Dzulhijjah dan Musim Haji 1436H
Banyak keistimewaan bulan Dzulhijjah yang sedang kita lalui ketika ini. Kebiasaannya bulan ini kita kaitkan dengan ibadah haji, korban dan seterusnya Hari Raya Aidil Adha. Bagi yang tidak menunaikan haji kebiasaannya akan mengerjakan puasa pada 9 Dzulhijjah dan melaksanakaan ibadah korban. Bulan Dzulhijjah yang menjadi penutup kalendar bulan Islam ini menawarkan pelbagai ganjaran terutama pada 10 hari pertama di dalam bulan tersebut.
Tahun lepas kami sekeluarga begitu sibuk dengan persediaan untuk menunaikan ibadah haji terutama di awal bulan Dzulhijjah. Tahun ini pula kami membuat perancangan untuk memenuhi cuti panjang yang akan berlangsung selama lebih kurang sepuluh hari. Pelajar sekolah dan universiti akan menikmati cuti tersebut. pada 18 sehingga 28 September. Ada yang mengambil peluang balik ke kampung terutama bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk berbuat demikian sewaktu cuti musim panas baru-baru ini. Ada juga yang bercuti ke luar dari Arab Saudi seperti ke Dubai, Eropah dan sebagainya. Kami pula akan menghabiskan cuti kali ini dengan kembara ke bahagian sebelah utara Arab Saudi. Seterusnya menyambut hari raya di Madinah buat pertama kalinya. Ramai sahabat-sahabat yang lain turut merancang untuk beraya di Madinah, In Shaa Allah. Pada hari terakhir persekolahan, sekolah Saffura mengadakan acara khas berkaitan dengan ibadah haji. Saffura turut diberi tanggung jawab menyediakan replika Telaga Air Zam Zam.
Para tetamu Allah yang terpilih untuk menunaikan ibadah haji semakin ramai di Kota Mekah. Walau pun tragedi baru berlaku di sana, ianya tidak sesekali mematahkan semangat para tetamu Allah untuk meneruskan ibadah. Siaran televisyen Saudi -2 menyiarkan pelbagai program berkaitan dengan ibadah haji termasuk pelbagai panduan yang perlu diikuti. Aku sempat menonton dokumentari berkaitan dengan haji sekitar tahun 1938M. Filem lama itu begitu menarik sekali. Rasa begitu bersyukur dengan begitu banyak kemudahan yang kita nikmati pada masa ini berbanding dengan zaman tersebut. Semua program di Saudi-2 adalah dalam bahasa Inggeris.
Keluarga sebelah suami meraikan Abang Basri dan isteri. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan