Sabtu, 31 Ogos 2019

Rasa Dapurku(312) - Agar-agar Santan Pandan


BismillahirRahmanirRahim








Resepi ini nampak mudah tetapi agak susah untuk mendapatkan hasil yang memuaskan. Pernah aku meminta resepi daripada seorang kawan yang selalu membawa agar-agar ini ke tempat kerja. Namun jawapan yang sering diberi ialah "tiada sukatan, saya hentam aje". Setelah beberapa kali mencuba akhirnya aku mendapat hasil yang dihajati.

Makanan yang kita sediakan sepatutnya mendatangkan kebaikan kepada kesihatan bukan sebaliknya. Sebab itu aku akan menggunakan bahan-bahan asli ketika memasak kecuali jika tiada pilihan. Agar-agar santan pandan ini menggunakan pewarna pandan asli tanpa setitik pun pewarna hijau.

Daun pandan ada dua jenis, satu yang memberi aroma daun pandan yang sedap namun warnanya agak cair. Untuk mendapatkan warna hijau yang lebih terang, daun pandan serani perlu digunakan. Daun pandan serani ini biasanya digunakan dalam pembuatan cendol. Pokok pandan serani sangat mudah ditanam namun ianya agak tinggi berbanding pokok daun pandan biasa.

Pandan Serani (kiri)
Resepi Agar-agar Santan Pandan
Bahan2:
10 gram serbuk agar-agar
1 cawan gula 
1 cawan santan pekat
1000 ml  atau 1 liter air
1 biji telur
Secubit garam
5 helai daun pandan
5 helai daun pandan serani



Cara Membuatnya:
1.Kisar daun pandan dan daun pandan serani bersama 1 cawan air.Tapis.
2.Campur air daun pandan bersama air supaya menjadi 1000 ml. 
3.Masak bersama gula hingga gula larut.
4.Masukkan agar-agar serbuk dan kacau hingga larut dan mendidih.Kecilkan api.
5.Telur, garam dan santan dikisar sebentar dan di tapis.
6.Masukkan ke dalam adunan dan kacau terus sehingga adunan santan timbul dan berbintil.

Kacau hingga adunan santan timbul - supaya ada dua lapisan yang terasing

7.Tuangkan ke dalam acuan/bekas yang sesuai.
8.Biarkan sejuk dan masukkan ke dalam peti sejuk sehingga keras.
9.Bolehlah dipotong dan dihidangkan.


Letak dalam tupperware, lebih mudah sebab ada penutup.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...