Khamis, 6 Julai 2017

Rasa Dapurku (234) - Bubur Lambuk



BismillahirRahmanirRahim.





Bubur Lambuk yang juga dipanggil kanji menjadi buruan di bulan Ramadan.  Tidak mudah untuk mendapatkan bekalan Bubur Lambuk dari Kampung Baru yang terkenal itu. Sudah lama aku tidak merasainya. Terpaksa aku membuat Bubur Lambuk sendiri. Selepas itu, dua minggu di akhir Ramadan bubur lambuk menjadi santapan di waktu sahur dan ketika berbuka puasa. Aku masak satu periuk dengan sukatan satu cawan beras. Aku masukkan ke dalam bekas plastik dan menyimpan selebihnya di dalam ruang sejuk beku. Aku keluarkan satu bekas setiap kali mahu makan. Pastinya aku memanaskannya terlebih dahulu dengan sedikit air.  Lega rasanya berbuka puasa dengan bubur lambuk, bukan sahaja enak bahkan baik untuk kesihatan.

Resepi Bubur Lambuk.
Bahan2:
1 cawan beras wangi
Sedikit daging atau ayam yang dipotong kecil
(aku guna tulang daging yang dimasak terlebih dahulu)
1/2 - 1 batang lobak merah dipotong dadu
1/2 cawan santan pekat
1 batang serai diketuk
1 helai daun pandan
3 ulas bawang putih*
1/2 biji bawang besar*
1 inci halia*
bahan * dikisar
1 sudu besar serbuk rempah sup jenama Adabi
1/2 biji bawang besar dihiris nipis
1 sudu kecil halba
1 sudu kecil biji lada hitam
Sedikit garam
Sedikit minyak masak
Air secukupnya
Daun sup secukupnya
Daun bawang secukupnya

Cara membuatnya:
1.Masak beras bersama air yang banyak  di dalam sebuah periuk 
   sehingga hampir hancur.
2.Masukkan hirisan daging/ayam atau tulang daging lembu, lobak 
   merah, bahan kisar, halba, biji lada hitam, serai , daun pandan 
   dan serbuk rempah sup. Masak sehingga nasi lembik, tambah air jika perlu.
3.Masukkan pula santan, batang daun sup dan batang daun bawang
   yang dipotong kasar. Masukkan garam secukupnya. Masak sehingga
   lembut.Tutup api.
4.Panaskan sedikit minyak di dalam sebuah kuali. Masukkan bawang yang 
   dihiris nipis. Goreng sehingga garing, tuangkan bawang goreng bersama
   minyak ke dalam periuk dan tutup periuk dengan penutup periuk. 
   (Tumis darat)
5.Taburkan daun sup, daun bawang dan bawang goreng ketika mahu makan.
6.Masukkan daun sup dan daun bawang yang dihiris nipis ke dalam bubur
   lambuk sebelum disejukbeku.

Tumis darat. Boleh aje ditambah dengan 4 jenis
penumis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...