Isnin, 14 November 2016

Travelog : Oh!Riyadh (133) - Ushaiger Heritage Village @ Al Salem Museum


Ushaiger Heritage Village @ Al Salem Museum


Seni bina Najd pada Masjid Fulaigiyeh yang terletak di Ushaiger Heritage Village


Kami terus masuk ke sebuah bangunan lama yang tertulis Al Salem Museum sebaik sahaja meletakkan kereta di kawasan parkir yang luas dan kosong. Kami disambut oleh satu-satunya petugas yang berada di situ, malang sekali  kerana aku sudah lupa namanya. Bayaran sebanyak 10 rial dikenakan ke atas setiap pengunjung. Muzium ini merupakan sebuah bangunan yang menempatkan pelbagai barangan yang diwarisi dari zaman dahulu. Kebanyakan barang-barangnyamasih elok dan terjaga, dikumpulkan dan dipamerkan buat tatapan orang ramai. Terbahagi kepada beberapa ruang yang mempunyai koleksi yang tertentu seperti koleksi wang syiling, senjata, pakaian, alat hiasan lelaki dan wanita.

Di ruang lain pula dipenuhi dengan koleksi barang dapur, cara pengaliran air untuk tanaman, kaedah mendapatkan air untuk keperluan rumah, kaedah penyimpanan makanan dan proses mengawet buah kurma, Replika dapur pun ada di satu ruang, di mana ditunjukkan alat memasak dan membakar roti. Ada di antara barangan tersebut kelihatan agak lama, mungkin telah diturunkan dari satu generasi ke generasi berikutnya sehingga kini. Puas rasanya melihat koleksi yang ada dan ianya banyak memberi kefahaman kepada kami akan sejarah kehidupan silam warga Arab Saudi terutamanya dari suku bangsa Najh

Pintu masuk Al Salem Museum

Bersama petugas yang memulakan kerjayanya semenjak muzium ini beroperasi
Boleh berbahasa Inggeris dengan baik.

Antara senjata yang dipamirkan di ruang hadapan.
Pelbagai sijil lama dipamerkan
Pakaian  wanita dan abaya turut ditunjukkan

Barang kemas dan hiasan diri pun ada
Pelbagai koleksi termasuk teko yang masih popular sehingga kini.
Dulang pelbagai corak dan saiz.
Makanan ringan seperti kurma dan manisan turut disediakan
untuk tetamu
Almari yang cantik
Barang hiasan

Tandas untuk tetamu muzium...bersih dan selesa.

Rehat dan kita minum dulu...Teh panas untuk tetamu
Bekas menyimpan air
Kaedah menyimpan makanan zaman silam
Pelbagai alat kelengkapan dapur
Replika alat memasak di dapur.
Bekas mengisi makanan dan minuman

Hampir satu jam kami berada di dalam muzium tersebut. Kami keluar dari muzium dan menuruni anak tangga di luar bangunan muzium lalu ternampak laluan untuk masuk ke dalam bangunan lain.Kami terkejut melihat di sebelah dalamnya, yang dipenuhi dengan lorong-lorong serta dinding bangunan lama yang diperbuat dari tanah liat. Kami tidak pasti apakah kawasan itu. Kami terus sahaja berjalan di lorong-lorong yang ada untuk melihat apa yang ada di sekitarnya.


Tertulis May Door


Lorong-lorong di celah bangunan

Rumah-rumah yang memiliki pintu dan tingkap yang tersendiri
Ada lampu tergantung di lorong-lorong
Contoh pintu, semuanya tertutup. Kami tidak berpeluang melihat di dalamnya
Contoh rumah tradisional
Rumah yang masih berfungsi


Masjid besar masih terpelihara dan  digunakan

Hanya kami yang berada di sini. Singgah solat 



Kami terus melalui lorong-lorong yang sepi tanpa penghuni...
terlalu luas.
Sehingga ke penghujungnya

Ruang pejalan kaki di sekitar kawasan ini menjadi  peyambung 
Ada kawasan yang tidak mampu kami jelajahi kerana cuaca
yang panas, sekitar 45 C

Antara rumah tanah liat yang sudah rosak ditelan masa

Rumah-rumah yang ada di kompleks ini telah dibaik pulih oleh penduduk Ushaiger. Menariknya di sekeliling kawasan perkampungan ini terdapat kawasan luas untuk pertanian dan penternakan. Termasuk perigi untuk mendapatkan air bagi keperluan seharian.

Kawasan berhampiran perkampungan
Luas betul


Laluan air sewaktu hujan



Pondok yang kami tidak pasti kegunaannya


Perigi 
Terlalu dalam...tidak kelihatan airnya




Pokok Tin juga turut ditanam selain pokok buah kurma, lemon dan sebagainya

Kambing biri-biri pun ada di sini....semua ada

Kami tidak berpeluang untuk bertanya kerana tiada sesiapa di kawasan yang kami lawati ini. Kami sedia maklum kerana ianya adalah pada waktu rehat, kebanyakan pekerja atau petugas sedang berehat. Lagi pula cuaca begitu panas. Waktu terbaik untuk melawat perkampungan ini pastinya pada waktu musim sejuk dan musim bunga sekitar bulan November sehingga Mac.

Kami merasa begitu lapar, maklumlah kami sudah berjalan agak lama sekitar perkampungan Ushaiger tersebut. Kami ke pekan berhampiran, namun tidak kelihatan kedai makan untuk kami beli Nasi Arab atau Nasi Bukhari seperti kebiasaannya. Kami agak kecewa lalu mencari jalan untuk kembali ke Riyadh. Alhamdulillah ketika tiba di jalan menuju lebuh raya kami ternampak restoran makanan Arab yang agak sesuai.

Pekan berhampiran Ushaiger Heritage Village....sunyi aje
Take away aje

Kami kembali ke Riyadh setelah waktu semakin menjelang petang. Kami mengambil laluan lain untuk melihat persekitaran yang berbeza. Sekali lagi kami dihidangkan dengan pemandangan pergunungan yang dipenuhi dengan pasir berwarna merah. Sesekali ternampak kawasan penanaman rumput yang luas.....Kami masih tidak jemu untuk merakamkan gambarnya.

Rumput ditanam di tengah-tengah padang pasir walau pun cuaca begitu panas

Inilah hasilnya...rumput dibawa kepada para penternak untuk dinikmati oleh unta, lembu dan kambing sekitar Riyadh

Menghampiri Riyadh, kelihatan kawasan ternakan ayam pula. Bangunan yang dilengkapi penghawa dingin.


zias/cheras/16

Sabtu, 12 November 2016

Rasa Dapurku (202) - Cream Puff



BismillahirRahmanirRahim


Besar sikit saiznya.


Akhirnya aku berjaya menghasilkan kuih yang sedap ini. Pernah aku membuatnya, lama dahulu namun ianya kurang diminati oleh ahli keluargaku. Tapi aku begitu menggemarinya dan mampu makan dengan banyak sekali. Sebab itu aku malas untuk membuatnya, takut di luar kawalan nafsu makan.  Ianya  antara resepi yang kerap dikongsi oleh rakan-rakan Fb. Yang mendorong aku untuk mencuba ialah resepi dari fb Resepi Memikat Suami yang nampaknya agak mudah. Cuma aku menggunakan tepung kastard supaya intinya berwarna kuning. Hasilnya memang begitu cemerlang, tidak sabar untuk mencuba lagi.

Resepi Cream Puff
Bahan2:
100 ml air
45 g mentega (dipotong kecil)
60 g tepung gandum
2 biji telur

Cara membuatnya:
1.Panaskan oven pada 200 C.
2.Ayak tepung gandum.
3.Masukkan air dan mentega ke dalam sebuah 
   periuk atau kuali.
4.Masak dengan api sederhana kemudian kuatkan
   sehingga mendidih. Bila sudah mendidih, perlahankan
   api.
5.Masukkan tepung dan kacau perlahan sampai sebati.
6.Pastikan tepung tidak melekat pada kuali dan nampak 
   kering. Tutup api.
7.Masukkan adunan ke dalam sebuah bekas. Masukkan 
   sebiji telur dan kacau dengan mixer kemudian masukkan telur
   lagi sebiji. Kacau sehingga adunan menjadi seperti dodol.


9.Masukkan adunan ke dalam piping bag dan pipekan
   ke dalam dulang pembakar. Celup jari  dalam air dan
   tekan bahagian tanduk supaya cream puff nampak cantik.
10.Bakar dalam oven selama 15 minit  ( adunan naik )
    kemudian turunkan  suhu kepada 180 C dan bakar
    selama 25 minit atau sehingga keperangan.
    Sejukkan.

Inti Cream Puff
Bahan2:
500 ml susu segar
40 g tepung gandum/jagung
1 sudu besar tepung kastard
85 g besar gula
30 g tepung kastard
75 g mentega
1 sudu teh esen vanila

Cara Membuatnya
1.Masukkan semua bahan kecuali mentega ke dalam
   sebuah periuk.
2.Masak sambil kacau guna whisk sampai adunan jadi
   pekat. Kacau supaya adunan tidak berketul.
3.Apabila sudah pekat, masukkan mentega, kacau sebati
   dan sejukkan.
4.Masukkan inti cream ke dalam piping bag.
5.Puff tadi digunting tepinya. Masukkan inti ke dalamnya.

 

Jumaat, 11 November 2016

Rasa Dapurku (201) - Sambal Kentang Goreng Petai



BismillahirRahmanirRahim

Resepi asalnya bernama Sambal Janda Malas. Tidak sedap pula bunyinya lalu aku tukarkan menjadi Sambal Kentang Goreng Petai. Pertama kali aku menjamah lauk yang pedas ini ialah ketika majlis pertunangan anak saudara di sebelah suamiku. Kakak ipar aku yang bernama Pn Fazidah  menyediakan resepi ini. Memang sedap sangat tetapi amat pedas bagi aku. Ada yang tidak tahan sehingga terpaksa berulang alik ke tandas Ini kerana cili padi digunakan sepenuhnya di dalam resepi tersebut. Aku ubah suai sedikit resepi tersebut dengan menggantikan dengan cili merah dan sedikit cili padi. Jadi ianya tidak terlalu pedas sehingga boleh dimakan begitu sahaja.


Resepi Sambal Kentang Goreng Petai
Bahan2:
3 biji kentang 
3-4 papan petai diambil isinya
1/2 cawan ikan bilis
3 ulas bawang putih*
1 biji bawang besar*
10 biji cili padi*
2 biji cili merah*
bahan * dikisar
Sedikit minyak masak.
Garam 
Sedikit gula

Cara Membuatnya:
1.Kentang dipotong serong (biar tebal sedikit supaya gebu)
   digoreng sehingga masak. Sejukkan
2.Ikan bilis digoreng sehingga garing.Sejukkan.
3.Panaskan kuali bersama minyak. Masukkan bahan-bahan
   kisar dan goreng sehingga garing. Masukkan garam dan gula.
   Sejukkan.
4.Gaulkan kesemua bahan-bahan yang telah disediakan tadi
   sehingga rata.  
5.Siap untuk dinikmati bersama nasi putih. Tidak perlu lauk 
   lagi....

Pastikan semuanya sudah sejuk baru digaulkan bersama

Rasa Dapurku (200) - Ikan Kembung Rebus Air Asam



BismillahirRahmanirRahim

Malaysia digegarkan dengan isu harga minyak masak yang mahal selepas perbentangan bajet negara. Ramai di kalangan rakan-rakan berkongsi resepi yang tidak menggunakan minyak masak di Facebook. Antara yang menarik minat aku sekian lama ialah Resepi Ikan Rebus bersama Air Asam. Juadah yang pasti menjadi pilihan aku jika ianya dihidangkan di kantin sekolah. Seekor Ikan Kembung tidak cukup rasanya. Boleh diratah begitu sahaja. Namun resepi aku ini tidak memasukkan belacan kerana belacan memang tidak ada di dapurku.



Resepi Ikan Kembung Rebus Dan Air Asam
Bahan2:
2-3 ekor Ikan Kembung yang segar
1 keping asam keping
1-2 biji buah tomato
Cili Api
Cili hijau
Cili merah
1 biji bawang besar
Air Asam Jawa secukupnya
1 biji limau kasturi/nipis
Garam
Sedikit gula jika perlu

Cara Membuatnya:
1. Ikan kembung dibersihkan dan diperap bersama
    limau nipis dan garam. Cuci sekali lagi.
2. Ikan kembung direbus bersama sedikit garam
    dan asam keping sehingga masak. Toskan
3. Buah tomato dan bawang besar dipotong dadu.
4. Cili dihiris nipis (boleh juga dikisar)
5.Masukkan tomato, bawang besar dan cili ke dalam
   sebuah bekas yang sesuai.
6.Masukkan air asam jawa secukupnya, garam dan gula.
7.Gaulkan semuanya sehingga sekata. Perahkan air
   limau kasturi .
8.Tuangkan di atas Ikan Kembung yang telah direbus tadi.
9.Siap....boleh dimakan bersama nasi yang masih panas.

Rasa Dapurku (199) - Kuih Pulut Inti



BismillahirRahmanirRahim.

Kali ini aku mahu berkongsi resepi sejenis kuih yang popular di zaman kanak-kanak aku dahulu. Kuih Pulut Inti memang terkenal di utara tanah air. Tidak pasti di tempat lain, lama sungguh aku tidak merasainya. Resepi kuih ini aku ambil dari Blog Hairul, mudah sahaja untuk menyediakannya.


Resepi Kuih Pulut Inti
Bahan2:
1 1/2 cawan beras pulut (direndam semalaman)
1 1/2 cawan santan pekat
Sedikit garam
1/2 biji kelapa parut
1 buku gula Melaka (biar yang hitam sikit)
Air secukupnya
Daun pandan
1 sudu besar tepung gandum

Cara Membuatnya:
1.Masak gula Melaka bersama daun pandan di dalam
   sebuah periuk sehingga larut dan pekat.Tapiskan.
2.Masukkan air gula ke dalam sebuah kuali. Masukkan
   kelapa parut dan kacau sehingga sebati.
3.Masukkan tepung dan kacau sehingga tidak berderai.
   Biar lembap sedikit. Sejukkan.
4.Toskan pulut dan kukus sehingga separuh masak, angkat
   dan masukkan ke dalam sebuah bekas yang sesuai.


5.Tuang santan (yang ditambah garam) dan kacau perlahan
   sehingga rata. Biarkan terendam selama 30 minit supaya
   pulut kembang.



6.Kukus semula dalam masa 10 minit.Angkat.

Alas dengan jala untuk kukus pulut, memudahkan kerja.
Pandai-pandai le cari jala tu....
7.Ambil daun pisang yang telah dipotong dan dilayurkan.
8.Letakkan pulut ditengah daun pisang. Letakkan pula
   inti kelapa di atasnya dan balut kemas seperti nasi lemak.

Dapat lebih kurang 11 bungkus yang sederhana saiznya.

Khamis, 10 November 2016

Travelog : Oh!Riyadh (132) - Ushaiger

Ushaiger 

Ushaiger adalah sebuah pekan kecil yang terletak berhampiran Shagra, kira-kira 200 kilometer dari Riyadh. Merupakan perkampungan di mana rumah-rumahnya diperbuat dari tanah lumpur yang tertua di Arab Saudi, yang terletak di daerah Najd. Pernah menjadi tempat persinggahan jemaah haji dari Kuwait, Iraq  dan Iran yang di dalam perjalanan mengerjakan ibadat haji. Kami ke sana kerana ianya tidak begitu jauh dari Riyadh, mencukupi untuk lawatan selama sehari. Kami ke sana sehari sebelum bermulanya bulan Ramadhan demi melaksanakan misi kami iaitu melawat sebanyak mungkin daerah yang terdapat di Arab Saudi sebelum kembali ke tanah air. Idea untuk ke sana aku perolehi melalui Blog Blue Abaya. Gambar-gambar yang dipaparkan menarik perhatian kami untuk ke sana.

Pekan bersejarah ini mula diduduki sekitar 1500 tahun dahulu. Terdapat beberapa penduduk tempatan  yang telah mengeluarkan belanja sendiri dengan melakukan ubah suai kediaman yang asalnya dari tanah liat untuk dihayati oleh generasi kini.  Sebuah muzium dibina untuk memelihara warisan  sejarah kampung ini. Apa yang dilihat kini seolah kembali ke zaman silam. Ianya antara faktor kenapa kami ke sana. Ushaiger asalnya dihuni oleh beberapa  puak atau suku bangsa seperti Tamim, keluarga Muhammad ibn Abd al Wahhab dan  Al-Thani (pemerintah Qatar). 



Ejaan memang sentiasa mengelirukan di Arab Saudi, Ushiqer?Ushaiger?Ushiger?
Kain rentang untuk tetamu dari Korea Selatan....aku tumpang aje untuk bergambar.

Awal pagi kami sudah di atas lebuh raya menuju ke Mekah, selepas checkpoint pertama kami ke arah Shaqra(Highway 505). Laluan yang sama untuk ke Red Sand. Seterusnya kami mengikut sahaja arahan yang diberikan oleh GPS. Menghampiri Ushaiger, kelihatan kawasan pergunungan kecil yang dipenuhi dengan pasir berwarna merah. Kawasan berbukit pasir merah tersebut begitu panjang seolah menjadi sempadan seluruh kawasan tersebut. Tidak hairan jika kawasan ini digelar sebagai "The Little Blonde" atau "Small Blonde".

"Red Sand" di mana-mana, cantik dan terpelihara.

Replika di tengah bulatan

Bekas sebuah kampung yang diperbuat dari tanah liat atau lumpur sepenuhnya sebelum sampai di Ushaiger

Al Dhuwaity House of Haritage...tidak pasti apa di dalamnya kerana ditutup. Terletak tidak jauh dari
kawasan rumah yang diperbuat dari lumpur.
Unik bentuk bangunannya
Kediaman yang diperbuat dari tanah liat atau lumpur

Runtuhan.....Hanya tinggal sejarah

Kediaman Najd  dapat dilihat di sepanjang perjalanan. Bentuk binaan begini begitu popular di sekitar Riyadh.
Sekitar pekan Ushaiger


Pekan Ushaiger

Ini yang kami cari


Al Salem Museum dari jalan raya

Pintu masuk ke Kompleks Muzium

Bersebelahan dengan muzium


Binaan yang unik

Jom tengok kawasan di bahagian dalam Kompleks Muzium Al Salem.

Laluan masuk ke kompleks muzium

Antara bangunan penting di sini


Bangunan utama


Berhampiran sebuah masjid

Aktiviti perniagaan turut diadakan

Masjid, muzium yang menjadi tarikan sekitar kompleks ini.

Senibina suku Najd terserlah

Bumbung yang unik kebanggaan kaum Najd

Bersambung....


zias/cheras/16










Khamis, 3 November 2016

Rasa Dapurku ( 198) - Kek Marble Asli


BismillahirRahmanirRahim

 Potongan Kek Marble untuk dikongsi bersama rakan sekerja.

Kek Marble paling sedap yang aku pernah makan adalah hasil tangan Kak Siti, jiranku ketika tinggal di Quaters Kompleks Satelit Bumi Melaka di Lendu. Kak Siti, isteri kepada Tn Hj Bajuri kerap sangat menghantar kek tersebut kepada kami yang tinggal berdekatan dengan rumah mereka. Aku tinggal di quaters tersebut selepas berkahwin, semenjak 1991 sehingga 1995. Sempat bertanya resepi kepada Kak Siti namun aku sudah lupa, yang aku ingat semua bahan utamanya adalah sama banyak.  Aku pun mencubanya sebanyak dua kali dan hasilnya begitu memuaskan, hampir sama dengan Kek Marble yang dibuat Kak Siti. Tiada bahan tambahan untuk melembutkannya namun aku menambah sedikit susu segar. Setiap kali aku melihat Kek Marble, pasti aku teringat Kak Siti, semoga Kak Siti dan keluarga terus sihat walau di mana mereka berada.

Resepi Kek Marble Asli
Bahan2:
250 g mentega
250 g gula
250 g tepung gandum *
1 sudu kecil baking powder*
bahan * diayak 2 kali
250 g telur (5 biji)
1 sudu kecil esen vanila
3 sudu besar susu segar
3 sudu besar serbuk koko(diayak)

Cara Membuatnya:
1. Panaskan oven pada suhu 180 C.
2. Pukul mentega dan gula sehingga kembang
    dan rata (lama sedikit).
3.Masukkan sebiji telur dan pukul sehingga rata
   (1 minit). Ulang sehingga habis baki telur.
4.Masukkan esen vanila dan susu segar, pukul
   sehingga rata.
5.Masukkan tepung sedikit demi sedikit sambil
   dikacau sehingga habis dan rata adunannya.
6.Asingkan adunan kepada dua bahagian di dalam
   bekas yang berlainan.
7.Satu bahagian adunan dicampurkan dengan koko
   dan kacau sehingga sebati.
8.Alas acuan dengan baking paper. Masukkan
   selapis demi selapis secara berselang seli
   sehingga habis. Kacau adunan menggunakan
   hujung sudu.
9.Bakar selama 45 minit. Jika suhu 170 C, lebih
   kurang 50 minit.

   


Dah siap. Aku suka yang garing sedikit.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026.

  BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah, semalam berakhir PBAKL 2026 setelah berlangsung selama 10 hari. Banyak kisah menarik yang dikongsi...