Memaparkan catatan dengan label Visit My Malaysia - Cameron Highlands. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Visit My Malaysia - Cameron Highlands. Papar semua catatan

Rabu, 27 Julai 2022

Visit My Malaysia - Cameron Highlands, Pahang (4)




BismillahirRahmanirRahim





Hari keempat ( 8 Julai 2022)

Sebelum checkout dari hotel, kami bersarapan terlebih dahulu dengan Tuan Haji Azman dan keluarga di kafe hotel. Menunya nasi goreng, kuetiau goreng, roti bakar, air teh dan kopi. Aku suka kopinya yang pekat, memang dua cawan la.

Bye, jumpa lagi.

Puan Maria hadiahkan aku jem dan sos strawberi setelah aku serahkan dua buku iaitu Memburu Salju di Langir Sarajevo dan Travelog Eropah 1. Suatu masa dahulu, mereka juga ada kebun strawberi di tapak Restoran TAC tu. Memang puas kami petik strawberi waktu tu. Sekarang dah tak ada lagi, banyak bisnes lain kot.

Sedap

Kami tinggalkan The  Cool Point Hotel dengan harapan akan berkunjung lagi di masa datang. Insya-Allah. Kalau ikutkan hati memang belum puas berada di CH ni.

Dalam perjalanan pulang melalui Simpang Pulai, kami singgah di Cameron Valley Tea menuju ke Bukit Raja. Aku mahu beli hadiah buat jiran. 


Wajah founder Bharat Group. Gambar atas : Shuparshad Bansal Agarwal
yang berasal dari India. Gambar bawah : Pewarisnya iaitu anak beliau,Brijkishore.
Kini diwarisi kepada Dato Kesav dan Dato Vinod.

Berkenan pula dengan set teh, ada teko, dua cawan beserta piring dan sudu,
bekas gula dan bekas susu.

Teh perisa strawberi menjadi pilihan

Kami memang terkejut melihat pembangunan pesat ladang sayur di atas bukit yang tinggi, penuh dengan struktur berbumbung plastik. Di lereng bukit serta di puncak bukit. Risau tengok.

Keadaan jalan pun agak teruk menuju Simpang Pulai, nampak sangat ianya diguna secara intensif. Terasa merbahaya pula dengan menuruni bukit, tidak boleh terlalu laju. Tidak ketinggalan untuk kami singgah membeli petai yang masih segar.

Sampai di Kuala Lumpur jam 3:00 petang. Percutian yang begitu bermakna. Alhamdulillah.


Termia kasih kerana sudi membaca cotretan ini.

Selasa, 26 Julai 2022

Visit My Malaysia - Cameron Highlands, Pahang (3)

BismillahirRahmanirRahim


Hari ketiga (14 Julai 2022)

Suhu jam 7:00 pagi di Tanah Rata sekitar 16 darjah celsius. Aku dan Saffura bersedia untuk  berjalan kaki, kami mengikut laluan yang sama seperti semalam. Tapi tidak singgah di Kampung Taman Sedia, sebaliknya meneruskan perjalanan ke Brinchang.

Suasana begitu nyaman tatkala menyusuri laluan pejalan kaki dengan pemandangan hutan di sebelah kanan. Tidak terasa mendaki kawasan yang berbukit tinggi kerana suasana begitu menyegarkan. Kelihatan keseluruhan perkampungan Taman Sedia yang agak luas nun di bawah bukit.

Pokok paku pakis yang besar nun di bawah sana

Menghampiri bangunan lama yang begitu terkenal iaitu Smokehouse Hotel , terdapat laluan berupa ranting pokok yang terbiar sehingga menghalang laluan. Aku terjatuh sewaktu mahu menyeberang bagi mengelak halangan tersebut. Terlukalah sedikit kedua belah lututku. 

Selepas kejadian tersebut kami mengambil keputusan untuk mengambil jalan pintas dengan melalui ke Smokehouse yang seiiringan dengan padang golf. Kagum melihat suasana sekitar Smokehouse yang dijaga rapi dan penuh dengan bunga-bungaan.

Rasa macam nak masuk tengok tamannya tapi tak boleh, hanya untuk mereka yang menginap di situ sahaja. Jadi kita tengok ikut pagar jelah.

"Jom ma, dok kat sini." Ajak Saffura.

"Lain kali, insya-Allah." Balasku

Cantik tamannya


Ambil gambar je dari pagarnya

Ramai juga yang duduk kat sini

Kami meneruskan perjalanan melalui Kampung Taman Sedia dan ada sungai di sini. Sayangnya tidak dijaga dengan baik, banyak sampah. Sedih.


Sampai di hotel, Tn Haji Azman beserta isteri dan cucu-cucunya yang seramai lima orang sedia menanti untuk sarapan. Hari ni  ada sarapan di hotel, mungkin bilangan penyewa ramai kot. RM12.00 satu kepala untuk dewasa. Ada nasi lemak, mihun goreng, telur mata, roti bakar beserta jem strawberi yang disediakan oleh pihak hotel. Sedap dan murah.

Lebih kurang jam 10:00 pagi kami ke Cameron Valley Tea yang terletak di tepi jalan tu. Jika dari Tapah, mesti jumpa ladang teh ni sebelum sampai ke Tanah Rata. Kami tidak ke kafe yang sentiasa penuh dengan orang ramai. Sebaliknya turun ke bawah sedikit untuk masuk ke ladang teh.

Kereta buggy

Kami menaiki kereta buggy dengan bayaran RM15 seorang, boleh juga berjalan kaki tapi kena bayar RM5 seorang. Sempat kami berselisih dengan pemilik Ladang Teh Bharat ini yang sedang berjalan kaki dengan isterinya. Dato Vinod namanya, kami diberitahu oleh pemandu kereta buggy tersebut. Aku hanya sempat melihat isterinya, tak nampak pula dato'nya. 

Ada seekor anjing yang besar saiznya bersama mereka. Menurut pemandu yang sudah bekerja lebih daripada 40 tahun itu, jika ada anjing tu bermaksud dato pun ada bersama.

Itulah tempat yang kami nak pergi, jauh di bawah.

Terpegun sekejap bila pemandu tu kata, ladang teh ini seluas 500 ekar. Bayangkan berapa kayanya pemilik ladang teh ini. Lalu aku pun mahu tahu siapa pemiliknya. Boleh baca di https://mrkumai.blogspot.com

Kami dibawa terus ke bahagian paling bawah. Ada aliran sungai dan kawasan untuk berehat. Ianya juga tempat untuk menunggu kereta buggy apabila mahu kembali semula ke atas.


Inilah tumpuannya tapi air terjun buatan rupanya.




Pelancong dari Qatar berkelah kat sini






Selepas puas bergambar di belah bawah, kami mendaki kawasan berbukit pula. Ya Allah nyamannya suasana di sekitar pohon-pohon teh ini. Tiupan angin yang lembut bersama aroma daun teh yang datang dari bangunan kilang diadun bersama. Indahnya menikmati suasana alam yang serba hijau.

Rumah pekerja kot.


Yang berbumbung hijau kilang proses daun teh rasanya. Sebelah kiri itu
rumah tuan punya syarikat Bharat ni. Boleh nampak rumah tu dari jalanraya.

Pot yang bagus untuk bergambar, memang cantik.



Pokok Angel's Trumpet bunga putih melambai-lambai ditiup angin.

Kita perlu ke tempat tadi untuk menaiki kereta buggy dan balik ke kawasan kafe.

Mestilah nak minum teh kan, jadi kami order satu teko teh untuk tiga orang. RM33.00. Teringin pula nak rasa scones yang popular di CH. Dua biji bersama set jem strawberi, butter dan cream RM16.04. Memang sedap,  ianya tawar sebab tu perlu makan bersama jem.

Iklan buku jap. Mai la beli.

Tak puas makan, kena cuba buat ni.

Lebih kurang pukul 11:00 pagi kami bertolak ke Lavender Garden. Seperti biasa laluan Brinchang ke Kea Farm memang perlahan kerana banyak kenderaan. Kawasan Kea Farm dipenuhi kereta kerana menjadi tumpuan untuk orang ramai membeli belah. Aku tak singgah langsung, malas.

Nak masuk ke Lavender Garden ni perlu bayar RM20.00 seorang, mahal kemain. Namun kami agak kecewa melihat pokok lavendernya yang tak banyak mana. Maklumlah kami pernah tengok lautan pokok tersebut di Belanda, jadi kurang mengancamlah sedikit.

Namun untuk kanak-kanak memang best, sebab ianya seperti taman tema. Pelbaga jenis bunga ada. Jom tengok gambarnya.

Daun pulak yang lebat


Spesis lavender




Yang ni unik dan jadi tumpuan


Ni pun lavender katanya


Tak lama kami kat sini, lebih kurang pukul 1:30 kami pun balik. Berehat di bilik sehingga petang. Aku dan suami keluar ke  Billion Shopping Centre (dulu tanah ni milik tentera) yang merupakan mercu tanda terkini di Brinchang. Aku beli barang untuk dihadiahkan kepada keluarga Tuan Haji Azman.

Meriah juga

Malamnya kami menjamu selera dengan stemboat di Restoran TAC yang terletak di sebelah hotel. Puas hati dengan kepelbagaian menunya, tambahan pula ada huruf  "A" untuk kualiti restorannya. RM45 untuk seorang dewasa, RM35 untuk warga emas (50 tahun ke atas)


Puas makan kambing bakar

Best.

 

Bersambung

Sabtu, 23 Julai 2022

Visit My Malaysia - Cameron Highlands, Pahang (2)

BismillahirRahmanirRahim



Hari Kedua (13 Julai 2022)

Jam 7:00 pagi, aku dan Saffura sudah keluar dari bilik hotel untuk beriadah. Angin bertiup begitu sejuk, suhu pada telefon bimbit merakamkan angka 17 darjah celcius. Masya-Allah bestnya, macam kat oversea.

Kami berdua berjalan kaki menuju ke Taman Pertabalan yang hanya terletak di seberang jalan, tidak jauh dari hotel. Suasana agak sibuk di jalan raya, ada yang hendak menuju ke tempat kerja dan sekolah yang terletak bersebelahan dengan taman tersebut.



Seterusnya kami menaiki anak tangga menuju ke jalan utama ke Brinchang. Ada laluan khas untuk pejalan kaki di sebelah kanan jalan.  Menaiki bukit sehingga ke simpang ke Kampung Taman Sedia yang berjarak 1 kilometer dari Tanah Rata. Kemudian jalan menuruni bukit pula namun tidak jauh untuk sampai ke kampung tesebut.


Jalan terus ke Brinchang, ambil simpang sebelah kanan.

Sebahagian besar rumah di sini dijadikan homestay atau kedai makan. Kami berjalan sambil melihat suasana kampung di mana penduduknya  baru mahu memulakan aktiviti. Menikmati keindahan pokok-pokok bunga dan tanaman lain di laman atau di tepi jalan.

Bunga kegemaran

BungaAngel's Trumpet

Homestay

Pokok kubis di tepi rumah.

Paling banyak pokok strawberi.

Menarik, macam kafe.

Nka glampin kat atas bukit pun ada. Jom terjah,

Tu haah glamping, tak boleh imagin waktu pagi yang sejuk.

Lama juga kami pusing-pusing dan sampai di hotel jam 9:00 pagi. Tuan Haji Azman dan isteri sudah menunggu. Aku dan suami diajak sarapan di kedai yang terletak berhampiran dengan padang golf di Brinchang. Giliran Saffura pula menemani neneknya.



Lepas makan, kami dibawa ronda-ronda dengan kereta di sekitar Brinchang dan Tanah Rata. Banyak perubahan di Brinchang dan kami dibawa ke satu tempat yang terletak di atas bukit. Binaan umpama castle menarik minat kami untuk melihatnya dengan lebih dekat. Kawasan ini adalah perkampungan orang asli yang dibeli untuk dimajukan oleh syarikat swasta. Setiap keluarga diberi rumah baru sebagai ganti beserta kemudahan asas lain seperti masjid dan sekolah. 

Milik siapakah ini?

Di lokasi paling tinggi di kawasan tersebut sedang disiapkan kemudahan untuk camping dengan karavan atau khemah yang siap dipasang. View dari situ memang ohsem tambahan pula waktu kami berada di situ kabus masih ada. 

Dengar khabar, RM900 semalam untuk merasa tinggal di karavan ni.

Selepas itu kami dibawa pula melawat sekitar kawasan Tanah Rata termasuk Masjid Tanah Rata dan Mardi. Kemudian menghantar kami balik ke hotel.

Labih kurang jam 10:30 pagi, kami bertiga bertolak ke destinasi yang aku mahu pergi iaitu Mossy Forest. Menurut Tuan Haji Azman, kawasan yang terletak di Gurung Brinchang itu sedang ditutup untuk kenderaan kerana ada kerja-kerja pembaikan. Namun kami mahu mencuba juga.

Untuk ke situ, kami perlu melalui laluan ke Ladang Teh Sungai Palas. Jalannya agak sempit dan perlu memandu perlahan-lahan dan berhati-hati. Lebih-lebih lagi jika  berselisih dengan kereta dari arah yang bertentangan...seram juga. 

Namun lebih kuang 250 meter lagi untuk sampai, kami diberitahu laluan ditutup sewaktu berselisih dengan sebuah kereta lain. Kami tidak ada pilihan dan terpaksa berpatah balik. Setelah melihat suasana sekeliling yang begitu cantik, kami tidak terus turun. Sebaliknya mengambil masa sedikit untuk melihat keindahan ladang teh di depan mata.







Tak jauh dari tempat tersebut juga terdapat kawasan penanaman sayur yang sangat luas, seolah tersembunyi. Ingatkan ladang teh sahaja. Cuaca memang sejuk dengan tiupan angin yang agak kuat.

Sewaktu menuruni kawasan tersebut, kami singgah berhampiran kediaman staf ladang teh untuk bergambar lagi.




Jom petik pucuk teh.


En suami sempat menegur orang putih mana tah.

Sampai di simpang, ada laluan menuju ke pusat ladang teh Boh Sungai Palas. Kami pun meneruskan perjalanan yang menuruni kawasan bukit. Tak sangka betul, banyak kereta di kawasan parkir di pusat ladang tersebut. Sekitarnya ada rumah pekerja, sekolah, tadika, surau, kuil dan kemudahan lain. 

Nampak kafe nun di atas bukit dan orang ramai sedang memanjat tangga untuk sampai ke sana. Mulanya kami tidak berhasrat untuk turut serta kerana pernah ke tempat seperti itu. Namun setelah berbual dengan petugas, baru kami sedar. Yang kami pergi dahulu tu lebih kecil dan terletak di Habu, Ringlet. Jadi kami pun panjatlah tangga.

Tinggi ooh


Shopping juga le.

Cantik pemandangannya

Keletihan, kami hanya sempat singgah untuk beli makan tengahari dan berehat hingga lewat petang. Saffura nak makan aiskrim strawberi dan aku nak try scones, jadi kami ke Kg Taman Sedia. Kami masuk di kedai Aidilbadri. Teringin pula nak rasa nasi lemak pandan sambal strawberi. Tapi aku order yang paling ringkas sahaja, tak mau ayam goreng atau rendang. Scones yang aku order pula dah habis. Kecewa. 

Banyak kedai yang menarik di sini.

Ada dua jenis sambal diberi, sambal biasa dan sambal strawberi
yang rasanya masam-masam sikit.

Kebanyakan kedai makan di sini ada kebun strawberi dan kita boleh petik sendiri buahnya untuk dibeli. Sempat jugalah merasa strawberi celup coklat. RM10.00 sebekas.

Malamnya kami berjalan kaki untuk ke pusat Tanah Rata dan menikmati makan malam yang agak ringan di MarryBrown. Bubur nasinya memang sedap, dimakan pula pada waktu malam yang sejuk.

Malamnya tidurku begitu nyenyak dek keletihan dan kekenyangan.


Bersambung.

Konvensyen Penulis Islam Nusantara

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah, saya berpeluang hadir ke Konvensyen Penulis Islam Nusantara di Hotel Zenith, Putrajaya yang berlangs...