Ahad, 20 Februari 2022

Rasa Dapur KakJee (407) - Masak Lemak Daging Salai

BismillahirRahmanirRahim



Didoakan semua pengunjung blog KakJee dalam keadaan sihat serta dilindungi Allah SWT setiap masa.

Hari ni, KakJee nak berkongsi resipi Masak Lemak Daging Salai. Istimewanya resipi ini adalah terletak pada daging salainya yang KakJee buat sendiri. Gigih betul. Siap beli set bbq jenama Kovea, ianya boleh dilipat dan dibawa ke mana-mana nanti.

Jom tengok proses KakJee sediakan daging salai terlebih dahulu. Dalam 1/2 kilogram banyaknya.

Disebabkan daging yang KakJee guna adalah bukan daging batang pinang, jadi ianya perlu direbus terlebih dahulu. Tapi tak perlu lama ya. Lepas tu daging tersebut digaulkan dengan kunyit dan garam.


Guna ranting kecil untuk hidupkan api, kemudian letakkan arang.
Kalau ada sabut atau tempurung lagi bagus.


Daun pisang memang banyak, jadi alaskan.
Biar sehingga air daging kering.

Keluarkan daun pisang dan salai secara terus, api biar sederhana 
supaya daging masak dengan sempurna.

Tarra...hasilnya Wangi.

Hiris nipis. Sambil  hiris, sambil ngap.

Resipi Masak Lemak Daging Salai
Bahan-bahan:

Daging salai
250 gram santan pekat
15-20 biji cili padi (ikut selera)
1 keping asam keping (jika suka)
4-5 batang serai - diketuk
Sedikit minyak untuk menumis
Sehelai daun kunyit
3-4 helai daun limau purut
1 inci kunyit hidup
Garam 
Air secukupnya/ santan cair

Cara Membuatnya:
1.Kisar/tumbuk cili padi dan kunyit hidup.
2.Panaskan minyak dalam kuali. Masukkan serai dan bahan kisar. Kacau sehingga wangi.
3.Masukkan  air/santan cair dan daging salai, masak sehingga daging betul-betul lembut.
4.Masukkan daun kunyit, daun limau purut dan santan pekat. Perisakan dengan garam dan asam keping. Kacau sehingga sedikit pekat. 
Tutup api.



Cubalah. Sedap!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...