Rabu, 16 September 2015

Travelog : Oh! Riyadh (61)- Tragedi Di Masjidil Haram


Tragedi Di Masjidil Haram

Sekitar pukul 7.00 malam , aku terus menyimpan barang-barang yang baru dibeli dari Lulu Hypermaket. Aku memasukkan kelapa parut yang dibeli ke dalam bekas plastik untuk dimasukkan ke dalam peti sejuk. Lega rasanya melihat stok kelapa tersebut setelah hampir 20 minit beratur menunggu giliran kelapa diparut oleh pekerja yang bertugas.

"Mataf runtuhlah." Tiba-tiba suamiku bersuara dari ruang tamu sambil melihat telefon bimbitnya.
"Bukan Mataf tu, mungkin ada berlaku kesesakan seperti tahun bila...entah." Jawabku sambil meneruskan  kerja di ruang dapur. Televisyen dibuka, Saudi-1, Saudi-2 dan siaran langsung dari Masjidil Haram  menjadi  pilihan mendapat maklumat namum tiada apa-apa berita. Aku mendapatkan telefon bimbit kepunyaanku  lalu menghubungi anak saudaraku, Wan Suhana yang sudah berada di Mekah sejak dua minggu lalu. Tiada  jawapan. Fb pula menjadi rujukan. Ada berita berkaitan yang di 'share' oleh bekas anak muridku, Mija.  Memang  benar ada kejadian runtuhan di dalam kawasan Masjidil Haram. Innalillahi wa inna ilaihiraaji'uun.

Kren pembinaan yang tumbang berdekatan
bangunan Safa dan Marwah

Beberapa hari sebelum kejadian, Jeddah dilanda ribut pasir yang luar biasa. Mekah turut menerima kesannya. Hujan juga turun di kawasan sekitar Mekah. Sedang Mekah kini dipenuhi dengan lautan manusia yang terpilih sebagai tetamu Allah. Bilangan jemaah haji kian bertambah, suasana sekitar dataran Kaabah sentiasa padat dengan umat Islam yang menyahut seruan Ilahi untuk menunaikan ibadah setahun sekali itu. Umum memang mengetahui bagaimana sesaknya kawasan sekitar Masjidil Haram yang sedang sibuk diperbesarkan. Menjadi pemandangan biasa, puluhan kren pembinaan yang tinggi dan besar berdiri memenuhi kawasan sekitar Masjidl Haram. Kemuncaknya pada tanggal 11/9/2015, hujan lebat dan ribut pasir yang hebat menyebabkan satu kren  tumbang dan jatuh ke kawasan Masjidil Haram.

Kawasan saei  yang menerima
kesan runtuhan

Meneliti berita-berita dan gambar yang viral melalui pelbagai sumber menyedarkan aku keadaan sebenar yang berlaku. Peristiwa tersebut lebih dahsyat dari apa yang aku bayangkan. Pastilah ianya merupakan ujian yang besar bagi umat Islam serata dunia bukan setakat mereka yang berada di Tanah Suci sahaja. Sekurang-kurangnya 107  nyawa menjadi syahid termasuk 5 orang jemaah dari Malaysia. Beratus lagi sedang dirawat akibat kecederaan yang dialami. Mereka yang terkorban adalah insan-insan terpilih yang diambil nyawa ketika berada di tempat paling mulia di muka bumi ini. Tempat yang menjadi impian setiap umat Islam.
Mereka meninggal pada hari Jumaat, penghulu segala hari dan ketika sedang beribadat kepada Allah. Anugerah terhebat dariNya. Moga Allah mengurniakan balasan syurga buat mereka yang terkorban.  Doa untuk waris-waris mangsa yang menerima musibah ini agar dilimpahkan kesabaran. Bagi jemaah haji yang cedera, moga Allah permudahkan proses untuk sembuh dan dapat meneruskan ibadah haji dengan sempurna.

Sekitar Dataran Kaabah yang terkesan dengan tragedi.

Juga untuk seluruh jemaah haji, semoga Allah pelihara semuanya dari segala bala bencana dan musibah. Dianugerah kesihatan agar ibadah berjalan lancar dan dikurniakan haji yang mabrur.






                                                                                                                          zias/riyadh/15

Isnin, 14 September 2015

Dapurku D'Riyadh (49) - Kuih Bahulu Ikan


Bulan Zulhijah kian menyapa, cuti panjang sempena ibadah haji  dan korban akan muncul tidak berapa lama lagi. Kami berhasrat untuk menyambut hari raya Aidil Adha di Madinah buat pertama kalinya, In shaa Allah. Kuih Bahulu, Kuih Maruku dan Kuih Ros antara senarai kuih yang akan aku sediakan buat bekalan di dalam perjalanan. 

Aku pernah membuat kuih bahulu dengan menggunakan acuan yang dikirim oleh emak dari Penang. Acuan kuih bahulu yang telah digunakan jangan sekali-kali dibasuh. Dari pengalaman ianya akan menyebabkan kuih melekat pada acuan bila mahu digunakan pada kali kedua dan seterusnya. Jika berlaku keadaan sedemikian seeloknya dikikis acuan tersebut dan direndam di dalam minyak. Jika melekat juga eloklah dibeli yang baru supaya tidak sakit hati dibuatnya.

Bismillahirrahmanirrahim

Resepi Kuih Bahulu 

Bahan2nya:
1 cawan telur
1 cawan gula
1 cawan tepung.
Perisa vanila jika suka(aku tak letak supaya lebih asli)
Minyak

Cara Membuatnya:
1. Pukul telur dengan gula sehingga kembang(putih)
2. Goreng tepung dengan api yang sederhana dan ayakkan.
    (pilihan) 
3. Masukkan tepung ke dalam adunan dan kacau sehingga sebati.
    Kalau tak rajin, boleh masukkan ketiga-tiga bahan dan pukul 
    sehingga putih
4. Masukkan ke dalam acuan yang disapu minyak dan masak 
   di dalam oven pada suhu 180 C sehingga keperangan.
   Anggaran masa 15 hingga 20 minit
5. Terus keluarkan kuih bahulu yang telah masak dari acuan.
    Sapukan minyak dan ulangi sehingga adunan habis.


Kuih Bahulu Ikan

Dapurku D'Riyadh (48) - Nasi Lemak Al Ghadeer


Nasi lemak kerap kali menjadi hidangan kami di hujung minggu. Di BTHO, terdapat beberapa buah gerai yang menjual nasi lemak. Gerai-gerai sepanjang laluan di Suadamai menawarkan nasi lemak sesi pagi dan petang. Memang aku jarang masak nasi lemak dan kerap membeli makanan kegemaran Saffura ini di gerai-gerai tersebut. Di Riyadh terdapat Warung Kak Yus Riyadh yang juga menawarkan pelbagai hidangan cita rasa Malaysia seperti nasi lemak, nasi ayam, meehoon goreng, nasi kerabu dan sebagainya. Warung alam maya ini hanya terhad penghantarannya di kawasan tertentu sahaja dan kebiasaannya memenuhi pelanggan yang rata-ratanya adalah jururawat yang bertugas di hospital. Warung ini juga menerima tempahan untuk jamuan.

Promosi nasi ayam dari Fb Warung Kak Yus Riyadh
Aku memang selalu gagal menyediakan nasi lemak yang sedap. Setelah beberapa kali mencuba akhirnya aku berjaya menyediakan nasi lemak sesuai dengan selera Saffura. Sekarang nasi lemak menjadi masakan pilihanku setiap minggu dan lebih mengembirakan ianya sentiasa licin. Untuk menyediakan sambal ikan bilis tidak menjadi masalah kerana aku mendapat resepi dari keluarga sebelah suami. Orang Melaka memang terkenal pandai menyediakan sambal goreng yang bukan sahaja sedap tetapi cantik dipandang.

Bismillahirrahmanirrahim

Resepi Nasi Lemak
Bahan2nya:
2 cawan beras basmati (basuh dan rendam 1/2 jam)
3 cawan santan sederhana pekat (aku lebih suka guna santan serbuk
kerana ianya akan menghasilkan nasi yang putih warnanya)
1 helai daun pandan (jika tiada gunakan sebatang serai)
Garam secukup rasa
Sedikit halia yang dihiris
Sedikit bawang besar yang dihiris halus
Sedikit halba

Cara Membuatnya:
Masukkan semua bahan di atas ke dalam periuk nasi elektrik dan 
biarkan sehingga masak.

Resepi Sambal Ikan Bilis
Bahan2nya:
1 senduk kecil cili kering yang dikisar halus
Ikan bilis
2 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
Air asam jawa
Garam. gula dan minyak

Cara Membuatnya:
1. 1 biji bawang besar dikisar bersama dengan bawang putih .
2. 1 biji bawang besar dihiris nipis
3. Panaskan minyak di dalam kuali dan masukkan bawang hiris,
    goreng hingga agak garing.
4. Masukkan bawang yang dikisar dan goreng sehingga naik bau.
5. Masukkan cili kisar , garam dan gula. Kacau sehingga betul-
    betul garing. Masukkan ikan bilis dan air asam.
6. Selepas mendidih, perlahankan api sehingga pecah minyak.
    Jika suka boleh masukkan hirisan bawang yang dibelah.


*Hidangkan nasi lemak bersama ikan bilis goreng, kacang tanah goreng,
  telur rebus dan timun.







Isnin, 7 September 2015

Dapurku D'Riyadh (47) - Nasi Burung Puyuh(Nasi Ayam)



Burung puyuh yang dibeli masih berbaki lagi sebungkus, terdapat enam ekor di dalamnya. Goreng kunyit sudah, goreng berempah pun sudah. Aku terfikir pula untuk masak nasi ayam tetapi kali ini aku gantikan ayam dengan burung puyuh. Nasi ayam memang popular, aku pasti setiap suri rumah mempunyai resepinya yang tersendiri. Begitu juga aku. Aku gabungkan beberapa cara memasak nasi ayam untuk aku cipta nasi ayam aku sendiri. Biasanya ayam yang diperap aku bakar untuk mengurangkan penggunaan minyak di dalam masakan. Jadi resepi nasi burung puyuh ini sebenarnya adalah resepi nasi ayam.

Bismillahirrahmanirrahim

Bahan2:
6 ekor burung puyuh ( 1 ekor ayam: 500g-800g- jangan dipotong)
Air secukupnya
1 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
1 inci halia
Garam

Cara Membuatnya:
1.Kisar bawang besar, bawang putih dan halia.
2.Masukkan anggaran 1 liter air ke dalam sebuah periuk yang sesuai.
   Air rebusan akan digunakan untuk masak sup dan nasi.
3.Masukkan bahan kisar, garam dan burung puyuh (ayam)
4. Rebus sehingga burung puyuh(ayam) masak.
5. Keluarkan burung puyuh (ayam) dan toskan.

Resepi Nasi

2 cawan beras basmati -dibasuh dan direndam 30 minit,toskan.
Penumis
3 cawan air rebusan
1 helai daun pandan
1 sudu besar mentega
1-2 sudu minyak zaitun/jagung
Sedikit pewarna safron(kuning)
1/2 biji bawang besar yang didadu

1. Panaskan mentega dan minyak bersama-sama. Masukkan penumis.
2. Masukkan pula bawang besar dan kacau sehingga agak wangi.
3. Masukkan beras dan kacau selama 1-2 minit.
4. Masukkan air rebusan, daun pandan, pewarna dan perisakan.
5. Apabila air sudah hampir kering, perlahankan api sehingga nasi
    masak sepenuhnya.

Resepi Burung Puyuh Bakar

2 sudu besar kicap manis
2 sudu besar kicap masin
2 sudu besar madu
1 sudu kecil serbuk lada hitam
1 susu kecil serbuk paprika
1 sudu besar minyak bijan
sedikit air rebusan

1.Gaulkan semua bahan di dalam satu bekas. Perapkan bahan ini dengan
   burung puyuh( seekor ayam) selama 30 minit.
2.Keluarkan burung puyuh(ayam) dan letakkan di atas dulang pembakar.
   Sapukan minyak pada burung puyuh dan bakar selama 30-40 minit atau
   sehingga  menjadi keperangan.
3.Minyak yang terhasil semasa proses pembakaran boleh dicampur ke dalam
   bahan perap. Kicap bahan perap  boleh dimakan bersama ayam.

Kuah Sup.

1/2 biji bawang besar
1 ulas bawang putih
1/2 inci halia
Air rebusan
Daun bawang dan daun sup.
1-2 sudu besar perencah sup jenama Adabi
Penumis
Minyak


1. Panaskan minyak di dalam sebuah periuk. Masukkan penumis.
2. Masukkan bawang besar dan goreng sehingga garing. Masukkan
    bawang putih dan halia sehingga wangi.
3. Masukkan perencah sup dan kacau sekejap. Masukkan air
    rebusan. Masukkan batang daun sup/bawang. Biarkan mendidih
    dan perlahankan api.

Sos Cili  Nasi Burung Puyuh (ayam)

2-3 biji cili merah
2 ulas bawang putih
2 sudu sos tomato
garam secukupnya.

Kisar sehingga halus .

Nasi Burung Puyuh


Nasi Ayam

Ahad, 6 September 2015

Dapurku D'Riyadh - Petua2 di Dapur (2)

Pelbagai petua menarik dari Fb, mungkin berguna satu hari nanti.































Petua menarik minat anak-anak makan buah-buahan.

Dapurku D'Riyadh - Petua2 Di Dapur (1)



Senarai petua dari Fb yang aku kumpul untuk memudahkan urusan di dapur.  
Mungkin hari ini aku tidak memerlukannya....entah esok lusa...






























Khamis, 3 September 2015

Travelog : Oh! Riyadh (60)- Jiran Baru


Jiran Baru


Masa terus berlalu dengan pantas, musim panas akan berakhir tidak berapa lama lagi. Namun bahang panas masih terasa dengan suhu sekitar 44 - 46 darjah celsius sewaktu tengahari. Waktu Solat subuh muncul selepas pukul 4.15 pagi dan  waktu Solat Maghrib pula sekitar pukul 6.10 petang. Masih terbawa waktu di Malaysia lalu selepas Solat Maghrib mata terasa berat teramat sangat. Wabak MERS juga semakin memuncak dengan beberapa angka kematian. Semoga Allah menemukan penawarnya. Amiin.

Lawak di Fb - Aku sendiri menyimpan air di dalam baldi  supaya
air sejuk sedikit ketika mandi. Ironinya bahang menjadikan air tetap
panas. Lalu aku campurkan ais untuk mendapat air yang sejuk dan segar.


Ya Allah lindungilah kami dari wabak bahaya ini.

Nilai ringgit Malaysia yang semakin lemah berbanding mata wang negara lain menjadi topik perbualan di mana-mana. Sehingga ada berita menyatakan mata wang Malaysia tidak diterima oleh Pengurup Wang di China dan di Thailand.Ini pasti boleh mendatangkan marah. Aku terkenang pengalaman menunaikan umrah bersama  suami, arwah ayahku dan emak mentuaku pada tahun 1998. Ketika itu berlaku kemerosotan ekonomi yang agak teruk di Malaysia. Begitu sukar bagi kami untuk menukarkan mata wang Ringgit Malaysia kepada Rial Arab Saudi. Nilai yang  begitu rendah terpaksa kami terima tanpa tawar menawar lagi.
Kita tiba musim haji pasti para ibu dan para bapa yang terhad kewangannya menerima kesan yang bukan sedikit.

Pun begitu bagi kami yang mencari rezeki di Arab Saudi merasa lega yang amat sangat kerana keadaan begini memberi peluang untuk menambah tabungan. Seingat aku ketika kami datang pada tahun 2013, tukaran SR100=RM80 - RM85. Ada rakan yang sudah lama di sini pernah menerima nilai sekitar RM70. Kini nilai menjadi SR100 = RM110. Semakin ramai yang berminat untuk bekerja di luar negara memandangkan situasi sebegini. Ramai juga yang bertanya kami bagaimana mahu bekerja di sini. Ada kenalan yang bekerja di England mula berkira-kira mahu membeli aset seperti rumah kerana mampu beroleh tukaran wang yang begitu tinggi. Semuanya baru bermula, tidak tahu bagaimana sudahnya situasi ekonomi negara.

Seminggu lepas dari Fb warga Riyadh.

Saffura meneruskan persekolah di Gread 8, Sekolah Al Alameen Islamic School. Jumlah bilangan pelajar di dalam kelasnya bertambah dari 5 orang di Gred 7 kepada 7 orang. Marieyam, Maryam dan Eiruj adalah pelajar baru.  Maha, Rumaysa dan Farhana merupakan rakan lama. Lebih mengujakan apabila rakanku Pn Hjh Hamidah Mohamed Helmi menjadi tenaga pengajar di sekolah Saffura. Anak gadis kesayangannya, Diyana turut bersekolah di situ.


Kami juga menerima teman senegara yang mula bekerja di universiti tempat suamiku bertugas. Prof. Madya Dr Norizan nekad bersara awal untuk mencurah khidmat bakti di Arab Saudi. Dr Norizan pernah menjadi salah seorang penasihat suamiku ketika belajar di Universiti Sains Malaysia. Kami agak kehairanan kerana Dr Norizan datang bersama dengan isterinya, Pn Hjh Roslina dan tiga orang anak mereka. Memang la kami hairan kerana dari pengalaman kami sebelum ini, keluarga datang sebulan kemudian. Mungkin dari pengalaman mereka yang pernah menetap selama tiga tahun di Jeddah menjadikan Dr Norizan lebih mahir. Ah...sebenarnya begitulah keadaannya di sini, undang-undang sentiasa berubah ...tak faham aku.
Mereka tinggal di Blok C, tidak jauh dari Blok A tempat tinggal kami. Mereka sempat berkunjung ke rumah tetapi dalam kesibukan berbual, aku terlupa untuk mengambil gambar mereka. In Shaa Allah di kesempatan lain.




            
                                                                                                               zias/riyadh/15

Dapurku D'Riyadh Edisi Balik Kampung (46) - Kuih Maruku



Hasrat untuk belajar cara membuat  maruku tercapai juga akhirnya. Selepas puas berhari raya, aku memanafaatkan masa yang ada untuk belajar beberapa resepi makanan kudapan dari emak mentuaku.
"Waktu dahulu, kuih raya buat sendiri, kalau tak memang tidak merasa kuih raya." Cerita emak sambil tanganku menguli adunan  maruku.
"Ya lah zaman dahulu mana ada tunjuk tunjuk macam sekarang." Balasku sambil ketawa.
Banyak resepi dari emak yang sedang aku kumpulkan.
"Saya masukkan resepi emak dalam blog saya, jadi mak dapat pahala berterusan selagi pembaca menggunakannya." Terangku kepada emak tanda meminta izin.
Emak gembira bukan kepalang, semangat untuk menolongku berkobar walaupun kudratnya tidak sekuat dahulu. Aku menggunakan resepi asal emak yang sudah berusia puluhan tahun tanpa sebarang bahan tambahan lain.

Bismillahirrahmanirrahim

Resepi Maruku

Bahan2:
500 g tepung maruku
500 g tepung beras pulut
1-2 sudu besar lemuju
Garam
4 biji telur 
Santan pekat secukupnya (boleh guna santan kotak)
Daun kari.

Cara Membuatnya:
1. Gaulkan kedua-dua tepung ke dalam sebuah bekas.
2. Masukkan lemuju dan garam. Masukkan telur dan kacau.
3. Masukkan santan sambil digaul supaya sekata. Masukkan
    sehingga doh lembut dan mudah ditekan apabila dimasukkan
    ke dalam acuan.
Adunan yang sudah siap

4. Panaskan minyak di dalam kuali. Terus tekan doh dari acuan
    di dalam minyak. Api hendaklah sederhana.
Goreng di dalam minyak yang banyak

5. Boleh dimasukkan daun kari ketika menggoreng atau  selepas
    digoreng.
 
Dah siap - pecahkan ketika hendak disimpan
di dalam bekas kedap udara.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026.

  BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah, semalam berakhir PBAKL 2026 setelah berlangsung selama 10 hari. Banyak kisah menarik yang dikongsi...