BismillahirRahmanirRahim.
Resepi ini diberi oleh Pn Azzah, rakan sekerja. Suatu hari aku mengeluh kerana Talam Keladi yang aku buat tidak menjadi, terlalu lembut dan sukar untuk dipotong.
"Azzah, kau ada resepi Talam Keladi?" Tanyaku kepada Pn Azzah yang sedang duduk berehat di
ruang rehat bilik guru.
"Ada...nanti aku bagi resepi, pasti jadi." Janji Pn Azzah yang tidak pernah lokek untuk berkongsi
resepi.
Kali pertama buat, kurang menjadi kerana aku tidak sabar menanti bahagian bawahnya masak sepenuhnya. Lama juga masa yang diambil untuk bahagian berwarna putih tersebut masak dengan sempurna.
Kali kedua aku mencuba , Alhamdulillah menjadi.
Resepi Kuih Talam Keladi.
Bahan2:
Lapisan Bawah
125 gram keladi, dipotong dadu dan direbus hingga lembut
2 1/2 cawan santan cair
140 gram tepung beras
1/2 sudu teh garam (boleh tambah jika kurang masin)
25 gram gula
1.Campurkan semua bahan kecuali keladi dan kacau sehingga semuanya
sebati. Masukkan keladi dan kacau. Masukkan ke dalam bekas yang
dialas dengan plastik tahan panas.
2.Kukus sehingga masak. Lebih kurang 1 jam lamanya. Balut penutup kukus
dengan kain.
Sementara menunggu lapisan bawah masak, boleh sediakan lapisan atas.
Lapisan Atas
3 biji telur
125 gram gula
87.5 gram tepung gandum
1 1/2 cawan santan pekat
Sedikit garam
Pewarna ungu
1.Campurkan semua bahan di atas dan kisar dengan blender.Tapis.
2.Tuang di atas lapisan bawah dan kukus sehingga masak.
3.Biarkan sejuk dengan sempurna jika boleh semalaman sebelum
dipotong.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan