Isnin, 20 Februari 2017

Travelog : Sesejuk Bosnia & Herzegovina (4) - Gazi Husrev Bezistan, Bascarsija.




Pusat Kota lama Sarajevo, kelihatan menara masjid dan gereja.



Bahagian depan masjid


Pintu gerbang untuk masuk ke kawasan Masjid Gazi Husrez
 
Sarajevo mengalami zaman keemasan sewaktu pemerintahan Gazi Husrev. Sekolah-sekolah rakyat atau madrasah, menara jam, perpustakaan, hamam atau pemandian awam, rumah penginapan dan bazar turut didirikan di kawasan tersebut.






Bangunan madrasah, kini dijadikan muzium.
Pintu masuk madrasah, peninggalan kerajaan Uthamaniyyah.



Pelbagai monumen penting sekitar Gazi Husrev Bezistan.

Muzium baru berdekatan madrasah, sumbangan kerajaan Qatar.



zias/bosnia/17

Sabtu, 18 Februari 2017

Rasa Dapurku (213) - Lempeng Kelapa




BismillahirRahmanirRahim

Lempeng Kelapa terkenal di Melaka, ianya sedap dimakan dengan sambal ikan bilis. Hari cuti memberi peluang untuk aku memasak sesuatu yang enak dimakan ketika masih panas. Teringin pula untuk membuat lempeng kelapa supaya baki asam pedas daging yang dibuat dapat dihabiskan. Selepas mencari resepi di blog, aku memilih resepi lempeng kelapa yang asli tanpa penaik. Adunan yang dibuat ini menghasilkan 4 keping lempeng yang sederhana besarnya.



Resepi Lempeng Kelapa
Bahan2:
1 cawan kelapa (putih sahaja)
1 cawan tepung gandum
1 1/4 cawan air
Sedikit garam
Sedikit mentega/minyak

Cara Membuatnya:
1.Masukkan kelapa dan tepung gandum ke dalam bekas yang sesuai.
2.Masukkan air dan kacau sehingga membentuk adunan yang tidak berketul.
3.Masukkan garam secukup rasa dan kacau .


4.Panaskan kuali dan masukkan sedikit mentega/minyak.
5.Masukkan satu senduk adunan tadi ke dalam kuali dan ratakan.Biarkan
   sehingga masak. Terbalikkan lempeng dan biarkan sehingga masak.





Rabu, 25 Januari 2017

Travelog : Sesejuk Bosnia & Herzegovina (3) - Sarajevo Apartments


 Sarajevo Apartments


Sarajevo Apartments




Kereta comel buatan Eropah.



Rasa Dapurku (212) - Lepat Labu Kuning


BismillahirRahmanirRahim


Lepat Labu Kuning berinti kelapa...memang best.
Labu memang sedap dibuat Pengat. Teringin pula untuk membuat Lepat Labu kerana aku tidak pernah merasainya. Aku memilih resepi Lepat Labu Kuning  dari Blog Fiza's Cooking kerana bahan-bahan yang diperlukan sudah ada di dapur. Rasanya memang sangat sedap lagi pula  mudah untuk disediakan. 

Sepanjang proses membersihkan  buah labu kuning yang aku rasa agak susah, aku teringat memori ketika tinggal di Riyadh. Di sana, kebanyakan mall menjual labu kuning dalam bentuk potongan Ianya lebih mudah untuk dikendalikan. Kita hanya perlu membunag kulit dan memotongnya ikut saiz yang dikehendaki. Jadi mudah untuk memasaknya dan kerap juga kami membelinya walaupun rasanya lain sedikit dari labu kuning di tanah air sendiri. 

Labu Kuning yang dijual di Riyadh.


Resepi Lepat Labu Kuning

Bahan2:
1/2 biji labu kuning dalam 1 kg
2 cawan tepung gandum
1/2 cawan tepung jagung
1/2  cawan gula
1/2 sudu teh garam halus
Kelapa parut digaul dengan sedikit garam
Daun pisang yang dilayur

Cara Membuatnya:
1.Kupas labu kuning dan dipotong isinya. Rebus sehingga lembut,
   toskan dan lenyek sehingga hancur.


2.Masukkan tepung gandum, tepung jagung, gula dan garam. Gaul
   sehingga sebati. Pastikan secukup rasa, boleh ditambah gula jika
   kurang manis.


Adunan yang sudah siap.

3.Masukkan satu sudu adunan ke atas daun pisang. Letakkan pula
   kelapa parut dan tutupkan kelapa parut dengan satu sudu adunan
  di atasnya.Bungkus  dengan kemas.
4.Kukus sehingga masak.(dalam masa 10 - 15 minit)


Biarkan sejuk dahulu .

Ahad, 15 Januari 2017

Travelog : Sesejuk Bosnia & Herzegovina (2) - KL - Abu Dhabi - Belgrade - Sarajevo


KL - Abu Dhabi - Belgrade - Sarajevo





Swafoto di dalam pesawat AirSerbia.




P

Terbang lagi





Ruang ketibaan penumpang.



zias/bosnia/17













Jumaat, 13 Januari 2017

Rasa Dapurku (211) : Kuih Dangai


BismillahirRahmanirRahim



Kuih Dangai sejenis kuih yang agak popular di utara Malaysia namun begitu sukar untuk ditemui. Sudah lama aku teringin untuk membuat Kuih Dangai ini namun hasrat terpaksa dipendam. Ini disebabkan tiadanya acuan untuk membuatnya. Aku pula termasuk dalam senarai seorang yang agak degil, aku tidak akan mencuba sesuatu resepi jika bahan-bahan untuk membuat resepi tersebut tidak mencukupi. Apatah lagi mahu menukar rupa bentuk Kuih Dangai seperti yang aku lihat di dalam beberapa blog.

Kuih Dangai begitu istimewa, ianya banyak mengimbau kenangan ketika di zaman kanak-kanak kakak-kakak, abang-abang juga diriku. Kebetulan pada cuti hujung tahun 2016 yang lepas aku pulang ke kampung seterusnya meraikan perkahwinan dua orang anak saudaraku. Sempat aku singgah di kedai sesak  di kampungku Sungai Bakap untuk mencari acuan Kuih Dangai. Tahu pula si penjual yang berbangsa Cina tersebut apabila aku bertanya kepadanya.
"Ini acuan ha...tak ramai mahu beli ooo." Si penjual yang sudah berusia itu memberitahu kepadaku sambil menunjukkan acuan tersebut.
"Ramai tak tahu buat kuih ini ma...." Balasku sambil tersenyum.

Acuan Kuih Dangai
4 kali mencuba, baru aku dapat resepi yang aku berpuas hati dengannya. Sebenarnya amat mudah menyediakan Kuih Dangai ini dan bahan-bahannya juga tidak banyak.  

Resepi Kuih Dangai
Bahan2: (Untuk 3 keping Kuih Dangai menggunakan acuan di atas)
1 cawan kelapa parut (lebih sedap yang putih sahaja)
1/2 cawan tepung pulut
2-3 sudu besar gula pasir (boleh lebih)
Secubit garam
Sedikit minyak untuk disapu pada acuan.

Cara Membuatnya:
1.Kelapa parut digaul bersama dengan tepung pulut dan garam
   sehingga rata. (Gaul apabila hendak membakarnya)
2.Bahagikan adunan kepada dua bahagian.
3.Satu bahagian hanya kelapa dan tepung pulut sahaja(A)
4.Satu bahagian lagi ditambah dengan 1 sudu besar gula
   dan digaul rata(B)
5.Panaskan acuan dan sapu sedikit minyak. Guna api kecil.
6.Masukkan campuran A ke dalam lubang acuan sehingga habis.
7.Masukkan pula bahagian B dan ratakan. Tidak perlu tekan.
   Taburkan gula pasir di keseluruhan bahagian adunan tadi.

Tabur gula di atasnya
8.Tutup acuan dengan tudung periuk dan biarkan lebih kurang
   5 minit atau sehingga kelihatan garing di sekeliling acuan.
9.Angkat acuan dan terbalikkan ke dalam bekas yang sesuai.
10.Potong dan tangkupkan kedua-dua bahagian

Sudah garing dan masak
Potong dan tangkupkan
Sangat enak dimakan ketika panas.

Sabtu, 7 Januari 2017

Travelog : Sesejuk Bosnia & Herzegovina (1) - Rezeki Dari Etihad Airways

Rezeki Dari Etihad Airways


Image result for bosnia and herzegovina on world map
Bosnia Herzegovina terletak di Eropah Timur.
Sumber dari Google Map

Seminggu sudah berlalu semenjak kami kembali dari kembara ke Bosnia Herzegovina. Rasa sejuk dengan suhu di bawah paras beku seolah masih terasa. Kehangatan penduduknya melayani kehadiran kami di sana membuai mimpi untuk kembali ke sana secepat mungkin. Rata-rata mereka yang kami temui mendoakan kami supaya menemui mereka lagi. Alhamdulillah segala yang kami  alami berimpak positif. Gabungan keindahan alam terutama gunung ganang dan sungai, liku-liku sejarahnya, keramahan penduduknya dan makanannya yang enak menjadikan pengalaman kembara di Bosnia Herzegovina begitu bermakna. Pilihan yang tepat setelah sekian lama berada di persekitaran padang pasir yang luas terbentang.








3 kali kena naik kapal terbang nih...




 Bosnia Herzegovina...kami datang

Ahad, 4 Disember 2016

Rasa Dapurku (210) - Apam Coklat Lembab


BismilahirRahmanirRahim

Resepi yang mudah untuk dibuat dan memikat rasanya ini aku ambil dari FB Resepi Sedap. Aku mencuba resepi ini untuk dibawa ke rumah abang iparku yang sedang sibuk dengan persiapan untuk membuat kenduri terima menantu tidak berapa lama lagi. Rasanya memang sedap namun aku tidak berpuas hati dengan rupa apam yang terhasil. Macam-macam bentuk ada.


Apam Coklat Lembab

Resepi Apam Coklat Lembab
Bahan2:
2 cawan tepung gandum
1 cawan serbuk koko
1 1/2 cawan gula
1 sudu kecil soda bikarbonat
1 sudu kecil serbuk penaik
1 sudu kecil nescafe
2 biji telur
1 cawan susu segar
1 cawan minyak jagung
1 cawan air panas
Acuan lompang/apam yang disapu minyak

Cara Membuatnya:
1.Ayak tepung, serbuk koko, soda bikarbonat dan serbuk penaik
   ke dalam sebuah mangkuk besar. Gaul.
2.Masukkan telur, minyak, air panas, susu pekat, susu segar dan 
   nescafe. Gaul sehingga rata. Guna whisk untuk memudahkan kerja.

Sssudah digaul  kesemuanya.

3.Tuangkan  ke dalam acuan lompang dan kukus selama 15 minit.
4.Hasilnya lebuh kurang 40 - 50 biji bergantung kepada saiz acuan.

Pelbagai bentuk kejadian ada....huhuhu
Untuk dijamu ketika bergotong royong.
Ramai yang membantu semalam.

Rasa Dapurku (209) - Kerabu Mangga


BismillahirRahmanirRahim

Kerabu Mangga yang sedap pastinya boleh diratah begitu sahaja. Tidak perlu dimakan dengan nasi walaupun Kerabu Mangga biasanya dihidangkan sebagai salah satu lauk pauk. Selalu juga aku memesan Kerabu Mangga di kedai makan namun tidak pernah pula aku cuba membuatnya.

Kerabu Mangga

Beberapa bulan lepas  ketika makan di Ana Ikan Bakar Kuantan, aku berpeluang menikmati hidangan istimewa ini. Nampak ringkas sahaja Kerabu Mangga yang dihidangkan dan ianya licin aku makan sementara menunggu ikan bakar yang dipesan masak. Ianya memberikan semangat untuk aku mencubanya.

Kerabu Mangga dari Ana Ikan Bakar, Kuantan

Suatu hari aku membeli buah mangga muda namun hampir seminggu aku tidak berkesempatan untuk membuat kerabu. Buah mangga yang dibeli pula hampir masak namun masih terasa masamnya. Aku pun tidak membuang masa lagi lalu mencari bahan-bahan untuk membuatnya. Kebetulan sahabatku, Norhibah menghadiahkan kepadaku sebotol sos ikan yang halal kepadaku. Sebenarnya sos ikan itu untuk resepi lain yang lebih istimewa, ianya masih di dalam senarai dan belum sempat aku cuba.

Aku mencari resepi kerabu mangga ala Thai yang mudah untuk disediakan namun aku tidak memasukkan udang kering atau ikan bilis. Rasanya memang sedap.

Resepi Kerabu Mangga
Bahan2:
4 biji mangga muda yang hampir masak
1/2 biji bawang besar dihiris nipis
3-4 biji cili Api dihiris 
1 biji cili merah dihiris
2 biji limau kasturi diambil airnya
1-2 batang serai dihiris
2-3 sudu besar sos ikan
2 batang daun ketumbar
Garam
Sedikit kacang tanah yang dibakar dan ditumbuk/kisar
Jika masam atau pedas tambah sedikit air gula Melaka
1 batang bunga kantan dihiris (tak letak)

Daun ketumbar tidak sama dengan daun saderi ya...
Cara Membuatnya:
1. Buah mangga dibuang kulit dan dihiris nipis.



2.Masukkan semua bahan ke dalam sebuah mangkuk dan gaul sehingga rata
   dan secukup rasa. Taburkan kacang tanah goreng ketika dihidangkan.

Siap semangkuk.

Sabtu, 3 Disember 2016

Travelog : Oh! Riaydh (136) - Kenangan Berkebun di Riyadh


Kenangan Berkebun di Riyadh




Aktiviti yang paling aku rindu ketika di Riyadh ialah berkebun. Walaupun kawasan bertanah di sekitar rumahku di Cheras tidak begitu luas namun aku mampu menanam pelbagai jenis pokok untuk digunakan apabila perlu. Pokok pisang, serai, daun pandan, pegaga, aloe vera , kunyit dan pokok daun pudina hidup subur. Malah pokok pisang dan aloe vera kekal subur sehingga sekarang. Setahun berlalu tanpa aku mampu menanam sebarang pokok ketika tinggal di Riyadh. Aku sedia maklum cuaca yang panas selama 8 bulan serta persekitaran padang pasir yang tandus pasti sukar untuk berkebun. Pemandangan serba kehijauan yang sering kita lihat di mana-mana di tanah air mustahil untuk dilihat di Riyadh. Hanya padang pasir dan bukit-bukit berbatu kelihatan. Minat untuk bercucuk tanam terpaksa aku pendamkan buat sementara.


Pemandangan dari jendela rumah kami di Riyadh. Hanya tompokan pokok
yang hampir kering memenuhi kawasan sekitar.

Namun aku dapati warga Riyadh memiliki kawasan taman yang dipenuhi rumput menghijau dan pokok-pokok bunga di sebalik tembok rumah mereka. Pelbagai jenis pokok selain pokok kurma juga ada ditanam di bahagian hadapan rumah. Pada setiap pokok pasti terdapat sebatang paip untuk menyiram pokok tersebut. Suasana semakin ceria apabila tiba musim sejuk. Gerai-gerai menjual pokok-pokok bunga dipenuhi dengan pelbagai jenis bunga. Kawasan riadah juga dihiasi dengan indahnya. Contohnya di kawasan sekitar Prince Sultan University di mana terdapatnya kawasan untuk beriadah. Tempat tersebut menjadi pilihan kami untuk berjalan kaki di hujung minggu jika kami tidak bermusafir ke mana-mana

Kampus wanita di PSU

Taman-taman dihiasi dengan pelbagai jenis bunga-bungaan

Sejenis pokok yang menarik perhatian aku. Terdapat dalam pelbagai warna

Ini pula di sekitar Wadi Hanifah

Satu hari di musim sejuk, aku menyambung minat untuk berkebun. Selepas selesai urusan membuat pembayaran bulanan di Toyota , kami singgah di nurseri yang terletak berhampiran dengan Riyadh Gallery. Habis le 200 rial, aku membeli beberapa pokok, tanah dan pasu. Hasrat untuk berkebun sudah tidak dapat ditahan lagi. Lagi pula harga pokok yang dijual agak murah. Mujur ada pekerja berbangsa Pakistan yang boleh berbahasa Inggeris ada di situ. Apa lagi borong sakan lah!

Semangat betul. Semua ada.


5 rial
5 rial
Anak pokok cili ,1 rial sahaja

Pokok cili yang sudah berbuah 10 rial

Anak pokok tomato pun 1 rial

Pokok pudina


Pokok Aloe vera , 5 rial

Ruang dapur lebih berseri dengan kehadiran pokok bunga segar


Selesai proses mengubah anak pokok ke dalam pasu yang lebih besar.

Sukanya tengok pokok bunga hidup di dalam rumah

Kesemua pokok diletakkan di dalam sebuah bilik kosong di dalam rumah. Malangnya pokok-pokok tersebut tidak dapat bertahan lama. Semuanya mati kecuali pokok aloe vera yang mampu bertahan hampir setahun. Pun begitu pokok aloe vera turut pupus selepas kami kembali ke Riyadh setelah pulang bercuti ke Malaysia selama sebulan lamanya. Begitu sukar untuk aku memahami kehendak tanah yang aku gunakan untuk menanam pokok-pokok tersebut. Aku tidak pasti keperluan air yang diperlukan oleh pokok-pokok tersebut.

Memang sukar rupanya untuk bercucuk tanam di negara-negara Timur Tengah seperti Arab Saudi. Modal yang besar diperlukan untuk mendapatkan air yang mencukupi. Contohnya bahagian pembahagi jalan yang terletak berhampiran dengan kediaman kami. Berbulan lamanya masa diambil untuk menyediakan tapak bagi menanam pokok samada pokok kurma atau pokok hiasan. Antara kelengkapan yang diperlukan ialah memasang saluran paip di setiap tapak di mana pokok akan ditanam. Beberapa kali aku melihat kawasan tapak itu digali kemudian dikambus. Sehingga kami berangkat meninggalkan Riyadh, pokok masih belum ditanam. Aku begitu kecewa kerana tidak berpeluang melihatnya. Pengalaman tersebut membuatkan aku menjadi lebih kuat semangat untuk meneruskan hobi berkebun selepas kembali ke tanah air.

Kawasan jalan berhampiran dengan rumahku. Kelihatan bahagian pembahagi jalan
yang dibina untuk ditanam dengan pokok. Suasana selepas hujan. Hujan tidak selebat
mana pun namun air bertakung dengan cepat kerana ketiadaan sistem pengaliran
 air di jalan-jalan di Riyadh.

Pokok Pisang Lemak Manis masih subur menanti kepulangan
tuannya.
Aktiviti berkebun pun bermula.




zias/cheras/16

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026.

  BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah, semalam berakhir PBAKL 2026 setelah berlangsung selama 10 hari. Banyak kisah menarik yang dikongsi...