BismillahirRahmanirRahim
Bubur Kacang sama durian |
Ketika kami tiba di tanah air di penghujung bulan Julai, musim durian hampir berakhir. Musim durian di kampungku yang terletak di utara tanah air sudah pun lama berlalu. Aku bersyukur kerana keluargaku memiliki kebun durian yang agak luas. Alhamdulillah usaha tidak kenal jemu dan susah payah Ayah dan Emak menebas hutan untuk dijadikan kebun membuahkan hasil. Dapatlah anak-anak, cucu serta cicit merasai budi yang ditaburkan pada bumi.
Walaupun musim durian sudah berlalu, aku masih dapat merasa buah durian kegemaranku hasil dari kebun ayahku itu. Emak telah menyimpannya di dalam peti sejuk, di ruang sejuk beku semenjak bulan puasa. Dapatlah aku membawa pulang sebanyak 8 bekas isi durian kampung yang pernah aku nikmati semenjak zaman kanak-kanak lagi. Rasanya memang sedap apabila disejukbekukan, seolah makan aiskrim durian. Aku juga mengambil kesempatan menyediakan Bubur Kacang Durian yang sudah tiga tahun tidak merasainya. Uhhh...sedapnya Bubur Kacang Durian. Cubalah makan bersama biji durian yang dimasak bersama, rasanya seakan biji cempedak yang direbus.
Resepi Bubur Durian
Bahan2:
500 gram kacang hijau (direndam beberapa jam)
1 biji kelapa (diambil santannya)
Isi durian bersama bijinya (lagi banyak lagi sedap)
2 ketul Gula Melaka yang besar (dimasak dahulu dengan
air dan daun pandan. Setelah sejuk di tapis)
Sedikit garam
2-3 sudu besar sagu mata ikan (direndam)
Cara Membuatnya:
1.Rebus kacang hijau sehingga kacang betul-betul lembut/pecah.
2.Tambah air jika perlu sehingga betul-betul lembut.
3.Masukkan air gula Melaka dan sagu mata ikan.
4.Kacau sehingga sagu mata ikan kembang.
5.Masukkan santan, garam dan isi durian.
6.Masak sambil dikacau bubur kacang sehingga sebahagian
isi durian lerai dari bijinya.
7.Enak dimakan sewaktu panas.
Kacau selalu sehingga isi durian hancur |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan