Jumaat, 13 Januari 2017

Rasa Dapurku (211) : Kuih Dangai


BismillahirRahmanirRahim



Kuih Dangai sejenis kuih yang agak popular di utara Malaysia namun begitu sukar untuk ditemui. Sudah lama aku teringin untuk membuat Kuih Dangai ini namun hasrat terpaksa dipendam. Ini disebabkan tiadanya acuan untuk membuatnya. Aku pula termasuk dalam senarai seorang yang agak degil, aku tidak akan mencuba sesuatu resepi jika bahan-bahan untuk membuat resepi tersebut tidak mencukupi. Apatah lagi mahu menukar rupa bentuk Kuih Dangai seperti yang aku lihat di dalam beberapa blog.

Kuih Dangai begitu istimewa, ianya banyak mengimbau kenangan ketika di zaman kanak-kanak kakak-kakak, abang-abang juga diriku. Kebetulan pada cuti hujung tahun 2016 yang lepas aku pulang ke kampung seterusnya meraikan perkahwinan dua orang anak saudaraku. Sempat aku singgah di kedai sesak  di kampungku Sungai Bakap untuk mencari acuan Kuih Dangai. Tahu pula si penjual yang berbangsa Cina tersebut apabila aku bertanya kepadanya.
"Ini acuan ha...tak ramai mahu beli ooo." Si penjual yang sudah berusia itu memberitahu kepadaku sambil menunjukkan acuan tersebut.
"Ramai tak tahu buat kuih ini ma...." Balasku sambil tersenyum.

Acuan Kuih Dangai
4 kali mencuba, baru aku dapat resepi yang aku berpuas hati dengannya. Sebenarnya amat mudah menyediakan Kuih Dangai ini dan bahan-bahannya juga tidak banyak.  

Resepi Kuih Dangai
Bahan2: (Untuk 3 keping Kuih Dangai menggunakan acuan di atas)
1 cawan kelapa parut (lebih sedap yang putih sahaja)
1/2 cawan tepung pulut
2-3 sudu besar gula pasir (boleh lebih)
Secubit garam
Sedikit minyak untuk disapu pada acuan.

Cara Membuatnya:
1.Kelapa parut digaul bersama dengan tepung pulut dan garam
   sehingga rata. (Gaul apabila hendak membakarnya)
2.Bahagikan adunan kepada dua bahagian.
3.Satu bahagian hanya kelapa dan tepung pulut sahaja(A)
4.Satu bahagian lagi ditambah dengan 1 sudu besar gula
   dan digaul rata(B)
5.Panaskan acuan dan sapu sedikit minyak. Guna api kecil.
6.Masukkan campuran A ke dalam lubang acuan sehingga habis.
7.Masukkan pula bahagian B dan ratakan. Tidak perlu tekan.
   Taburkan gula pasir di keseluruhan bahagian adunan tadi.

Tabur gula di atasnya
8.Tutup acuan dengan tudung periuk dan biarkan lebih kurang
   5 minit atau sehingga kelihatan garing di sekeliling acuan.
9.Angkat acuan dan terbalikkan ke dalam bekas yang sesuai.
10.Potong dan tangkupkan kedua-dua bahagian

Sudah garing dan masak
Potong dan tangkupkan
Sangat enak dimakan ketika panas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...