BismillahirRahmanirRahim
Istanbul - kami datang lagi. |
Alhamduilillah diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk aku terus menulis di blog ini. Terima kasih buat semua pengunjung yang setia untuk terus membaca coretan di ruang ini. Doakan agar saya diberi kesihatan dan ilham untuk terus berkongsi pengalaman kembara dan resipi buat kalian.
Gembira tak terkira apabila kami bertiga berpeluang ke luar negara setelah lebih tiga tahun tidak berpeluang untuk berbuat demikian. Kebetulan Saffura baru menamatkan pengajian diplomanya jadi aku pun mengintai ruang untuk ke luar negara sebagai hadiah atas kecemerlangannya. Dengan CGPAnya 3.97, pastilah kami mahu meraikannya.
Dipendekkan cerita kami pun ke Turki pada tarikh 24 September sehingga 3 Oktober 2022. Jadual kami amat padat kerana mengikut agensi pelancongan, tiada ruang rehat langsung. Berbeza dengan lawatan persendirian yang kami lalukan sendiri pada tahun 2011 yang lebih santai. Turki begitu padat dengan pelancong dari luar dan dalam negara terutama di Istanbul.
Sebaik sampai di rumah, suamiku dan Saffura terus demam sehingga keesokan harinya. Aku hanya merasa sakit di bahagian kaki, betis, peha dan lutut, nak naik tangga pun susah. Namun aku sempat mengemas pakaian dan membasuh baju kotor yang dibawa balik. Adalah lima pusingan, aku mahu mengejar cuaca yang agak panas agar semuanya cepat kering.
5 Oktober (Hari Pertama), aku pula demam, seharian makan ubat sedangkan suamiku dan Saffura sudah baik demam namun masih batuk. Badan rasa sejuk macam menggigil dan tekak terasa perit tapi deria bau masih ada. Buang air besar pun macam cirit birit.
6 Oktober (Hari kedua) tergerak hati nak buat test denga air liur, test kid memang dah ada. Sebelumnya Saffura dah buat tetapi negatif. Mulanya tak nampak, aku pun tambah air liur sambil buat kerja. Bila tengok balik, ada dua garis, terkejut ya amat. Aku pun terus berkemas dan masuk ke bilik untuk kuarantin. Saffura dan suamiku turut membuat ujian tetapi negatif, alhamdulillah.
Duduklah aku seorang diri di bilik bawah.
Atas nasihat sahabat yang baru pulih daripada covid-19, aku ke CAC dengan memandu sendiri. Dekat sangat Klinik Kerajaan dengan rumah, tak sampai 5 minit berkereta. Petugas melayan aku dengan baik dan tenang je, kita yang suspen. Aku meminta ubat paxlovid seperti yang disarankan oleh Kak Sufie namun tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan.
Antaranya pesakit mesti berumur 60 ke atas dan ada penyakit tertentu seperti kencing manis, darah tinggi atau kolesterol. Tekanan darah aku pula pada paras normal dan tahap oksigen pula 98%. Aku disuruh melakukan senaman ringan iaitu duduk dan bangun sebanyak 10 kali untuk memastikan paras oksigen kekal.
Petugas tersebut berbincang dengan pegawai atasannya perihal ubat yang aku minta namun ianya tidak diluluskan. Katanya lagi ubat paxlovid itu perlu dimakan selama 5 hari dan kebanyakan pesakit tidak menghabiskannya kerana rasanya agak pahit dan tidak menyenangkan. Aku pun balik ke rumah dengan rasa agak kecewa dengan berbekalkan ubat demam (panadol), ubat batuk dan ubat selsema. Waktu ni aku belum selsema dan batuk lagi.
Menurut kak Sufie, ubat paxlovid mahal, melebihi satu ribu ringgit harganya. Patutlah.
Aku diminta oleh petugas untuk melaporkannya melalui MySejahtera dan sentiasa memantau paras oksigen. Aku diminta kuarantin kendiri bermula 6 Oktober sehingga 12 Oktober.
Malamnya suamiku menyediakan air rebusan seperti yang abangku Mat sarankan untuk diminum sebelum tidur.
1 mug air
1 keping kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
20 kuntum bunga cengkih
7 biji lada hitam
1 inci halia
1 batang serai yang diketuk
Sedikit gula merah
Sedikit garam
Rebus semuanya sekali.
7 Oktober (hari ketiga)
Aku memantau kandungan oksigen tiga kali sehari. Pada waktu pagi. tengahari dan petang. Sebelumnya aku akan membuat sedikit senaman ringan dan menarik nafas melalui hidung dan lepaskan perlahan melalui mulut. Video2 berkaitan rawatan penyakit ini aku tengok semula.
Paras oksigen berada di antara 95% sehingga 97%. Aku masih demam dan makan panadol setiap 6 jam. Alhamdulillah berpeluh dan tidak berlarutan. Waktu ini aku sudah mulai selsema dan batuk.
Mujur selera aku okey dan aku suka makan bubur nasi. Mulanya bubur McD dan MarryBrown. Lepas tu, suamiku memasak sendiri bubur di rumah. Aku habiskan masa kuarantin dengan membaca buku Kembara Menalar Diri, karya Hasrizal Abdul Jalil.
Sebelum tidur aku minum air rebusan.
8 Oktober (hari keempat)
Suamiku belikan multivitamin untuk dimakan di samping VitC yang sedia ada. Alhamdulillah paras oksigen aku meningkat sehingga 99% semenjak aku memakan vitamin tersebut. Maklumlah ada zat besi di dalamnya yang berfungsi membawa oksigen dalam darah.
Malamnya aku membuat ujian, alhamdulillah dah negatif. Namun aku kekal kuarantin untuk mengelakkan ahli keluarga lain dijangkiti. Aku tak mau minum air rebusan cengkih lagi.
Aku juga minum air kelapa. Batuk kian menjadi pula, tekak agak berkurangan namun aku masih perlu hisap difflam dan strepsil.
Kak Sufie terus memantau aku dan menyuruh aku mengambil panadol jika demam kerana tiada kesan sampingan. Waktu ni sakit-sakit di bahagian kaki terus hilang.
9 Oktober (hari kelima)
Aku teruskan kuarantin di dalam bilik, demam dah hilang namun selsema dan batuk masih ada. Aku meminta suamiku belikan madu, kebetulan pula madu tualang yang aku selalu makan dah habis. Ianya sangat sesuai denganku.
Habis buku Hasrizal aku baca. Mujur aku baru terima buku Travelog Puan Jenny. Aku pun terus membaca.
10 Oktober (hari keenam)
Aku menerima wasap daripada Puan Haniza yang turut dijangkiti covid menyatakan beliau sudah negatif pada hari keenam. (kami sama tarikh kena covid)
Aku pun membuat test sekali lagi dan terbukti negatif. Suamiku mendapatkan maklumat dari KKM dan mendapati aku sudah tidak perlu kuarantin lagi.
Prosedur terkini |
Aku pun terus keluar dari bilik kuarantin dan mengemas bilik. Pihak KKM terus menelefon meminta aku membuat laporan melalui MySejahtera walaupun aku sudah menghantar laporan yang aku sudah bebas daripada covid.
Batuk masih ada dan ubat batuk tidak banyak membantu. Untuk melegakan tekak dan memudahkan keluarnya kakak, aku guna sejenis ubat sembur di tekak iaitu Betadine. Ianya amat membantu.
Pada 12 Oktober, kami mengupah syarikat Pest Control untuk membuat sanitization untuk seluruh rumah dengan bayaran RM180.00. Ianya perlu dibuat kerana kami akan mengambil mak mentua balik ke rumah.
Pada 15 Oktober, kami ke Melaka ambil mak dan aku dapat membeli madu tualang.
Alhamdulillah selepas mengambilnya setiap malam sebelum tidur, batuk aku semakin hilang dan boleh tidur dengan nyenyak.
Kakap ipar aku juga belikan untuk aku ubat kunyah untuk batuk yang juga membatu iaitu Eumenthol Jujubes keluaran Hudson's.
Inilah kisah covid-19 yang aku alami. Semoga ianya dapat membantu kerana penyakit ini masih ada lagi di persekitaran kita. Ianya tidak kelihatan jadi kita harus berwaspada.
Insya-Allah kisah kembara kami ke Turki akan menyusul selepas ini.
Terima kasih semua, semoga kita terus sihat dan dimurahkan rezeki. Aamiin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan