Jumaat, 14 April 2017

Rasa Dapurku (Edisi Khas) - Pertandingan Memasak

Pertandingan Memasak


Tema ala-ala Arab.


29 Mac 2017 telah mencatat sejarah dalam hidupku. Pertama kali aku mencuba nasib di dalam pertandingan memasak anjuran kolej, tempat aku bertugas. Keputusan untuk turut bertanding diminta dalam masa tidak sampai 24 jam. Kasihan aku melihat rakan penganjur yang tidak jemu memujuk rakan guru masuk bertanding. Akhirnya aku memujuk Pn NorShafina untuk bersamaku, walaupun beliau agak keberatan untuk menyertainya. Setelah dipujuk, akhirnya beliau bersetuju. Perbincangan dibuat akhirnya kami bersetuju untuk menyediakan Kuih Cara Berlauk dan Kuih Cara Manis.

Syarat pertandingan untuk layak menang. Mesti menggunakan santan yang diberi
dan masak di dewan kolej.


Pertandingan bermula - adunan  kuih cara sedang disediakan.


Langkah memasak bermula.

Pn Saimah antara yang begitu berminat melihat kami sibuk di dapur.



Alhamdulillah acuan yang baru dibeli tidak meragam.

Giliran kuih cara manis pula. Acuan lama yang masih berjasa.
Bos matematik, Pn Aslina turut memberi sokongan kepada kami.


Lega rasanya apabila sudah mendapat hasil. Cuba letak udang pula.


Hasil masakan pertama.


Kumpulan sebelah kami, Pn Kasmini dan Pn Norhibah. Semua peserta begitu sibuk.


Pn NorShafina yang begitu kreatif .

Kunjungan rakan-rakan begitu bermakna. Penguat semangat.
Penganjur, Pn Nasuha memastikan segalanya berjalan lancar.
Tiba masa untuk menghidang. Segala barang diselongkar dan dibawa.


Bersedia untuk diadili pada bila-bila masa sahaja.


Berdebar menanti kunjungan para pengadil.


Bergambar buat kenangan.

3 sahabat pengadil sudah tiba. Layan.


Semoga sedap dan berkhasiat untuk dimakan.


Macam sedap aje. Diharap puan-puan pengadil betul-betul adil dalam membuat keputusan.


Jiran sebelah dengan Resepi Pulut Mangga. Pn Azzah pun turut sama.

Kumpulan Pn Liyana dan Cik Anis

Ini kumpulan Pn Aminah dan Cik Nur Syahida dengan resepi Bubur Kacang.

Setelah 5 hari baru keputusan diberi, sewaktu majlis penyampaian hadiah di perhimpunan kolej. Alhamdulillah kami menjadi juara. Baru aku tahu banyak aspek yang perlu diambil kira sebagai peserta. Namun ianya memberi pengalaman yang sungguh bermakna dalam  memberi kekuatan untuk lebih yakin ketika berhadapan dengan orang ramai ketika memasak. Sokongan rakan-rakan sangat bernilai dan memberi impak yang besar. Seronok pula rasanya.


Bergambar selepas selesai majlis penyampaian hadiah.
Tahniah!


Sabtu, 1 April 2017

Rasa Dapurku (218 ) - Masak Singgang Ikan Parang


BismillahirRahmanirRahim



Masak Singgang ada dua jenis, dimasak tanpa minyak atau ditumis dengan sedikit minyak. Singgang Ikan Parang ini menggunakan resepi dari Melaka, milik keluarga. Aku suka masakan ini terutama kuahnya, enak dihirup panas-panas semasa dimakan bersama nasi.

Resepi Singgang Ikan Parang
Bahan2:
3 keping ikan parang yang dibersihkan
1/2 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1 sudu kecil jintan manis
1/2 inci lengkuas(pilihan)
Sedikit kunyit hidup
1 batang serai diketuk
1 biji cili merah dibelah dua
1 helai daun kunyit
Sedikit air asam (ikut rasa sendiri)
Garam
Sedikit minyak masak

Cara Membuatnya:
1. Tumbuk jintan manis, kunyit, bawang besar , bawang kecil dan halia sederhana halus
    menggunakan lesung batu. 
    *Atau tumbuk jintan manis dan kunyit . Bawang besar, bawang putih dan halia dihiris 
      nipis.
2. Panaskan minyak di dalam sebuah periuk. Masukkan bahan yang ditumbuk dan kacau
    sehingga hampir garing.(atau bahan yang dihiris). Masukkan juga serai.
3.Masukkan air asam diikuti dengan garam dan lengkuas, biarkan mendidih.
4.Masukkan ikan, cili merah dan daun kunyit dan biarkan ianya masak menggunakan  
   api yang perlahan.
5.Tutup api setelah semua rasa menepati selera anda.




Isnin, 20 Mac 2017

Travelog : Sesejuk Bosnia & Herzegovina (6) - Salji Di Jahorina

























Akhirnya kami tiba di Jahorina. Hatiku berbunga-bunga apabila melihat kawasan memutih di hadapan kami. Perlahan-lahan kami mendekati kawasan luas tersebut. Meninjau kawasan sekitar sambil mencari tempat untuk meletakkan kereta.





Rasa Dapurku (217) - Kuih Lepat Liat


BismillahirRahmanirRahim




Kenangan yang tidak pernah aku lupa ketika zaman persekolahan puluhan tahun yang lalu. Dalam perjalanan ke Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap, aku akan singgah di sebuah rumah untuk membeli kuih lepat liat, buat mengisi perut di waktu pagi. Malang sekali aku tidak dapat mengingati namanya, yang pasti penjualnya adalah seorang yang aku panggil Pak Cik. Kelazatan kuih tersebut seolah masih terasa walau puluhan tahun aku tidak memakannya. Begitu sukar sekali untuk membeli kuih lepat liat yang begitu terkenal di utara tanah air di Kuala Lumpur.

Lama juga aku mahu mencubanya, akhirnya berjaya juga aku membuatnya dan rasanya seolah sama seperti yang pernah aku rasai dahulu.

Walaupun tidak banyak bahan diperlukan untuk menyediakan kuih lepat liat namun untuk mendapatkan adunan yang terbaik memerlukan kesabaran. Begitu juga sewaktu membalutnya. Jika terlalu cair terlalu sukar untuk membalutnya, jika terlalu pekat takut pula keras lepat yang dihasilkan. Gula yang paling sesuai digunakan ialah gula merah bukan gula Melaka atau gula perang. Ini untuk memastikan warna kuih lepat liat cantik seperti dodol. Resepi ini asalnya dari Blog aimzfi.blogspot.my. Namun aku ubah sedikit dengan menambah gula pasir.

Resepi Kuih Lepat Liat
Bahan2:
2 cawan tepung pulut
1 cawan gula merah
1/2 cawan santan pekat
1/2 cawan air
1/2 sudu teh garam
1-2 sudu besar gula putih
Kelapa parut digaul dengan sedikit garam
Daun pisang
Sedikit minyak masak
Sehelai daun pandan

Cara Membuatnya:
1.Masukkan gula merah, gula pasir,air, santan, daun pandan dan garam ke dalam sebuah periuk.
2.Masak sehingga mendidih.Tapis dan biarkan sejuk.
3.Masukkan tepung pulut sedikit demi sedikit ke dalam air gula tadi sambil dikacau. Sehingga
   adunan menjadi likat.(Tidak berketul)
4.Ambil daun pisang yang sudah dilayur dan dipotong. Sapukan sedikit minyak.
5.Letakkan anggaran satu sudu besar adunan tadi di atas daun pisang.Letakkan kelapa di tengah 
   dan balut. Adunan yang elok kelikatannya tidak akan meleleh/mengalir ketika dibalut.


6.Kukus lepat dengan pengukus sehingga masak. Sejukkan.


Dapat dalam 15 biji lepat liat




Dimakan sewaktu sejuk...lebih umpph.


Rasa Dapurku (216) - Roti Pita Berinti Burger



BismillahirRahmanirRahim


Kiri Kebab Burger daging,Kanan Kebab Burger Ayam.

Roti Pita Berinti Burger ini seumpama Kebab Segera. Mudah disediakan dan sedap dimakan. Biasanya burger daging atau ayam dijadikan intinya, pastinya keluaran Ramly menjadi pilihan. Inti digoreng bersama bawang besar tanpa menggunakan minyak kemudian dimasukkan serbuk Oregano   untuk memberikan aroma yang lebih sedap. Jika mahu menambah hirisan tomato dan cili juga apa salahnya. Ketika mahu makan, barulah diletakkan sos cili, sos lada hitam atau mayonis.

Resepi Roti Pita Berinti Burger
Bahan2:
3 keping Roti Pita dipanaskan dan dipotong dua
3 keping burger daging atau burger ayam dipotong dadu
1/2 biji bawang besar dipotong dadu
1 biji buah tomato dipotong dadu (pilihan)
Sedikit serbuk Oregano
Hirisan daun Sadri/Ketumbar (pilihan)
Daun salad/hirisan timun



Cara Membuatnya:
1.Panaskan  kuali dan masukkan burger dan kacau.
2.Masukkan bawang dan goreng sehingga semuanya masak.
3.Masukkan serbuk oregano dan tomato. Kacau sekejap dan
   padamkan api. Sejukkan.
4.Masukkan daun salad/ hirisan timun ke dalam Roti Pita yang telah dibuka
   seperti poket, diikuti dengan inti sehingga hampir penuh.Ulang sehingga habis.
5.Letakkan sos cili, sos lada hitam dan mayonis ketika hendak makan.


Ehmmm sedap...

Sabtu, 4 Mac 2017

Rasa Dapurku (215) - Sambal Terung



BismillahirRahmanirRahim

Resepi ini asalnya dari arwah Tok Wan Mat Ariff, ayah kepada ibuku. Resepi ini agak mudah untuk disediakan dan sedap pastinya sedap. Ianya boleh dimasak sehingga kering atau berkuah, terpulang kepada cita rasa masing-masing. Biasanya aku akan gandingkan masakan ini dengan sup ikan atau masak lemak. 



Resepi Sambal Terung
Bahan2:
2 biji terung panjang 
Cili Kisar secukupnya
1 biji bawang besar*
3 ulas bawang putih*
Ikan bilis* (jika suka)
 Bahan berganda* ditumbuk/kisar
1 sudu kecil kicap manis
Minyak masak
1 sudu besar serbuk kunyit
Garam
Sedikit air
 
Cara Membuatnya:
1.Terung dibersikan dan dikreingkan.Potong memanjang atau bulat 
   mengikut saiz yang sesuai.
2.Gaulkan bersama garam dan kunyit, biar sekata.
3.Panaskan kuali bersama minyak masak.
4.Goreng terung sehingga kekuningan dan angkat.
5.Keluarkan sebahagian dari minyak masak tadi.
6.Masukkan bawang yang dikisar dan goreng sehingga wangi.
7.Masukkan cili kisar dan goreng sehingga garing.
8.Masukkan garam, sedikti air dan kicap. Gaul rata.
9.Masukkan terung dan kacau sehingga pecah minyak
   menggunakan api yang kecil.



















Rasa Dapurku (214) - Asam Rebus Bendi


BismillahirRahmanirRahim

Bendi memang berkhasiat dan menjadi pilihan kami sekeluarga. Direbus dan dimakan sebagai ulam untuk dimakan bersama  sambal tumis mampu menjadi pembuka selera. Bendi dikatakan sesuai untuk mengatasi beberapa masalah kesihatan seperti masalah berkaitan kandungan gula dalam darah, mengurangkan sembelit, membantu mengatasi ulser, mengurangkan masalah berkaitan penghadaman, menguatkan daya memori otak dan banyak lagi.

Asam Rebus Bendi


Asam Rebus Bendi ini sangat mudah disediakan dan tidak memerlukan setitik minyak, sesuai untuk mereka yang sedang berdiet. Paling best ialah saat menghirup kuahnya ketika panas...huuh.....

Resepi Asam Rebus Bendi
Bahan2:
15 biji bendi
1 inci halia*
1/2 biji bawang besar*
4 ulas bawang putih*
1 susu besar ikan bilis*
3 -5 biji cili padi*
Semua bahan * ditumbuk
1-2 sudu besar cili kisar
1 batang serai dibelah dua
3 keping asam keping
Garam 
500 -700 ml air 
Beberapa tangkai daun kesum

Cara Membuatnya:
1.Masukkan air ke dalam sebuah periuk yang sederhana besar.
2.Masukkan semua bahan kecuali bendi.
3.Masakan dengan api perlahan sehingga semua bahan mesra
   dan masak.
4.Masukkan bendi yang telah dibersihkan dan masak bendi sehingga lembut.
    
Senang dan cepat.




Isnin, 20 Februari 2017

Travelog : Sesejuk Bosnia & Herzegovina (4) - Gazi Husrev Bezistan, Bascarsija.




Pusat Kota lama Sarajevo, kelihatan menara masjid dan gereja.



Bahagian depan masjid


Pintu gerbang untuk masuk ke kawasan Masjid Gazi Husrez
 
Sarajevo mengalami zaman keemasan sewaktu pemerintahan Gazi Husrev. Sekolah-sekolah rakyat atau madrasah, menara jam, perpustakaan, hamam atau pemandian awam, rumah penginapan dan bazar turut didirikan di kawasan tersebut.






Bangunan madrasah, kini dijadikan muzium.
Pintu masuk madrasah, peninggalan kerajaan Uthamaniyyah.



Pelbagai monumen penting sekitar Gazi Husrev Bezistan.

Muzium baru berdekatan madrasah, sumbangan kerajaan Qatar.



zias/bosnia/17

Sabtu, 18 Februari 2017

Rasa Dapurku (213) - Lempeng Kelapa




BismillahirRahmanirRahim

Lempeng Kelapa terkenal di Melaka, ianya sedap dimakan dengan sambal ikan bilis. Hari cuti memberi peluang untuk aku memasak sesuatu yang enak dimakan ketika masih panas. Teringin pula untuk membuat lempeng kelapa supaya baki asam pedas daging yang dibuat dapat dihabiskan. Selepas mencari resepi di blog, aku memilih resepi lempeng kelapa yang asli tanpa penaik. Adunan yang dibuat ini menghasilkan 4 keping lempeng yang sederhana besarnya.



Resepi Lempeng Kelapa
Bahan2:
1 cawan kelapa (putih sahaja)
1 cawan tepung gandum
1 1/4 cawan air
Sedikit garam
Sedikit mentega/minyak

Cara Membuatnya:
1.Masukkan kelapa dan tepung gandum ke dalam bekas yang sesuai.
2.Masukkan air dan kacau sehingga membentuk adunan yang tidak berketul.
3.Masukkan garam secukup rasa dan kacau .


4.Panaskan kuali dan masukkan sedikit mentega/minyak.
5.Masukkan satu senduk adunan tadi ke dalam kuali dan ratakan.Biarkan
   sehingga masak. Terbalikkan lempeng dan biarkan sehingga masak.





Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026.

  BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah, semalam berakhir PBAKL 2026 setelah berlangsung selama 10 hari. Banyak kisah menarik yang dikongsi...