Selasa, 30 Jun 2020

Rasa Dapur KakJee (350) - Masak Lemak Labu Kuning Sama Pucuk Kacang Panjang


BismillahirRahmanirRahim



Benih pokok kacang panjang ini diberi oleh Makcik sebelah rumah jadi KakJee pun tanamlah. Tak sangka cepat tumbuhnya dan subur pula. Ada dua pokok, keduanya penuh dengan daun yang lebar. Setelah mendapat nasihat dari rakan-rakan melalui FB. KakJee membuang daun-daun yang sudah tua. Berkesan hanya untuk satu pokok, keluarlah bunga dan kacangnya. Namun yang satu pokok lagi ni tidak berbunga hingga sekarang.
Inilah pokoknya.

Kebetulan ada buah labu kuning yang sudah lama dibeli. Sudah KakJee buat Sira Labu  jadi yang sebelah lagi nak cuba buat masak lemak pula. Apa kata masak lemak tu KakJee campurkan dengan pucuk kacang panjang yang agak banyak tu. 

Jom petik. Ambil pucuk sahaja, daun yang lembut.

Meh tengok resepinya.

Resepi Masak Lemak Labu Kuning Sama Pucuk kacang Panjang
Bahan2:
1/2 biji labu kuning
1 cawan santan pekat
2 cawan santan cair
1 helai daun kunyit
1 batang serai diketuk
1/2 biji bawang besar
Garam secukupnya
Ikan bilis/ udang kering buat perencah (tak letak)

Cara membuatnya
1.Labu kuning dibuang kulitnya, guna pengupas kentang supaya kulit hijau labu yang kasar sahaja dibuang. Kekalkan bahagian hijaunya. Potong agak besar supaya tidak hancur nanti.


2.Rebus labu bersama santan cair, serai dan bawang sehingga empuk. Tambah air jika perlu.



3.Masukkan santan pekat, daun kunyit, pucuk kacang panjang dan perisakan dengan garam. Biar mendidih  dan tutup api.
4.Hidang bersama nasi putih, lebih ummph jika ada ikan masin atau pekasam.


Selamat Mencuba.

Jumaat, 26 Jun 2020

Rasa Dapur KakJee (349) - Nasi Ayam Diet KakJee


BismillahirRahmanirRahim

Nasi Ayam Diet

Nasi Ayam antara pilihan ramai rakyat Malaysia. Pelbagai versi Nasi Ayam yang boleh dibeli dengan harga yang murah dan memuaskan hati. Mengikut resepi tradisi untuk menyediakan nasi ayam, proses bermula dengan ayam direbus bersama bawang putih, bawang besar dan halia yang dikisar. Kemudian air rebusan ayam digunakan untuk memasak nasi dan menyediakan sup. Ayam pula digaul dengan kicap, madu, lada hitam dan serbuk cili lalu diperap. Kemudian ayam tersebut digoreng atau dibakar. Macam senang namun mengambil masa juga untuk disiapkan.

Kali ini KakJee ingin berkongsi resepi Nasi Ayam yang menyihatkan tanpa setitik pun minyak. Prosesnya pun senang dan yang penting ianya begitu sedap dan menyelerakan. Resepi ini adalah ubahsuai antara Nasi Ayam Thai dan Nasi Ayam Hainan. Tak sangka ianya begitu digemari oleh ahli keluarga. Jom tengok resepinya.😋

Resepi Nasi Ayam Diet KakJee
Bahan2:
2 cawan beras basmati direndam 1/2 jam
2/3 ekor ayam AzZain dibersihkan
1/2 biji bawang besar*
3 ulas bawang putih*
1 inci halia*
bahan * dikisar
1 batang serai diketuk
Akar daun ketumbar @ daun saderi (sup)
Daun bawang
Air
Garam
1 sudu besar mentega
Beberapa helai saffron
4  sekawan/ rempah penumis.
1 helai duan pandan
1 sup bunjut

Cara Membuatnya:
1.Didihkan air bersama bahan kisar, serai, akar ketumbar dan garam. Masukkan ayam dan biarkan sehingga ayam masak. Keluarkan ayam.
2.Ambil 3 cawan air rebusan ayam bersama serai ke dalam periuk yang sesuai. Masukkan 4 rempah penumis, saffron dan daun pandan. Masak sehingga  mendidih dan masukkan beras yang telah dibersihkan.
3,Apabila nasi sudah hampir kering masukkan ayam tadi di atas nasi dan mentega. Tutup periuk dengan penutupnya dan kecilkan api. Biarkan sehingga nasi betul-betul masak.


Masukkan ayam yang direbus setelah nasi hampir kering
Masukkan ayam dan mentega setelah nasi hampir kering.


Sup Nasi Ayam
1.Masukkan sup bunjut, penumis, batang daun bawang dan batang daun saderi ke dalam baki air rebusan ayam tadi.
2.Biarkan sehingga sup mendidih. Masukkan hirisan daun bawang, saderi dan bawang goreng.

Tambah kapsyen

Sos Nasi Ayam
3  cili merah saiz besar
2  cili padi merah besar
2 ulas bawang putih
1/2 biji tomato
Sedikit air rebusan ayam/ air
3 sudu besar sos cili

Kisar semua bahan di atas sehingga halus.Siap.
Taburkan sos ke atas hirisan nasi ayam sewaktu hendak makan.




💓Selamat mencuba.



Sabtu, 20 Jun 2020

Rasa Dapur KakJee (348) - Durian Goreng Rangup.


BismillahirRahmanirRahim





Alhamdulillah sebaik sahaja kebenaran rentas negeri diberikan kami mengambil peluang pulang ke kampung di utara tanah air. Demi tidak mahu melepaskan peluang menikmati musim buah-buahan yang sedang melanda negara. Seronok dapat kembali ke dusun durian legasi ayah bonda yang sudah berusia lebih 50 tahun. Jom layan beberapa keping gambar.

Dusun durian kami terletak di atas bukit. Jika cuaca okay, boleh naik dengan 4WD.


Suasana sekitar memang mendamaikan. Pokok pun dah berusia.

Tu dia buah durian.

Ada yang boleh dicapai tangan.
Abangaku yang mengurus sekarang.

Mengutip durian dilereng-lereng bukit dan membawanya turun adalah satu cabaran.
Hasilnya kutipan.
Pada musim durian tahun ini aku mendapat resepi baru yang sedang popular di kampung sekitar kawasan dusun durian yang terletak di Sungai Rambai, Kedah. Kuih Durian Goreng dijual dengan harga 50 sen sebiji begitu popular di gerai-gerai. Durian yang belum masak sepenuhnya atau lebih dikenali sebagai durian mangkak biasanya dibuat bubur durian namun ada yang membuangnya jika terlalu keras. Cara membuatnya seperti kita menggoreng cempedak. Makan sewaktu panas sangat menyelerakan kerana aroma bau durian yang sedap. Sedar tak sedar habis sepinggan.
Jom tengok resepi pula.

Resepi Durian Goreng
Bahan2
Isi durian yang mangkak bersama bijinya.
4- 5 sudu besar tepung gandum
Sedikit serbuk kunyit
Sedikit garam.
Air secukupnya
Minyak masak


Durian mangkak @ yang masih keras.

Cara Membuatnya:
1.Campurkan tepung bersama kunyit dan garam.
2.Masukkan air sedikit demi sedikit sehingga terbentuk adunan tepung yang agak cair tetapi boleh salut isi durian. Adunan tepung mempengaruhi rangupnya durian goreng.



3.Celupkan isi durian dalam adunan tepung satu persatu dan masukkan ke dalam minyak yang sudah dipanaskan.
4.Goreng sehingga garing atau kekuningan. Angkat dan toskan.
5.Ulang hingga habis.


Makan waktu panas... sedap nih.


Jangan lupa ya untuk mencuba.

Selasa, 2 Jun 2020

Rasa Dapur KakJee (347) - Nasi Kari Daging


BismillahirRahmanirRahim




Nasi Kari Kambing Adabi menjadi resepi viral kebelakangan ini sehingga Kari Kambing Adabi kehabisan stok di kedai-kedai. KakJee pun terfikir untuk memasaknya, kebetulan KakJee ada menyediakan kari daging untuk hidangan hari raya. Jadi KakJee lebihkan sedikit kuantitinya untuk disejukbekukan. Selebihnya untuk dimakan bersama lemang. Seminggu berlalu KakJee gunakan lebih kurang semangkuk kari daging untuk dibuat nasi kari daging. KakJee buat dalca untuk dimakan bersama dengan nasi kari daging. Buka selera betul, warnanya juga lebih kurang nasi tomato. Sedap!

Resepi Nasi Kari Daging
Bahan2:
1 mangkuk kari daging
2 pot kecil beras basmati direndam 20 minit
1 biji bawang besar dihiris
4 jenis penumis
1 helai daun pandan
1 sudu besar mentega dan 1 sudu besar minyak masak
3 pot kecil air
1/4 tin susu cair
Garam secukup rasa
Akar ketumbar (tak letak pun takpa)

Cara membuatnya:
1.Bersihkan beras dan masukkan ke dalam periuk.
2.Panaskan mentega dan minyak masak dalam kuali. Masukkan bawang besar, daun pandan dan 4 jenis penumis.Kacau sehingga wangi.
3.Masukkan kari daging dan kacau sebati.



 4.Masukkan air, susu cair dan garam, biar mendidih.

Satu rumah bau kari..punyala wangi nak habaq.
5.Tuangkan ke dalam periuk yang ada beras tadi. Masak nasi seperti biasa. Bila hampir kering boleh gaul supaya rata.
6.Nanti kita try nasi kari kambing pula naa.

Mudah sangat.

Selamat Mencuba.

Khamis, 28 Mei 2020

Rasa Dapur KakJee (346) - Kek Kukus Masam Manis



BismillahirRahmanirRahim



Semuanya bermula apabila KakJee share resepi Kek Kukus Masam Manis di FB buat suka-suka, sehari sebelum hari raya. Tidak berniat untuk membuatnya lagi, mungkin lain hari dan simpan dahulu. Tiba-tiba rakan FB Puan Masita dan Puan Norjah kongsikan gambar kek yang telah mereka buat dengan jayanya. Sedap katanya. Asalnya KakJee mahu buat kek lain bergantung kepada bahan mentah yang ada sempena hari raya.

Setelah suami KakJee berjaya membeli bahan mentah utama iaitu haw haw flake, KakJee  pun nekad untuk mencuba kek ini. Lalu KakJee minta resepi Puan Masita, resepinya berbeza kerana menggunakan biskut tawar bagi menggantikan tepung gandum. Ada juga yang menggunakan bisku marie, terpulang kepada citarasa  masing-masing. 

Kek Kukus Masam Manis ini agak lembab dan tidak terlalu manis dan tidak jemu dimakan. Walaupun proses menyediakannya agak mengambil masa namun puas hati dengan hasilnya. Jom tengok resepinya.

Resepi Kek Kukus Masan Manis
Bahan2:
250 gram mentega
5 biji telur B
1 cawan gula caster
1/2 cawan susu pekat
1 1/2 cawan tepung biskut tawar (biskut tawar dikisar halus dan ditapis)
1 susu kecil soda bikabonat
Asam manis Haw Haw flake secukupnya
Pewarna kuning telur
Pewarna hijau epal

Cara Membuatnya:
1.Pukul mentega bersama gula hingga lembut.
2.Masukkan telur satu demi satu sambil dikacau.
3.Masukkan susu pekat dan kacau lagi.
4.Masukkan soda bikarbonat dan tepung biskut tawar sedikit demi sedikit.Kacau hingga sebati.

Adunan kek dah sebati
5.Panaskan kukusan.
6.Bahagikan adunan kepada 5 bahagian.3 bahagian untuk warna kuning dan 2 bahagian untuk warna hijau.
7.Masukkan pewarna ke dalam adunan dan kacau rata. Bahagikan kepada 3 bahagian untuk warna kuning dan 2 bahagian untuk warna hijau. Ini untuk mendapatkan lapisan yang sama saiz.
8.Guna loyang 7x7 inci. Sapu loyang dengan marjerin dan alaskan dengan kertas minyak di bawahnya.
9.Letakkan lapisan warna kuning dan ratakan. Kukus selama 10 -12 minit. Balut penutup pengukus dengan kain. Apabila masak, keluarkan dan susun asam manis di atas adunan yang sudah masak.


Siap lapisan pertama

10.Letak pula adunan warna hijau dan ulang sehingga 4 lapisan.
11.Untuk lapisan akhir, kukus dahulu 5 minit kemudian letakkan lapisan asam manis dan teruskan kukus selama 25 minit.
12. Sejukkan sebelum potong.



Sejuk...boleh potong.

Isnin, 25 Mei 2020

SALAM AIDIL FITRI 1441H




Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh


Taqabbalallahu minna wa minkum

Semoga Allah  menerima puasa kita dan menjadikan kita kembali
(dalam keadaan suci) seterusnya tergolong dalam orang-orang yang
mendapat keambunan dan keredhaanNya




Alhamdulillah diberi Allah SWT kerana diberi kesempatan menghirup udara segar 1 Syawal 1441H bersamaan 24 Mei 2020. Pengalaman yang tidak mungkin dilupa oleh setiap umat Islam di mana kita menyambutnya dalam suasana yang amat berbeza. Tidak pernah terfikir diruang imiginasi kita menunaikan solat sunat Aidilfitri di rumah masing-masing. Juga tidak boleh berziarah ke rumah saudara mara, rakan taulan hatta jiran tetangga. Semuanya dilakukan demi mematuhi arahan pihak berkuasa yang melaksanakan PKPB sempena pandemi Covic-19 yang sedang melanda seluruh dunia.
Sesungguhnya ianya adalah pengalaman baru yang amat bermakna untuk dikenang.

Aku kongsikan gambar-gambar kenangan pada hari 1 Syawal.


Khutbah dibaca oleh ketua keluarga usai solat sunat hari raya.

Menjamu selera di pagi hari raya

Menu utama: Ketupat, Lodeh, Kari Daging, Rendang Ayam dan Kuah Kacang
Kek Lapis Masam Manis dan Lemang
Sedikit kuih raya yang dibeli
Bergambar aje le
Bergambar lagi


Kami mengambil keputusan untuk ke Putrajaya bagi merakam suasana hari raya. Maklumlah tidak dibenarkan melepasi sempadan antara negeri. Namun tidak disangka orang ramai turut bertumpu di sekitar kawasan dataran Masjid Putra Putrajaya. Akhirnya pihak polis menutup jalan di sekitarnya.


Pihak Polis mula melakukan sekatan.

Merayaulah kami mencari tempat lain.

Tidak jauh dari Masjid Besi Putrajaya

Posing sikit

Malamnya kami ke Kuala Lumpur, namun suasananya agak muram. Sempat ziarah kakak ipar.

Jalan raya pun agak kosong.

Bahagianya beraya dengan buku sendiri.

#Stayathome

Rabu, 13 Mei 2020

Jom Buat Sampul Duit Raya @ Duit Kenduri



BismillahirRahmanirRahim



Ini projek akhir tahun lepas. Idea muncul apabila stok sampul duit raya kehabisan untuk dikitar semula sewaktu hadir ke majlis perkahwinan. Namun kaedah yang sama boleh digunakan untuk menyediakan sampul duti raya. Hanya menggunakan kertas pembalut hadiah dan beberapa bahan dan alat lain seperti pembaris, gunting dan gam. So, lain kali kita simpan kertas pembalut hadiah untuk dibuat sampul duit raya atau sampul duit kenduri. 

Hasilnya

 1 keping pembalur hadiah akan menghasilkan : 4 x 3 = 12 keping sampul.

Jom tengok caranya:

Bahan yang diperlukan.


Potong kertas pembalut hadiah kepada 4 bahagian yang sama saiz

Lipat dan potong pula kepada 3 bahagian yang sama saiz (4x3 =12)

Lipatkan bahagian kanan dan bawah. Lipat kecil sahaja.
Kemudian lipat dua.

Ukur bahagian yang akan dipotong di bahagian atas. Kemaskan  bahagian yang dijadikan penutup

Selepas dipotong. Gamkan sekelilingnya kecuali bahagian penutup.

Dah siap. Boleh dihias mengikut kreativiti masing-masing



Selamat mencuba.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026.

  BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah, semalam berakhir PBAKL 2026 setelah berlangsung selama 10 hari. Banyak kisah menarik yang dikongsi...