Menghampiri jam 11:00 pagi, wakil syarikat sewa kereta pun sampai dengan kereta ganti.
Cepat-cepat aku menyuruh Saffura, Fatihah dan Fitri keluar dari Kota Mahsuri. Beg-beg kami dipindahkan ke kereta Innova yang diganti oleh wakil syarikat. Jenuh juga nak susun supaya celuih.
Tanpa melengahkan masa, aku memandu kereta menuju ke destinasi seterusnya iaitu Bangunan Haji Ismail Group. Aku terpegun sebentar tatkala melihat bangunan mall yang begitu terkenal di Langkawi itu. Sentiasa menjadi sebutan pengunjung ke Langkawi.
"Kita ada sejam untuk shopping, tepat pukul 12:30 semua dah ada dalam kereta naa." Pesanku sebaik masuk ke lot parkir di depan bangunan.
Aku pula terus mencari tandas, dah tak tahan lagi.
Usai urusan di tandas aku pun menyertai kakak-kakak mencari apa yang patut. Kak Milah paling sibuk membeli coklat, kekacang, cawan dan lain-lain.
Aku mencari beg bagasi yang sesuai untuk letak buku-buku untuk dibawa ke program nanti.
Pilihanku |
Hampir jam 12:40, kami bertolak ke jeti untuk ke Pulau Tuba. Ada meja dan petugas yang duduk tak jauh dari kawasan untuk menaiki bot. Tiket berharga RM5.00 seorang sehala.
Menanti bot di jeti. |
Jom naik bot. |
Penumpang lain adalah penduduk Pulau Tuba, mereka membawa pelbagai barang yang dibeli di Pulau Langkawi.
Tepat jam 1:00, kami menaiki bot yang menghampiri jeti. Hanya 12 orang penumpang untuk satu bot.
"Kami nak pi makan mi udang, kat mana yang sedap?" Saya bertanya kepada pemandu bo
"Ada beberapa tempat macam Ombak Rindu dan Tanjung Pandan . Tapi selalunya kat Tanjung Pandan " Jawabnya
"Boleh la pi kat situ."Balas saya.
"Saya hantar kat situ terus." Sambungnya
Saya, Fatihah dan Saffura bergerak ke sana sini dalam bot yang kiri dan kanannya ada tempat duduk. Kami mencari pot yang bestlah untuk ambil gambar.
Tapi kan nak duduk kat luar bot tak boleh sebab ianya dipandu dengan laju. Terasa melayang segalanya, last sekali terpaksalah duduk diam-diam.
Kakcik pula rajin bersembang dengan beberapa orang wanita yang tinggal di Pulau Tuba. Mereka sungguh peramah dan sudi mengajak kami untuk tidur di rumah mereka.
"Lain kali, kami dah nak balik petang ni." Respon Kakcik
"Bok mai nombor talipon kot-kot kami nak mai sini lain kali."Sambungnya lagi.
Hai! |
Pemandu bot |
Dalam bot |
Orang Pulau Tuba yang peramah. |
Kami dihantar ke jeti kecil sebaik sampai di Pulau Tuba. Dari jauh dah nampak gerai mi udang dan sebuah villa berpagar di kelilingnya.
Kami bertujuh pun turun dari bot dengan berhati-hati kemudian menaiki tangga ke pelantar yang disediakan.
Penumpang lain meneruskan pelayaran ke Jeti Pulau Tuba. Dari tempat kami turun memang tidak kelihatan jeti atau kawasan kampung yang lain.
"Ya Allah... cantiknya. Ni baru betul pulau." Aku begitu terpesona memandang pemandangan dari jeti tersebut.
Puas rasanya apabila hasrat telah dicapai.
Cuaca begitu cerah dengan matahari bersinar terang. Puas tengok warna air laut yang biru kehijauan tanpa pencemaran. Airnya jernih sehingga nampak ikan di permukaan laut.
Pantainya agak terhad namun putih pasirnya. Kelihatan beberapa orang kanak-kanak sedang asyik berenang.
Kami berjalan menuju ke kedai yang hanya ada sebuah di situ, sambil menikmati pemandangan indah di sekitarnya.
"Jom cepat, dah lapaq mi udang ni..." aku mempercepatkan langkah menuju ke kedai mi yang terletak di tepi pantai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan