BismillahirRahmanirRahim
Travelog Langkawi (3)
20 Julai 2023 (Khamis)
Usai solat subuh, Kakcik mengetuk pintu bilik kami.
"Kakcik nak tumpang toilet, satu malam tak boleh tidoq. Cirit birit." Beritahu Kakcik sebaik pintu bilik dibuka.
"Laa ubat tak bawak, nanti Kakcik minum teh pekat. Cepat lega." Kata saya dengan rasa simpati.
"Dah minum pagi tadi, satgi nak ulang lagi." Sambung kakcik sambil melangkah masuk ke tandas.
Jam 7:30 pagi kami sudah bergerak menuju ke Pantai Chenang. Suasana mendung macam nak hujan. Tak lama kami berada di situ sebab hujan dah mula turun.
Tak puas hati dengan pemandangan di situ, saya bawa rombongan ke pantai lain pula. Jalan yang dilalui merentas kawasan berbukit dan kelihatan taburan pulau-pulau kecil yang cantik.
Tak jumpa pantai
Sempat singgah di sebuah jeti namun agak sesak dengan pengunjung yang mahu menaiki bot ke pulau. Takde ruang untuk parkir kereta.
"Kena isi minyak, dah ada tanda merah ni, Saffura check kat mana ada stesen minyak." Saya memberi arahan.
"Lepas tu kita pi makan." Kak Aishah pula bersuara.
"Okey, tapi tulah tak nampak lagi kedai makan yang dah buka." Saya berkata dalam nada merungut.
Alhamdulillah ada gerai makan bersebelahan dengan stesen minyak Petronas. Kami menjamu selera di situ dengan nasi lemak, roti canai, mi goreng serta kuih muih. Yang paling sedap kuih tepung bungkus dan pulut inti. Semuanya RM45.00 untuk 7 orang.
Selesai makan kami balik ke hotel untuk checkout.
"Ingat nak pi Pulau Tuba makan mi udang tapi tak sempat kot sebab feri kita pukul 1:00. Apa kata kita balik pukul 5:00." Saya beri cadangan sebelum meneruskan perjalanan.
"Kami ok... no problem." Semua setuju aje.
"Tapi tiket feri dah ambik ma." Saffura mengingatkan saya.
"Takpa, kira burn je la, bukan senang nak mai balik." Jawab saya selaku ketua rombongan, seronok boleh buat keputusan sendiri.
"La ni kita pi tanya bot ke Pulau Tuba kemudian beli tiket feri. Dua tempat tu sebelah menyebelah ja." Sambung saya sambil terus memandu kereta.
Fatihah ditugaskan bertanya untuk ke Pulau Tuba kemudian Saffura menemaninya untuk beli tiket feri yang baru.
Bot ke Pulau Tuba jam 1:00 tengahari dan feri ke Kuala Kedah jam 5:30 petang. Set! Cantik.
"Jom pi kedai Haji Ismail, coklat tak beli lagi ni." Pinta Kak Milah pula.
Dalam perjalanan saya terpandang tanda arah ke Kota Mahsuri. Saffura pula asyik bertanya, siapa Mahsuri. Jadi saya ambil keputusan untuk singgah sekejap.
Asyik berbual sambil memandu, kedengaran bunyi yang agak kuat di bahagian hadapan sebelah kiri. Waktu tu kami melalui kawasan hutan tanpa penduduk di sekitarnya.
Saya terus memandu sebab tidak terasa apa-apa yang mencurigakan.
"Jauh pulak la makam Mahsuri ni." Saya merungut sebab dah rasa tak sedap hati.
Akhirnya kami nampak kawasan kampung dan pagar untuk masuk ke kawasan parkir Kota Mahsuri.
Sebaik masuk ke kawasan parkir, ada pengunjung di situ menahan kereta kami dan menunjukkan jarinya ke arah tayar kereta.
"Tayar pancit la Toksu." Beritahu Fatihah yang duduk disebelah, sebaik cermin kereta dibuka.
Tayar kereta pancit daa |
Saya terus meletakkan kereta di ruang parkir yang paling dekat. Tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada pengunjung yang prihatin tadi.
"Adoih sampai pancit tayar kereta, tu belum shopping kat Hj Ismail lagi." Kata Kakcik dan kami pun ketawa.
Saya terus menelefon En Khairul, ejen kereta sewa, " Tayar kereta pancit ni, boleh tolong cepat sikit tak? Kami nak pi Pulau Tuba naik bot pukul 1:00."
"Takpa, kami bagi kereta yang lain. 10 minit lagi sampai." Janji En. Khairul.
"Biar Betul 10 minit, tadi pun lama nak sampai sini." Saya berkata dalam hati.
Saffura, Fatihah dan Fitri masuk ke Kota Mahsuri. Kak Milah dan Kakcik sibuk beli pelbagai produk minyak gamat. Kak Aishah diserang sakit perut dan berulang ke toilet dua kali.
Pemandangan dari Kota Mahsuri |
Saya pula sungguh saspen menanti kereta ganti sambil melihat jam di tangan, dah pukul 10:30 pagi.
Sempat ke nak pi Pulau Tuba???
Bersambung...
#travelogfauziahabdulhamid
#langkawi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan