Polis sudah menghilangkan diri, dengan mudah kami dapat memasuki kawasan di mana hotel kami berada. Mobarak Al Khalil Hotel terletak di daerah Al Misfalah, daerah yang tidak pernah kami duduki sebelum ini. Kami tidak mempunyai banyak pilihan untuk memilih hotel yang lebih dekat kerana kebanyakan hotel di Mekah sudah sejak awal 'fully booked'. Rezeki kami juga kerana masih mendapat hotel tersebut di saat akhir memandangkan permintaan yang tinggi di penghujung Ramadhan. Harganya juga agak mahal berbanding hari biasa.
Kami melaksanakan tawaf, saie dan bergunting pada malamnya. Hanya tetamu Allah yang mahu bertawaf dibenarkan masuk ke kawasan mataf. Jadi lebih mudah untuk bertawaf kerana orang tidak begitu ramai ketika Solat Tarawih sedang berlangsung. Tidak dibenarkan mengerjakan solat di mataf atau dataran Kaabah ketika itu. Selepas tawaf kami terus mengerjakan Solat Tarawih dan saei dan selesai hampir pada pukul 2.00 pagi. Di laluan Saei, ramai yang mula bersahur dengan pelbagai hidangan roti, kebanyakannya warga negara Mesir.
|
Ada beberapa Mobark Hotel di daerah ini. |
|
Baru memulakan operasi, semuanya masih baru dan cantik |
Harganya ialah SR575 semalam bagi bilik triple. Sahur disediakan dari pukul 1.30 pagi sehingga 3.30 pagi. Kami tinggal di hotel ini selama tiga malam. Kebanyakan tetamu Allah yang tinggal di hotel ini dari negara Mesir. Terdapat juga warga tempatan dan warga negara Pakistan yang menetap di Arab Saudi seperti kami. Sudah semestinya hanya kami orang Malaysia.
|
Memang selesa |
|
Kelihatan menara jam dari depan hotel...jauh. |
|
Bas disediakan 24 jam untuk menghantar dan mengambil
tetamu hotel. |
Bas menghantar kami hanya sampai di bangunan Tabung Haji yang berada berdekatan dengan kawasan meletak kereta awam Al Misfalah. Baru kami tahu di situ terletaknya bangunan Tabung haji yang agak besar. Namun yang menjadi tetamu di situ lebih ramai jemaah dari negara Mesir. Asyik tertangguh sehingga aku terlupa mengambil gambarnya bangunan Tabung Haji tersebut. Dari situ kami terpaksa berjalan kaki dengan agak jauh...mungkin dalam 2-3 kilometer. Kami melalui bangunan-bangunan lama yang masih wujud rupanya. Dari situ kami akan melalui Hotel Hilton untuk ke MasjidilHaram.
|
Kami terpaksa berjalan agak jauh untuk ke MasjidilHaram |
|
Cuaca memang mencabar ....sabar aje. |
|
Semakin hampir ke destinasi. |
|
Suasana bangunan yang mengundang memori dua puluh
tahun lepas ketika menunaikan haji buat kali pertama. |
|
Laluan pulang ke hotel....menyusuri tepi Hotel Hilton.
Lautan manusia di setiap sudut. |
Laluan yang kami lalui mempunyai deretan kedai-kedai yang kebanyakannya menawarkan harga yang agak murah. Di sini terdapat kedai-kedai 2 rial, 3 rial dan 5 rial. Seronok juga mencuci mata setiap kali dalam perjalanan pulang dari MasjidilHaram. Hotel-hotel juga banyak di kawasan ini.
|
Orang memang ramai |
|
Buah-buah |
|
Kurma pelbagai rasa |
Biasanya kami agak lewat ke MasjidilHaram kerana terpaksa menaiki bas terlebih dahulu. Kami terpaksa ke bangunan baru masjid kerana laluan untuk ke bangunan lama masjid ditutup agak awal. Malah laluan untuk ke MasjidilHaram turut dipanjangkan untuk mengelak dari berlaku kesesakan. Laluan sehala juga dibuka supaya tidak berlaku pertembungan. Tenaga yang banyak amat diperlukan untuk bergerak dalam laluan yang lebih jauh. Alhamdulillah di dalam kepanasan cuaca dan tempoh berpuasa yang panjang melatih kami supaya bersabar dan bersyurkur.
Kelihatan beberapa masjid kecil yang terdapat di laluan yang kami lalui menyediakan juadah berbuka puasa, begitu juga dengan pihak hotel di sekitarnya. Biasanya tempat yang disediakan sudah dipenuhi orang ramai menjelang pukul 6.00 petang. Banyak pihak individu turut memberi pelbagai makanan dan minuman kepada tetamu Allah seperti minuman jus dalam botol, air minuman, buah-buahan, makanan di dalam pek, yogurt, roti dan yang paling banyak ialah buah kurma. Sepanjang jalan ada sahaja pihak yang memberi dan para tetamu Allah berkumpul untuk mendapatkannya. Sesekali berlaku kejadian rebut merebut antara mereka, kami sekadar mengelengkan kepala melihatnya. Ada di antara mereka yang meminta lebih dari untuk diri sendiri lalu menimbulkan rasa marah dari pihak yang memberi.
|
Berpusu-pusu untuk mendapatkan barang yang mahu diberi. |
Bangunan baru sudah lama dibuka semenjak tahun lepas walaupun belum siap sepenuhnya. Kami memilih untuk berada di sini kerana belum berpeluang memasuki bahagian lama MasjidilHaram.
|
Lampunya yang menarik |
|
Tiang juga berfungsi sebagai pendingin hawa |
Ruang di dalam masjid rata-ratanya telah diduduki tetamu Allah, mereka seolah berkampung dan tinggal di situ. Iktikaf namanya. Kelihatan longgokan beg-beg berisi pakaian dan keperluan lain. Jika di waktu siang, mereka bukan sekadar berbaring bahkan tidur dengan nyenyaknya. Ada yang berselimut dan berdengkur. Kami akan mencari sedikit ruang yang ada di antara mereka. Namun ada juga yang berbual atau membaca Al Quran sementara menanti waktu berbuka puasa. Mereka menggunakan kemudahan tandas yang disediakan sekitar MasjidilHaram untuk membersihkan diri dan anak-anak. Begitulah tradisi mereka menghabiskan hari-hari terakhir Bulan Ramadhan.
|
Kanak-kanak pun ramai bersama keluarga masing-masing,
biasanya warga tempatan |
|
Tergolek habis |
|
Ini di waktu malam menanti solat tahajud |
Berbuka puasa di MasjidilHaram lebih ringkas berbanding di Masjid Nabawi di Madinah. Ramai yang akan memberi buah kurma buat berbuka. Jika duduk di tempat khas yang disediakan, kita boleh mendapat kotak khas yang mengandungi pelbagai jenis makanan dan minuman. Perlu awal datang ke masjid dan duduk di tempat tersebut. Jika di bahagian perempuan, akan ada sahaja individu yang menawarkan laban, kopi Arab, teh dan sebagainya. Lebih kurang 10 minit diperlukan untuk berbuka puasa dan semua sampah sarap akan dikutip dengan segera oleh petugas. Selepas Solat Maghrib, ramai yang keluar untuk mencari makanan yang lebih berat.
|
Rezeki hari ini. |
|
Makanan segera seperti ini menjadi pilihan kerana
orang terlalu ramai. |
Bersambung......
zias/riyadh/16
Tiada ulasan:
Catat Ulasan