Khamis, 22 September 2022

Rasa Dapur KakJee (415) - Mi Bandung Segera


BismillahirRahmanirRahim



3 September yang lepas kami sekeluarga ke Yong Peng, Johor. Ada jemputan majlis perkahwinan sepupu sebelah suami.  Alhamdulillah sempat juga kami menziarahi sepupu aku sebelah ayah yang tinggal di sana.

Tak sangka betul dapat berjumpa dengan Siti Khadijah, anak arwah Paktam setelah 45 tahun tak jumpa. Kali terakhir ketika usiaku 12 tahun, beza umur antara kami hanya dia tua setahun. Namun dia panggil KakJee dengan panggilan  kak sebab ayahku  adalah abang kepada ayahnya.

Ijah yang berbaju biru.

Dalam perjalanan pulang, kami singgah di Muar pula. Kali ini untuk bertemu dengan sahabat lama, pun sudah lama tak jumpa semenjak beliau mendirikan rumah tangga. Banyak kisah antara kami berdua yang sentiasa menjadi kenangan. Puan Yudasma namanya dan suaminya Cikgu Norhan adalah sahabat suami KakJee juga. Sudah 31 tahun tak jumpa, seronok betul Dan Alhamdulillah dapat berukhuwah kembali.

Sebelum berpisah, kami dbekalkan dengan pes ikan bakar, pes mi rebus dan pes mi bandung. Sempat juga kami bertanya tempat makan mi bandung yang sedap di Muar. 

Bersama keluarga Yudasma

Kami pun singgahlah di kedai yang terletak tidak jauh dari Sekolah Sains Muar seperti yang diberitahu. Memang sesak dengan pengunjung, mujur ada meja kosong. Sayangnya hampir 20 minit menanti, minya belum siap lagi. Banyak sangat yang 'take away' katanya. Kami pun bye bye jelah. Kecewa juga tapi dah layanan macam tu tak tau lagi rasanya macam mana.

Mujur ada pes kiriman Puan Yudasma, KakJee pun suruh suami belikan daging untuk dibuat perencah utamanya.

"Mesti guna daging, baru best. Kalau ada udang lagi sedap." Pesan Cikgu Norhan kepada kami.

Semalam KakJee pun cuba, keyring pesnya. Pasti Banyak guna udang kering atau geragau, jadi KakJee tak masukkan udang.

Senang sangat caranya dan sedap rasanya.


Ni haa pesnya


Resipi Mi Bandung Segera
Bahan-bahan:
1/2 pek pes mi bandung
1 bungkus mi kuning
200 gram daging
2 tangkai sawi
1 biji cili hijau
Daun bawang dan daun sup dihiris
Bawang goreng 
3 biji telur
Air secukupnya

Cara Membuatnya:
1.Daging dipotong ikut kesesuaian dan direbus sehingga empuk.
2.Masukkan air secukupnya termasuk air rebusan daging bersama pes.
3.Rebus sehingga agak sebati.
4.Pecahkan telur sebiji demi sebiji, jangan sampai terlerai. Guna api sederhana sehingga telur masak sepenuhnya.
5.Masukkan sawi dan mi kuning. Kacau dan perisakan. Bila mi sudah masak elok, boleh padamkan api.
6.Hidangkan ke dalam pingan has dengan bawang goreng, hirisan daun sup dan daun bawang serta cili hijau.


Selamat mencuba.









 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...