Tragedi Di Masjidil Haram
Sekitar pukul 7.00 malam , aku terus menyimpan barang-barang yang baru dibeli dari Lulu Hypermaket. Aku memasukkan kelapa parut yang dibeli ke dalam bekas plastik untuk dimasukkan ke dalam peti sejuk. Lega rasanya melihat stok kelapa tersebut setelah hampir 20 minit beratur menunggu giliran kelapa diparut oleh pekerja yang bertugas.
"Mataf runtuhlah." Tiba-tiba suamiku bersuara dari ruang tamu sambil melihat telefon bimbitnya.
"Bukan Mataf tu, mungkin ada berlaku kesesakan seperti tahun bila...entah." Jawabku sambil meneruskan kerja di ruang dapur. Televisyen dibuka, Saudi-1, Saudi-2 dan siaran langsung dari Masjidil Haram menjadi pilihan mendapat maklumat namum tiada apa-apa berita. Aku mendapatkan telefon bimbit kepunyaanku lalu menghubungi anak saudaraku, Wan Suhana yang sudah berada di Mekah sejak dua minggu lalu. Tiada jawapan. Fb pula menjadi rujukan. Ada berita berkaitan yang di 'share' oleh bekas anak muridku, Mija. Memang benar ada kejadian runtuhan di dalam kawasan Masjidil Haram. Innalillahi wa inna ilaihiraaji'uun.
Kren pembinaan yang tumbang berdekatan bangunan Safa dan Marwah |
Beberapa hari sebelum kejadian, Jeddah dilanda ribut pasir yang luar biasa. Mekah turut menerima kesannya. Hujan juga turun di kawasan sekitar Mekah. Sedang Mekah kini dipenuhi dengan lautan manusia yang terpilih sebagai tetamu Allah. Bilangan jemaah haji kian bertambah, suasana sekitar dataran Kaabah sentiasa padat dengan umat Islam yang menyahut seruan Ilahi untuk menunaikan ibadah setahun sekali itu. Umum memang mengetahui bagaimana sesaknya kawasan sekitar Masjidil Haram yang sedang sibuk diperbesarkan. Menjadi pemandangan biasa, puluhan kren pembinaan yang tinggi dan besar berdiri memenuhi kawasan sekitar Masjidl Haram. Kemuncaknya pada tanggal 11/9/2015, hujan lebat dan ribut pasir yang hebat menyebabkan satu kren tumbang dan jatuh ke kawasan Masjidil Haram.
Kawasan saei yang menerima kesan runtuhan |
Meneliti berita-berita dan gambar yang viral melalui pelbagai sumber menyedarkan aku keadaan sebenar yang berlaku. Peristiwa tersebut lebih dahsyat dari apa yang aku bayangkan. Pastilah ianya merupakan ujian yang besar bagi umat Islam serata dunia bukan setakat mereka yang berada di Tanah Suci sahaja. Sekurang-kurangnya 107 nyawa menjadi syahid termasuk 5 orang jemaah dari Malaysia. Beratus lagi sedang dirawat akibat kecederaan yang dialami. Mereka yang terkorban adalah insan-insan terpilih yang diambil nyawa ketika berada di tempat paling mulia di muka bumi ini. Tempat yang menjadi impian setiap umat Islam.
Mereka meninggal pada hari Jumaat, penghulu segala hari dan ketika sedang beribadat kepada Allah. Anugerah terhebat dariNya. Moga Allah mengurniakan balasan syurga buat mereka yang terkorban. Doa untuk waris-waris mangsa yang menerima musibah ini agar dilimpahkan kesabaran. Bagi jemaah haji yang cedera, moga Allah permudahkan proses untuk sembuh dan dapat meneruskan ibadah haji dengan sempurna.
Sekitar Dataran Kaabah yang terkesan dengan tragedi. |
Juga untuk seluruh jemaah haji, semoga Allah pelihara semuanya dari segala bala bencana dan musibah. Dianugerah kesihatan agar ibadah berjalan lancar dan dikurniakan haji yang mabrur.
zias/riyadh/15
Tiada ulasan:
Catat Ulasan