Rabu, 15 Disember 2021

Visit My Malaysia - Jeti Chew, Pulau Pinang.

BismillahirRahmanirRahim


Jambatan Pulau Pinang.

Bermula 11 November 2021 kami bertiga balik ke kampung, itulah yang berjalan ke Jeti nelayan Changkat, Ban Pecah dan Kuala Kurau. Selepas kembali dari negeri Perlis kami ke Pulau Pinang pula. Hampir dua tahun tidak ke Pulau Mutiara ini akibat PKP.

Perancangan asalnya, kami mahu bermalam di hotel namun masih belum yakin lagi jadi kami seharian di sana. Kali ini aku memberi peluang untuk Saffura memilih lokasi yang diingininya. Terkejut juga apabila dia beritahu hendak ke Jeti Chew.

"Apa la ada kat Jeti Chew tu yang hang nak pi sangat." Aku merungut sebab terpaksa jalan agak jauh merentasi kawasan perhentian bas di Pangkalan Raja Tun Uda. 
 
"Tempat ni lokasi pelancongan popular, orang luar negara suka dan UNESCO World Heritage Site lagi." Balas Saffura.

"Betoi ka? Tak tau pun." Selamba je aku menjawab.

Kami pun masuk aje ke kawasan tersebut, mulanya tersilap sebab termasuk ke kawasan parkir berbayar yang dimiliki peduduk setempat. Setelah bertanya baru kami berjalan menuju ke arah jalan yang sebenar. Kelihatan Tokong Cina sedang dibaikpulih.

Jeti Chew adalah yang terbesar, terdapat beberapa jeti lagi. Ianya adalah sebahagian dari perkampungan nelayan atas laut (terapung). Terletak tidak jauh dari Pengkalan Weld, tempat naik feri tu. Perkampungan yang sudah berusia 100 tahun ini dipenuhi rumah-rumah nelayan berbangsa Cina. Namun aktiviti perniagaan jelas kelihatan sebaik masuk ke kawasan tersebut.

Suasana begitu bersih di persekitaran rumah juga kawasan sekitarnya. Tak nampak sampah dalam air, sungguh melegakan. Rumah-rumah masih diduduki dengan pelbagai hiasan dan tanaman dalam pasu. Sekali tu kami masuk berhampiran rumah penduduk di situ, ada orang gaji berbangsa Indonesia di dalam rumahnya. 


Diiktiraf UNESCO

Laluan masuk ke Jeti Chew

Bahagian hadapan dipenuhi gerai perniagaan.

Ada kedai yang masih lagi belum dibuka.

Laluan diperbuat daripada kayu yang teguh.

Rumah di kiri dan kanan laluan berkayu.

Ada dataran luas di tengahnya

Rumah berhampiran dataran.

Salah satu rumah.

Kami mencari jeti lain pula tapi kami perlu keluar dari Jeti Chew terlebih dahulu. Saffura mencari lokasi yang dilihatnya melalui gambar yang dikongsi di laman media sosial. Kami merentasi sebuah kedai makan kecil, beberapa orang penduduk di situ sedang minum. Kami redah je sambil menegur mereka.

Lokasi yang dicari, sayangnya berkunci.

Pandai-pandai la ambik gambarnya.

Jeti ni pun ditutup.

Deretan bot nelayan.

Rumah atas air.

Berhampiran jalan raya.

Kelihatan pelabuhan feri dari sini.

Bot ini juga boleh disewa untuk pusing-pusing di sekitarnya.


Tak pernah terfikir untuk melawat tempat ini. Walhal ianya pernah menjadi laluan setiap kali aku menaiki bas untuk ke rumah Kakak Aishah di Gelugor atau rumah Kakcik di Balik Pulau.

Terkenang pula peristiwa lama tatkala zaman sekolah dahulu. Setiap kali cuti sekolah semenjak di tingkatan satu hingga tingkatan lima, menjadi rutin aku menaiki bas seorang diri dari kampung di Sungai Bakap ke Butterworth.

Kemudian menaiki feri untuk ke Pulau Pinang. Lepas tu naik bas lagi untuk ke salah satu destinasi. Biasanya lewat petang baru sampai. Seronok duduk di rumah kakak-kakak dan melayan anak-anak saudara. Aku akan berada di sini sepanjang tempoh cuti sekolah tidak kiralah berapa lama. Jangan cari aku kat kampung.

Ditakdirkan aku belajar di USM, rutin tersebut berterusan sehingga tamat pengajian. 

Banyak kenangan menaiki feri yang sudah ditamatkan perkhidmatannya ini. Aku tidak melepaskan peluang untuk meninjau kawasan sekitarnya sambil membongkar kenangan lama yang masih segar.


Inilah laluan pejalan kaki untuk mereka yang menaiki feri.

Nampak ada dua feri sedang berlabuh secara kekal.

Laluan berkereta untuk menaiki feri, ada masanya perlu menunggu 
berjam-jam untuk naik feri. Tapi seronok.

Itu dia laluan untuk menaiki feri yang kini hanya tinggal kenangan.


161121
#jetichew
#cutipenang




 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...