Rabu, 19 Oktober 2022

Rasa Dapur KakJee (416) - Gulai Pisang Sama Kacang Dal

BismillahirRahmanirRahim



Alhamdulillah rezeki buah pisang yang ditanam di laman dapur lain daripada kebiasaan. Pokoknya pun tinggi menjulang dan lambat berbuah. Aku mengamalkan petua yang dibaca iaitu menanam perut ikan pada pangkal pokok. Adalah dua tiga kali aku melakukannya. Akhirnya berbuah juga dan hasilnya begitu lumayan.

Sukar juga untuk menebang buahnya sebab tidak tercapai dek tangan. Suamiku memotong bahagian bawah batang pisang dan ianya jatuh bersama daun, tersangkut pada tangga. Mujur tidak menyembah tanah. Inilah hasilnya.


Pisang Awak tanpa biji

Teringin pula nak buat gulai setelah diberitahu oleh sepupuku melalui FB. Letak kacang dal, memang sedap katanya. Sampai terkecur juga lah air liur membaca. Resipi orang Penang dulu-dulu.

Aku pun mengambil 5 biji pisang yang paling muda. Kaedah memasaknya sama seperti buat dalca. Yummy sangat. Suamiku dan Mak mentua pun suka. Aku ratah begitu saja.

Resipi Gulai Pisang Sama Kacang Dal

Bahan2:
5 biji pisang awak 
1/2 cawan kacang dal - direndam
1 1/2 serbuk kari ikan jenama Adabi
1/2 kotak santan pekat
1 keping asam keping
1 inci halia dihiris
2 ulasan bawang putih dihiris
1/2 biji bawang besar dihiris
2 tangkai daun kari
1-2 biji cili kering dipotong dua
Cili padi/cili hidup (pilihan)
Garam secukupnya rasa
Minyak masak


Cara Membuatnya
1. Pisang dibuang kulit dan dipotong, rendam dalam air garam. Kulit luar sahaja yang dibuang. Kemudian dibasuh dan ditoskan.
2.Rebus kacang dal hingga lembut dalam periuk 
3.Masukkan pisang, serbuk kari dan sedikit santan. Masak sehingga pisang empuk.
4.Masukkan asam keping dan santan pekat.
5.Perlahankan api dan biar masak sekata.
6.Panaskan minyak dalam kuali  dan masukkan bawang besar, bawang putih, halia, daun kari dan cili kering. Kacau hingga garing dan tuangkan kesemuanya dalam gulai pisang tadi. Tutup dengan tudung periuk dan padamkan api.


Selamat mencuba.







 

Selasa, 18 Oktober 2022

Disapa Covid-19

BismillahirRahmanirRahim


Istanbul - kami datang lagi.

Alhamduilillah diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk  aku terus menulis di blog ini. Terima kasih buat semua pengunjung yang setia untuk terus membaca coretan di ruang ini. Doakan agar saya diberi kesihatan dan ilham untuk terus berkongsi pengalaman kembara dan resipi buat kalian.

Gembira tak terkira apabila kami bertiga berpeluang ke luar negara setelah lebih tiga tahun tidak berpeluang untuk berbuat demikian. Kebetulan Saffura baru menamatkan pengajian diplomanya jadi aku pun mengintai ruang untuk ke luar negara sebagai hadiah atas kecemerlangannya. Dengan CGPAnya 3.97, pastilah kami mahu meraikannya.

Dipendekkan cerita kami pun ke Turki pada tarikh 24 September sehingga 3 Oktober 2022. Jadual kami amat padat kerana mengikut agensi pelancongan, tiada ruang rehat langsung. Berbeza dengan lawatan persendirian yang kami lalukan sendiri pada tahun 2011 yang lebih santai. Turki begitu padat dengan pelancong dari luar dan dalam negara terutama di Istanbul.

Sebaik sampai di rumah, suamiku dan Saffura terus demam sehingga keesokan harinya. Aku hanya merasa sakit di bahagian kaki, betis, peha dan lutut, nak naik tangga pun susah. Namun aku sempat mengemas pakaian dan membasuh baju kotor yang dibawa balik. Adalah lima pusingan, aku mahu mengejar cuaca yang agak panas agar semuanya cepat kering. 

5 Oktober (Hari Pertama), aku pula demam, seharian makan ubat sedangkan suamiku dan Saffura sudah baik demam namun masih batuk. Badan rasa sejuk macam menggigil dan tekak terasa perit tapi deria bau masih ada. Buang air besar pun macam cirit birit.

6 Oktober (Hari kedua) tergerak hati nak buat test denga air liur, test kid memang dah ada. Sebelumnya Saffura dah buat tetapi negatif. Mulanya tak nampak, aku pun tambah air liur sambil buat kerja. Bila tengok balik, ada dua garis, terkejut ya amat. Aku pun terus berkemas dan masuk ke bilik untuk kuarantin. Saffura dan suamiku turut membuat ujian tetapi negatif, alhamdulillah.
Duduklah aku seorang diri di bilik bawah.



Atas nasihat sahabat yang baru pulih daripada covid-19, aku ke CAC dengan memandu sendiri. Dekat sangat Klinik Kerajaan dengan rumah, tak sampai 5 minit berkereta. Petugas melayan aku dengan baik dan tenang je, kita yang suspen.  Aku meminta ubat paxlovid seperti yang disarankan oleh Kak Sufie namun tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Antaranya pesakit mesti berumur 60 ke atas dan ada penyakit tertentu seperti kencing manis, darah tinggi atau kolesterol. Tekanan darah aku pula pada paras normal  dan tahap oksigen pula 98%. Aku disuruh melakukan senaman ringan iaitu duduk dan bangun sebanyak 10 kali untuk memastikan paras oksigen kekal.

Petugas tersebut berbincang dengan pegawai atasannya perihal ubat yang aku minta namun ianya tidak diluluskan. Katanya lagi ubat paxlovid itu perlu dimakan selama 5 hari dan kebanyakan pesakit tidak menghabiskannya kerana rasanya agak pahit dan tidak menyenangkan. Aku pun balik ke rumah dengan rasa agak kecewa dengan berbekalkan ubat demam (panadol), ubat batuk dan ubat selsema. Waktu ni aku belum selsema dan batuk lagi.

Menurut kak Sufie, ubat paxlovid mahal, melebihi satu ribu ringgit harganya. Patutlah.

Aku diminta oleh petugas untuk melaporkannya melalui MySejahtera dan sentiasa memantau paras oksigen. Aku diminta kuarantin kendiri bermula 6 Oktober sehingga 12 Oktober.

Malamnya suamiku menyediakan air rebusan seperti yang abangku Mat sarankan untuk diminum sebelum tidur.

1 mug air
1 keping kulit kayu manis 
1 kuntum bunga lawang
20 kuntum bunga cengkih
7 biji lada hitam
1 inci halia
1 batang serai yang diketuk
Sedikit gula merah
Sedikit garam
Rebus semuanya sekali.


7 Oktober (hari ketiga)
Aku memantau kandungan oksigen tiga kali sehari. Pada waktu pagi. tengahari dan petang. Sebelumnya aku akan membuat sedikit senaman ringan dan menarik nafas melalui hidung dan lepaskan perlahan melalui mulut. Video2 berkaitan rawatan penyakit ini aku tengok semula.

Paras oksigen berada di antara 95% sehingga 97%. Aku masih demam dan makan panadol setiap 6 jam. Alhamdulillah berpeluh dan tidak berlarutan. Waktu ini aku sudah mulai selsema dan batuk. 

Mujur selera aku okey dan aku suka makan bubur nasi. Mulanya bubur McD dan MarryBrown. Lepas tu, suamiku memasak sendiri bubur di rumah. Aku habiskan masa kuarantin dengan membaca buku Kembara Menalar Diri, karya Hasrizal Abdul Jalil.

Sebelum tidur aku minum air rebusan. 

8 Oktober (hari keempat)
Suamiku belikan multivitamin untuk dimakan di samping VitC yang sedia ada. Alhamdulillah paras oksigen aku meningkat sehingga 99% semenjak aku memakan vitamin tersebut. Maklumlah ada zat besi di dalamnya yang berfungsi membawa oksigen dalam darah.

Malamnya aku membuat ujian, alhamdulillah dah negatif. Namun aku kekal kuarantin untuk mengelakkan ahli keluarga lain dijangkiti. Aku tak mau minum air rebusan cengkih lagi.


Aku juga minum air kelapa. Batuk kian menjadi pula, tekak agak berkurangan namun aku masih perlu hisap difflam dan strepsil.

Kak Sufie terus memantau aku dan menyuruh aku mengambil panadol jika demam kerana tiada kesan sampingan. Waktu ni sakit-sakit di bahagian kaki terus hilang.


9 Oktober (hari kelima)

Aku teruskan kuarantin di dalam bilik, demam dah hilang namun selsema dan batuk masih ada. Aku meminta suamiku belikan madu, kebetulan pula madu tualang yang aku selalu makan dah habis. Ianya sangat sesuai denganku.

Habis buku Hasrizal aku baca. Mujur aku baru terima buku Travelog Puan Jenny. Aku pun terus membaca.

10 Oktober (hari keenam)

Aku menerima wasap daripada Puan Haniza yang turut dijangkiti covid menyatakan beliau sudah negatif pada hari keenam. (kami sama tarikh kena covid)


Aku pun membuat test sekali lagi dan terbukti negatif. Suamiku mendapatkan maklumat dari KKM dan mendapati aku sudah tidak perlu kuarantin lagi.

Prosedur terkini



Aku pun terus keluar dari bilik kuarantin dan mengemas bilik. Pihak KKM terus menelefon meminta aku membuat laporan melalui MySejahtera walaupun aku sudah menghantar laporan yang aku sudah bebas daripada covid.

Batuk masih ada dan ubat batuk tidak banyak membantu. Untuk melegakan tekak dan memudahkan keluarnya kakak, aku guna sejenis ubat sembur di tekak iaitu Betadine. Ianya amat membantu.

Pada 12 Oktober, kami mengupah syarikat Pest Control untuk membuat sanitization untuk seluruh rumah dengan bayaran RM180.00. Ianya perlu dibuat kerana kami akan mengambil mak mentua balik ke rumah.

Pada 15 Oktober, kami ke Melaka ambil mak dan aku dapat membeli madu tualang.

Alhamdulillah selepas mengambilnya setiap malam sebelum tidur, batuk aku semakin hilang dan boleh tidur dengan nyenyak.

Kakap ipar aku juga belikan untuk aku ubat kunyah untuk batuk yang juga membatu iaitu Eumenthol Jujubes keluaran Hudson's.

Inilah kisah covid-19 yang aku alami. Semoga ianya dapat membantu kerana penyakit ini masih ada lagi di persekitaran kita. Ianya tidak kelihatan jadi kita harus berwaspada.

Insya-Allah kisah kembara kami ke Turki akan menyusul selepas ini.

Terima kasih semua, semoga kita terus sihat dan dimurahkan rezeki. Aamiin.



 

Jumaat, 23 September 2022

Visit My Malaysia - Gunung Jerai, Kedah.

BismillahirRahmanirRahim




20082022
Pi ke puncak 'Switzerland Kedah' sat.

Lokasinya terletak di daerah Yan, pernah menjadi penanda arah buat pelayar-pelayar yang mahu singgah di negari Kedah. Kami pernah ke sana lama dahulu, waktu tu tak secantik hari ini kerana ada kerja-kerja pembinaan bangunan hotel.

Kami berkereta ke puncak yang jauhnya lebih kurang 10 km dari kaki gunung. Laluannya agak mencabar jadi perlu berhati-hati ketika memandu. Jika tak berani, boleh sewa van yang sedia menanti di kawasan parkir kaki gunung.

Sepanjang pendakian, hanya hutan tebal kelihatan. Sesekali hon perlu dibunyikan apabila melalui selekoh yang tajam. Sampai di puncak, kereta perlu diparkir di kawasan yang ditetapkan. Hanya yang ada tempahan bilik di The Jerai Hill Resort sahaja boleh masuk percuma. RM4 untuk bayaran parkir.

Suasana nyaman mula terasa sebaik sampai di lokasi utama puncaknya yang memerlukan kita berjalan kaki tapi tak jauh pun. Rasa sejuk sikit dengan suhu lebih kurang 23 darjah celcius. Maklumlah kita sedang berada pada ketinggian 1,217 meter dari paras laut.

Jom layan gambar.

Mencabar jalannya
                     



Laluan ke puncak.

Bilik untuk disewa

Jerai Ballroom


Ada masjid.

Reception

Nak pi mana tu?
Pemandangan sawah. Jika hari cerah boleh nampak laut.


Tempat tumpuan



Lokasi utama

Cantik bentuk rumah ni.

Bunga Siti Zubaidha biru aje.



Masih berkabus walaupun dah petang.

Laluan ke bilik penginapan.

Bilik hotel


Ladang strawberi tapi tak nampak buah pun.


Pokok Bromeliad pun banyak kat sini.

Jom makan kat cafe hotel

Saffura order spageti

Mi rebus tulabg ni memang sedap!

Antara aktiviti yang ada kat sini.

Kafe pun ada.

Canti tempat ni, rugi kalau tak pi.







Khamis, 22 September 2022

Rasa Dapur KakJee (415) - Mi Bandung Segera


BismillahirRahmanirRahim



3 September yang lepas kami sekeluarga ke Yong Peng, Johor. Ada jemputan majlis perkahwinan sepupu sebelah suami.  Alhamdulillah sempat juga kami menziarahi sepupu aku sebelah ayah yang tinggal di sana.

Tak sangka betul dapat berjumpa dengan Siti Khadijah, anak arwah Paktam setelah 45 tahun tak jumpa. Kali terakhir ketika usiaku 12 tahun, beza umur antara kami hanya dia tua setahun. Namun dia panggil KakJee dengan panggilan  kak sebab ayahku  adalah abang kepada ayahnya.

Ijah yang berbaju biru.

Dalam perjalanan pulang, kami singgah di Muar pula. Kali ini untuk bertemu dengan sahabat lama, pun sudah lama tak jumpa semenjak beliau mendirikan rumah tangga. Banyak kisah antara kami berdua yang sentiasa menjadi kenangan. Puan Yudasma namanya dan suaminya Cikgu Norhan adalah sahabat suami KakJee juga. Sudah 31 tahun tak jumpa, seronok betul Dan Alhamdulillah dapat berukhuwah kembali.

Sebelum berpisah, kami dbekalkan dengan pes ikan bakar, pes mi rebus dan pes mi bandung. Sempat juga kami bertanya tempat makan mi bandung yang sedap di Muar. 

Bersama keluarga Yudasma

Kami pun singgahlah di kedai yang terletak tidak jauh dari Sekolah Sains Muar seperti yang diberitahu. Memang sesak dengan pengunjung, mujur ada meja kosong. Sayangnya hampir 20 minit menanti, minya belum siap lagi. Banyak sangat yang 'take away' katanya. Kami pun bye bye jelah. Kecewa juga tapi dah layanan macam tu tak tau lagi rasanya macam mana.

Mujur ada pes kiriman Puan Yudasma, KakJee pun suruh suami belikan daging untuk dibuat perencah utamanya.

"Mesti guna daging, baru best. Kalau ada udang lagi sedap." Pesan Cikgu Norhan kepada kami.

Semalam KakJee pun cuba, keyring pesnya. Pasti Banyak guna udang kering atau geragau, jadi KakJee tak masukkan udang.

Senang sangat caranya dan sedap rasanya.


Ni haa pesnya


Resipi Mi Bandung Segera
Bahan-bahan:
1/2 pek pes mi bandung
1 bungkus mi kuning
200 gram daging
2 tangkai sawi
1 biji cili hijau
Daun bawang dan daun sup dihiris
Bawang goreng 
3 biji telur
Air secukupnya

Cara Membuatnya:
1.Daging dipotong ikut kesesuaian dan direbus sehingga empuk.
2.Masukkan air secukupnya termasuk air rebusan daging bersama pes.
3.Rebus sehingga agak sebati.
4.Pecahkan telur sebiji demi sebiji, jangan sampai terlerai. Guna api sederhana sehingga telur masak sepenuhnya.
5.Masukkan sawi dan mi kuning. Kacau dan perisakan. Bila mi sudah masak elok, boleh padamkan api.
6.Hidangkan ke dalam pingan has dengan bawang goreng, hirisan daun sup dan daun bawang serta cili hijau.


Selamat mencuba.









 

Jumaat, 16 September 2022

Visit My Malaysia - Farm Fresh @ UPM

 BismillahirRahmanirRahim


Dari rumah ke Putrajaya, Cyberjaya atau Bangi, kami akan melalui ladang milik Universiti Putra Malaysia yang luas di sebelah kiri jalan. Namun aku perasan ada banyak kereta di ruang parkir berbukit, sejak beberapa bulan lalu.

Aku pun mengajak suami singgah untuk mengetahui apa yang ada di situ.

Pemandangan popular dari jalan utama.

Baru lepas hujan

Ada sungai kecil
Tak jauh dari tempat parkir
Pusat utamanya, beli tiket masuk kat sini.


Bayaran masuk RM10 untuk orang dewasa pada hari biasa. Ianya meliputi perkhidmatan menaiki kenderaan untuk melawat sekitar ladang yang ada pelbagai tarikan.


Ni haah traktornya

Jom 

Ada kawasan penanaman sayur-sayuran

Pokok manga pun ada


Ada beberapa kolam untuk menternak ikan.

Puncak tertinggi di ladang ini.

Pokok getah rupanya.

Masing-masing sibuk bergambar. Ada tour guide lagi.

Nampak sekitar Serdang dan Bangi

Tu kawasan penternakan lembu milik Farm Fresh.
Rumput yang gemuk ni untuk lembu-lembu la.

Selesai pusing dengan kenderaan tadi, boleh lah jalan-jalan di tempat lain pula.

Laluan ke tempat lain

Replika lembu.

Ada kafe yang menghidangkan pelbagai jenis masakan. Pizza kat sini
sedap tapi tak sempat nak try sebab ramai orang.

Kafe kat belakang tu.

Sempat rasa yogurt aiskrim je. Guna susu segar ya.

Kedai jual produk pertanian

Semuanya organik

Terowong sekitar taman

Ada mini zoo

Pokok padi ditanam dalam bekas

Sawi hidroponik

Ayam pun ada

Jom melawat ladang lembu pula. Bagi konsumer Farm Fresh, tentu seronok tengok.


Kebanyakannya warna hitam, dok makan.

Ni yang baby

Ada juga di luar kandang

Tempat memerah susu, sayangnya dah selesai prosesnya.

Ni lagi besar

Kebanyakan pengunjung datang bersama keluarga. Anak-anak memang suka sebab banyak aktiviti termasuk tunggang kuda. Jika hujung minggu lagi ramai, boleh mencecah angka ribu.

Selamat berkunjung ke Farm Fresh @ UPM Serdang. Memang best!



















Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026.

  BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah, semalam berakhir PBAKL 2026 setelah berlangsung selama 10 hari. Banyak kisah menarik yang dikongsi...