Rabu, 19 Oktober 2022

Rasa Dapur KakJee (416) - Gulai Pisang Sama Kacang Dal

BismillahirRahmanirRahim



Alhamdulillah rezeki buah pisang yang ditanam di laman dapur lain daripada kebiasaan. Pokoknya pun tinggi menjulang dan lambat berbuah. Aku mengamalkan petua yang dibaca iaitu menanam perut ikan pada pangkal pokok. Adalah dua tiga kali aku melakukannya. Akhirnya berbuah juga dan hasilnya begitu lumayan.

Sukar juga untuk menebang buahnya sebab tidak tercapai dek tangan. Suamiku memotong bahagian bawah batang pisang dan ianya jatuh bersama daun, tersangkut pada tangga. Mujur tidak menyembah tanah. Inilah hasilnya.


Pisang Awak tanpa biji

Teringin pula nak buat gulai setelah diberitahu oleh sepupuku melalui FB. Letak kacang dal, memang sedap katanya. Sampai terkecur juga lah air liur membaca. Resipi orang Penang dulu-dulu.

Aku pun mengambil 5 biji pisang yang paling muda. Kaedah memasaknya sama seperti buat dalca. Yummy sangat. Suamiku dan Mak mentua pun suka. Aku ratah begitu saja.

Resipi Gulai Pisang Sama Kacang Dal

Bahan2:
5 biji pisang awak 
1/2 cawan kacang dal - direndam
1 1/2 serbuk kari ikan jenama Adabi
1/2 kotak santan pekat
1 keping asam keping
1 inci halia dihiris
2 ulasan bawang putih dihiris
1/2 biji bawang besar dihiris
2 tangkai daun kari
1-2 biji cili kering dipotong dua
Cili padi/cili hidup (pilihan)
Garam secukupnya rasa
Minyak masak


Cara Membuatnya
1. Pisang dibuang kulit dan dipotong, rendam dalam air garam. Kulit luar sahaja yang dibuang. Kemudian dibasuh dan ditoskan.
2.Rebus kacang dal hingga lembut dalam periuk 
3.Masukkan pisang, serbuk kari dan sedikit santan. Masak sehingga pisang empuk.
4.Masukkan asam keping dan santan pekat.
5.Perlahankan api dan biar masak sekata.
6.Panaskan minyak dalam kuali  dan masukkan bawang besar, bawang putih, halia, daun kari dan cili kering. Kacau hingga garing dan tuangkan kesemuanya dalam gulai pisang tadi. Tutup dengan tudung periuk dan padamkan api.


Selamat mencuba.







 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...