BismillahirRahmanirRahim
Sudah lama teringin nak masak Rendang Tok namun tiada keberanian. Tidak pasti resipi mana yang sesuai. Biasanya saya beli di gerai R&R Tapah ketika dalam perjalanan pulang dari Penang ke Kuala Lumpur. Sedap apabila dimakan bersama lemang.
Namun bersempena ulang tahun perkahwinan yang ke-30 pada 27 Februari lepas saya berjaya memasaknya. Sedapnya dengan aroma rempah ratusnya begitu menggoda. Dimakan pula dengan pulut kuning, lagilah berselera.
Resipi Rendang Tok ini saya ambil daripada buku yang sudah sekian lama berada di rak buku. Belajar Memasak Langkah Demi Langkah ditulis oleh Nor Aini Adnan dan Norzailina Nordin. Banyak resipi masakan tradisional di dalamnya. Mudah pula rasanya memasak rendang ini.
Ada satu rahsia, ingatkan rendang tok menggunakan kerisik yang banyak. Jadi KakJee beli sahaja kerisik yang sudah siap. Biasanya KakJee buat sendiri kerisik demi mendapatkan kerisik yang segar. Kali ini tiada pula stok kelapa parut.
Malangnya kerisik tersebut tidak asli, rasa bertepung tanpa bau kerisik. Hanya bau hapak. Apa nak dibuat sedangkan rendang tok sudah hampir masak. KakJee mengambil keputusan untuk tidak memasukkan kerisik, lagi pula kuantiti kerisik yang perlu dimasukkan tidak banyak seperti yang disangka. KakJee sekadar menambah lagi santan pekat ke dalam rendang. Alhamdulillah hasilnya okay dengan warna seperti rendang tok yang pernah KakJee nikmati.
Meh tengok resipinya, nanti raya cuba ya.
Resipi Rendang Tok
Bahan2:
600 gm daging batang pinang dipotong saiz besar (daging biasa pun boleh)
3 sudu besar gula melaka
40 gm kerisik
2 biji kelapa diambil 1 liter santan (saya guna 750 gm santan kotak)
3 sudu minyak masak
Garam dan gula pasir
1 sudu besar asam jawa + 100 ml air
Bahan Kisar
3 sudu besar biji ketumbar*
2 sudu besar jintan manis*
1 sudu besar jintan putih*
bahan * disangai dahulu
1 sudu kecil serbuk lada hitam
20 tangkai cili kering
4 batang serai
4 cm halia
2 cm lengkuas
2 biji bawang besar
3 biji buah keras
Bahan Penumis
4 ulas bawang putih dihiris
4 biji bawang merah dihiris (guna 1 biji bawang besar)
4 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
1 batang kulit kayu manis
Cara Membuatnya:
1. Campurkan daging bersama bahan kisar, air asam jawa dan garam. Gaul rata dan perap selama 2 jam.
2. Panaskan minyak masak dalam kuali. Tumiskan bahan penumis hingga berbau.
3. Masukkan daging dan masak 15 minit.
4. Masukkan gula pasir dan gula melaka.
5. Tuangkan santan dan masak dengan api sederhana. Kacau sekali-sekala supaya tidak berkerak.
6. Masukkan kerisik dan kacau sehingga rendang agak kering. Memerlukan masa lebih kurang 2 jam.
Rendang Tok ini sungguh enak.
Selamat Mencuba.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan