Isnin, 10 Ogos 2020

Rasa Dapur KakJee (354) - Sambal Kentang Kering Rangup


BismillahirRahmanirRahim



Resipi ini menggunakan Ibu Sambal yang sedia ada di dalam peti sejuk. Resipi Ibu Sambal pun ada di sini. Jadi proses penyediaannya lebih cepat dan menjimatkan masa. Resipi kali ini hanya menggunakan kentang, lebih sedap jika ditambah ikan bilik goreng. Rangup dan perlu disimpan dalam kedap udara.

Resipi Sambal Kentang Kering Rangup
Bahan2:
4 biji kentang dibuang kulit, dihiris nipis dan ditoskan.
3 sudu besar Ibu Sambal
Minyak untuk goreng kentang.
Garam dan gula jika perlu.

Cara Membuatnya:
1.Keringkan kepingan kentang dan taburkan sedikit garam.


2.Panaskan minyak dan masukkan sekeping demi sekeping. Goreng hingga garing.Angkat.
3.Panaskan ibu sambal, masukkan garam dan gula jika perlu. Biarkan hingga kering. Sejukkan.
4.Bila sambal dah sejuk gaulkan  kentang tadi bersama sambal tadi sehingga rata.



5.Apabila sejuk masukkan dalam bekas kedap udara.


Selamat Mencuba.

Sabtu, 8 Ogos 2020

Visit My Malaysia - Kuala Terengganu


Kuala Terengganu

BismillahirRahmanirRahim

Alhamdulillah sempat bercuti ke Kuala Terengganu selepas PKPP diumumkan kerajaan. Rancangan yang tertangguh akibat PKP segera kami lunaskan. Kami bertiga bercuti pada 1 Julai hingga 3 Julai 2020. Bertolak pada pukul 9.30 pagi dengan merentasi Lebuhraya Pantai Timur2 yang begitu terasa kurangnya kenderaan. Sepanjang perjalanan, hanya ladang elapa sawit dan hutan yang kelihatan.

Mercu tanda terbaharu di Kuala Terengganu
Bertolak pada pukul 9.30 pagi dengan merentasi Lebuhraya Pantai Timur2 yang begitu terasa kurangnya kenderaan. Sepanjang perjalanan, hanya ladang elapa sawit dan hutan yang kelihatan. Tiba di destinasi pada pukul 2 petang.

Gannu kita

Tinggal di Mar Guest House milik sahabat, Puan Maryam Abdul Rahman di Gong Badak. Rumah banglo setingkat yang begitu selesa terletak tidak jauh dari Lapangan Terbang Kuala Terengganu.

Luas kawasannya


Rehat di ruang tamu.

Sebelah petang sempat melawat sekitar mercu tanda terbaharu Kuala Terengganu iaitu Jambatan Angkat atau Draw Bridge. Bukan kami sahaja rupanya, ramai yang mengambil kesempatan untuk bergambar di kawasan sekitarnya. Masing-masing mencari sudut terbaik untuk bergambar buat kenangan.



Atas jambatan

Malamnya kami melawat sahabat lama (senior) yang ingin aku temui setelah 33 tahun berpisah. Masing-masing membawa haluan berkeluarga dan berkerjaya. Bila jumpa kami sudahpun bersara pilihan. Rindu terlerai walaupun sekejap cuma. 

Terima kasih Th. Haji Sabri yang belanja makan malam di Seafood Garden

Buah tangan buat sahabat Puan Masita Abdullah.

Keesokannya kami ke Tasik Kenyir yang jauhnya kira-kira 55 kilometer dari Kuala Terengganu. Tidak sangka tersesat di perkampungan orang asli berkali-kali kerana tersilap meletakkan Tasik Kenyir di GPS. Sepatutnya setkan Pengkalan Gawi yang merupakan satu daripada dua pintu masuk utama ke Tasik Kenyir. Alhamdulillah jumpa juga setelah hampir berputus asa. Kami pernah ke sini pada tahun 1990an, sudah terlalu lama.

Tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara yang dibina pada tahun 1985.
Lokasi tadahan air yang juga menjadi destinasi pelancongan terkenal. Kawasan parkir kereta


Ada perkhidmatan  bot biasa dan bot laju.
Kaya dengan keindahan alam semulajadi. Ada tasik, jeram,
air terjun,sungai yang kaya dengan pelbagai spesis ikan air tawar.
Kawasannya begitu luas yang terdiri daripada pulau-pulau, banjaran bukit, gunung, gua, hutan yang penuh dengan fauna dan flora eksotik. Sempat kami terokai walaupun suasana sekitar masih begitu ramai pengunjung kerana kebanyakan tempat tumpuan belum beroperasi.


Rumah Bot yang dilengkapi pelbagai kemudahan seperti katil, dapur,bilik air
dan sebagainya yang memberi keselesaan seperti barada di rumah. 


Banyak Rumah Bot yang boleh disewa dengan kadar RM1000++ semalam.
Memang sesuai untuk kaki pancing.
Puas melihat kawasan sekitarnya yang memukau, kami meneruskan perjalanan ke Pantai Penarik yang terletak di Daerah Besut. Jika dari Kuala Terengganu ke Pantai Penarik berjarak kira-kira 90 km. 
Rehat sekejap di Pantai Tanjung Rhu.

Sempat ambil gambar buku buat promosi.
Singgah makan Ikan Celup Tepung yang terkenal di Pantai Penarik.
Kedai NL Celup Tepung Bira Pata menjadi pilihan
Tempat makannya yang berhampiran pantai menjadikan suasana begitu nyaman.
Jalan-jalan jap di Pantai Penarik.
Kami meneruskan perjalanan ke Kampung Mangkuk, melalui jalan yang lebih kecil sehingga ke kawasan berhampiran Hotel Terrapuri Heritage Village. Suasana begitu indah dengan pepohon nyior yang menjulang tingg melambai-lambai ditiup angin dari laut. Ada sungai lagi. Nyaman sungguh.

Pantai Kampung Mangkuk.

Letih dengan angin pantai kami kembali ke Guest House untuk berehat dan menunaikan solat. Sebelah petang keluar melihat kawasan sekitar Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man untuk melihat dengan lebih dekat Masjid Kristal.

Terapung dalam air.
Masjid Kristal...dah tutup untuk lawatan.


Malamnya ziarah ke rumah sahabat lama ketika tinggal di Melaka iaitu Keluarga Cikgu Yusuf dan Ustazah Ramzah.


Sampaikan buah tangan.

Pagi esoknya hujan renyai-renyai seolah sedih kami akan meninggalkan Kuala Terengganu yang belum puas diterokai. Banyak perubahan yang berlaku berbanding sepuluh tahun dahulu yang agak sepi dan sunyi. Mestilah singgah ke Pasar Kedai Payang untuk beli apa yang patut.

Cari keropok lekor untuk jiran-jiran.

Untuk ke kawasan parkir berhampiran sungai kita akan lalu China Town.
Tu dia...beli apa tu.
Baju batik memang banyak.

Kepok2

Gerai di luar bangunan Pasar Kedai Payang.
Selepas keluar dari Guest House kami meneruskan perjalanan untuk kembali ke Kuala Lumpur. Singgah sebentar di Pantai Buruk. 

Buaian menjadi trade mark di kawaasan pantai Terengganu.

Lalu je untuk lihat Istana Syarqiyyah.

Singgah makan tengahari di Pamtai Jambu Bongkok. Siap masak pagi tadi.

Kampung nelayan Pantai Jambu Bongkok

Indahnya pemandangan pokok kelapa di tepi pantai.

Singgah lagi di Rantau Abang, tidak jauh dari Awang Beach Resort. Pantai ini cantik tetapi angin terlalu kuat. Kami pernah tidur di Awang Beach Resort.

Macam baru je

Kampung nelayan sebelah Awang Beach Resort.

Puas tengok pantai.

Meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur dan tiba pada pukul 6.00 petang. Alhamdulillah.








Jumaat, 7 Ogos 2020

Rasa Dapur KakJee (353) - Kacang Panjang Goreng


BismillahirRahmanirRahim



Alhamdulillah. Sesungguhnya tidak rugi jika kita bercucuk tanam. Pokok tersebut akan berzikir lalu kita beroleh pahala setiap saat. Apabila ada serangga , ulat atau apa juga jenis haiwan yang menumpang rezeki pada pokok tersebut. Pasti akan menjadi pahala sedekah. Dan kita sendiri mendapat nikmat rezeki apabila dapat memakannya.

Pokok kacang panjang ini sudah mula mengeluarkan hasilnya, setiap hari KakJee akan menuainya lalu dikumpulkan. Hari ini jumlahnya semakin banyak, dapatlah dibuat sayur.



Pokok kacang panjang tapi jenis pendek.

Resipi Kacang Panjang Goreng.
Bahan2:
Kacang panjang secukupnya
2 pek Fu Chuk/ Tauhu Kering dan Soo Hoon - direndam hingga lembut
Sedikit lobak merah
1 biji cili merah
1/2 biji bawang besar dihiris nipis
3-4 ulas bawang putih dihiris.
2 biji kentang dipotong dan direbus
Sedikit serbuk lada hitam
Sedikit minyak
Garam secukupnya
Air secukupnya

Cara membuatnya:
1.Panaskan minyak dan masukkan bawang besar dan bawang putih, goreng hingga garing.
2.Masukkan lada hitam, lobak  merah dan cili. Kacau sekejap dan masukkan kacang panjang yang dihiris.


3.Masukkan air dan Fu Chuk yang telah dipotong kecil. Kacau Fu Chuk hingga lembut
4.Masukkan kentang, soo hoon dan garam.Kacau hingga agak kering.Tutup api dan angkat.

Selamat Mencuba.

Khamis, 6 Ogos 2020

Rasa Dapur KakJee (352) - Kuih Lopes Segitiga


BismillahirRahmanirRahim




Kuih Lopes berbentuk segitiga ini KakJee  makan buat kali pertama ketika bertugas di Melaka. Ianya sedikit berbeza dengan Kuih Lopes yang biasa dimakan di utara tanah air. Kuih Lopes utara biasanya berwarna hijau dan berbentuk bulat tapi yang ini berbentuk segitiga dan berwarna perang sikit. Rasanya lebih kenyal...ehhmm sedap pula. Ada rakan dari negeri Johor memberi resipi cara menyediakannya. Ianya agak mudah untuk disediakan. 

Namun bahan yang diperlukan iaitu Abu Chang diperlukan untuk direndam bersama pulut. Puas KakJee bertanya di kedai yang menjual bahan kuih namun tidak ada. Lalu KakJee mengambil keputusan untuk mencuba juga dengan mengantikan Abu Chang dengan air kapur. Rasanya tetap sedap, ada rasa kenyal-kenyal gitu.

Resepi Kuih Lopes Segitiga
Bahan2
1/2 kg pulut*
Sedikit air kapur*
bahan * direndam bersama air semalaman 
Gula Merah
Sedikit gula Melaka
Daun pandan
Daun pisang yang dilayur
Kelapa parut(putih sahaja)
Sedikit garam

Cara Membuatnya:
1.Basuh dan toskan pulut.
2.Ambil daun pisang dan potong ikut saiz yang sesuai. Bersihkan.


3.Lipat daun pisang dalam bentuk segitiga seperti hendak buat samosa. Masukkan pulut dan padatkan. Bungkus ketat sehingga bentuk segitiga.





4.Ikat dengan tali rafia sekelilingnya supaya tidak bocor sewaktu merebus. Buat hingga habis.


Boleh juga ikat 2 sekaligus.


5.Masukkan ke dalam periuk yang berisi air. Pastikan air menutupi kuih. Rebuslah selama 2 jam (lagi lama lagi bagus - 4 jam)
6.Keluarkan dari periuk setelah kuih masak dan sejukkan.



7.Buang pembalutnya dan salutkan  dengan kelapa yang digaul dengan sedikit garam.


8.Masakkan gula merah, gula Melaka, daun pandan dan sedikit air. Masak sehingga agak pekat.
9.Hidangkan kuih lopes bersama air gula.



Selamat Mencuba


Isnin, 3 Ogos 2020

Rasa Dapur KakJee (351) - Dendeng Daging


BismillahirRahmanirRahim




Salam Aidiladha buat semua tetamu blog KakJee. Sempena hari raya tahun ini KakJee sempat mencuba resepi Dendeng Daging. Dengan harapan untuk  mengurangkan hidangan berlemak. Antara juadah lain yang sempat KakJee masak ialah Kuah Kacang, Rendang Ayam Kampung, Sup Tulang, Nasi Impit, Ketupat Daun Palas dan Kek Marble Sexy. Lauk pauk sudah KakJee siapkan dua hari sebelum hari raya kemudian disejuk bekukan.

Tahun ini kami tinggal di homestay di kampung untuk menyambut hari raya. Semua makanan tersebut KakJee panaskan semula apabila hendak dimakan. Jadi tidak perlulah sibuk mencari makanan di luar walaupun ada restoran yang dibuka. 

Resepi Dendeng Daging ini sesuai dimakan dengan nasi dan ketupat. Sedap rasanya. Resepi diambil dari FB Rasa dengan sedikit ubahsuai.

Resepi Dendeng Daging
Bahan2:
1 kg daging
3 ulas bawang putih*
1 biji bawang besar*
1 inci halia*
1/2 inci lengkuas*
3 batang serai * - lebih lagi sedap
bahan * dikisar
3 senduk besar cili kisar (ikut pedas masing-masing)
1/2 mangkuk kicap  untuk diperap dengan daging
2 senduk kicap lemak manis
Minyak secukupnya

Cara Membuatnya:
1.Hiris daging lebih kurang 1 inci, rebus sekejap dan ditumbuk setiap hirisan daging.
2.Perap daging tersebut bersama 1/2 mangkuk kicap.


3.Panaskan minyak masak dan masukkan bahan kisar. Tumiskan hingga naik bau. Masukkan cili kisar dan masak hingga garing.
4.Masukkan daging yang diperap tadi. Masak dengan api sederhana dan sentiasa kacau.Masukkan kicap sehingga sesuai rasanya.
5.Masak sehingga daging menjadi kering.

Selamat Mencuba.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026.

  BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah, semalam berakhir PBAKL 2026 setelah berlangsung selama 10 hari. Banyak kisah menarik yang dikongsi...