Rabu, 15 Disember 2021

Visit My Malaysia - Jeti Chew, Pulau Pinang.

BismillahirRahmanirRahim


Jambatan Pulau Pinang.

Bermula 11 November 2021 kami bertiga balik ke kampung, itulah yang berjalan ke Jeti nelayan Changkat, Ban Pecah dan Kuala Kurau. Selepas kembali dari negeri Perlis kami ke Pulau Pinang pula. Hampir dua tahun tidak ke Pulau Mutiara ini akibat PKP.

Perancangan asalnya, kami mahu bermalam di hotel namun masih belum yakin lagi jadi kami seharian di sana. Kali ini aku memberi peluang untuk Saffura memilih lokasi yang diingininya. Terkejut juga apabila dia beritahu hendak ke Jeti Chew.

"Apa la ada kat Jeti Chew tu yang hang nak pi sangat." Aku merungut sebab terpaksa jalan agak jauh merentasi kawasan perhentian bas di Pangkalan Raja Tun Uda. 
 
"Tempat ni lokasi pelancongan popular, orang luar negara suka dan UNESCO World Heritage Site lagi." Balas Saffura.

"Betoi ka? Tak tau pun." Selamba je aku menjawab.

Kami pun masuk aje ke kawasan tersebut, mulanya tersilap sebab termasuk ke kawasan parkir berbayar yang dimiliki peduduk setempat. Setelah bertanya baru kami berjalan menuju ke arah jalan yang sebenar. Kelihatan Tokong Cina sedang dibaikpulih.

Jeti Chew adalah yang terbesar, terdapat beberapa jeti lagi. Ianya adalah sebahagian dari perkampungan nelayan atas laut (terapung). Terletak tidak jauh dari Pengkalan Weld, tempat naik feri tu. Perkampungan yang sudah berusia 100 tahun ini dipenuhi rumah-rumah nelayan berbangsa Cina. Namun aktiviti perniagaan jelas kelihatan sebaik masuk ke kawasan tersebut.

Suasana begitu bersih di persekitaran rumah juga kawasan sekitarnya. Tak nampak sampah dalam air, sungguh melegakan. Rumah-rumah masih diduduki dengan pelbagai hiasan dan tanaman dalam pasu. Sekali tu kami masuk berhampiran rumah penduduk di situ, ada orang gaji berbangsa Indonesia di dalam rumahnya. 


Diiktiraf UNESCO

Laluan masuk ke Jeti Chew

Bahagian hadapan dipenuhi gerai perniagaan.

Ada kedai yang masih lagi belum dibuka.

Laluan diperbuat daripada kayu yang teguh.

Rumah di kiri dan kanan laluan berkayu.

Ada dataran luas di tengahnya

Rumah berhampiran dataran.

Salah satu rumah.

Kami mencari jeti lain pula tapi kami perlu keluar dari Jeti Chew terlebih dahulu. Saffura mencari lokasi yang dilihatnya melalui gambar yang dikongsi di laman media sosial. Kami merentasi sebuah kedai makan kecil, beberapa orang penduduk di situ sedang minum. Kami redah je sambil menegur mereka.

Lokasi yang dicari, sayangnya berkunci.

Pandai-pandai la ambik gambarnya.

Jeti ni pun ditutup.

Deretan bot nelayan.

Rumah atas air.

Berhampiran jalan raya.

Kelihatan pelabuhan feri dari sini.

Bot ini juga boleh disewa untuk pusing-pusing di sekitarnya.


Tak pernah terfikir untuk melawat tempat ini. Walhal ianya pernah menjadi laluan setiap kali aku menaiki bas untuk ke rumah Kakak Aishah di Gelugor atau rumah Kakcik di Balik Pulau.

Terkenang pula peristiwa lama tatkala zaman sekolah dahulu. Setiap kali cuti sekolah semenjak di tingkatan satu hingga tingkatan lima, menjadi rutin aku menaiki bas seorang diri dari kampung di Sungai Bakap ke Butterworth.

Kemudian menaiki feri untuk ke Pulau Pinang. Lepas tu naik bas lagi untuk ke salah satu destinasi. Biasanya lewat petang baru sampai. Seronok duduk di rumah kakak-kakak dan melayan anak-anak saudara. Aku akan berada di sini sepanjang tempoh cuti sekolah tidak kiralah berapa lama. Jangan cari aku kat kampung.

Ditakdirkan aku belajar di USM, rutin tersebut berterusan sehingga tamat pengajian. 

Banyak kenangan menaiki feri yang sudah ditamatkan perkhidmatannya ini. Aku tidak melepaskan peluang untuk meninjau kawasan sekitarnya sambil membongkar kenangan lama yang masih segar.


Inilah laluan pejalan kaki untuk mereka yang menaiki feri.

Nampak ada dua feri sedang berlabuh secara kekal.

Laluan berkereta untuk menaiki feri, ada masanya perlu menunggu 
berjam-jam untuk naik feri. Tapi seronok.

Itu dia laluan untuk menaiki feri yang kini hanya tinggal kenangan.


161121
#jetichew
#cutipenang




 

Rabu, 1 Disember 2021

Visit My Malaysia - Kuala Kurau, Perak


BismillahirRahmanirRahim


Kuala Kurau bersempadan dengan Tanjung Piandang. Bandar ini terletak di pinggir Sungai Kurau. Sebaik sampai, kami singgah di dataran yang berhampiran dengan sungai.  Kelihatan perkampungan nelayan, luasnya sungai ni. 

Jejantas Kuala Kurau yang dicat warna kuning kelihatan dengan jelas dari dataran ini. Puas ambil gambar, kami menuju ke pusat bandar dengan hasrat untuk merentasi jejantas tersebut.

Namun kami tidak jumpa kawasan untuk parkir kereta. Hujan turun pula, terus batalkan hasrat. 


Masih mendung

Sungai Kurau yang luas

Kelihatan jejantas berwarna kuning

Ada yang sedang mencari rezeki.

Terus sahaja kami meninjau kawasan berhampiran sungai dengan mengambil jalan di simpang menuju Jambatan Kuala Kurau. Ada kampung nelayan dengan jeti dan bot-bot nelayan. Sebahagian besar kawasan tersebut penuh dengan lot-lot penternakan ikan dalam sangkar juga ternakan udang.

Pemandangan ini juga boleh dilihat dari atas Jambatan Kuala Kurau. Kawasan sebelah jambatan pula penuh dengan kawasan pertanian terutama pokok-pokok kelapa sawit.


Tersesat kat sini.

Jeti nelayan

Kelihatan banyak sangkar untuk bela ikan dan udang kot

Bot nelayan sedang berehat.

Suasana agak sibuk dengan aktiviti menaiki bot ke sangkar ternakan ikan.

Jeti

Dataran Kuala Kurau berhampiran balai polis.
 
Dalam sehari kami mengunjungi tiga destinasi iaitu sekitar Nibong Tebal di negeri Pulau Pinang, Ban Pecah dan Kuala Kurau. yang terletak di Perak. Puas tengok jeti dan bot nelayan aih.

Alhamdulillah.

12112021
Kuala Kurau.


 

Selasa, 30 November 2021

Rasa Dapur KakJee (403) - Ubi Kayu Rebus


BismillahirRahmanirRahim





Hidangan untuk sarapan yang ringkas, mudah disediakan dan enak sekali. Terkejut juga apabila suami KakJee minta direbuskan ubi kayu buat sarapan. Waah senangnya kerjaku. Mak Mentua pun ada di rumah, apa lagi bertambah meriahlah menikmati hidangan popular satu ketika dahulu. 

Ubi kayu rebus dimakan dengan kelapa dan gula merah. Bertambah-tambah makannya. Habislah dua ketul ubi kayu yang agak panjang dengan sekali makan.

Kebetulan ada lebihan sambal tempe. Saffura pun turut merasa keenakan ubi kayu rebus tatkala mencicahnya dengan sambal. Memang terbaik lah rasanya apabila dimakan dengan sambal.

Makanan sihat begini elok disediakan selalu namun agak susah untuk mendapatkan ubi kayu yang empuk dan gebu selepas direbus. Jika beli di mall, tak dapat yang segar begini. Sebaiknya cari di pasar malam atau gerai di tepi jalan.

Ubi kayu kaya dengan kalsium yang penting untuk menjaga kesihatan tulang. Juga ada sumber kalium untuk memastikan tubuh badan dapat berfungsi dengan baik seperti mengatur kesimbangan cecair, mengekalkan kesihatan sistem saraf dan mengatur pengecutan otot dan jantung.

Ubi ini juga mengandungi zat besi yang penting dalam pembentukan hemoglobin. Juga ada kanji-tahan (resistant starch) iaitu sejenis kanji yang tidak tercerna apabila dimakan. Ianya baik untuk sistem pencernaan.

Diambil dari Blog Root of Science.

Jom amalkan sarapan dengan ubi kayu rebus.



Ahad, 28 November 2021

Visit My Malaysia - Ban Pecah, Tanjung Piandang Perak.


BismillahirRahmanirRahim



Tak sangka ada pemandangan laut yang indah di Tanjung Piandang, Perak. 

Walhal daerah ini bukanlah asing bagi kami. Ramai saudara mara yang tinggal di sini termasuk keluarga kakak ipar saya, Puan Hjh Saadiah Abdul Hamid. Tidak jauh pun dari kampung saya dan banyak kali juga saya berkunjung ke rumahnya semenjak belum kawin lagi.


Indah sungguh pemandangan ini. Lautan dan sawah bergandingan, hanya tebing dan jalan 
yang memisahkan.

Penemuan yang tak dirancang. Sewaktu dalam perjalanan ke Kuala Kurau (selepas kecewa tak dapat masuk ke Jeti Nelayan Sungai Udang) saya nampak ada beberapa papan tanda tertulis Ban Pecah. Saya pun Google nak tahu, apa ada kat situ.

Waah ada pemandangan laut.
Ianya terkenal di kalangan masyarakat setempat untuk berehat dan memancing.

Jom...

Sesat la juga beberapa kali. Masuk keluar laluan yang dipenuhi kawasan sawah dan kampung. Laluan untuk sampai ke kawasan tersebut agak ke dalam sehingga boleh menimbulkan keraguan.

Akhirnya ada rezeki untuk sampai. Setelah merentasi laluan sempit dalam tempoh masa yang agak lama, akhirnya ternampak deretan pokok kelapa sawit yang agak panjang. Kelihatan kawasan lapang dan kosong di sebaliknya. Hamparan sawah padi yang sedang subur menghijau memonopoli pemandangan.

Sebaik sampai di jalan yang berhampiran kawasan laut, kelihatan lautan yang luas. Namun disebabkan cuaca yang mendung,  hanya kelihatan awam gelap. Kami terus melalui jalan yang sangat panjang itu. Disebabkan agak susah untuk mencari kawasan parkir, kami teruskan sahaja melalui jalan tersebut.

Di sepanjang laluan memang kelihatan pengunjung yang memenuhi kawasan berbatu. Mereka duduk atau  memancing. Kami terus sahaja perjalanan sehingga tiba di pusat utama Ban Pecah. Ada banyak ruang parkir serta kedai, suasana lebih meriah dengan orang ramai.


Singgah minum dahulu. Tempat ni ada jual mi udang.
Nampak ramai yang memesannya.


Berhampiran mercu tanda

Tak jauh dengan gerai.

Batu yang dipasang untuk menghalang ombak membadai daratan.

Bot nelayan

Air mulai pasang

Sawah yang mendamaikan.

Masya-Allah cantiknya pemandangan sawah padi dan kawasan laut yang terletak  bersebelahan. Hanya dipisahkan tebing dan jalan bertar yang tidak begitu luas. 

Sayangnya hari mendung dan sudah lewat petang. Jika cuaca elok, pasti gambar lebih cun.

Insya-Allah ada rezeki nak pi lagi.

Kelihatan awan hujan di tengah lautan.



12112021
#Perak

 


Rabu, 24 November 2021

Visit My Malaysia - Jeti Nelayan Changkat Nibong Tebal, Pulau Pinang

BismillahirRahmanirRahim



Saya tahu kewujudan Jeti Nelayan Changkat Nibong Tebal ini melalui Ddnology Channel. Toutube Channel yang berkaitan dengan aktiviti memancing. Siaran ini begitu digemari En. Suami. Banyak soalan yang ditanya berkaitan tempat ini tapi saya hanya jawab...tak tau.

Jeti ini sebenarnya tak jauh dari kampung saya di Sungai Bakap. Saya yang gemar dengan pemandangan jeti nelayan tidak tahu kewujudannya selama ini. Pernah ke Kampung Bagan Buaya sewaktu zaman kanak-kanak dahulu tapi banyak yang dah lupa...huhu.

Balik ke kampung baru-baru ni, kami mencari jeti tersebut. Hampir tersesat juga sebab jalan ke sana agak jauh dari jalan utama. Cuaca agak mendung dan hujan turun rintik-rintik tapi kami teruskan juga untuk menikmati pemandangan sekitarnya.





Ramai juga pengunjung

Ada nelayan yang baru hendak ke laut.

Ada yang dah balik dari menjala ikan.

Nelayan muda belia lagi ni.

Minta izin  naik bot... tak dapat belayar pun takpa
Dekat sikit


Depa keluar awai untuk menjala. Ini hasilnya.

Nak posing tapi takut pegang ikan.

Nelayan muda yang comey.

Hasil tangkapan ini untuk saudara mara je, bukan untuk dijual.
Tu dia ikan Siakap viral pun ada. Ikan keli juga.


Sebelum beredar, sempat tengok aktiviti memasang enjin bot.
Tak sangka besar sungguh enjin bot. Ingatkan boleh angkat gitu je.


Dari jeti ini, nelayan atau kaki pancing akan menaiki bot untuk memancing di Sungai Udang atau sekitar Jambatan Kedua Pulau Pinang. Sewa bot lebih kurang RM300 sehari. Biasanya sekitar pukul 8:00 pagi hingga 5:00 petang. Selain kawasan parkir kereta yang agak luas, ada kedai makan dan tandas. Kelihatan juga beberapa kemudahan lain yang sedang dibina. 

Menarik juga tempat ni. Jom la singgah.

Lepas tu kami ke Jeti Sungai Udang pula. Kawasan pekannya padat dengan bangunan kedai. Suasana begitu sibuk dengan aktiviti berkaitan nelayan seperti mengangkut tong-tong ikan dan plastik berisi ketulan ais.

Kawasan kediaman agak banyak sehingga ke tebing sungai. Kami hanya melihat dari jauh sahaja kerana tidak kelihatan ruang untuk ke jeti. Namun agak mengejutkan saya, kerana rumah-rumah nelayan di sini besar-besar belaka. Kaya nelayan kat sini. 

Sori, sebab tak ambik gambar la pulak kat Sungai Udang. Kecewa sebab tak boleh masuk ke jeti.

12112021


Ahad, 7 November 2021

Rasa Dapur KakJee (402) - Croissant


BismillahirRahmanirRahim





Kami ni satu famili suka makan croissant tapi jarang beli kat kedai. Bukan semua kedai bakeri ada jual croissant ni kan. Kalau ada pun harganya mahal bukan main. Jika dihidangkan sewaktu sarapan di hotel, memang dua tiga ketul juga la jadi mangsa.

Teringat la pulak kenangan tinggal di hotel kat Madinah atau Mekah. Hidangan sarapan pagi penuh dengan pelbagai jenis roti dan pastri termasuk croissant ni. Ya Allah rindunya kenangan itu.

Punya la suka, sampai KakJee pernah ambil kursus buat croissant di Kolej Komuniti Kajang. Habis kursus try la buat sekali tapi tak sesedap yang ticer ajar. Akhirnya hanya KakJee sorang yang kena habiskan. Serik betol la. Dah lah susah nak buat. Terus gantung resipi tersebut.

Pun begitu tetiba KakJee terfikir untuk cuba buat croissant dengan menggunakan puff pastry. Suka pula depa, sekejapan dah habis. Makan pula waktu panas-panas, nikmatnya.
Sebiji rasa croissant.

Apa lagi, sekarang ni suami KakJee asyik dok beli puff pastry je lah jika dia ke mall untuk membeli barang dapur. KakJee pun suka buat sebab senang. Yang syok tu, tak sampai 24 jam dah habis.


Beli yang sais besar ya. Ada 5 keping.



Resipi Croissant
Puff Pastry
Kuning telur secukupnya

Cara membuatnya:
1.Ambil sekeping puff pastry dan canaikan sehingga agak nipis sedikit. Lagi nipis lagi bagus. Taburkan tepung supaya tidak melekat. Jangan lupa panaskan oven pada suhu 170 darjah celcius.

2.Guna pembaris untuk ukur, supaya menjadi bentuk tiga segi seperti dalam gambar. Jika buat saiz besar dapat tiga besar dan dua kecil. Jika saiz kecil dapat 7 biji. Dihujungnya potong sedikit supaya jadi bentuk tiga segi kecil. 

Ni untuk saiz besar

3.Mulakan gulung di bahagian hujung yang besar, tolak perlahan dan jangan terlalu rapat. Gulung longgar sahaja sampai ke hujung.

Alas dengan plastik pun boleh.

Gulung sampai ke hujung.

4.Hasilnya boleh dibengkokkan sedikit atau biarkan sahaja lurus.



5.Sapu sedikit minyak atas pembakar dan letakkan corissant tadi. Sapukan kuning telur ke seluruh permukaannya. Bakar sehingga masak (warna perang). Ulangi sehingga habis.



Jom makan.


*Gambar ni diambil sewaktu kali pertama buat jadi tak berapa elok kejadiannya. 
  Selepas dibuat berulang kali semakin okey. Lebih baik buat saiz kecil lebih cepat masak.



 Selamat Mencuba

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026.

  BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah, semalam berakhir PBAKL 2026 setelah berlangsung selama 10 hari. Banyak kisah menarik yang dikongsi...