Sabtu, 21 Disember 2019

Rasa Dapurku (318) - Popia Goreng Inti Pedas


BismillahirRahmanirRahim



Biasanya aku menggunakan inti popia yang sangat mudah iaitu sengkuang dan lobak merah yang diparut, tak perlu masak pun. Apabila nak makan ianya perlu dicicah dengan sos cili, baru sedap. Atau disira dengan cili. Kali ini aku mencuba resepi baru dengan inti yang dimasak terlebih dahulu. Rasanya yang pedas dan sedikit manis begitu menyelerakan. Lebih sedap kerana inti ini ciptaan sendiri.

Resepi Popia Goreng Inti Pedas
Bahan2:
Kulit popia Jenama Tisha's
1/2 biji sengkuang yang bersaiz besar -diparut
1 biji lobak merah - diparut
1/2 biji bawang besar*
2-3 ulas bawang putih*
1 sudu besar udang kering*
bahan bertanda * dikisar/ditumbuk
3 sudu besar cili kering kisar (ikut pedas masing-masing)
Garam dan gula perang secukupnya
Minyak masak



Cara membuatnya:
1.Panaskan minyak di dalam kuali dan masukkan bahan kisar dan kacau.
2.Masukkan cili kering dan goreng hingga garing.
3.Masukkan sengkuang, lobak merah, garam dan gula
4.Kacau sehingga lembut dan kering.Sejukkan.



5.Bolehlah dibungkus dengan kulit popia.Jangan lupa lekatkan bahagian hujung
   dengan bancuhan tepung gandum dan air.


6.Goreng popia yang siap dibalut sehingga garing menggunakan api yang sederhana.

Selamat mencuba.

Rabu, 4 Disember 2019

Travelog Eropah - Toko Layang Layang, Netherlands.


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh




Selamat menjalani percutian sekolah yang panjang. Tentu ramai yang mengambil kesempatan melancong bagi melihat keindahan alam ciptaan Allah di samping mengeratkan hubungan dalam keluarga.

Aku ingin berkongsi satu pengalaman menarik ketika kembara ke 12 negara Eropah selama sebulan (24/6/2019 – 25/7/2019). Kami menaiki kereta dan merentasi beberapa sempadan negara  sejauh 9500 kilometer.

4 hari 3 malam kami tinggal di Noordwijk Netherlands kira-kira 40 kilometer dari Amsterdam. Ketika berada di Sassenheim kami berjumpa sebuah kedai yang tertulis “Toko Layang Layang”. Apabila terbaca menu “Nasi Lemak” di depan kedai, terus sahaja kami masuk ke dalamnya.

Pekan yang cantik dan selesa.
Deretan rumah dan kedai di 
Ini dia  Toko Layang  Layang
Nasi Lemak RM34.00
Baca sendiri apa katanya...hihi

Ada ruang makan yang luas dan beberapa orang pelanggan sedang menikmati hidangan. Pelbagai jenis makanan seperti nasi goreng, nasi putih, nasi kuning bersama beberapa jenis lauk pauk. Ada cita rasa masakan Melayu, Indonesia, Thailand dan tempatan. Walaupun nampak menyelerakan namun kami masih kenyang waktu itu. Nasi lemak pula sudah habis maklumlah sudah pukul 7.00 malam yang masih terang.

Nasi goreng, nasi putih dan nasi kuning.

Nasi campur kot

Sedapnya

Ehh ada pula rak-rak yang dipenuhi dengan pelbagai jenis makanan  yang dibungkus , dalam tin dan dalam botol. Rempah ratus, pes pelbagai masakan, makanan ringan, santan kotak, mi segera jenama Indomie, ketupat Adabi dan banyak lagi. Di dalam peti sejuk pula, ada cili padi yang masih segar, halia, lengkuas, serai, makanan sejuk beku termasuk durian.



Kicap dan pelbagai jenis sos. Lupa tanya budu, cencalok, belacan ado?

Santan kotak pun ada, senang nak masak.

Pelbagai rempah ratus.

Makanan ringan

Mi segera Indomie dan Mama

Cantik je cili padi tu

Leka sekali aku melihat apa-apa barang yang boleh dibeli. Aku  terkejut apabila disapa oleh pemilik kedai, warga tempatan yang bercakap dengan fasih dalam Bahasa Melayu. Kami pun berkenalan dengan Puan Rohayu atau Puan Jose Perfors  dan pelbagai soalan dilontarkan kepadanya kerana kami terlalu gembira.

Rohayu berkahwin dengan warga Malaysia bernama Noorazmal Bin Md Noor. Kedai tersebut adalah milik mereka berdua dan merekalah yang menjadi chef. Terdapat beberapa orang pekerja lain yang membantu.

Malang sekali kami tidak berjumpa dengan Encik Noorazmal Bin Md Noor kerana beliau berada di luar kawasan. Kebanyakan barang-barang di dalam kedai tersebut dibekalkan oleh warga Indonesia kerana agak sukar mendapatkan bekalan dari Malaysia. Lagi pula ramai rakyat Indonesia disekitarnya.


Bersama Puan Rohayu yang sangat peramah.

Semoga perniagaan Puan Rohayu dan suami diberi keberkatan dan maju.

Kami diberi percuma sambal ikan bilis yang ternyata sangat enak, hasil tangan Encik Noorazmal Bin Md Noor. Gembiranya sebab sudah lebih seminggu tidak jumpa sambal ikan bilis segar. 

Bahagianya dapat makan nasi dengan kari dan sambal ikan bilis.

Terima kasih Puan Rohayu  serta Encik Noorazmal Bin Md Noor dan tiba masanya aku tunaikan janji untuk berkongsi pertemuan ini.

Jangan lepaskan peluang untuk singgah di Toko layang Layang  jika anda berada di Netherlands.




#Travel, Tulis, Terbit.

Ahad, 3 November 2019

Rasa Dapurku (317) - Ayam Nasi Kandar


BismillahirRahmanirRahim





Nasi Kandar memang sedap, tidak pasti lauk mana yang paling sedap kerana kuahnya dicampur bersama. Apabila terlihat resepi Ayam Style Mamak Nasi Kandar, aku mahu mencuba mana tahu jika ianya sama seperti yang pernah aku makan suatu ketika dahulu. Lama juga kami tidak menjamu selera di kedai mamak, bukan boikot. Terlalu banyak isu dan aku lebih gemar makan masakan yang dibuat sendiri. Resepi asal diambil dari FB Rasa.

Rasanya memang terlajak lazat terutama bagi aku yang suka masakan mamak.


Ayam Nasi Kandar
Bahan2:

1 ekor ayam dipotong kecil*
Sedikit garam*
Sedikit serbuk kunyit*
Minyak masak untuk goreng ayam

Gaul ayam bersama garam dan kunyit. Goreng hingga separuh masak.

Bahan Kisar
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
3 biji buah keras
4  biji cili hijau
2-3 tangkai daun kari
1 inci halia

Kisar semua bahan di atas.

Bahan Tumis
1 biji bawang Holland dipotong bulat
4 jenis penumis
2- 3 tangkai daun kari

Bahan Rempah
6 sudu besar rempah kari daging jenama Adabi
4 sudu besar serbuk cili jenama Mak Siti
1 sudu kecil serbuk jintan putih
1 sudu kecil serbuk jintan manis
3 susu besar serbuk kas-kas (tak letak)
Air

Campurkan semua bahan dengan air dan kacau hingga sekata.

3 sudu besar sos tomato
3 sudu besar sos cili

Cara Membuatnya:
1.Panaskan 1 senduk minyak yang digunakan untuk menggoreng ayam. Masukkan bahan tumis
   dan kacau sehingga naik bau.
2.Masukkan bahan bancuhan rempah dan kacau hingga pecah minyak. Boleh tambah air jika
   terlalu garing.
3.Masukkan sos tomato dan sos cili.
4.Tambahkan sedikit air dan masukkan garam. Biarkan mendidih dan perlahankan api.
5.Reneh hingga agak pekat.Tutup api.


Siap!

Ahad, 20 Oktober 2019

Rasa Dapurku (316) - Kuih Abuk-Abuk Sagu


BismillahirRahmanirRahim



Ini kuih lama, susah nak jumpa. Resepi yang mudah disediakan dengan bahan-bahan yang senang 
untuk dicari. Cuma untuk membalutnya, perlu kreatif. Resepi diambil dari FB rasa. Sedap!

Resepi Kuih Abuk-Abuk Sagu
Bahan2: 
1 cawan sagu biji
3 cawan air biasa untuk rendam sagu
1/2 cawan gula merah
2-3 sudu besar gula putih
1/2 biji kelapa parut
1/2 sudu teh garam
Daun pisang yang dilayur

Cara Membuatnya:
1.Rendam sagu dengan air dalam 20 minit. Toskan, pastikan betul-betul kering.
2.Masukkan sagu, kelapa, dan garam dalam sebuah bekas. Gaulkan supaya rata.
3.Campurkan gula merah dan gula putih dalam sebuah bekas lain, gaul rata.


Siap untuk membalut.

4.Daun pisang dibentuk macam corong, masukkan 1 sudu besar sagu dan ratakan. Masukkan
    1 sudu kecil gula. Kemudian masukkan 1 sudu besar sagu lagi ke dalam corong. Ratakan.
5.Bungkus kemas. Kukus selama lebih  kurang 30 minit dengan api sederhana.


Dapatlah 10 biji


Lembut je teksturnya.

Khamis, 3 Oktober 2019

Rasa Dapurku (315) - Sardin Roll


BismillahirRahmanirRahim




Mengimbau kenangan akan resepi pertama yang dipelajari ketika di sekolah menengah rendah.  Antara mata pelajaran yang diambil ketika itu ialah SRT (Sains Rumah Tangga). Terima kasih Cikgu Lim yang telah mengajar aku kemahiran asas memasak dan menjahit. Kedua kemahiran ini masih aku minati hingga saat ini. 

Sardin Roll memang sedap dengan kulitnya yang lembut dan isi sardin yang diminati ramai. Serius sedap, mak mentua yang usianya bakal mencecah 80 tahun pun mampu menghabiskan 2 ketui Sardin Roll ni. Puas betul dapat makan kerana sudah lama aku idamkan. Resepi ini diambil daripada banyakresepi.blogspot.com.

Resepi Sardin Roll Bakar
Bahan Pastri
300 gram tepung gandum
120 gram mentega
Air sejuk (Chiller)secukupnya
Sedikit garam

Cara Membuatnya:
1.Masukkan tepung ke dalam mangkuk besar.
2.Masukkan mentega yang dipotong kecil dan garam. Gaul sehingga menjadi seperti serbuk roti.
3.Campurkan air ke dalam tepung sedikit demi sedikit sambil diadun sehingga menjadi doh yang
   lembut dan licin. Tutup bekas doh dan rehatkan.

Bahan Inti
1 tin besar sardin 
1 biji bawang besar dipotong dadu
2 ulas bawang putih 
1- 2  biji cili merah dihiris nipis ( atau cili padi)
Sedikit garam
Sedikit perahan limau
Sedikit minyak untuk tumis

Sebiji telur - asingkan putih dan kuning telur

Cara Membuatnya:
1.Asingkan ikan sardin dari sosnya, buang tulang ikan dan hancurkan isi ikan.
2.Panaskan minyak dan masukkan bawang besar dan bawang putih. kacau sehingga wangi 
   dan layu.
3.Masukkan isi sardin dan sedikit sosnya. Masukkan perahan limau dan garam secukupnya.
   Kacau sehingga sebati dan masukkan cili.Sejukkan.
4.Canai doh tadi dan dapatkan saiz 4 inci  X 3.5 inci. Masukkan inti dan gulungkan. Sapu hujungnya
   dengan putih telur. Kelar permukaannya dengan pisau.
5.Bakar pada suhu 180 darjah celsius selama 10 minit. Keluarkan dan sapu dengan kuning telur.
   Bakar semula selama 15 - 20 minit.




Dapat 12 biji


Ahad, 15 September 2019

Rasa Dapurku (314) - Jus Sihat


BismillahirRahmanirRahim




Kali ini aku mahu berkongsi sejenis jus yang baik untuk kesihatan. Setelah beberapa kali membuatnya,  aku kongsikan di sini supaya senang untuk dirujuk. Dikatakan jus ini boleh menurunkan paras kolesterol, namun aku belum dapat mengesahkannya lagi kerana belum menjalankan ujian darah. Walau bagaimana pun kesan positifnya sudah dirasai seperti mudah berpeluh, rasa ringan tubuh badan, lawas ke tandas dan rasa sihat.

Resepi Jus Sihat
Bahan2:
500 gram bawang putih (buang kulit)
500 gram halia (buang kulit)
1 cawan perahan lemon (dalam 3-4 biji)
1 cawan apple cider
1 cawan madu Tualang (boleh lebihkan)
2 cawan air

Cara membuatnya:
1.Kisar bawang putih bersama 2 cawan air dengan menggunakan blender.
2.Tapis. Hasilnya digunakan untuk kisar halia. Tapis.
3.Masukkan hasil tapisan tadi bersama perahan lemon ke dalam periuk. Masak dengan api perlahan
   selama 30 minit. Angkat dan biarkan sejuk.




4. Campurkan dengan apple cider dan madu. Kacau hingga sekata.
5. Masukkan ke dalam bekas yang sesuai dan simpan di dalam peti sejuk.
6. Minum 1 sudu besar waktu pagi selepas bangun tidur (sebelum sarapan) dan 1 sudu besar  
    selepas makan malam atau 1/2 jam sebelum  tidur.

Hasilnya


Setelah dimasukkan ke dalam botol madu.

Selasa, 10 September 2019

Visit My Malaysia (12) - Royal Floria, Putrajaya



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh





Kali ini aku ingin  berkongsi pengalaman berkunjung ke Festival Royal Floria Putrajaya. Bermula 31 Ogos hingga 8 September 2019 di Taman Botani Putrajaya, Presint 1. Taman Botani Putrajaya tidak asing bagi kami kerana menjadi pilihan untuk berbasikal. Basikal boleh disewa dengan kadar RM8 satu jam pada hari biasa dan RM10 pada hujung minggu. Hari Selasa tutup ya. Dikatakan Taman Botani ini adalah 'Mother of All Gardens'  daripada 12 taman metropolitan di Putrajaya. 



Taman Botani yang luas dan cantik

                                                                                      RM5 untuk masuk

Depan pejabat Taman Botani

Laluan masuk ke gerai jualan dan pameran


Seluruh kawasan Taman Botani dihias indah dengan pelbagai spesis bunga dan pokok hiasan. Memang menyegarkan.







Gerai jualan pelbagai pokok pun ada



Ehhh...cam nak jatuh je





















Selain orkid pun ada

Pameran di dalam bangunan pula berlainan temanya.

Laluan yang menjadi tumpuan ramai

Orkid Diraja

Banyak sangat spesis orkid, antara yang menjadi pilihan.








Lebih 4 kilometer juga le berjalan hari ini di petang yang redup. Memang best!



Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026.

  BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah, semalam berakhir PBAKL 2026 setelah berlangsung selama 10 hari. Banyak kisah menarik yang dikongsi...