Rabu, 15 April 2020

Travelog Eropah - Switzerland 1

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh





Kembara ke negara Eropah selama sebulan (24/6/2019 -25/7/2019) dengan berkereta merentasi sempadan 12 negara sejauh 9500 kilometer.

Perjalanan ke Switzerland diteruskan yang berjarak kira-kira 267 kilometer dari Nancy, Perancis melalui lebuh raya A35. Pengalaman menarik apabila melalui sebuah terowong yang merentasi pergunungan Vosges sejauh 6.95 kilometer dengan bayaran tol sebanyak 9.4 euro.

Selepas terowong kami berhenti untuk makan dan rehat. Masak ala kadar sahaja.

Perjalanan seterusnya menyaksikan pemandangan ladang yang luas terbentang dengan kawasan pergunungan. Aku dapati banyak bangunan istana di atas puncak gunung tersebut. Itulah antara kehebatan negara Eropah yang penuh dengan istana dan gereja. Ada papan tanda menuju ke perkampungan terkenal di Perancis iaitu Colmar. Namun suamiku menolak untuk singgah.Huhu sungguh kecewa.

Istana nun di sana

Tiba di sempadan dua negara iaitu Saint-Louis, Perancis dan Basel, Switzerland. Untuk masuk ke negara Eropah yang ke7 baru bertemu sekatan laluan antara dua buah negara. Paspot tidak pun diminta, hanya kami perlu membayar tol untuk menggunakan lebuh raya sepanjang berada di Switzerland yang dipanggil vignette sticker. Ianya ditampalkan pada cermin hadapan kereta sepanjang berada di Switzerland. Berharga CHF40 dan laku dalam tempoh setahun.

Petugas siap hulurkan mesin kad kredit untuk bayaran..memudahkan urusan sungguh depa nih.


Inilah negara yang paling ingin aku kunjungi. Teringin sangat untuk melihat negara yang dinobatkan sebagai "The world's best country" dari segi ekonomi, kualiti kehidupan, sistem pengangkutan awam, eco friendliness, sistem pendidikan dan sebagainya. 


Apartmen kami di Aarau.
Pemandangan sekitar apartmen pun sudah cukup memukau.
Buah ceri sedang masak ranum, pokoknya tidak jauh dari tempat tinggal kami.


Hari ke 13 (7/7/2019)

Lauterbrunnen

Jalan utama dipenuhi resort dan kedai.

Staubbachfall paling popular di Lauterbrunnen

Pemandangan pusat bandar Lauterbrunnen dari  Staubbachfall

Air terjun Trummelbach juga terkenal dan boleh di masuki, siap ada lif lagi.


Grindelwald

Dalam perjalanan balik kami singgah di Grindelwald. Perjalanan melalui jalan yang sempit di dataran yang agak tinggi. Sepanjang jalan adalah aliran sungai di mana airnya mengalir dengan deras yang berwarna biru putih. Hujan lebat menyambut kami jadi tidak dapatlah kami ke mana-mana sekadar menjamu mata dari dalam kereta. Pemandangan amat indah di sini, lebih cantik dari yang dilihat di Lauterbrunnen. Ramai orang Arab menginap di sini, resortnya pula nampak esklusif sangat.



Resort di Grindelwald.


Interlaken

Berpusing-pusing sekitar Interlaken dalam keletihan, jadi kami tidak singgah di pekannya. Namun 
sempat kami singgah berehat di Tasik Brienz yang luas dan cantik. Interlaken membawa maksud antara dua tasik iaitu Tasik Thun dan Tasik Brienz.

Tasik Brienz


Keretapi 
Tasik Lungern 
Lucerne/Luzern

Ejaan berbeza namun ianya tempat yang sama. Hari  semakin gelap namun jam sudah pun pukul 9.30 malam ketika kami singgah di sini. Parkir kereta berhampiran Planetarium tidak jauh dari tasik.



Tasik Luzern

Hari 14 (8/7/2019)
Kami mengambil keputusan untuk ke Vaduz hari ini. Namun kisahnya akan menyusul kemudian. Pulang dari Vaduz kami singgah di Zurich.

Zurich




Mencari kedai untuk membeli sesuatu...mahal gile!


Kedai beli barang ketika di Switzerland.

Hari 15 (9/7/2019)
Bertolak ke Geneva.

Singgah di Laussane

Apartmen terletak di Perancis berhampiran Geneva

Kelihatan Kota Geneva dari kawasan apartmen kami. Ada ladang gandum yang luas sedang masak buahnya.

Hari 16 (10/7/2019)
Sempat ke Evian yang juga terletak di Perancis yang terletak di pinggir Tasik Geneva. 


Air Evian percuma, ambil je le buat stok.
Letih

Cantik juga bandar Evian

Tasik Geneva

Tasik Geneva berbentuk bulan sabit dengan keluasan kira-kira 345 kilometer persegi. Merupakan tasik terbesar di Eropah dan melangkaui sempadan antara Perancis dan Switzerland. So, hari-hari kami berada Switzerland dan Perancis....waah.




Bangunan di Geneva ni sama je tingginya.

Ada bahagian Tasik Geneva mempunyai pantai yang sesuai untuk mandi manda.

Sambung lagi dengan Switzerland ya.
Travel, Tulis & Terbit.

Ahad, 12 April 2020

Rasa Dapur KakJee (331) - Cucur Jagung Pedas


BismillahirRahmanirRahim


Berita terkini ialah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 28 April 2020. Bersama kita patuh kepada arahan yang diberi agar memudahkan petugas kesihatan mengawal penularan wabak COVID-19. Jangan lupa kita terus berdoa agar virus berkenaan diangkat dari bumi ini.

Dalam keterbatasan mencari bahan untuk memasak, tiba-tiba ada rezeki membeli jagung. Kebetulan dilaman media sosial memaparkan juadah berkaitan jagung. Banyak stok jagung agaknya. Aku pun mengambil kesempatan untuk membuat cucur jagung, resepi yang amat kami gemari. Namun disebabkan bilangan jagung yang terhad, hanya satu tongkol jagung sahaja digunakan. Jika lebih banayak jagung lagi sedap kan. 

Resepi Cucur Jagung Pedas
Bahan2:
2-3 cawan tepung gandum
1 tongkol jagung diambil bijinya
2 biji cili merah ditumbuk
1 biji bawang besar dihiris nipis
1 biji telur
Daun kucai/daun bawang/daun sup dihiris
Garam
Air secukupnya
Sedikit udang segar/ikan bilis (tak ada stok)
Minyak masak.

Cara membuatnya:
1.Campurkan semua bahan kecuali air ke dalam sebuah bekas yang sesuai.
2.Masukkan air sedikit demi sedikit sambil dikacau supaya sebati dan sehingga adunan boleh dibentuk dengan tangan. Tidak terlalu cair.
3.Panaskan minyak dan bentukkan adunan mengikut saiz yang sesuai. Masak sehingga selesai. 4.Agak pedas jadi tidak perlu sos cili lagi.

Selamat mencuba.



Ahad, 5 April 2020

Rasa Dapur KakJee (330) - Sandwic Pataya


BismillahirRahmanirRahim



Alhamdulillah Roti Gardenia sudah kembali ke pasaran seperti biasa. Diawal Perintah Kawalan Pergerakan (pkp), ramai yang berebut membeli roti jenama terkenal tersebut. Seminggu lebih jugalah kami tidak berpeluang makan roti. Puas makan begitu sahaja teringin pula untuk mencuba sesuatu yang berbeza. Kebetulan ada terbaca resepi baru iaitu Sandwic Pataya yang menggunakan sambal sardin sebagai inti.

Sebab tiada stok sambal jadi aku tukarkan dengan inti burger ayam yang sedia ada. Jom tengok resepinya.

Resepi Sandwic Pataya
Bahan2:
2 keping burger ayam - dipotong dadu
1/4 biji bawang Holland - dipotong dadu
1/2 biji cili hijau- dihiris
6 keping roti putih - dibuang tepinya
3 biji telur
Minyak masak
Garam
Mayonis
Sos Cili

Cara Membuatnya:
1.Panas sedikit minyak dan masukkan bawang dan cili. Kacau rata.
2.Masukkan burger dan kacau hingga masak.Ketepikan.

Ini dah siap
3.Pecahkan sebiji telur ke dalam bekas yang sesuai, masukkan sedikit garam dan pukul dengan garpu.
4.Panaskan kuali dan sapu minyak dengan berus supaya rata keseluruh kuali.
5.Masukkan telur, ratakan telur seperti membuat telur bungkus pataya.
6.Letakkan sekeping roti diikuti dengan inti, mayonis dan sos cili. 

Pastikan telur hampir masak

7.Tutup dengan sekeping lagi roti.Sapukan minyak atau  marjerin supaya telur tidak kering dan memudahkan proses melipat nanti.

2 keping roti

8.Lipatkan telur untuk menutup roti tadi seolah membungkus telur. Angkat.
9.Ulang sehingga habis kesemuanya.

Lipat dengan kemas

Siap yang pertama

Dapat 3 set.

Selamat Mencuba

Khamis, 2 April 2020

Travelog Eropah - Nancy, Perancis.



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh




Kembara ke negara Eropah selama sebulan (24/6/2019 -25/7/2019) dengan berkereta merentasi sempadan 12 negara sejauh 9500 kilometer.


Hari 12 (6/7/2019) 
Pukul 7.00 petang kami tiba di Hotel Cerise dari Luxembourg. Kembara kami di Eropah pada kali ini tidak melibatkan negara United Kingdom dan Paris, di Perancis kerana kami pernah ke sana.(Lihat cacatan : Bonjour Paris). Nancy menjadi tempat singgah dalam perjalanan ke Switzerland. Tidak disangka ada yang menarik di Nancy.

Hotel cerise.

Nancy terletak dalam daerah Lorraine, tempat asal usul quiche yang popular di Perancis

Awal pagi esoknya kami ke Old Town Nancy. Dapatlah melihat seni bina Perancis yang menjadi kebanggaan mereka pada zaman dahulu.

Pintu masuk ke Tapak Warisan Dunia UNESCO

Ehmmm...Palais

Palais du Gouvernement

Laluan Place de la Carriera yang panjang dan luas.

Kena lalu The Arc de Triomphe atau gerbang kemenangan

Besarnya pintu gerbangnya

Laluan selepas pintu gerbang

Dataran Stanislas 
Patung Stanislas Leszczynski, Duke of Lorraine
Bangunan bekas istana yang sudah ditukar fungsinya.

Pagar diperbuat daripada wrought-iron yang mewah sekitar dataran
Patung pun banyak

Sekitar bandar berdekatan dataran

Siap dengan taman.

Sempatlah beli tanda mata

Mudahnya nak main judi, ianya dijual di kedai-kedai.

Kelihatan makcik muslimah.

Jom isi minyak sebelum meneruskan perjalanan.



Jumpa di Switzerland.

Rabu, 1 April 2020

Rasa Dapur KakJee (329) - Pais Ikan Kembung




BismillahirRahmanirRahim



Resepi Pais Ikan Kembung yang sedap ini adalah gabungan beberapa resepi. Sejak kebelakangan ini harga ikan kembung agak murah jadi ianya begitu mudah untuk didapati. Senang je untuk disediakan dengan menggunakan bahan-bahan segar yang kebanyakannya berada di sekitar rumah sahaja. Daun kunyit, daun limau purut dan daun pisang boleh diambil bila-bila masa sahaja. Serius memang sedap!

Resepi Pais Ikan Kembung
Bahan2:
4 ekor ikan kembung dibersihkan dan dikerat dua
1 sudu besar cili kering kisar
1/2 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1 inci kunyit hidup
1/2 cawan kelapa parut
2 batang serai
1/2 inci lengkuas
5 biji cili padi
Sedikit asam jawa jenama Adabi yang pekat (boleh guna limau kasturi)
Garam
1 helai daun kunyit
3 helai daun limau purut
Daun pisang secukupnya


Cara membuatnya:
1.Tumbuk hingga halus bawang besar, bawang putih, halia, lengkuas, kunyit hidup dan cili padi.
2.Masukkan kelapa parut dan tumbuk hingga halus. Tambah cili kering kisar, garam dan air asam jawa. Gaul supaya sebati dan perisakan.

Haaa halus macam ni.
3.Hiris halus daun kunyit dan daun limau purut. Campurkan bersama bahan tumbuk tadi.


Gaulkan daun dengan  pes pais

4. Lumurkan bahan tumbuk tadi dengan ikan. Biarkan dalam 15 minit.

Ikan dilumurkan dengan pes.

5.Panaskan kuali dan letakkan sedikit minyak supaya tidak melekat sewaktu membakar.
6.Balut ikan tadi dengan daun pisang dan bakar hingga masak. Jangan lupa pusingkan ikan tersebut.


Ikan dibalur dengan daun pisang dan dikemaskan dengan lidi


Dah siap.

 Selamat Mencuba.





Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026.

  BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah, semalam berakhir PBAKL 2026 setelah berlangsung selama 10 hari. Banyak kisah menarik yang dikongsi...