Sabtu, 30 Julai 2022

Rasa Dapur KakJee (413) - Rendang Daging Korban

BismillahirRahmanirRahim



Minggu lepas abang KakJee, Abang Mat datang ke Kuala Lumpur kerana ada urusan yang perlu diselesaikan. Seperti biasalah, dia datang bersama dengan buah tangan. Jadi KakJee pun pergilah ke tempat yang dijanjikan.

Tu dia... ada dua guni buah cempedak, pisang, limau kasturi dan bekas plastik yang diisi dengan buah-buahan yang difrozenkan. Ada durian, rambutan dan nangka. Tidak ketinggalan daging korban, bahagian KakJee yang disimpan. 

Semuanya KakJee kongsikan dengan anak-anak buah yang tinggal di Lembah Kelang dengan syarat perlu datang ambil sendiri di rumah KakJee.  

Kebetulan Abang Mat pun belum sempat merasa daging korban kerana masih beku untuk dipotong. Jadi KakJee pun mengambil keputusan untuk buat rendang dan bekukan bahagian Abang Mat. Bila balik kampung naanti bolehlah bagi. Mestila sayang abang sebab dia sentiasa ingat akan adik beradik yang lain dalam semua hal.

Ingat nak buat Rendang Tok tapi biji rempah dan jintan manis tak cukup la pula. Jadi KakJee buat rendang Che Nom. Pernah dah buat rendang ni tapi tak sempat ambil gambar, jadi kita buat sekali lagi.

Resipi Rendang Daging Korban
Bahan2:
1 kilogram daging lembu
2 cawan minyak masak
500 gram santan pekat (ambil sedikit dan campurkan dengan 2 cawan air  - santan cair)
2-3 sudu besar kerisik
2 helai daun kunyit dihiris nipis
3-4 helai daun limau purut yang dibuang urat tengahnya
Sedikit gula Melaka
Garam
1 keping asam keping

Bahan kisar 1
1 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
3 inci halia
2 inci lengkuas
2 inci kunyit hidup
3 batang serai
15-20 tangkai cili kering direbus dahulu
Sedikit serbuk lada hitam

Kisar semua bahan di atas dengan bleder

Bahan kisar 2
1 sudu besar biji ketumbar
1 sudu kecil jintan manis
1 sudu kecil jintan putih

Bahan di atas disangai dan dikisar kering dengan blender

Cara Membuatnya:
1.Panaskan minyak dan masukkan bahan kisar 1, kacau sehingga pecah minyak.
2.Masukkan daging, bahan kisar 2 dan lada hitam,  kacau biar rata.
3.Masukkan santan cair, renehkan sehingga daging masak empuk. 
4.Bila daging dah lembut dan agak kering, masukkan santan pekat dan asam keping.
5.Tambahkan kerisik, daun kunyit dan daun limau purut..
6.Masukkan gula Melaka dan garam secukup rasa.

 *Cara potong daging : potong daging ikut arah lawan urat kira-kira 2 inci. Tengok arah selari urat dan potong arah yang bertentangan.


Selamat Mencuba.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...