Rabu, 19 Oktober 2016

Rasa Dapurku (197) : Hati Lembu Masak Kicap


BismillahirRahmanirRahim


Hati Lembu Masak Kicap

Di Riyadh, aku paling suka menonton rancangan televisyen yang berkaitan dengan aktiviti memasak. Terdapat beberapa saluran   yang hanya menayangkan aktiviti memasak dari chef terkenal sepanjang hari. Memang seronok melihat chef-chef tersebut menunjukkan bagaimana menghidangkan pelbagai resepi masakan Arab dan Barat. Seingat aku terdapat sehingga melebihi lima siaran khas berkaitan memasak sahaja. Ianya bukan sesuatu yang menghairankan kerana pihak majikan telah menyediakan kemudahan siaran televisyen berbayar dari pelbagai kabel atau satelit yang ada di Arab Saudi. Kami juga berpeluang menikmati siaran dari negara-negara sekitar Arab Saudi seperti Mesir, Jordan, Lebanon, Tunisia, Libya, Algeria, Syria, Iraq, Iran, Sudan, Turki dan GCC (Kuwait, Qatar, Oman, Bahrain , Abu Dhabi dan Dubai). Namun yang menjadi pilihanku ialah siaran masakan dari CBS Sofra dari Mesir. Kerap juga masakan yang menggunakan hati lembu ditunjukkan, rupanya masakan bersumberkan hati lembu begitu digemari oleh masyarakat Arab.

Resepi berkaitan dengan hati lembu memang sedap namun bagi golongan yang sudah agak berusia, ianya selalu cuba dielakkan. Sudah lama sebenarnya aku tidak merasai masakan hati lembu sehingga pada hari sambutan Hari Raya Korban baru-baru ini. Emak membawa balik pelbagai anggota lembu yang telah dikorbankan untuk dirasai oleh ahli keluarga. Segalanya serba sedikit disamping daging turut diberikan tulang, hati dan paru. Disebabkan ianya hasil dari ibadah korban, aku pun berfikiran positif lalu memasaknya. Moga ianya menjadi penawar, bukan faktor yang akan menyebabkan paras kolesterol meningkat. Masakan ini agak ringkas namun sedap sangat.

Resepi Hati Lembu Masak Kicap.
Bahan2:
200 gram hati lembu segar
3 ulas bawang putih*
1 inci halia*
Bahan * ditumbuk halus
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 batang serai dibelah dua
1 sudu besar serbuk rempah kari daging
1 biji cili merah dihiris nipis
3-4 biji cili padi dibelah dua
1 biji bawang besar dihiris
Sedikit daun bawang dan daun sup/ketumbar
Sedikit penumis
Sedikit air asam jawa
Minyak masak
Garam secukupnya
Kicap manis secukupnya
Sedikit air

Hati lembu mentah

Cara membuatnya:
1.Hati lembu dipotong nipis dan digaul bersama bahan yang
   ditumbuk, kunyit dan garam. Biarkan selama 30 minit.
2.Panaskan minyak di dalam sebuah kuali dan masukkan hati lembu
   yang diperap, goreng sehingga hampir masak.
3.Masukkan serbuk rempah kari, penumis dan serai. 
   Kacau sekejap dan masukkan sedikit air.
4.Masukkan  kicap, air asam jawa, cili merah dan cili  padi.
5.Perisakan dengan garam jika perlu dan akhir sekali 
   masukkan bawang besar. Biarkan berkuah sedikit, jangan
   terlalu kering.
6.Masukkan daun bawang dan daun sup, lalu tutup api.

Sedapnya dimakan bersama nasi putih yang masih panas.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...