Isnin, 23 November 2015

Dapurku D'Riyadh (83) - Lemon Chicken Chinese Style



Terasa mahu mencuba masakan Chinese pula, asyik masak makanan Melayu, Arab, India dan Pakistan sahaja. Semenjak beberapa hari aku lihat beberapa orang rakan FB yang 'share' resepi ayam masak lemon. Tergerak pula hari untuk mencubanya.

Bismillahirrahmanirrahim.

Resepi Lemon Chicken
Bahan2:
Untuk ayam:
2 keping ayam bahagian dada dipotong dalam saiz sederhana
1 biji telur
2 sudu kecil lada sulah
Sedikit garam
3 sudu besar tepung jagung
1 sudu besar kicap (aku guna kicap manis)
Gaulkan ayam bersama semua bahan dan goreng sehingga
masak.Ketepikan.

1 cawan air rebusan ayam
1/4 cawan perahan lemon(boleh kurangkan jika tidak mahu masam)
2 sudu besar gula
2 keping hirisan lemon
Bancuhan tepung jagung (air+tepung)
Minyak


Cara membuatnya:
1.Panaskan minyak di dalam kuali.Masukkan air rebusan
   ayam.
2.Masukkan air lemon, hirisan lemon dan gula.Kacau.
3.Masukkan bancuhan tepung jagung dan kacau hingga pekat.
4.Masukkan ayam dan biarkan sehingga kering.
5.Taburkan bijan yang disangai dan hirisan bawang besar.


Rasa masam dan manis. Sedap tetapi tak pedas.

Dapurku D'Riyadh - Aneka Idea Bentuk Roti


Minat untuk menguli dan membentuk roti kian membara. Untuk tidak lupa beberapa teknik menyediakan pelbagai bentuk roti, aku simpan dulu di sini. Semuanya diambil dari FB yang dikongsi oleh rakan-rakan FB.






















Dapurku D'Riyadh - Petua2 Di Dapur (3)


Lagi petua-petua yang boleh diguna di dapur atau apabila perlu.

















Dapurku D'Riyadh (82)- Burung Puyuh Masak Merah


Masakan ini seperti memasak sambal ayam cuma ditambah serai dan penumis untuk menambah rasa enak.
Mudah disediakan dan sesuai untuk dimakan bersama nasi putih, nasi tomato atau nasi minyak.


Bismillahirrahmanirrahim

Resepi Burung Puyuh Masak Merah
Bahan2:
6 ekor burung Puyuh(boleh ganti dengan ayam)
1 senduk cili kering kisar
2 biji bawang besar
5 biji bawang putih
1 inci halia
(1 biji bawang besar, halia dan bawang putih dikisar)
2 batang serai
2 sudu besar sos cili
Air asam secukupnya
Penumis
Sedikit Gula Melaka
Garam
Kunyit
Minyak Masak

Cara Membuatnya
1.Burung puyuh dipotong, dibersihkan dan digaul dengan garam
   dan kunyit. Goreng sehingga hampir masak. Jangan terlalu garing. 
2.Masukkan penumis ke dalam periuk yang mengandungi minyak 
   yang digunakan untuk menggoreng burung puyuh.
3.Masukkan 1 biji bawang besar yang dihiris.Kacau sehingga garing.
4.Masukkan bahan kisar dan goreng sehingga naik bau.
5.Masukkan cili kisar, serai yang diketuk, garam dan gula.Kacau
   sehingga garing. Masukkan sos cili.Kacau sekejap.
6.Masukkan air asam dan biarkan kuah menjadi agak pekat.
7.Masukkan burung puyuh dan biarkan sehingga pecah minyak.
   Gunakan api perlahan. Jika suka masukkan bawang besar yang
   dibelah 4 sebelum tutup api.


Dapurku D'Riyadh (81) - Aneka Puff



Resepi yang mudah disediakan dan sedap dimakan. Puff Pastry sentiasa  ada di dalam peti sejuk di rumahku.
Ianya boleh digunakan bila-bila masa terutama jika ada tetamu yang akan berziarah ke rumah. Atau jika aku mahu menghadiri program yang memerlukan kami membawa makanan untuk dimakan bersama. Intinya pula boleh di pelbagaikan dan yang paling mudah aku menggunakan lebihan inti kentang bercampur ayam yang biasa aku sediakan untuk membuat karipap, pau dan samosa. Aku merujuk Blog Mat Gebu untuk menghasilkan pelbagai puff yang enak.

Jenama Puff Pastry yang menjadi pilihanku

Bismillahirrahmanirrahim

Penyediaan Kepingan Puff 
Keluarkan puff pastry dari peti sejuk terlebih dahulu
Potong ikut bentuk yang dikehendaki ketika masih separuh keras
(jangan sampai lembut nanti susah untuk dibentuk)
Mesti ada 2 keping, bahagian bawah dan bahagian atas.
Kelarkan bahagian atas puff terlebih dahulu sebelum dibentuk
Selepas dibentuk sapukan kuning telur yang dicampur
sedikit susu cair di atasnya.
Bakar di dalam oven pada suhu 190 C selama 20-25 minit
atau sehingga kuning keemasan.

Resepi Epal Puff

Inti Epal
2 biji epal hijau
Sedikit kismis
1/4 sudu kecil serbuk kulit kayu manis
2 sudu besar gula perang
1/2 sudu teh tepung jagung
2 sudu besar air
(tepung jagung dan air disatukan)
2 sudu besar mentega
1/2 sudu kecil jus lemon(jika suka)
Secubit garam

Cara membuatnya:
1.Kupas kulit epal dan dipotong dadu kemudian direndam dalam air.Toskan.
2.Panaskan mentega dalam kuali, masukkan epal dan goreng hingga layu.
3.Masukkan kismis,gula,garam dan serbuk kulit kayu manis.
4.Kacau dan masak sehingga epal lembut. Masukkan jus lemon dan bancuhan
   tepung. Kacau rata dan biarkan pekat/kering .Sejukkan.
5.Potong dua puff pastry, masukkan inti dan tutup. Kemaskan dengan garpu
   disekelilingnya.

Epal Puff

Resepi Sardine Puff
Inti Sardin
1 tin kecil sardin, dibuang kuahnya
1 ulas bawang putih- cincang halus
sedikit hirisan halia- cincang halus
1 biji bawang besar- didadu
1 sudu kecil cili kisar
1/2 sudu besar sos cili
3/4 sudu besar kicap cair(jika suka)
sedikit jus lemon
Garam
Sedikit minyak zaitun
Cara Membuatnya:
1.Panaskan minyak di dalam kuali, masukkan bawang besar, bawang putih
   dan cili .Goreng hingga garing.Masukkan sos, kicap dan sardin yang sudah
   dihancurkan. 
2.Kacau rata dan masukkan jus lemon. Biarkan sehingga
   masak dan sejukkan.
3.Potong dua puff pastry. Masukkan inti dan gulung. Kelarkan dengan pisau
   di atasnya sebelum disapu dengan kuning telur.

Sardine Puff

Resepi Curry Puff
1.Inti kentang bersama ayam disediakan(inti karipap)
2.Masukkan inti ke dalam puff pastry dan tutupkan dalam bentuk tiga segi.
3.Kemaskan kelilingnya dengan garpu dan kelar sedikit permukaan atasnya.
4.Sapu dengan kuning telur.


Curry Puff




Dapurku D'Riyadh (80) - Lempeng Kentang



Hidangan berasaskan kentang begitu popular di Riyadh. Kentang goreng menjadi sumber karbohidrat yang dihidang bagi menggantikan nasi. Ada juga hidangan nasi yang dicampur dengan kentang seperti nasi biryani atau nasi Arab. Kami sekeluarga juga gemar dengan hidangan berasaskan kentang. Banyak kentang di dapur lalu aku mencuba resepi berasaskan kentang pula buat sarapan pagi. Cuaca yang semakin sejuk menambah selera untuk menikmatinya. 


Bismillahirrahmanirrahim

Resepi Lempeng Kentang 
Bahan2:
3 biji kentang 
1 biji telur
1 sudu tepung gandum
Sedikit daun bawang dihiris halus
Sedikit daun ketumbar dihiris halus
Sedikit serbuk lada hitam
Garam secukupnya
1 tangkai cili merah/hijau
Minyak zaitun untuk mengoreng

Cara membuatnya:
1. Kentang direbus tetapi jangan terlalu empuk(elok
    rebus malamnya) dan disagat.

2.  Gaul kentang yang disagat bersama daun bawang, daun ketumbar, cili, 
     serbuk lada hitam, garam, telur dan tepung.



3.Bentukkan bulat2 dan leper, lebih mudah guna acuan.
4.Panaskan sedikit minyak di dalam frying pan dan goreng
   sehingga kekuningan.



5.Hidangkan. 



Boleh dimakan begitu saja atau
dicicah dengan sos cili.




Travelog: Oh! Riyadh (77)-Ladang Almarai , Kharj.

Ladang Almarai , Kharj.


Cerita Minggu lepas. Berpeluang menikmati Nasi Kerabu yang disediakan oleh Pn Amy, kenalan sewaktu mengerjakan haji tahun lepas. Saffura suka sangat Nasi Kerabu tidak tahu kenapa, sebab Saffura hanya makan nasi, ayam, kuah, sambal dan keropok sahaja.Yang lain tidak disentuhnya. Aku pun suka juga tapi aku lebih minat menikmati keenakan lada yang disumbat dengan pes ikan bercampur kelapa @ solok lada tu. Teringat sewaktu aku mengajar di Kuantan, saban hari nasi kerabu disediakan sewaktu sarapan pagi. Ikan bersalut tepungnya memang enak. Nasi Kerabu yang Pn Amy sediakan lengkap dengan ikan salut tepung di samping ayam goreng cuma kurang sedikit, tidak ada telur masin. Memang enak. Aku tidak pernah menyediakan Nasi Kerabu sendiri kerana agak renyah untuk menyediakan pelbagai keperluannya lagi pula En. suami tidak mengemarinya.


Set nasi Kerabu - SR25 satu pek

Cuaca yang nyaman memberi dorongan untuk sesiapa sahaja keluar dari rumah untuk menikmatinya. Kami bergerak selepas Zohor ke Kharj untuk melihat Ladang dan Kilang Almarai yang terletak lebih kurang 150 km dari Riyadh. Sudah lama kami merancang untuk ke sana tetapi asyik tertangguh sahaja. Kenapa ke sana? Almarai satu jenama yang amat popular di Arab Saudi. Jika kita berada di Lebuh raya, pasti kita akan bertemu dengan lori-lori besar membawa barang berjenama Almarai untuk diedarkan di seluruh Arab Saudi. Ianya juga dikenali di sekitar Teluk Arab. Almarai mengeluarkan pelbagai barangan berasaskan susu seperti susu segar, laban, yogurt, krim, cream cheese, monzarella dan  banyak lagi. Juga jus buah-buahan, makanan seperti croissant, pai, roti dan bermacam lagi. Almarai juga menjual ayam berjenama Alyoum sama ada ayam segar atau yang sudah diperap dengan pelbagai resepi. Pendek kata produk jenama Almarai memang menjadi pilihan kami.




Sepanjang perjalanan ke  Kharj, kelihatan banyak kilang-kilang di sekitarnya kerana Kharj merupakan kawasan industri.


Saudi Electricity Company

Tiba di Bandar Kharj kelihatan mercu tandanya yang unik. Sekitar menara ini kelihatan bunga-bunga pelbagai warna. kami meneruskan perjalanan masuk ke kawasan bandar. Tidak seperti Buraidah yang memiliki banyak taman-taman menghijau, Kharj kelihatan agak berserabut. Seolah sebuah bandar yang tidak dirancang dengan baik. Tidak pula kelihatan deretan hotel-hotel berbintang-bintang namun banyak kedai-kedai di sekitarnya.



Untuk ke Ladang Almarai memerlukan masa lebih kurang 35 minit dari Bandar Kharj. Selepas makan tengahari kami pun meneruskan perjalanan. Kelihatan ladang-ladang kurma yang agak luas di kiri kanan jalan, berselang seli dengan bangunan kilang. Buah kurma mula mengering di tangkainya, dibiarkan begitu sahaja. Di sebelah kiri kelihatan deretan gunung-gunung yang rata permukaannya, cantik. Semakin jauh kami ke hadapan, terdapat pula kawasan menghijau tetapi agak jauh dari jalan. Sedang bahagian berhampiran jalan kosong sahaja. Terdapat kilang-kilang tepung, ada yang besar dan ada yang kecil saiznya. Pasti kawasan menghijau yang kami lihat merupakan kawasan penanaman gandum. Terdapat binaan untuk menyimpan hasil tanaman, ada yang berbentuk tradisional dan moden. Papan tanda Almarai mula kelihatan di sebelah kanan jalan. Bermula dengan kawasan perumahan bagi pekerja Almarai. Kemudian kilang roti Almarai  .






Selepas kilang tersebut, kelihatan kawasan penternakan lembu yang sangat luas, namun agak jauh dari jalan raya. Kami berhenti apabila melihat papan tanda Al Fanar Dairy Farm, milik Almarai.  Almarai ditubuhkan di Arab Saudi pada tahu 1977 oleh Prince Sultan bin Mohammed bin Saud AlKabeer (Saud Al Khabeer adalah sepupu King Abdulaziz) dengan rakan kongsi dari Irish Alastair McGuckain dan abangnya Paddy. Sekarang Almarai merupakan pengeluar berkaitan susu terbesar di negara Teluk. Heran bukan....negara yang penuh dengan padang pasir dan kekurangan air dari bumi boleh melakukannya. SubhanaALlah.



Kami tidak dibenarkan masuk kerana tidak ada surat

Boleh masuk dengan kebenaran

Ada tempat basuh kasut di depan Pondok Jaga
Kawasan di sebelah dalam pagar. Kelihatan laluan yang akan
menyemburkan bahan kimia bagi kenderaan yang mahu masuk
ke dalam kawasan penternakan lembu.
Kelihatan bangsal, tempat membela lembu-lembu.
Pengawal keselamatan agak peramah dan boleh berbahasa Inggeris serba sedikit. Kami dihadiahkan sebotol jus. Kami juga diberitahu ada lagi kawasan penternakan lembu yang lebih luas milik Almarai lebih kurang 8 km di depan. Kami pun bergerak untuk ke sana. Kelihatan bebarapa ladang milik persendirian di sekitarnya.
Kelihatan papan tanda menunjukkan kami sedang melalui jalan yang juga menghubungkan Dammam dan negara-negara Teluk yang lain seperti UAE tetapi jalanya tidak semeriah laluan yang biasa. Ini disebabkan tidak banyak kenderaan di atasnya.



Kelihatan kawasan penternakan lembu dari jalan raya

Satu lagi ladang yang luas
Kelihatan timbunan rumput tertutup yang diletakkan di kawasan lapang.
Mungkin baru selesai proses mengambil rumput sebab itu kelihatan
kawasan lapang yang luas.

Kelihatan landasan keretapi yang perlu dilintas untuk ke ladang
Almarai.
Keretapi Riyadh - Dammam atau Riyadh- Hofuf. Sekitar Al Kharj
boleh dilihat deretan landasan keretapi dengan mudah.
Belum berpeluang menaiki keretapi di Arab Saudi.

Ladang penternakan ayam juga kelihatan.

Terdapat juga ladang-ladang selain milik Almarai seperti Al Safi. Kagum rasanya melihat kawasan perladangan yang luas ribuan ekar milik Almarai dan syarikat lain. Sesungguhnya tiada yang mustahil untuk berjaya.

Minggu lepas juga menyaksikan hujan lebat di Mekah, Madinah dan Jeddah. Hujan yang lebat menyebabkan Jeddah mengalami banjir yang agak teruk sehingga melibatkan kematian. Di kawasan rumahku juga hujan turun pada hari Rabu. Hari ini pul (23/11/15), jemaah umrah dari Malaysia tiba di Madinah. Mereka merupakan kumpulan pertama selepas visa umrah dibuka semula.

Musim umrah bermula sehingga 15 Syawal 1437H @ 20 Julai 2016


                                                                                                                         zias/riyadh/15




















Konvensyen Penulis Islam Nusantara

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah, saya berpeluang hadir ke Konvensyen Penulis Islam Nusantara di Hotel Zenith, Putrajaya yang berlangs...