Tawaf Wada, Selamat Tinggal Mekah.
5 Syawal 1437H
Hari terakhir kami di Mekah sepanjang 3 tahun berhijrah ke Riyadh. Pastinya kami merasa sedih untuk meninggalkan bumi kelahiran Rasulullah SAW ini. Nikmat menunaikan umrah pada bila-bila masa sepanjang kami tinggal menetap di Riyadh tidak terucap dengan kata-kata atau tulisan pena. Umrah dan ziarah ke Madinah merupakan penawar paling berharga tatkala berdepan dengan apa juga cabaran di perantauan. Tidak perlu aku menyatakan jumlah kami ke sana kerana semuanya tercatat di dalam blog ini. Keistimewaan yang kami nikmati sepanjang 3 tahun berada di Arab Saudi akan berakhir tidak berapa lama lagi. Hari ini kami akan melaksanakan Tawaf Wada iaitu tawaf selamat tinggal baithiilahil haram sebelum berangkat meninggalkan kota Mekah.
Sebelumnya sempat aku mengambil beberapa gambar tambahan buat kenangan di dalam bangunan lama yang masih dikekalkan di MasjidilHaram.
|
Kubah besar dan lampu di bangunan lama MasjidilHaram |
|
Laluan di tingkat satu bangunan MasjidilHaram. Terdapat
bilik-bilik di sebelah kanan laluan yang merupakan klinik
untuk memberi rawatan kepada tetamu Allah yang sakit |
|
Hiasan di dinding masjid. |
|
Salah satu pintu yang terdapat di tingkat satu . |
Kami keluar dari hotel menuju Ke MasjidilHaram sekitar pukul 11.00 pagi. Seperti biasa kami melalui jalan yang berdekatan Safwa Tower. Jemaah umrah tidak ramai seperti hari-hari sebelumnya. semakin ramai yang sudah kembali ke kampung halaman masing-masing. Kelihatan ibu-ibu jemaah dari Mesir begitu bersahaja menjunjung botol Air Zamzam yang seberat 10 kilogram di atas kepala masing-masing. Pastinya kehidupan mereka agak sukar di sana lantas mengangkut beban yang begitu berat menjadi perkara biasa bagi mereka.Tidak perlu latihan seperti para model lakukan, mereka berjalan dengan penuh yakin tanpa menjatuhkan beban yang dijunjungnya.
Sesekali kami melalui ruang kedai yang terletak di lantai bangunan Safwa Tower untuk mengelak diri dari penahan cahaya matahari yang terik. Suhu panas, 44 C memaksa kami menutup kepala dengan sejadah yang dibawa. Kami terus menuju ke King Abdul Aziz Gate yang terletak di hadapan bangunan Menara Jam atau Clock Tower. Gate tersebut sedang dalam pembinaan dengan saiz yang lebih besar. Dari pintu gate tersebut kita boleh terus nampak bangunan Kaabah dengan jelas. Kami menggunakan eskalator untuk turun ke Dataran Kaabah. Semenjak tiada struktur mataf bertingkat, banyak kawasan lapang disediakan di sekitarnya bagi membolehkan tetamu Allah melihat Kabaah dengan lebih mudah dari jarak yang dekat.
|
King Abdul Aziz Gate. Melalui pintu ini kita juga boleh naik ke atas
bahagian bumbung Masjidil Haram dengan mudah. |
Sebelum melaksanakan Tawaf Wada , kami merakamkan beberapa gambar buat kenangan terlebih dahulu. Ini amat penting supaya Tawaf Wada kita tidak terbatal disebabkan mahu bergambar selepas selesai Tawaf Wada. Selepas Tawaf Wada, kita hanya boleh melakukan solat sunat, mengucup Hajar Aswad dan berdoa.
|
Lampu baru yang terletak di sekitar Hijr Ismail.
Yes...dapat juga aku snap gambar lampu yang cantik ini.
|
|
Keadaan begitu selesa , tidak ramai tetamu Allah di sekitar Kaabah |
|
Ya Allah takdirkan kami kembali ke rumahMu ini. |
Kami hanya memerlukan masa selama 20 minit untuk melengkapkan tawaf sebanyak 7 pusingan . Kemudian kami menunaikan solat sunat Tawaf Wada dan berdoa agar diberi peluang oleh Allah untuk kembali berkunjung ke Mekah. Tiada doa yang lebih baik selain doa yang terdapat di buku panduan menunaikan haji dan umrah yang disediakan oleh pihak Tabung Haji. Doa yang pasti aku baca usai Tawaf Wada.
"Ya Allah, rumah ini rumahMu, aku ini hambaMu, anak dari hambaMu juga dan anak hambaMu yang perempuan. Engkau telah membawa aku dalam hal yang Engkau sendiri mudahkan untukku sehingga Engkau jalankan aku di negeriMu ini dan Engkau telah menyampaikan aku dengan nikmatMu juga sehingga Engkau menolong aku untuk menunaikan ibadah haji(umrah).Kalau Engkau redha padaku maka tambahkanlah keredhaan itu padaku. Jika tidak maka redhailah sekarang sebelum aku jauh dari rumahMu ini. Sekarang sudah waktunya aku hendak pulang. Jika Engkau izinkan aku dengan tidak menukar sesuatu dengan ZatMu ataupun rumahMu, bukan benci padaMu dan tidak pula benci rumahMu"
"Ya Allah ,bekalilah aku ini dengan afiat pada tubuhku, tetap menjaga agamaku, baikkanlah kepulanganku dan berilah aku taat setia padaMu selama-lamanya, selagi Engkau membiarkan aku hidup dan kumpulkanlah bagiku kebaikan dunia dan akhirat. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu. Ya Allah, janganlah jadikan masaku ini masa terakhir bagiku dengan rumahMu. Jika sekiranya Engkau jadikan masa ini terakhir bagiku, maka gantikanlah syurga untukku dengan rahmatMu wahai Tuhan yang Maha Pengasih lebih dari segenap yang pengasih.Amin, Terimalah doa kami wahai Tuhan sekalian alam."
Moga Allah menerima setiap kebaikan yang kami lakukan. Mengampunkan setiap dosa yang terlanjur dan memakbulkan doa yang kami pohonkan buat diri kami serta ahli keluarga, sahabat, jiran tetangga serta seluruh umat Islam di bumi ini. Alhamdulillah Ya Allah dengan setiap nikmat yang Engkau berikan kepada Kami. Air mata mengalir deras saat merenung Kaabah buat kali terakhir. Hiba, pilu, tiada kata yang boleh diucap lagi saat melangkah meninggalkan dataran Kaabah. Hadirkan kami ke sini lagi Ya Allah.
Kami bergerak perlahan menuju tangga mencari jalan keluar dari MasjidilHaram. Kami melambaikan tangan ke arah Kaabah sambil melihat wajah Kaabah dari jauh. Kami ulangi perbuatan tersebut berulang kali sehingga sampai di King Abdul Aziz Gate. Dari pintu tersebut masih kelihatan Kaabah yang diselimuti kiswah berwarna hitam. Berakhirlah lambaian kami. Selamat tinggal Baitullah.
Pukul 1.30 tengahari kami keluar dari hotel dan bergerak menaiki kereta menuju ke Madinah. Kami sempat makan burger yang dibeli ketika di dalam perjalanan. Kami bertiga begitu berharap agar dapat menikmati hidangan ayam goreng dari Al Baik yang terletak di hentian rehat Sasco.
|
Kawasan parkir kereta hotel yang semakin kosong |
|
Laluan ke MasjidilHaram dari Hotel Al Syohadah.
Kelihatan bangunan Istana di Bukit Safa |
|
Kami akan u-turn di hadapan jalan untuk ke Madinah |
|
Selamat tinggal Mekah. |
|
Masjid Ayesha atau Masjid Taneem yang terletak di laluan
dari Mekah menuju ke Madinah |
|
Selepas lebih 100 kilometer dari Mekah |
|
Al Baik di Hentian Sasco yang terletak kira-kira 100 km
dari Madinah. |
Malangnya tiada hidangan ayam goreng di Al Baik di premis tersebut. Aku memesan nuget ayam dan udang goreng bersalut tepung. Kociwa..kociwa.
|
Aiskrim 1 rial Al Baik ini memang terbaik. |
|
Lambang yang begitu diminati ramai |
|
Udang goreng bersalut tepung |
|
Nuget ayam. |
Kami meneruskan perjalanan menuju ke Madinah dan tiba di sana pada pukul 7.15 malam.
|
Kawasan pergunungan yang luas menghampiri Madinah |
|
Lewat petang |
|
Semakin hampir dengan Kota Madinah |
|
Mencari arah ke Masjid Nabawi |
|
Checkin di Hotel Dar Ieman yang terletak bersebelahan dengan
Anwar Movenpick. |
|
Malamnya kami ke Masjid Nabawi untuk berziarah. |
zias/Cheras/16
Tiada ulasan:
Catat Ulasan