka 

Keluarga Abang yang baru kembali dari mekah
Anak saudara dari Penang
Geng mengaji

Geng mengaji

Geng mengaji di rumah Kak Sal.

Geng Riyadh di rumah Kak Afi

Buat semua yang mengikuti blog ini.


                             Selamat Hari Raya. Maaf Zahir & Batin.


Ahad, 3 Jun 2018

Rasa Dapurku (278) - Rendang Ikan Tongkol



BismillahirRahmanirRahim


Antara amalan yang dianjurkan di bulan Ramadhan ialah memberi sedekah. Ibadah ini tidak terhad kepada pemberian harta dan wang ringgit. Terdapat 17 amalan lain yang boleh dikategorikan sebagai sedekah yang membolehkan kita mendapat ganjaran pahala oleh Allah SWT. Iaitu:

1.Berdoa untuk keluarga, sahabat handai dan mereka yang memerlukannyaa
2.Sebarkan ilmu yang bermanfaat
3.Memberi nasihat yang baik
4.Senyum kepada saudaramu
5.Memberi pertolongan kepada orang lain
6.Memberi masa kepada keluarga dan ibubapa
7.Memberi pendidikan kepada anak-anak (tarbiyyah)
8.Bersabar dengan dugaan dan kebergantungan kepada Allah SWT
9.Memberi peringatan kepada rakan supaya berada di jalan Allah SWT
10.Menghalang perbuatan jahat
11.Bercakap dengan lemah lembut
12.Memberi maaf kepada mereka yang meminta
13.Menghormati orang lain sama ada tua atau yang muda
14.Bergembira dengan kejayaan orang lain, jauhi rasa iri hati atau cemburu
15.Menziarahi orang sakit
16.Membuang halangan di jalan
17.Memberi nafkah kepada ahli keluarga terutama isteri.

Semoga catatan ini juga menjadi sedekah.


Kari Ikan Tongkol atau Ikan Kayu memang sedap, lebih-lebih lagi jika dimakan dengan Nasi Dagang.
Masak Kicap Ikan Tongkol juga kerap membuka selera. Namun kedua-dua masakan ini memerlukan kita merebus ikan tersebut terlebih dahulu bersama garam dan sam keping.

Rupanya Rendang Ikan Tongkol pun sedap, boleh dimakan untuk berbuka puasa atau sewaktu sahur.
Resepi diambil dari FB Dapur Selesa kiriman laila safiah. Ianya adalah resepi keluarganya. Sedap dan mudah untuk disediakan, sebab aku mesin sahaja bahan mentahnya.

Resepi Rendang Ikan Tongkol
Bahan2
4-5 ketul  keratan ikan tongkol 
1 biji bawang besar*
2 batang serai*
5-7 biji cili padi*
1 inci kunyit hidup*
Bahan * dikisar halus
1 senduk cili kering yang dikisar
2 keping asam keping
3 cawan santan sederhana pekat
Sehelai daun kunyit dihiris nipis
Garam
Sedikit gula jika perlu

Cara Membuatnya:
1.Ikan tongkol dibersihkan tanpa perlu direbus terlebih dahulu.
2.Masukkan semua bahan ke dalam sebuah kuali dan masak dengan api sederhana.
3.Masak sehingga rendang sebati dan sehingga hampir kering.






Jumaat, 1 Jun 2018

Rasa Dapurku (277) - Kerabu Pucuk Paku




BismillahirRahmanirRahim


Sudah lama aku ingin berkongsi frasa-frasa indah ini. Ianya dihantar melalui WhatsApp. Semoga ianya memberi kebaikan kepada sesiapa juga yang membacanya.

"Sesungguhnya Allah sangat mencintai orang-orang yang berbuat kebaikan"

Oleh kerana itulah orang yang berbuat baik, yang niatnya tulus Allah bahagiakan hatinya
Allah cerahkan wajahnya
Allah jernihkan fikirannya
Allah perindahkan perilakunya

Dan Allah Subhana wa ta ala menjadikan jalan
Kebahagian bagi yang lain
Kemaslahatan bagi yang lain
Kemuliaan juga bagi yang lain

"Sebaik-baik manusia adalah manusia yang paling banyak membawa manfaat"

Jika Allah memilih kita dan menjadi hamba yang penuh manfaat. 
Itulah anugerah yang sangat besar.
Di dunia bahagia, mulia dan selamat. 
Juga di akhirat kelak InshaAllah.
Oleh itu jadilah orang yang selalu 
Berfikir baik, 
Berkata baik, 
Berbuat baik dan 
Berhati baik
Kerana semua kebaikan kembali kepada kita

"Tiada balasan bagi kebaikan kecuali kebaikan"

Semoga kita jadi ahli kebaikan yang istiqamah sampai Khusnul Khotimah
Aamiin ya rabbal alamin.


Sudah lama aku tidak menikmati hidangan pucuk paku yang terkenal dengan kesan sejuk dan berangin. Ahhhh semua itu tidak aku peduli...makan ajelah.

Resepi Pucuk Paku
Bahan2:
1/2 ikat pucuk paku
1 cawan tauge 
1/2 cawan kelapa - digoreng dan dikisar
1 biji bawang besar -dihiris
4-5 biji limau kasturi - diambil airnya
1 sudu besar gula perang
Garam 
5 biji cili merah*
6 biji cili padi*
Bahan * dikisar
Sedikit udang hidup yang kecil, dibuang kulit dan direbus
1 batang serai dihiris nipis
Sedikit halia dihiris nipis
2 sudu besar air asam jawa

Gaul dalam dulang - memudahkan kerja.


Cara Membuatnya
1.Pucuk paku dipotong,dibasuh dan direbus bersama sedikit garam sehingga lembut.Toskan.
2.Tauge dibersihkan dan direndam sebentar dalam air panas mendidih.Toskan.
3.Sediakan semua bahan dan gaulkan bersama dengan bahan yang dikisar. Perisakan dengan
   garam dan gula secukupnya.

Selasa, 29 Mei 2018

Rasa Dapurku (276) - Apam Kampung



BismillahirRahmanirRahim




Meniti pertengahan bulan Ramadhan, terasa masa berlalu terlalu pantas. Semoga kita semua terus kuat dan bersemangat untuk  meraih pengampunan daripada Allah SWT. Amalan istighfar amat digalakkan di samping amalan-amalan lain seperti berwuduk juga menghadiri majlis-majlis ilmu. Ya Allah berikanlah kepada kami keikhlasan untuk beribadat sebagai tanda syukur akan nikmat yang Engkau diberikan. Amiin.

Resepi kali ini diambil dari FB Aneka Resepi. Sudah lama ingin mencuba kuih tradisi ini, sekali buat menjadi....sukanya.


Resepi Apam Gula Merah
Bahan2:
3 cawan tepung gandum
1/2 cawan gula merah
1/2 cawan gula pasir
1 1/2 cawan air 
1/2 cawan air suam
1/2 paket yis kering
1 sudu kecil gula
1 helai daun pandan

Cara Membuatnya:
1.Masak gula merah dan gula putih bersama air serta daun pandan.
2.Masak sehingga semuanya larut.Tapis dan sejukkan.
3.Masukkan yis dan gula ke dalam air suam. Kacau dan biarkan
   sehingga yis berbuih.
4.Masukkan tepung gandum ke dalam bekas yang sesuai/agak besar. Campurkan
   air gula dan yis. Kacau dengan whisk sehingga semuanya sebati, tiada ketul-ketul.
5.Perap selama 3 jam di dalam bekas tertutup.
6.Sapu loyang dengan minyak. Masukkan adunan ke dalam loyang dan kukus selama
   20 - 25 minit atau sehingga masak dengan menggunakan api besar.
7.Selepas masak, boleh dipotong dan gaul dengan kelapa.



Besar juga hasilnya...puas makan.

Isnin, 28 Mei 2018

Rasa Dapurku (275) - Kaswi Pandan Gedik



BismillahirRahmanirRahim




Alhamdulillah kerana dengan izinNya, sudah berlalu 10 hari pertama ramadhan. Hari-hari yang diturunkan rahmat dari Allah kepada manusia. Kini kita sedang melalui fasa kedua  bulan ramadhan yakni fasa 10 hari pertengahan ramadhan. Saat ini Allah banyak memberi maghrifah atau ampunan. Waktu untuk kita meminta ampun atas dosa-dosa yang telah kita lakukan. Ayuh kita memohon agar semua dosa-dosa kita dimaafkan dan taubat diterima.

Kali ini aku ingin berkongsi resepi kuih yang sedap untuk berbuka puasa. Resepi yang aku ubah suai sedikit setelah dua kali mencuba. Bagusnya resepi ini kerana menghasilkan bilangan kuih kaswi yang sesuai untuk keluarga kecil. Labih kurang 12 - 15 bekas, bergantung kepada saiz acuan. Aku menggunakan acuan kecil supaya lebih cepat masak dan tidak perlu tunggu lama untuk menyejukkannya.


Resepi Kaswi Pandan Gedik
Bahan2:
1 cawan tepung gandum
1 sudu besar tepung beras
1 sudu besar tepung ubi
1/2 cawan gula pasir
2 cawan air daun pandan (guna 4-5 helai daun pandan dan dimesin dengan air: 
hasilnya mesti jadi 2 cawan)
4 sudu besar air kapur
Setitik pewarna hijau
Kelapa putih dicampur sedikit garam.

Cara Membuatnya:
1.Campurkan tepung gandum, tepung beras, tepung ubi dan gula di dalam
   sebuah bekas yang sesuai.
2.Masukkan air daun pandan sambil dikacau perlahan sehingga semuanya
   sebati dan tidak berketul. 
3.Masukkan pula air kapur dan  pewarna. Kacau dan tapis.
4.Sapu sedikit minyak pada acuan dan tuang adunan di dalam acuan.
5.Kukus sehingga masak. Biarkan sejuk baru dikeluarkan dari acuan.
6.Gaul dengan kelapa yang dicampur garam.




Sabtu, 26 Mei 2018

Rasa Dapurku (274) - Ayam Pandan



BismillahirRahmanirRahim.




Salam Ramadhan Al Mubarak. Lamanya aku tidak menulis, sibuk betul rasanya. Ditambah dengan "mood' pilihan raya, segalanya tertangguh. Tanda hitam di kuku masih kelihatan, bukti telah melaksanakan tanggung jawab sebagai pengundi.

Kali ini aku ingin berkongsi resepi yang sedap iaitu Ayam Pandan. Resepi ini istimewa kerana ianya dibalut dengan daun pandan. Wangi sangat aromanya apabila ianya sedang digoreng. Sesuai sangat untuk hidangan berbuka puasa. Resepi diambil dari FB Koleksi Resepi. Jom cuba.

Namun habislah daun pandan aku yang ditanam di belakang rumah...huhu.

Resepi Ayam Pandan
Bahan2:
1/2 ekor ayam dibersihkan dan dipotong sederhana kecil
1/2 biji bawang besar*
1/2 inci halia*
1/2 inci kunyit*
1/2 inci lengkuas*
2 batang serai*
1 sudu kecil ketumbar*
1 sudu kecil  jintan manis*
15 biji cili padi*
2 sudu besar santan pekat - tak letak
1 sudu besar madu
Garam
Daun pandan
Lidi

Cara Membuatnya:
1.Kisar semua bahan yang bertanda *.
2.Gaul bahan kisar bersama dengan ayam, garam dan madu.
3.Balut daun ayam dengan daun pandan. Pandai-pandai le asal
   boleh dibalut. Untuk memudahkan kerja guna daun pandan
   yang panjang.
4.Cucuk bungkusan ayam dengan lidi supaya ayam kekal di dalam
   daun dan kemas.


Siap dibalut
5.Goreng ayam pandan dengan api sederhana sehingga masak atau
   berwarna perang.Angkat.
*Lebihan bahan kisar boleh disimpan untuk masakan lain.


Enak dimakan begitu sahaja



Selasa, 1 Mei 2018

Rasa Dapurku (273) - Bihun Goreng Singapura



BismillahirRahmanirRahim




15 Syabaan 1439H bersamaan dengan 1 Mei 2018 pun muncul. Semoga kita terus berbuat kebaikan dan memperbanyakan amal soleh sebagai persediaan menghadapi kedatangan bulan Ramadhan yang mulia.

Kali ini aku ingin berkongsi resepi Bihun Goreng Singapura. Bihun goreng yang berwarna putih penuh dengan sayuran pelbagai warna. Ianya begitu sedap dan boleh dimakan begitu sahaja. Kenapa dipanggil Bihun Singapura?Tak jumpa pula di google, kenapa dipanggil begitu. Lupakan saja, yang penting ianya sedap. Lebih sedap jika bihun yang digunakan tidak banyak kerenah, mudah lembut.


Resepi Bihun Goreng Singapura
Bahan2:
1/2 bungkus bihun - direndam selama 1 jam
1/2 mangkuk isi ayam yang dipotong dadu
2 biji telur
1 tangkai sawi
1/2 batang karot
1 biji cili merah
1/4 biji kubis bulat
3-4 jagung muda
3 ulas bawang putih -dikisar
1/2 biji bawang besar - dikisar
5-7 biji cili padi - dikisar
1 sudu kecil serbuk lada putih
1 sudu kecil serbuk lada hitam
Garam
Air secukupnya
Minyak masak

Cara Membuatnya:
1.Pecahkan telur di dalam sebuah mangkuk dan pukul supaya rata.
2.Panaskan minyak di dalam sebuah kuali, masukkan telur dan kacau sehingga masak
   menjadi telur hancur.Angkat dan ketepikan.
3.Masukkan minyak ke dalam kuali tadi, masukkan bawang putih, diikuti dengan bawang
   besar dan cili padi.Kacau sehingga berbau wangi.
4.Masukkan ayam, lada putih dan lada hitam. Kacau sehingga ayam hampir masak. Masukkan
   karot,cili,jagung dan air.Masukkan garam dan biarkan mendidih.
5.Masukkan bihun dan sayuran yang lain. Kacau sehingga bihun masak dan lembut.Masukkan
   telur dan kacau sehingga rata.Tutup api.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026.

  BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah, semalam berakhir PBAKL 2026 setelah berlangsung selama 10 hari. Banyak kisah menarik yang dikongsi...