Selasa, 27 September 2016

Rasa Dapurku (196) : Kari Daging Campur Biji Cempedak



BismillahirRahmanirRahim

Cempedak goreng memang sedap dimakan, dua hari berturut-turut kami jadikan ia sebagai menu sarapan pagi. Untunglah balik kampung untuk beraya sempena Hari Raya Korban baru-baru ini sebab musim buah-buahan berada di penghujungnya. Rambutan, cempedak dan duku ada sahaja di dapur. Pokok cempedak milik emak saudaraku, Cu Minah terletak berhampiran rumahku. Setiap kali pulang ke kampung dapatlah kami merasanya apabila sepupuku memberinya kepada kami. Teringat pula betapa sedapnya biji cempedak yang direbus untuk dimakan. Itulah makanan ringan di zaman kanak-kanak kami yang belum mengenal Twisties atau Potato chips atau kerepek goreng.  Apa lagi aku pun menyimpan biji-biji cempedak yang telah dimakan. Dibasuh dan direndam.


Hari Raya Aidil Adha yang kedua, daging korban mula diterima. Aku pun mencuba resepi yang sudah lama tidak aku temui iaitu Kari Daging bercampur biji cempedak. Kebetulan kakak dan adik emak  yang aku panggil Mak Long  dan Mak Ndak berkunjung ke rumah. Aku pun bertanya bagaimana untuk mengendalikan biji cempedak untuk dimasak bersama daging. Biji cempedak tersebut sebagai ganti kentang pada zaman dahulu, kata Mak Ndak.

Awas.Walaupun sedap, ramai yang tidak berani untuk makan biji cempedak kerana tidak tahan menanggung serangan angin yang luar biasa. Nasiblah....

Resepi Kari Daging Campur Biji Cempedak
Bahan2:
500 gram daging
3-4 sudu besar rempah kari daging jenama Adabi
2 tangkai daun kari
1 helai daun pandan
1 batang serai
1 biji bawang besar *
4 ulas bawang putih*
1 inci halia*
Bahan * dikisar
1 biji bawang besar dihiris nipis
Penumis
Garam 
Minyak masak
1/2 biji kelapa diambil santannya
1 mangkuk biji cempedak
Biji cempedak
Cara Membuatnya:
1.Biji cempedak direndam beberapa jam supaya mudah masak.
   Masak bersama sedikit garam sehingga gebu,  sejukkan dan 
   buang kulitnya.

Biji cempedak selepas dibuang kulitnya

2.Panaskan minyak di dalam kuali. Masukkan daun kari dan 
   penumis. Masukkan pula bawang besar yang dihiris.Kacau
   sehingga bawang garing.

Aku memang suka masak menggunakan kuali untuk memasak.
3.Masukkan bahan kisar dan kacau sehingga wangi. Masukkan
   rempah,kacau sekejap dan masukkan 1/4 cawan air. Biarkan
   sehingga pecah minyak sambil dikacau.
4.Masukkan daging, daun pandan dan serai dan biarkan sehingga 
   daging lembut. Tambah garam.
5.Masukkan santan dan biarkan mendidih, masukkan biji cempedak.
6.Perlahankan api dan biarkan sehingga kuah agak pekat.



Sedap...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...